Faktor kesedaran, kemampuan dan memahami konsep korban itu sendiri merupakan elemen penting yang menyebabkan kian ramai umat Islam melakukan ibadah korban masa kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.
“Walaupun harga lembu, kambing dan biri-biri pada awal 80-an dulu lebih murah berbanding sekarang, faktor kewangan menyukarkan umat Islam melaksanakan ibadat korban.
“Bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah kerana masyarakat hari ini lebih ramai yang berkemampuan dan mempunyai kesedaran untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya ketika sidang media Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi 2012 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, baru-baru ini.
Beliau berkata, Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut pada 26 Oktober bersamaan 10 Zulhijjah ini sentiasa dinanti oleh seluruh umat Islam di dalam dan luar negara bagi menyemarakkan sambutan perayaan itu dengan amalan mengerjakan ibadat korban.
“Apabila membelanjakan apa yang dimiliki untuk membantu golongan yang memerlukan, kita perlulah ikhlas agar apa yang kita lakukan itu akan diberkati Allah s.w.t. begitu juga dengan ibadah korban ini.
“Selain itu, pengagihan daging korban juga perlu diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan seperti golongan fakir miskin,"ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri turut memeriahkan sambutan hari raya dengan menyediakan sejumlah peruntukan untuk penduduk mengadakan aktiviti gotong-royong menyediakan daging korban, sekali gus berusaha untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai erti korban yang sebenar di kalangan umat Islam.