Halaman

21 October 2012

20,000 sertai pesta loy krathong

Oleh: Noraini Jusoh

Hampir 20,000 orang dari seluruh negara yang berbangsa Thailand dan penganut Buddha Siam telah berkumpul di perkarangan Sungai Kuala Ibai, Chendering untuk menyambut pesta perayaan Loy Krathong, malam kelmarin.

Selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budayanya, tahun ini merupakan kali ke-13 pesta Perayaan Loy Krathong disambut di sini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Loy Krathong negeri Terengganu, Fong Swee Heng mewakili pengerusi tetapnya, Encik Chan A/L Tom berkata, perasmian pembukaan pesta perayaan yang berlangsung selama dua hari ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Dato’ Toh Chin Yaw.

Menurut Fong, mengikut kepercayaan penganut Buddha (keturunan Siam), masyarakatnya percaya bahawa perayaan Loy Krathong sinonim untuk membuang sial.

“Krathong akan dihanyutkan di sungai dengan dimuatkan dengan kuku, rambut dan syiling di dalamnya. “Penganutnya percaya bahawa upacara tersebut mampu menyucikan diri mereka dan segala kejahatan akan terus mengalir pergi dibawa arus sungai,” ujar beliau ketika ditemui Teganukita.

Menurut Wikipedia ‘Loy’ bererti mengapung manakala ‘Krathong’ bererti bekas daun pisang berbentuk teratai. Pada masa yang sama,

Fong turut menjelaskan tujuan utama perayaan tersebut disambut di negeri ini adalah untuk mempelbagaikan budaya serta memperkenalkan budaya Thailand serta mengeratkan perpaduan kaum di kalangan anggota masyarakat di negara ini.

Thai Konsul General, Than’ Jakrit Kanjanasoon turut hadir ke perayaaan yang menyediakan pelbagai acara ini termasuk soft karaoke dan music Thai, gerai-gerai jualan, tarian dan nyanyian dari Yala, tarian Thai Terengganu serta persembahan penyanyi popular dari Thailand iaitu ‘bouwee’.

 “Persatuan Loy Krathong negeri masih menunggu dan mengharapkan perayaan ini akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Terengganu pada masa akan datang,” katanya.