Halaman

10 December 2012

Sidang DUN: Tiada polisi baru terhadap penduduk Pulau Redang

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri tidak pernah menghalang penduduk Pulau Redang membela sebarang jenis haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata pihaknya tidak pernah mengenakan sebarang polisi baru berkaitan menternak haiwan di daratan atau air kepada penduduk Pulau Redang.

 “Sebaliknya hanya mengenakan denda atau tindakan menangkap haiwan itu sekiranya penternak membiarkan haiwan milik mereka mencemari persekitaran kampung dan kawasan pelancongan..


“Langkah itu terpaksa dilaksanakan kerana sebelum ini kawasan itu sering dicemari dengan najis lembu dan kambing yang sememangnya boleh imej Pulau Redang,” katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) .

 . Dato’ Haji Abdul Rahin turut memberitahu, kerajaan negeri ada menubuhkan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 bagi menerajui segala perlaksanaan aktiviti, promosi dan mengalakkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

 Katanya, TMT 2013 yang mensasarkan kehadiran empat juta pelancong menyajikan pelbagai program menarik yang bermula dengan karnival 1Malaysia pada Januari, kemudiannya disusuli dengan Le Tour De Langkawi 2013 yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini pada Februari hingga Mac.

 “Selain dua acara itu, 25 acara lagi termasuk International Terengganu Starhill 4X4 Challenge 2013 (pinggiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak), Kenyir Lake International Triathlon 2013 di pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dan Cabaran Reka Cipta Islam dan Perasmian Kincir Air Taman Tamadun Islam sepanjang Mac.

 “Kemudiannya pada April akan berlangsung Bidong Underwater & Land Challenge (Pulau Bidong), Petronas Cub Prix (Kompleks Sukan Gong Badak), Boat On The Road (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir), Terengganu World Invitational Jetrace Chellenge 2013 (Pantai Batu Buruk) dan Kapas-Marang International Swimathon 2013 (Pantai Kelulut, Marang), “ katanya.

Katanya, Kerajaan sentiasa mencari peluang dan ruang bagi menempatkan diri dalam sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan dalam mahupun luar negara melalui Tourism Malaysia.

“Langkah itu termasuk, menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul,” katanya ketika menjawab soalan YB Haji Muhammad Ramli Nuh (Pas-Tepoh).

Menurutnya, penganjuran Satu Satu Satu Industri (SDSI) mampu mengubah pemikiran usahawan tempatan agar lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk mereka dan tidak semata-mata mengeluarkan barangan yang sedia ada terdapat di pasaran.

 “Para usahawan berpeluang berkongsi kepakaran dan kaedah pemasaran perniagaan dengan usahawan lain terutama mereka yang telah berjaya menembusi pasaran luar negara,” katanya.

 

MB bentang Bajet 2013 berjumlah RM1.995 bilion

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini membentangkan Bajet 2013 yang berjumlah RM1.995 bilion dengan mengekalkan tema “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan: Bajet Kesejahteraan Rakyat” seperti yang digunakan bajet tahun lalu.



Bajet 2013 menyaksikan kenaikan sebanyak 2.3 peratus berbanding Bajet 2012 yang berjumlah RM1.950 bilion. Dari segi kutipan hasil bagi tahun 2013, kerajaan menganggarkan akan memperolehi hasil sebanyak RM2.005 bilion berbanding RM1.950 bilion pada tahun 2012.

Menteri Besar berkata, dengan mengambilkira jumlah hasil dan perbelanjaan mengurus, Bajet 2013 menjurus kepada Belanjawan lebihan sebanyak RM10 juta di mana penyediaannya sangat tepat dan selari dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dan komitmen untuk mengurangkan defisit terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan.

Bajet 2013 yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini memberi fokus kepada empat strategi teras iaitu mengurang defisit, memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

“Bagi memastikan kedudukan kewangan kerajaan negeri terus berdaya saing dan berdaya tahan, kerajaan memberi penekanan kepada langkah-langkah memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri mlalui pengurusan fizikal kewangan yang ketat dan berhemah.

“Langkah-langkah yang dicadangkan termasuklah melaksanakan kawalan dalaman yang lebih ketat, pemotongan peruntukan, pengurangan perbelanjaan dan dalam masa yang sama meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, semua program dan projek yang dirangka mestilah mampu memberi impak optimum kepada rakyat dalam merealisasikan gagasan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Bagi menjayakan strategi kedua, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM53.51 juta bagi membentuk insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Program pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah bermatlamat melahirkan insan yang holistik dan seimbang serta memupuk perpaduan nasional.

“Usaha ke arah ini telah menampakkan hasilnya melalui pelbagai kejayaan yang dicapai dalam program “Flahsip” pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hinggalah ke universiti.

“Malah, Terengganu mampu menjadi peneraju kepada negeri-negeri lain dalam usaha memajukan bidang pendidikan kerana sebahagian besar program yang dilakukan di negeri ini belum dilaksanakan di tempat lain dan sebahagiannya pula telah menjadi ikutan kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain,” ujarnya.

Melalui strategi ketiga pula, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha-usaha membasmi kemiskinan dan memperbaiki ketidaksamaan sosio-ekonomi secara membina dan produktif.

“Matlamat kerajaan adalah mengsifarkan miskin tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 1.0 peratus pada tahun 2013,” katanya.

Sebagai salah satu usaha meningkatkan daya saing negeri (strategi keempat), kerajaan negeri bersetuju menjadikan tahun 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu di mana pra pelancarannya telah dilakukan pada 26 November di MAHA International 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor.

“Sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 dan seterusnya menjadikan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu, kerajaan bersetuju menambah pertuntukan pembangunan daripada RM138.85 juta pada tahun 2012 kepada RM186.74 juta tahun 2013 bagi melaksanakan pelbagai projek pelancongan,” katanya.



Sidang DUN: Terengganu peroleh rizab minyak tambahan

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu syarikat cari gali minyak Lundin Oil mengesahkan penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di medan Bertam PM307 berada di kawasan Terengganu. 

“Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran.

“Kita mensasarkan jumlah pengeluaran minyak di kawasan itu nanti berjumlah antara 17,000 hingga 20,000 tong sehari apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga 2014 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pihaknya ada menulis surat terhadap Petronas mengenai status penemuan minyak itu tetapi sehingga kini belum lagi menerima jawapan.

“Sebaliknya hanya Lundin Oil yang mengesahkan ia berada di kawasan Terengganu. “Ada pihak yang menyatakan ia berada di kawasan Pahang, itu mungkin silap faham kerana kawasan Medan Bertam PM307 hanya di sempadan Pahang dan lokasi sebenar adalah perairan Terengganu,” katanya.

Katanya ketika menjawab soalan YB Dr Syed Azman Syed Ahmad (Pas- Batu Burok), kerajaan Pusat akan membayar balik sepenuhnya tuntutan royalti minyak kepada Terengganu pada Mac tahun depan tanpa sebarang potongan.

“Kita menarik balik saman terhadap Petronas kerana pihak itu bersetuju memenuhi tuntutan yang diminta,” katanya.

 

UniSZA muncul juara badminton piala isteri MB

Oleh; Esah Abdullah

Pasukan Badminton Wanita Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) A, muncul juara dalam Kejohanan Badminton Wanita Piala Isteri Menteri Besar yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Manakala naib johan di menangi oleh UMT A, dan tempat ketiga di menangi bersama Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) UniSZA D.

Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi UMT, Haji Mohamad Rafee Jusoh berkata johan menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000, piala pusingan dan medal manakala naib johan menerima RM700 dan tempat ketiga masing-masing RM500.

Kejohanan kali kedua yang berlangsung dua hari di Dewan Serbaguna UMT itu disertai 15 pasukan dari institusi pengajian tinggi di negeri ini di mana UMT menghantar enam team, UniSZA (empat) bahagian kokurikulum UMT (tiga) dan masing-masing satu dari Kolej PTPL dan Institut Latihan Petroleum (Instep).

Isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah melakukan perasmian kejohanan itu manakala penyampaian hadiah kepada pemenang dilakukan oleh Haji Mohamad Rafee Jusoh.

Ukom anjur diskusi Bajet 2013 petang ini

Unit Komunikasi Negeri (UKOM) akan menganjurkan diskusi Bajet 2013 di Dewan Teater Wisma Darul Iman, kira-kira jam 2.30 petang ini.

Program tersebut merupakan acaran tahunan anjuran Ukom bagi menjelaskan hal-hal berkaitan Bajet 2013 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat dan ketua-ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan menghadiri program tersebut.

Orang ramai yang berminat menghadiri diskusi berkenaan dijemput hadir bagi membolehkan mereka mendapat ‘input’ terbaru mengenai Bajet 2013 yang bakal menjana ekonomi Terengganu tahun depan.

Gunting rambut percuma anjuran KRT Bandar Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih meneruskan tradisi penganjuran gunting rambut percuma untuk pelajar sebagai persediaan memasuki penggal persekolah tahun depan yang akan diadakan pada 12 Disember.ini. '

Pengerusinya, Teo Huey Lang berkata, program sehari yang akan diadakan di perkarangan Pusat Aktiviti Rukun Tetangga, Jalan Pasir Akar, menyediakan lima tukang gunting professional sepanjang program berlangsung.

Katanya, pelajar dan ibu bapa yang ingin menyertai program itu boleh hadir pada hari berkenaan yang membari perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Menurutnya, aktiviti gunting rambut secara percuma itu diadakan pada setiap hujung tahun sebagai aktiviti sosial untuk membantu golongan pelajar miskin.

Beliau berkata, ibu bapa yang ingin menyertai program itu boleh mendaftarkan penyertaan yang akan dibuka mulai jam 8 pagi dan berakhir pada jam 4 petang.

Sementara itu, KRT Bandar Jertih akan menganjurkan program “Pesta Cahaya” untuk meraikan kaumj India yang tinggal di bandar ini. Program secara santai itu akan diadakan pada 11 Disember jam 9 malam yang akan diadakan di perkarangan Pusat Rukun Tetangga Bandar Jertih.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, akan merasmikan program dan menyertai majlis makan malam bersama masyarakat India daerah Besut.

Kompleks Tekstil Kijal tarik pelabur Cina

Kompleks Tekstil Kijal yang dijangka dibuka April tahun depan berjaya menarik pelaburan baru dari syarikat tekstil Guangzhou, China, sekali gus menjadikan Bandar Baru Kijal sebagai hab tekstil di Asia Tenggara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, syarikat berkenaan bukan sahaja akan beroperasi di kompleks tekstil yang telah siap, malah syarikat itu juga akan membina sebuah lagi bangunan reka bentuk sama dengan kompleks tekstil tersebut.

Menurutnya, bangunan reka bentuk sama itu akan dibina bersebelahan Kompleks Tekstil Kijal yang sedia ada.

“Pelabur dari China ini akan membawa masuk pelbagai produk termasuk kain, zip dan sebagainya yang dikeluarkan mereka dan akan memasarkannya di Bandar Baru Kijal, seterusnya menjadikan kawasan ini sebagai hab tekstil negara.

“Syarikat ini akan memindahkan operasinya di Singapura ke Bandar Baru Kijal,” katanya selepas menyempurnakan perasmian penutup dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2012, anjuran Pejabat Daerah Kemaman di Padang Bola Sepak Binjai, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Said, bangunan baru berkenaan dijangka mula dibina tahun depan, sekali gus membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, syarikat tersebut adalah pengilang tekstil terbesar dan untuk sebuah kilang sahaja, mereka mempunyai seramai 10,000 pekerja.

Ditanya mengenai sambutan peniaga tempatan terhadap lot kedai yang disediakan di kompleks tekstil itu, beliau berkata, setakat ini tidak sampai 10 peniaga Bumiputera yang berminat untuk menyewa lot kedai.

“Jadi yang selebihnya diberikan kepada syarikat dari China ini. Kita telah buka peluang kepada orang tempatan untuk menyewa tetapi nampaknya tak ramai yang berminat,” katanya.


JPNT anjur program himpunan kasih sayang komuniti 1Malaysia ‘Janji Ditepati’

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) bakal menganjurkan Program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia ‘Janji Ditepati’ peringkat Negeri Terengganu bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, selama dua hari bermula 14 Disember ini.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka meyempurnakan majlis perasmian program yang berkonsepkan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ itu nanti.

"Pelbagai acara menarik menanti pengunjung pada program yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu antaranya pameran serta kaunter perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan.

"Selain itu, aktiviti sukaneka, pertandingan memasak, gotong-royong membersih tanah perkuburan, forum perdana, persembahan kebudayaan dan jamuan rakyat turut diadakan pada hari tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyediakan hadiah berupa barangan elektrik oleh pihak penganjur.

Katanya, sempena program itu juga JPNT dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal akan membaik pulih rumah penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan sekitar.

Justeru, orang ramai terutamanya penduduk di kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program tersebut.

 

09 December 2012

Angkasa anjur seminar kewangan

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) akan menganjurkan Seminar Kewangan Islam Dalam Gerakan Koperasi di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu Selasa ini (11 Disember).

Wakil-wakil dari koperasi di seluruh negeri ini akan menghadiri seminar berkenaan yang akan dikendalikan pakar di bidang koperasi.

Presiden Angkasa, Prof Dato’ Dr Mohd Ali Haji Baharom dijadualkan merasmikan seminar tersebut pada jam 11.30 pagi.

Bubur asyura rendah lemak johan daerah Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman yang julung kali menyertai Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2012, berjaya mengalahkan 254 kumpulan lain dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, periuk besar setiap seorang dan satu trip bas perjalanan.



Pertandingan itu yang kini memasuki edisi ke-4 pada tahun ini berlainan dari kebiasaan kerana setiap kumpulan berani tampil dengan idea kreatif masing-masing bagi mencuri hati panel juri.

Bubur asyura rendah lemak yang disajikan Pejabat Kesihatan, bersesuaian dimakan oleh sesiapa saja kerana kandungan lemak hanya 1.33 gram sahaja dan komposisi zat makanan bagi setiap sajian 35 gram sangat seimbang dan boleh dinikmati oleh pesakit kencing manis.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman berkata, kemenangan yang mereka peroleh ini adalah berkat usaha sama semua kakitangan pejabatnya yang berjaya memasak dan menyediakan bubur asyura yang berkonsepkan ‘Sihat dan Sedap’.

“Kami sajikan bubur asyura yang sihat dan sedap dengan kandungan zat makanan yang seimbang bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.

Tambah beliau lagi resipi bubur asyura mereka adalah resipi turun temurun moyang salah seorang ahli kumpulan mereka Wan Imah Hasanah Wan Ismail, yang bertanggungjawab sebagai ketua memasak.



Sementara itu, naib johan dimenangi Kumpulan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Kemaman yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, periuk bersaiz sederhana, manakala tempat ketiga disandang oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mak Chili yang mendapat wang tunai sebanyak RM1,000 dan hadiah iringan.

Selain itu, terdapat juga kelainan daripada peserta lain yang menampilkan kreativiti kumpulan masing-masing seperti menyajikan hidangan burger king syura, roti john syura yang lain daripada lain dan berjaya menarik perhatian pengunjung.

Begitu juga dengan persembahan daripada JKKK Pasir Gajah yang menghidangkan peta kawasan kampung mereka dengan lukisan gajah menjadi hiasan dan satu lagi hidangan berbentuk kek cawan.