Halaman

10 December 2012

Sidang DUN: Terengganu peroleh rizab minyak tambahan

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu syarikat cari gali minyak Lundin Oil mengesahkan penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di medan Bertam PM307 berada di kawasan Terengganu. 

“Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran.

“Kita mensasarkan jumlah pengeluaran minyak di kawasan itu nanti berjumlah antara 17,000 hingga 20,000 tong sehari apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga 2014 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pihaknya ada menulis surat terhadap Petronas mengenai status penemuan minyak itu tetapi sehingga kini belum lagi menerima jawapan.

“Sebaliknya hanya Lundin Oil yang mengesahkan ia berada di kawasan Terengganu. “Ada pihak yang menyatakan ia berada di kawasan Pahang, itu mungkin silap faham kerana kawasan Medan Bertam PM307 hanya di sempadan Pahang dan lokasi sebenar adalah perairan Terengganu,” katanya.

Katanya ketika menjawab soalan YB Dr Syed Azman Syed Ahmad (Pas- Batu Burok), kerajaan Pusat akan membayar balik sepenuhnya tuntutan royalti minyak kepada Terengganu pada Mac tahun depan tanpa sebarang potongan.

“Kita menarik balik saman terhadap Petronas kerana pihak itu bersetuju memenuhi tuntutan yang diminta,” katanya.

 

UniSZA muncul juara badminton piala isteri MB

Oleh; Esah Abdullah

Pasukan Badminton Wanita Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) A, muncul juara dalam Kejohanan Badminton Wanita Piala Isteri Menteri Besar yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Manakala naib johan di menangi oleh UMT A, dan tempat ketiga di menangi bersama Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) UniSZA D.

Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi UMT, Haji Mohamad Rafee Jusoh berkata johan menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000, piala pusingan dan medal manakala naib johan menerima RM700 dan tempat ketiga masing-masing RM500.

Kejohanan kali kedua yang berlangsung dua hari di Dewan Serbaguna UMT itu disertai 15 pasukan dari institusi pengajian tinggi di negeri ini di mana UMT menghantar enam team, UniSZA (empat) bahagian kokurikulum UMT (tiga) dan masing-masing satu dari Kolej PTPL dan Institut Latihan Petroleum (Instep).

Isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah melakukan perasmian kejohanan itu manakala penyampaian hadiah kepada pemenang dilakukan oleh Haji Mohamad Rafee Jusoh.

Ukom anjur diskusi Bajet 2013 petang ini

Unit Komunikasi Negeri (UKOM) akan menganjurkan diskusi Bajet 2013 di Dewan Teater Wisma Darul Iman, kira-kira jam 2.30 petang ini.

Program tersebut merupakan acaran tahunan anjuran Ukom bagi menjelaskan hal-hal berkaitan Bajet 2013 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat dan ketua-ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan menghadiri program tersebut.

Orang ramai yang berminat menghadiri diskusi berkenaan dijemput hadir bagi membolehkan mereka mendapat ‘input’ terbaru mengenai Bajet 2013 yang bakal menjana ekonomi Terengganu tahun depan.

Gunting rambut percuma anjuran KRT Bandar Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih meneruskan tradisi penganjuran gunting rambut percuma untuk pelajar sebagai persediaan memasuki penggal persekolah tahun depan yang akan diadakan pada 12 Disember.ini. '

Pengerusinya, Teo Huey Lang berkata, program sehari yang akan diadakan di perkarangan Pusat Aktiviti Rukun Tetangga, Jalan Pasir Akar, menyediakan lima tukang gunting professional sepanjang program berlangsung.

Katanya, pelajar dan ibu bapa yang ingin menyertai program itu boleh hadir pada hari berkenaan yang membari perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Menurutnya, aktiviti gunting rambut secara percuma itu diadakan pada setiap hujung tahun sebagai aktiviti sosial untuk membantu golongan pelajar miskin.

Beliau berkata, ibu bapa yang ingin menyertai program itu boleh mendaftarkan penyertaan yang akan dibuka mulai jam 8 pagi dan berakhir pada jam 4 petang.

Sementara itu, KRT Bandar Jertih akan menganjurkan program “Pesta Cahaya” untuk meraikan kaumj India yang tinggal di bandar ini. Program secara santai itu akan diadakan pada 11 Disember jam 9 malam yang akan diadakan di perkarangan Pusat Rukun Tetangga Bandar Jertih.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, akan merasmikan program dan menyertai majlis makan malam bersama masyarakat India daerah Besut.

Kompleks Tekstil Kijal tarik pelabur Cina

Kompleks Tekstil Kijal yang dijangka dibuka April tahun depan berjaya menarik pelaburan baru dari syarikat tekstil Guangzhou, China, sekali gus menjadikan Bandar Baru Kijal sebagai hab tekstil di Asia Tenggara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, syarikat berkenaan bukan sahaja akan beroperasi di kompleks tekstil yang telah siap, malah syarikat itu juga akan membina sebuah lagi bangunan reka bentuk sama dengan kompleks tekstil tersebut.

Menurutnya, bangunan reka bentuk sama itu akan dibina bersebelahan Kompleks Tekstil Kijal yang sedia ada.

“Pelabur dari China ini akan membawa masuk pelbagai produk termasuk kain, zip dan sebagainya yang dikeluarkan mereka dan akan memasarkannya di Bandar Baru Kijal, seterusnya menjadikan kawasan ini sebagai hab tekstil negara.

“Syarikat ini akan memindahkan operasinya di Singapura ke Bandar Baru Kijal,” katanya selepas menyempurnakan perasmian penutup dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2012, anjuran Pejabat Daerah Kemaman di Padang Bola Sepak Binjai, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Said, bangunan baru berkenaan dijangka mula dibina tahun depan, sekali gus membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, syarikat tersebut adalah pengilang tekstil terbesar dan untuk sebuah kilang sahaja, mereka mempunyai seramai 10,000 pekerja.

Ditanya mengenai sambutan peniaga tempatan terhadap lot kedai yang disediakan di kompleks tekstil itu, beliau berkata, setakat ini tidak sampai 10 peniaga Bumiputera yang berminat untuk menyewa lot kedai.

“Jadi yang selebihnya diberikan kepada syarikat dari China ini. Kita telah buka peluang kepada orang tempatan untuk menyewa tetapi nampaknya tak ramai yang berminat,” katanya.


JPNT anjur program himpunan kasih sayang komuniti 1Malaysia ‘Janji Ditepati’

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) bakal menganjurkan Program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia ‘Janji Ditepati’ peringkat Negeri Terengganu bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, selama dua hari bermula 14 Disember ini.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka meyempurnakan majlis perasmian program yang berkonsepkan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ itu nanti.

"Pelbagai acara menarik menanti pengunjung pada program yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu antaranya pameran serta kaunter perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan.

"Selain itu, aktiviti sukaneka, pertandingan memasak, gotong-royong membersih tanah perkuburan, forum perdana, persembahan kebudayaan dan jamuan rakyat turut diadakan pada hari tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyediakan hadiah berupa barangan elektrik oleh pihak penganjur.

Katanya, sempena program itu juga JPNT dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal akan membaik pulih rumah penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan sekitar.

Justeru, orang ramai terutamanya penduduk di kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program tersebut.

 

09 December 2012

Angkasa anjur seminar kewangan

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) akan menganjurkan Seminar Kewangan Islam Dalam Gerakan Koperasi di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu Selasa ini (11 Disember).

Wakil-wakil dari koperasi di seluruh negeri ini akan menghadiri seminar berkenaan yang akan dikendalikan pakar di bidang koperasi.

Presiden Angkasa, Prof Dato’ Dr Mohd Ali Haji Baharom dijadualkan merasmikan seminar tersebut pada jam 11.30 pagi.

Bubur asyura rendah lemak johan daerah Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman yang julung kali menyertai Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2012, berjaya mengalahkan 254 kumpulan lain dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, periuk besar setiap seorang dan satu trip bas perjalanan.



Pertandingan itu yang kini memasuki edisi ke-4 pada tahun ini berlainan dari kebiasaan kerana setiap kumpulan berani tampil dengan idea kreatif masing-masing bagi mencuri hati panel juri.

Bubur asyura rendah lemak yang disajikan Pejabat Kesihatan, bersesuaian dimakan oleh sesiapa saja kerana kandungan lemak hanya 1.33 gram sahaja dan komposisi zat makanan bagi setiap sajian 35 gram sangat seimbang dan boleh dinikmati oleh pesakit kencing manis.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman berkata, kemenangan yang mereka peroleh ini adalah berkat usaha sama semua kakitangan pejabatnya yang berjaya memasak dan menyediakan bubur asyura yang berkonsepkan ‘Sihat dan Sedap’.

“Kami sajikan bubur asyura yang sihat dan sedap dengan kandungan zat makanan yang seimbang bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.

Tambah beliau lagi resipi bubur asyura mereka adalah resipi turun temurun moyang salah seorang ahli kumpulan mereka Wan Imah Hasanah Wan Ismail, yang bertanggungjawab sebagai ketua memasak.



Sementara itu, naib johan dimenangi Kumpulan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Kemaman yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, periuk bersaiz sederhana, manakala tempat ketiga disandang oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mak Chili yang mendapat wang tunai sebanyak RM1,000 dan hadiah iringan.

Selain itu, terdapat juga kelainan daripada peserta lain yang menampilkan kreativiti kumpulan masing-masing seperti menyajikan hidangan burger king syura, roti john syura yang lain daripada lain dan berjaya menarik perhatian pengunjung.

Begitu juga dengan persembahan daripada JKKK Pasir Gajah yang menghidangkan peta kawasan kampung mereka dengan lukisan gajah menjadi hiasan dan satu lagi hidangan berbentuk kek cawan.



48 Kampung dipilih sertai tanaman jagung hibrid



Oleh: Mohammad Ishak 

Pejabat Pertanian Daerah Besut memilih 48 buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih untuk mengusahakan jagung hibrid di bawah Program Tanaman Keliling Rumah Pejabat Pertanian Daerah Besut hari ini.

Pelancaran program itu disempurnakan oleh ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kampung Kubang Bemban dekat sini hari ini.

Menerusi projek itu, tiga orang yang terpilih dari setiap kampung diberi kit tanaman untuk menanam 30 pokok jagung dalam polibeg yang akan mengeluarkan hasil dan boleh dituai selepas 65 hari ditanam.

Pegawai Pertanian Daerah, Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, dalam tempoh itu prestasi tanaman peserta program akan dinilai dan jika didapati berjaya, ia akan diperluas kepada penduduk dalam kampung tersebut. '
'Berdasarkan kejayaan sebelum ini, setiap hektar tanah yang ditanam dengan tanaman jagung jenis itu mampu menghasilkan antara 25,000 hingga 35,000 tongkol jagung yang memberikan pendapatan yang agak lumayan. '

'Ini secara tidak langsung membolehkan penduduk menjimatkan perbelanjaan dapur selain memastikan mereka memperoleh sumber makanan yang lebih selamat berbanding yang dibeli di pasar-pasar," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata, penduduk perlu mengambil peluang mengusahakan tanaman jagung tersebut yang boleh ditanam sendiri dan lebih selamat untuk dimakan kerana bebas daripada penggunaan racun serangga perosak.

Katanya, sebagai galakan kepada penduduk supaya lebih tekun mengusahakan tanaman itu, satu pertandingan akan diadakan bagi memilih hasil tanaman yang baik dan bermutu tinggi.

"Ini bagi memastikan transformasi pertanian melalui inovasi bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pertanian malah dapat juga memberikan sumber ekonomi kepada masyarakat," katanya..

MoU mudahkan pelajar ikuti latihan industri

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Inforana Holding Sdn Bhd dengan agensi yang berkaitan dengan sektor perhotelan dan pelancongan bertujuan memudahkan para pelajar mengikuti latihan industri.

Pengarah Eksekutifnya, Tuan Haji Ahmad Ramzi Abdul Rahman berkata, antara penggiat pelancongan yang terlibat dengan MoU tersebut termasuk Sutera Beach Resort, Sumai Suite Hotel, Homestay Teluk Ketapang, Felda Residence, Taman Tamadun Islam serta Radix Fried Chicken.

"Dengan adanya perjanjian tersebut akan memudahkan pelajar kolej ini memilih tempat untuk menjalani latihan industri yang bersesuaian dengan kursus yang mereka ikuti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani MoU Kolej Inforana dengan industri pelancongan sempena Majlis Penyampaian Sijil dan Graduasi Program Terengganu Tourism Apprentice Scheme (T-TAS) kolej tersebut di Tok Jembal, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Katanya, selain menyediakan pelbagai program kemahiran yang lain Inforana merupakan satu-satunya institusi di negeri ini yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan program T-TAS bagi golongan belia yang berminat menceburi bidang berkaitan pelancongan dan perhotelan.

"Secara tidak langsung, dengan adanya perjanjian MoU ini dapat membantu para pelajar khususnya yang mengikuti program T-TAS mendapat tempat yang sesuai untuk menjalani latihan industri dan sekaligus membuka peluang kepada mereka untuk bekerja di sana apabila selesai menjalani kursus tersebut.

"Dengan adanya kerjasama dengan agensi yang berkaitan dengan pelancongan dan kerajaan negeri yang sentiasa cakna dan mengutamakan pendidikan belia negeri ini, tidak mustahil suatu hari ini kolej ini mampu melahirkan modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini khususnya dalam bidang pelancongan,” ujarnya.

Menurut Ahmad Ramzi, Kolej Inforana juga bakal meluaskan sayap dengan mengambil pelajar antarabangsa yang dijangka akan bermula tahun depan.