Halaman

21 October 2012

PNM simpan 4,600 manuskrip jawi

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah manuskrip berusia 400 tahun adalah antara 4,600 manuskrip dalam tulisan jawi yang terdapat dalam simpanan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang masih belum dikaji dan diterjemah setakat ini.

Ketua Pengarah PNM, Dato’ Raslin Abu Bakar berkata, manuskrip paling lama ini diterima pada 1,600 Masihi iaitu selepas zaman Kesultanan Melaka.

“Jika manuskrip ini dapat diterjemahkan dalam tulisan Rumi tentu lebih banyak ilmu dalam pelbagai bidang dapat di manfaatkan oleh masyarakat hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zali Wan Abdullah; Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

 Katanya, PNM mempunyai pakar mengkaji manuskrip yang tersimpan tetapi memerlukan lebih ramai mereka yang berkemahiran dan berminat untuk sama-sama menghasil kajian agar dapat dikongsi dengan masyarakat.

“Kita percaya manuskrip ini kaya pelbagai catatan ilmu pengetahuan berkaitan bidang perubatan dan perniagaan,” katanya.

Katanya, melalui Unit Jawi di PNM bertanggungjawab dalam melestarikan dan membuat aktiviti berkaitan dengan jawi di samping mengumpul buku dalam tulisan jawi untuk direkodkan semula dalam tulisan Rumi.

Selain itu, karnival ini digarap berkonsepkan informasi dan santai dengan harapan menjadi satu titik anjakan terutamannya kepada golongan muda untuk memertabatkan kembali tulisan jawi sebagai warisan tamadun bangsa Melayu.