Halaman

22 December 2012

Tidak laksana hukum hudud bukan bermaksud tolak hukum Islam- TPM

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan tindakan kerajaan tidak melaksanakan hudud bukan bermaksud menolak hukum Islam sebaliknya menggantikan dengan undang-undang syariah yang menghukum setiap pesalah itu dengan adil.



“Banyak perkara perlu diselidik sebelum melaksanakannya, di negara kita ini terdapat pelbagai bilangan bangsa, sudah tentu mereka tidak faham erti sebenarnya mengenai hukum itu.

“Di Kelantan, pemimpin mereka pernah menyatakan mahu melaksanakan hukum hudud, tetapi sehingga sekarang ini, belum juga dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama Pegawai Pengurusan Tertinggi &Profesional di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta Barisan Nasional.

 Katanya, itu belum lagi masuk soal hukum yang pernah dilemparkan oleh pemimpin Pas bahawa menolak hudud dan undang-undang Allah menjadi kafir, tetapi dalam persoalan sekarang ke mana hukum itu hendak dituju bila keputusan mereka bersama pakatan dengan orang-orang bukan Islam, menolak pelaksanaan hudud.

 “kerajaan buat apa yang kita mampu dan laksanakan apa yang perlu diutamakan, serta apa yang dituntut oleh agama rasmi di negara kita,” katanya.

 

Umum calon BN pada waktu sesuai, ambil kira isu strategik

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali


Pengumuman calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dilakukan pada waktu yang sesuai dengan mengambil kira isu strategik khususnya kelebihan kepada calon BN sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

 "Ia akan sampai waktu di mana apabila Presiden (Umno) sudah membuat keputusan, maka mereka yang hendak jadi calon itu akan diberitahu, tetapi kita tidak boleh buat satu keputusan mengatakan sekarang masanya, apabila tiba waktu yang sesuai, ikut situasi, ikut keadaan dan ikut calon yang berkenaan.

“Kita kena ada satu pendirian yang akan strategik , bila Perdana Menteri hendak buat satu keputusan pun kena ada isu yang strategik. Apakah (dengan) mengumumkan lebih awal itu akan memberi kelebihan kepada kita atau hal-hal yang lain," katanya di sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi dan Profesional, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Umno Pahang yang meminta pucuk pimpinan supaya menimbangkan untuk mengumumkan nama calon BN lebih awal supaya gerak kerja kempen dapat dilaksanakan lebih teratur.

Katanya, apa yang lebih mustahak adalah semua pemimpin dan ahli parti Umno sebulat suara dan akur menerima keputusan senarai calon PRU13 itu nanti.



Dialog jenayah curi kabel dan langkah pencegahan

Oleh: Mohammad Ishak 

Kes jenayah curi kabel Telekom Malaysia (TM) semakin meningkat dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mencegah perbuatan tidak bertanggung pihak terbabit.

Ini kerana jika berlaku kecurian pengguna telefin termasuk internet akan turut terjejas dan menghadapi masalah untuk berhubung dengan pihak lain.

Jika ini berlakau bukan sahaja kerugian dihadapai oleh Telekom Malaysia tetapi orang ramai juga akan berhadapan dengan pelbagai masalah untuk mendapatkan perkhidmatan komunikasi berkenaan.

Berikutan itu, TM mengambil daya usaha mengajak masyarakat supaya menyertai sesi dialog berkenaan yang akan berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong pada Isnin 24 Disember.

Sempena program sehari itu pihak penganjur,turut mengadakan pelbagai acara ,menarik termasuk kuiz, penyampaian reward dan sijil perlantikan Sukarelawan TM, serta jamuan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, akan merasmikan program berkenaan.

Program sehari bertemakan TM Mesra Sepakat Komuniti itu dijangka dihadiri ribuan penduduk sekitar daerah Besut yang juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

15 pelajar Kolej TESDEC terima diploma UniKL

Oleh :Amirullah Othman 

Seramai 15 orang belia yang mengikuti program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance [DET(AMT)] Kolej TESDEC menerima diploma mereka di Majlis Konvokesyen kali ke-9 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada para pelajar yang mengikuti program DET(AMT) ambilan pertama pada bulan Julai 2009 apabila Kolej TESDEC bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute (UniKL-MFI) memperkenalkan program diploma berkenaan di negeri Terengganu.

Tempoh pengajian berkenaan adalah selama tiga tahun bersamaan dengan enam semester pengajian selama enam bulan setiap satunya.

Pelajar-pelajar mengikuti kelas teori dan amali di bengkel selama lima semester yang pertama dan kemudiannya menjalani latihan praktikal di pusat-pusat servis automotif terpilih pada semester keenam.

Pelajar yang lulus menerima diploma yang dianugerahi oleh Universiti Kuala Lumpur sendiri.

Pada masa ini, terdapat 118 orang pelajar sedang mengikuti program tersebut di Kolej TESDEC, Marang, Terengganu. Pelajar ambilan ketiga pula akan menjalani latihan industri pada bulan Januari 2013 nanti dan dijangka tamat pengajian pada bulan Julai 2013.

Sepanjang tempoh pengajian para pelajar dibimbing oleh pensyarah yang terlatih di dalam bidang automotif berkelayakan ijazah dan menjalani latihan di bengkel automotif serba lengkap dengan kenderaan dan peralatan terkini.

Belia-belia yang berminat memasuki kolej berkenaan boleh berhubung dengan Bahagian Kemasukan dan Rekod, Kolej TESDEC, 21600 Marang, Terengganu atau telefon. 09-627 2222 atau melayari www.tesdec.edu.my.

 

Ucap selamat tinggal kepada Pas-MB

Oleh; Esah Abdullah



Setelah 32 tahun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah cengkaman Pas, saya harap masyarakat di sini perlu mengucapkan selamat tinggal kepada parti itu yang hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sudah sampai masanya penduduk Manir membuat perubahan dan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Dia perintah pun tak beri apa-apa kepada rakyat, pemimpin BN juga yang datang bantu orang sakit dan baiki rumah orang susah,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, sehingga ini sudah 347 unit rumah mampu milik dibina oleh kerajaan BN untuk masyarakat dalam kawasan ini. “Saya janji jika DUN Manir menang BN selepas PRU nanti, 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 20,000 hadirin yang membanjiri padang bola.

Tambahnya, tiga gelanggang futsal lagi akan dibina sebagai tambahan untuk golongan muda menjalan aktiviti masing-masing.

 “Saya harap rakyat memilih kerajaan BN untuk terus kekal memerintah negeri dan negara dan menikmati pembangunan yang dijanjikan,” katanya
 

Cukup sampai di sini saja sokong Pas

Oleh; Esah Abdullah

Jadikan lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kali ini sebagai satu ‘noktah’ untuk tidak lagi bersama parti Pas.



Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, tidak ada maknanya beri undi pada Pas kerana semua kebajikan untuk penduduk dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).


“Cukup, cukup sudah biar sampai di sini saja, masyarakat DUN Manir berubah dan beri sokong BN dalam Pilihan raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, pemimpin BN bersilih ganti datang ke Manir memberi bantuan serta bertanya khabar sambil menghulur bantuan kepada yang memerlukan.

“Wakil rakyat Pas ada, tapi tidak buat apa-apa selain dari berceramah dan menabur janji, sedangkan pahala kebajikan dibuat oleh pemimpin BN,” katanya.

Tambahnya, penduduk dalam DUN Manir perlu fikir nasib masa depan anak cucu mereka jika terus di bawah wakil rakyat yang tidak peka dengan pemasalahan rakyat.
 

TPM lulus peruntukan RM4.9 juta untuk DUN Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sempena lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, membawa ‘ole-ole’ berupa peruntukan sebanyak RM4.9 juta bagi membiayai projek pembangunan di kawasan berkenaan.



Daripada jumlah itu, RM2 juta akan digunakan bagi membaiki dan membaikpulih rumah penduduk di kawasan itu yang uzur. Manakala RM2.9 juta bakal digunakan bagi membiayai pelbagai projek kecil yang dirancang di kawasan berkenaan.


Dalam ucapannya di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata pihaknya prihatin dan komited dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan.

“Kita mahu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat daripada pelbagai kategori seperti petani, peniaga, pengusaha industri kecil dan sederhana serta kakitangan awam dan swasta,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membeza-bezakan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat di mana semua pemohon yang layak akan menerima habuan masing-masing.

Katanya, kerajaan memberi bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik kerana mereka semua adalah warga negara ini.

Beliau berharap rakyat di kawasan DUN Manir akan terus memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak program dan projek dapat dilaksanakan di kawasan itu.

 

Petanda awal BN bakal tawan Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kehadiran luar biasa di majlis Jamuan Rakyat 1 Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, sempena kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini, merupakan petanda awal Barisan Nasional (BN) menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, pada pilihan raya akan datang.


Dalam ucapannya, Timbalan Presiden Umno itu amat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai walaupun dalam keadaan lebat sejak awal pagi, menandakan rakyat tempatan mula beralih sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin kehadiran yang begitu ramai hari ini menandakan petanda awal ‘Gelombang Perubahan Ubah Manir’ akan dapat dicapai pada pilihan raya akan datang,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh lebih 20,000 orang yang hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerap datang ke negeri ini bagi melihat usaha-usaha dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat di negeri ini.

“Kita mahu memastikan program dan projek berkenaan dapat memberi faedah yang maksima kepada rakyat. Kita mahu negeri Terengganu berubah wajah menjadi negeri yang maju,” katanya.

Beliau berkata, hasil penelitiannya didapati pemimpin Umno dan BN di negeri ini komited dalam melaksanakan tugas mereka dan bekerja bersungguh-sungguh bagi membantu penduduk negeri ini.

Sikap cakna pemimpin Umno dorong ahli Pas masuk Umno

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sikap cakna pemimpin Umno yang tidak jemu-jemu menghulur bantuan dan menjenguk penyokong tegar Pas, Hassan Tahir, 67, dari Kampung Pulau Bahagia, Manir, yang terlantar sakit sejak empat tahun lalu, mendorong beliau dan seisi keluarga keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.


Hassan berikrar mulai saat ini, dia dan semua ahli keluarganya akan memberi sokongan padu kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan ia dapat menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.

Beliau menyifatkan dirinya amat bertuah kerana menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini.

“Hati saya amat tersentuh dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang sudi bertanya khabar saya dan keluarga.

"Sebelum ini tidak ada pemimpin Pas yang menjenguk dan bertanya khabar sejak saya terlantar sakit,” kata Hassan ketika ditemui selepas Tan Sri Muhyiddin menziarahinya di kediamannya di Kampung Pulau Bahagia.

Hassan berkata, dia merupakan penyokonng tegar Pas sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan menyertai pelbagai program dan ceramah yang dianjurkan parti tersebut.

“Saya sedar selama ini perjuangan saya dalam Pas sia-sia saja dan kebajikan saya tidak terjaga, terutama bila saya sakit.


Tidak ada pemimpin Pas yang datang dan beri bantuan. “Sebaliknya, pemimpin Umno pula yang mengambil berat soal kebajikan saya dan keluarga. Pak Yusof (Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam) sering datang melawat saya dan menghulurkan macam-macam bantuan,” katanya.

Sikap prihatin pemimpin Umno membuatkan Hassan terfikir berapa ruginya dia menyokong Pas, lalu membuat keputusan untuk menyokong Umno dan BN.

“Bila dapat tahu Timbalan Perdana Menteri akan melawat saya di rumah, saya rasa tersentuh lalu membuat keputusan untuk keluar Pas dan masuk Umno.

Saya minta isteri (Latifah Yusof, 66) dan semua lapan orang anak saya ikut jejak langkah saya,” katanya.

 Hassan kemudiannya menyerahkan borang keahlian Umno beliau, isteri dan semua anaknya kepada Tan Sri Muhyiddin sebelum Timbalan Perdana Menteri beredar dari rumahnya.

 





Gembira sertai program gemilang siswa

Oleh: Noraini Jusoh

Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) rata-rata memberikan maklumbalas positif mengenai Program Gemilang Siswa Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta yang telah diadakan di kolej tersebut baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama TESDEC berjaya mengumpulkan kira-kira 200 orang pelajar institut kemahiran terbabit dalam satu program yang banyak memberi pendedahan baru kepada mereka.


Seorang pelajar kolej tersebut yang ditemui Teganukita, Muhamad Ali Hashim,19, berkata, dia berasa bertuah dan sangat gembira kerana terpilih mengikuti program yang banyak memberi ilmu baru kepadanya.

"Banyak benda yang saya tidak pernah tahu sebelum ini dapat saya pelajari setelah mengikuti program ini,” ujarnya.

Menurut pelajar yang berasal dari Manir dan sedang mengikuti kursus Lukis Pelan Senibina itu lagi, selain dapat mempelajari banyak perkara menerusi aktiviti yang dijalankan, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara dia dan rakan-rakan yang lain.


Pelajar yang sedang mengikuti kursus Pembuat Pakaian Wanita, Noor Ain Mohd Nor, 18, pula berkata, menerusi aktiviti yang diadakan contohnya ceramah 1Malaysia secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada dia dan rakan-rakan bagaimana pentingnya menjaga perpaduan dan keharmonian kaum demi mengekalkan keamanan di negara ini.

"Saya berharap agar program sebegini akan diadakan lagi kerana dapat memberikan banyak kebaikan kepada saya dan rakan-rakan,” katanya.

Difahamkan, tujuan utama Program Gemilang Siswa diadakan adalah untuk mendekati dan memberi pemahaman secara lebih jelas kepada pelajar kolej terbabit berhubung dasar kerajaan, khususnya mengenai Gagasan 1Malaysia.

Perasmian penutup program tersebut telah disempurnakan Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI) JPNT, Encik Mustaffa Abdul Kadir yang mewakili Pengarah JPNT, Hajah Azizah Awang.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Che Razali Adis.