Halaman

25 October 2012

JKR sedia RM2.6 juta bina terowong

Oleh:Noraini Jusoh



Kerajaan negeri melalui Jabatan kerja Raya (JKR) memperuntukan sebanyak RM2.6 juta bagi pembinaan terowong di bawah jalan dari Pulau Kambing ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Bukit Kecil.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir Shafii Mohamad berkata, projek yang beroperasi pada 12 Mac lepas dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan tapak dijangka siap sepenuhnya pada 18 Disember ini.

“Setakat ini kira-kira 70 peratus kerja-kerja pembinaan terowong telah siap dan dijangka boleh digunakan oleh orang ramai dalam masa dua bulan lagi.

“Apabila siap sepenuhnya nanti, terowong dua hala yang berukuran panjang 35 meter dan mempunyai ketinggian 3.5 meter ini akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu terutamanya penduduk sekitar,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, kenderaan berat tidak boleh melalui terowong ini kerana ianya hanya khusus untuk kenderaan seperti motosikal, kereta, van dan lori-lori kecil sahaja.

“Tujuan utama terowong ini dibina adalah untuk memudahkan, menjimatkan masa orang ramai serta menjamin keselamatan pelajar sekolah yang sebelum ini terpaksa melalui jalan sesak serta jauh untuk berulang alik dari rumah ke sekolah.

“Justeru, dengan adanya terowong ini nanti, pengguna jalan raya dan penduduk sekitar Pulau Kambing dapat jadikan terowong ini sebagai jalan alternatif selain dapat mengelakkan mereka terlibat dengan kesesakan jalan raya terutamanya jika ingin pergi ke kawasan sekitar Sek. Men. Jenis Keb. Chung Hwa Wei Sin,” ujar beliau.

Ekoran projek ini masih belum siap sepenuhnya, Ir Shafii Mohamad turut menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati menggunakan jalan raya di kawasan pembinaan terowong terbabit.

“Di waktu puncak, kebiasaanya jalan tersebut sedikit sesak ekoran kerja-kerja pembinaan terowong masih berjalan, oleh itu saya berharap orang ramai sentiasa berwaspada dan bersabar agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” ujarnya.