Perpaduan di kalangan jentera parti serta hindari anasir peteh-memeteh menjadi kunci utama kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata setiap jentera parti sama ada pemimpin dan ahli perlu saling bersatu-padu serta menjauhi sikap gemar mencantas semasa sendiri akibat tidak puas hati.
“Tidak kira siapa calon yang penting kita berjuang bermati-matian untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional di DUN Bukit Payong.
“Saya pasti kekalahan BN pada PRU lalu di DUN Bukit Payong dengan hanya majoriti 113 undi bukan kerana Pas kuat tetapi terdapat sebilangan pengundi Barisan Nasional sendiri yang khianat terhadap parti,” katanya di majlis Komunikasi Patriotik anjuran unit Komunikasi Negeri Terengganu, di Hotel tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong dan Ketua Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Superitendan Ridzuan Abdul Aziz.
Seramai 200 orang jentera parti daripada 23 cawangan dalam Dun Bukit Payong hadir di program itu.
Encik Zaidi juga mengharapkan kerjasama antara semua jentera, baik Wanita, Pemuda mahu pun Puteri bagi memastikan BN berupaya bergelar `johan’.
Katanya, ini kerana dalam politik tiada istilah `naib johan’, walaupun satu majoriti undi boleh menentukan siapa pemerintah di DUN mahu pun Parlimen.
Selain itu, beliau turut mengambil pendekatan dengan memanggil satu per satu cawangan bagi membuat bacaan sikap supaya satu keputusan yang tepat dapat dicapai sebelum menjelangnya PRU13 nanti.
“Alhamdulillah, setakat ini mood rakyat dalam DUN Bukit Payong menampakkan perubahan dan peningkatan positif terutama dari aspek sokongan seluruh lapisan masyarakat terhadap setiap program yang dianjurkan oleh Pejabat Dun Bukit Payong dan juga Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau juga mengingatkan setiap jentera yang hadir di program itu supaya jangan bertelagah sesama sendiri dan jangan mengharapkan orang lain untuk mencapai kemenangan, sebaliknya harus sama-sama memainkan peranan berjuang bermati-matian supaya kemenangan menjadi milik BN dan Umno.
Beliau berkata, bukan hanya DUN Bukit Payong, malah 31 DUN dan lapan Parlimen di seluruh Terengganu juga tidak mustahil mampu ditawan BN jika semua anggota parti melaksanakan gerak kerja yang tersusun dan bersungguh-sungguh, selain mengekalkan perpaduan dan kesetiaan yang utuh terhadap parti.