Halaman

25 October 2012

Pejabat Daerah Kuala Nerus buka 70 peratus peluang kerja baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembukaan daerah kelapan, Kuala Nerus dijangka akan membuka 70 peratus peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan bagi mengisi pelbagai jawatan di bawah perkhidmatan awam di pusat pentadbiran daerah baru itu.

Sementara 30 peratus lagi jawatan akan diisi menerusi penempatan di kalangan kakitangan Pejabat Daerah Kuala Terengganu .

 Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail (gambar), berkata kewujudan daerah baru itu pastinya memerlukan sekurang-kurangnya 70 peratus kakitangan baru bagi melancarkan operasi dan pengurusan pusat pentadbiran itu nanti.

 “Sebaik sahaja mendapat kelulusan Kerajaan Pusat, kita akan segera melaksanakan kerja susulan termasuk pemecahan jabatan, pembahagian lot-lot tanah dan mukim yang pastinya akan melibatkan penstrukturan dan penetapan semula sempadan di bawah daerah baru itu nanti.

“Daerah baru itu nanti akan melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Batu Rakit, Seberang Takir, Bukit Tunggal dan Tepoh yang merangkumi dua mukim besar serta kira-kira satu pertiga daripada kawasan Kuala Terengganu,” katanya kepada media selepas program Luncheon Talk anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT), di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Oktober).

Turut hadir, Setiausaha Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Haji Samiun Salleh dan Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar.

 Katanya, seramai 292 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang terdapat di seluruh Kuala Terengganu kini juga akan berkurangansebaik dipindahkan ke Kuala Nerus berdasarkan pemecahan sempadan.

“Keseluruhan DUN Batu Rakit di Parlimen Kuala Nerus secara keseluruhannya berada di bawah Kuala Terengganu dan selepas ini mereka akan berada di pusat pentadbiran baru (Kuala Nerus) pula.

“Manakala DUN Manir (Parlimen Hulu Terengganu) juga berada di (daerah) Kuala Terengganu , manakala di Parlimen Marang, DUN Bukit Payong dan Alor Limbat sebahagiannya juga terletak di (daerah) Kuala Terengganu,” katanya.

Menurutnya, daripada 23 mukim dengan 29 penghulu di Kuala Terengganu, dua mukim dengan tiga hingga empat penghulu daripanya akan diletakkan di Kuala Nerus.

 Selain itu, pembangunan daerah Kuala Nerus di tapak seluas 200 hektar di Gong Badak mula dilaksanakan pertengahan tahun ini dengan kerja-kerja tanah yang membabitkan kos dianggarkan berjumlah RM20 juta.

Peringkat pertama kerja tanah dilaksanakan di kawasan seluas 100 hektar melibatkan kerja-kerja pembinaan tapak bangunan, sistem perparitan dan kolam takungan serta jaringan jalan raya.