Halaman

25 December 2012

Sultan Terengganu melawat mangsa banjir di Besut


Sultan Mizan bersalaman dengan mangsa banjir di Kampung Bukit Rambutan,Jabi.

Oleh: Mohammad Ishak 

Suasana sedih yang menyelubungi mangsa banjir di daerah Besut bertukar kegembiraan apabila nasib malang mereka mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.yang berkenan melawat mangsa banjir.

Pusat Pemindahan Banjir Kampung Bukit Rambutan dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, menjadi lokasi kunjungan pertama Baginda Sultan melawat mangsa banjir di negeri ini tahun ini.

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Mizan diiringi Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said serta Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

ADUN Jabi,Ramlan Ali bersama pemimpin masyarakat menyambut rombongan Sultan dan Menteri Besar yang tiba kira-kira jam 6 petang tadi.

Penduduk dan mangsa banjir kelihatan gembira dan ceria apabila dikunjungi Baginda Sultan ketika mereka masih lagi tinggal di pusat pemindahan Kampung Bukir Rambutan.

Seramai 30 keluarga dari kampung berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan selepas hujan lebat dan air sungai berhampiran melimpah kira-kira jam 6 petang semalam.

Kehadiran Baginda Sultan yang ditunggu rakyat membangkitkan semangat kerana dapat bersua muka dan bersalaman dengan seorang Sultan yang berjiwa rakyat.

Sempena keberangkatan Sultan ke pusat itu, Baginda sempat menyampaikan sumbangan hamper dan makanan kepada mangsa banjir yang berpindah di situ.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, walaupun semua kakitangan pejabat bercuti sempena Krismas tetapi mereka tetap menjalankan tugas seperti biasa berikutan banjir yang melanda daerah itu sejak dua hari lalu.

Pengamal media digalak sertai koperasi, tambah sumber ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengamal media di negeri ini bukan sahaja digalakkan aktif berpersatuan, malah menyertai koperasi sebagai platform membantu menambah pendapatan di kalangan ahli yang dijana menerusi pelbagai sumber.



Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata walaupun terpaksa menunggu sehingga tempoh 30 tahun sejak Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) diwujudkan, penubuhan Koperasi Media Terengganu Berhad tetap relevan dan tepat dengan keperluan semasa yang menuntut kepada aktiviti yang dapat mencambah ekonomi.

“Kenapa lama sangat sampai 30 tahun baru dapat ditubuhkan koperasi (media) ini? Bagaimanapun, tidak mengapa koperasi ini akhirnya tetap menjadi kenyataan juga.

 “Saya berharap selain aktif berpersatuan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti, penubuhan koperasimen dapat mempelbagaikan sumber-sumber lain bagi membantu di kalangan ahli,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kawat 2012, di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat dan 81 ahli kelab berkenaan.

Dato’ Mohd Nasir berkata, kejayaan mewujudkan koperasi boleh dilihat dengan mengambil contoh kemajuan yang dikecapi negara Korea.

 “Kita lihat kepada negara yang hampir sama dengan negara kita. Contoh pada zaman 60-an dan 70-an negara Korea sama sahaja dengan Malaysia. Kalau main bola, dia menang, kita juga boleh menang.

“Bagaimanapun, pada zaman 80-an dengan anjakan kemajuan Korea Selatan berjaya menganjurkan Olimpik pada 1988. Akhirnya hari ini Korea sudah bergelar negara maju yang bermula dengan penubuhan koperasi sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu sepatutnya menjadi contoh dan amalan di kalangan kita demi kemajuan dan pembangunan yang dapat memberi manfaat berterusan kepada ahli.



Sementara itu, dalam pemilihan pucuk pimpinan exco Kawat bagi penggal 2012/2014, Encik Ayob mengekalkan jawatan presiden berikutan kerusi itu tidak dicabar calon lain dan beliau dipilih sebulat suara bagi mengetuai persatuan untuk lima penggal berturut-turut.

Manakala Timbalan Presiden juga kekal disandang Haji Redza Arshad yang juga dipilih sebulat suara tanpa bertanding.

Lapan Ahli Jawatankuasa Kawat bagi penggal yang baru adalah Aida Abd Rahman, Mohd Shuhaimi Ahmad, Baharom Bakar, Hashimah Mohd, Lew I-Ling, Mohd Ishak Ngah, Mohd Lazim Endut dan Suhaila Mohd Daud.

Manakala Nurul Huda Hussin dan Manirah Othman dipilih sebagai pemeriksa kira-kira.

 



Umno desak Amanat Hadi ditarikbalik

Badan Perhubungan Umno Terengganu mendesak pucuk pimpinan Pas, khususnya Presiden parti itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bertindak segera menarik balik Amanat Haji Hadi, bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya kesal dengan sikap Abdul Hadi dan pemimpin Pas lain yang tidak mengendahkan gesaan pelbagai pihak terhadap mereka supaya berbuat demikian.

Sebelum ini pelbagai pihak, teramsuk beberapa mufti mendesak Pas supaya menarik balik amanat yang dibuat di Banggol Peradong pada 1981, demi kebaikan semua pihak.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, beberapa langkah akan turut dilakukan selagi Abdul Hadi masih berdiam diri termasuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat tersebut.

“Kita juga akan menggerakkan seluruh Umno Bahagian dan Cawangan Negeri Terengganu agar menjelaskan perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini,” katanya.

 Dalam masa sama katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Umno Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanat terbabit.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan turut menerbitkan bahan bacaan dan tontonan berhubung kenapa Amanat Haji Hadi itu dianggap sesat dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain.

Menyentuh perkara sama, pihaknya turut menyatakan sokongan terhadap usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecahbelahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dengan membuat penjelasan wajar.

 “Kita berharap melalui ‘berperang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat ini sehingga ia ditarik balik adalah suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Kita menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak amanat ini dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya.

Perjuangan berterusan demi Agama, Bangsa dan Tanah air

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Biro Penerangan UMNO Bahagian Hulu Terengganu akan menggerakkan Ceramah Gerak Tumpu bermula 21hb Disember di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, diikuti dengan 23hb di DUN Kuala Berang,,Manir dan Ajil yang memfokuskan kepada kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Program yang akan diadakan di DUN berkenaan akan menumpukan kepada gerak kerja PRU-13, pastinya akan ada amanat daripada pimpinan Umno untuk kemenangan dan aturcara program itu akan disusuli ceramah yang menjurus kepada memperkemas jentera parti daripada peringkat akar umbi.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Marzuki Ibrahim berkata, program yang digerakkan itu akan memberi penjelasan tentang isu-isu semasa politik pada hari ini.

Menurutnya, isu-isu yang dibangkitkan nanti akan diberi penjelasan lebih mendalam kepada akar umbi supaya kefahaman rakyat lebih baik dan mereka tahu kedudukan sebenar dalam isu yang dicanangkan pembangkang.

"Bagi menjayakan program itu nanti, biro penerangan menjemput semua hadirin untuk hadir di lokasi ceramah yang terpilih di Pusat Daerah Mengundi ( PDM ) mendengar dan memahami segala isu yang akan dikupas oleh penceramah hebat," katanya ketika ditemui Teganukita, hari ini.


Karnival Mesra Belia Parlimen Marang

Oleh :Amirullah Othman

Karnival Mesra Belia Peringkat Parlimen Marang yang diilhamkan Yaaysan Pembangunan Keluarga negeri Terengganu, diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Marang di Kampung Laut dan Kampung Belukar Jambu, semalam.

Karnival yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar kawasan itu merangkumi banyak acara antaranya kejohanan Futsal 3 on 3, dam aji, auto show motosikal klasik dan cantik serta persembahan muzikal pada sebelah malamnya.

Kejohanan futsal 3 on 3 membabitkan 58 pasukan seluruh Parlimen Marang telah dijalankan di Padang bola Kampung Laut bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Pasukan Atas Tol muncul juara manakala naib johan Kampung Laut dan Kampung Binjai Rendah meraih tempat ketiga.

Persembahan auto show motosikal klasik dan cantik atau retro di perkarangan Dewan Sivik Kampung Laut telah menarik perhatian orang ramai kerana keunikan dan persembahan yang dipamerkan oleh peserta sangat mengkagumkan.

Pertandingan dam aji turut menarik minat penduduk sekitarnya yang diadili oleh Persatuan Dam Aji Negeri Terengganu yang bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Para penonton dari pelbagai peringkat umur penuh membanjiri kawasan pertandingan dam aji di Balai Raya Kampung Belukar Jambu. Kemuncak karnival itu ialah pada sebelah malamnya apabila terdapat persembahan dari dua band anak muda negeri Terengganu yang di namakan “Herow” dan “Kayangan” dengan persembahan yang memukau penonton.

Pada malamnya turut diadakan pertandingan nyanyian yang diringi dengan band di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga. Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, yang juga Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, amat berpuas hati dengan program yang dijalankan dan sambutan menggalakkan dari orang ramai.

Beliau yakin dengan kesungguhan ini, apa jua bentuk program dapat dijalankan di DUN berkenaan dan beliau amat mengharapkan kepada semua hadirin supaya selalu bersyukur kepada Alalh atas kesenangan yang kita nikmati pada hari ini dan berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional atas bantuan yang tidak putus-putus kepada penduduk kawasan itu.

Dua kawasan perumahan dilanda banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Beberapa penduduk dari taman perumahan Taman Desa Darul Iman dan Taman Seri Tanjung, Kuala Terengganu sedih apabila tidak sempat menyelamatkan harta benda setelah rumah mereka dinaiki air.



Hujan sejak beberapa hari yang lalu mengakibatkan kenaikan paras air di kawasan berkenaan dan melimpah masuk ke dalam rumah sehingga ke paras betis.

Ketika kejadian, kebanyakan penduduk yang rata-rata kakitangan kerajaan dan swasta tiada di rumah kerana belum pulang dari tempat kerja.

Justeru, ada di kalangan mereka yang yang tidak sempat menyelamatkan barangan seperti peralatan elektrik, perabot serta barangan berharga yang lain.


Penduduk, Noriati Muda, 60, berkata, dia sangat takut apabila rumahnya turut dinaiki air.

"Saya sangat takut apabila air mula sampai ke betis dan mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir yang disediakan.

"Saya tidak pasti samaada barangan elektrik seperti peti sejuk masih boleh digunakan atau tidak kerana barangan tersebut tidak sempat diselamatkan semasa air mula memasuki ruangan dapur,” katanya ketika ditemui Teganukita di pusat pemindahan banjir di SK Tanjung Gelam, semalam.

Katanya, walaupun perasaan takut masih menyelubungi dirinya, dia bersyukur kerana ramai pihak yang menghulurkan bantuan ketika berada di pusat pemindahan banjir tersebut.


Penduduk, Muhamad Nor Azhari Mohamad, 26, pula berkata, dia terkejut apabila air mula naik mendadak sehingga memenuhi ruang tamu rumahnya.

"Air terlalu cepat naik dan saya hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan sahaja.

"Kami sekeluarga menjalankan perkhidmatan penyediaaan makanan atau katering dan banyak barangan seperti periuk elektrik rosak,” ujarnya.

Tambahnya, dia dan isteri tidak menyangka tahun ini banjir begitu teruk melanda kawasan kediaman mereka yang menyebabkan terpaksa menanggung kerugian akibat banyak barangan katering rosak.

Difahamkan, seramai 91 orang mangsa banjir daripada 25 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir SK Tanjung Gelam sejak dua hari yang lalu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut meluangkan masa melawat mangsa banjir di sekolah tersebut.

 





24 December 2012

Pemimpin BN Marang lawat mangsa banjir

Oleh : Amirullah Othman

Hujan yang turun mencurah-curah tanpa henti di bumi Marang sejak semalam menyebabkan 113 orang dari Kampung Seberang Marang, Rhu Muda, Gong Merawang dan Kelulut dari DUN Rhu Rendang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing manakala 51 orang dari DUN Bukit Payong dipindahkan di Sekolah Menengah Sri Payong hari ini.

Sehubungan dengan itu, situasi ini telah mengundang rasa prihatin yang tinggi di kalangan pimpinan Barisan Nasional Marang untuk melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir seperti makanan dan kelengkapan lain.

Y.B. Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang telah melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing dan Sekolah Menengah Seri Payong untuk bertanya khabar mangsa banjir sendiri bagi melihat kekurangan yang dihadapi untuk dibantu dari semasa ke semasa.

Komitmen dan bantuan dari jabatan-jabatan kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan, RELA, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang, Pejabat Daerah Marang, Majlis Daerah Marang, serta pemimpin-pemimpin JKKK setempat telah menghilangkan sedikit sebanyak keresahan mangsa-mangsa banjir.

Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Encik Zaidi Muda juga turut meluangkan masa melawat kawasan masing-masing supaya bantuan dapat diberikan dengan lancar. Makan-minum mangsa banjir dimasak oleh tukang masak yang dilantik khas oleh jawatankuasa banjir peringkat daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Marang.

 

MB turun padang lawat mangsa banjir di SK Tanjung Gelam

Oleh: Noraini Jusoh

Walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pagi tadi sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara bertempat di S.K.Tanjung Gelam, Kuala Terengganu.



Dalam lawatan singkat sebelum meneruskan perjalanan untuk melawat mangsa banjir di daerah Setiu, Menteri Besar yang diiringi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh turut bertanya khabar dan beramah mesra dengan mangsa banjir yang dipindahkan ke sekolah terbabit sejak petang semalam.



Sebelum itu, beliau turut meninjau bilik darjah sekolah tersebut yang dijadikan tempat berteduh sementara oleh mangsa banjir di mana mereka begitu terharu diatas kesudian Menteri Besar turun padang datang melawat walaupun dalam keadaan hujan lebat.


Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Gelam, Rosli Mohamad berkata, seramai 91 orang daripada 25 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan terbabit bermula kira-kira jam 5 petang semalam.

"Mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah ini melibatkan penduduk dari dua buah taman perumahan iaitu Taman Desa Darul Iman dan Taman Seri Tanjung,” ujarnya ketika ditemui Teganukita di pusat pemindahan banjir tersebut, hari ini.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air disebabkan sistem perparitan yang kurang baik, rumah dibina di kawasan rendah serta fenomena ombak besar yang menyebabkan air pasang berikutan kawasan tersebut berdekatan dengan pantai.



Dalam pada itu, rata-rata mangsa banjir melahirkan rasa bersyukur kerana agensi kerajaan contohnya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cepat bertindak dengan menghulurkan bantuan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, biskut serta selimut dan tikar untuk kegunaan mereka ketika berada di pusat pemindahan tersebut.

 





Seramai 707 orang mangsa banjir berada di pusat perpindahan

Oleh: Suriati Ali



Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dan setakat pukul 2.00 petang ini sebanyak 707 orang berada di pusat pemindahan berbanding 144 mangsa petang semalam.

Semua mangsa ditempatkan di 18 Pusat Permindahan Banjir (PPB) yang dibuka sejak petang semalam. Menurut portal banjir kerajaan negeri, PPB Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 101 orang membabitkan 26 keluarga.

Manakala PPB SK Anak Ikan, Besut mencatatkan 94 mangsa daripada jumlah 25 keluarga, diikuti PPB SK Tanjung Gelam, Kuala Terengganu (91 mangsa-25 keluarga); PPB Dewan Sivik Seberang Pintasan Dungun (51 mangsa-11 keluarga) dan SK Pulau Serai, Dungun 49 mangsa-11 keluarga).

Sebanyak 10 lokasi dilaporkan banjir membabitkan enam daerah di Terengganu kecuali Kemaman. Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawasi anak-anak kecil agar tidak menjadi mangsa banjir.

“Selain itu, apabila diminta berpindah sementara ke pusat pemindahan yang disediakan, kepada pesakit kronik diingatkan supaya pastikan buku rekod perubatan dan ubat dibawa bersama manakala para ibu yang mengandung pula perlu pastikan keperluan peribadi dan bayi ada bersama mereka,” katanya.

 


Menteri Besar ingatkan penduduk siap sedia jika berlaku banjir

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyapa seorang kanak-kanak ketika membuat lawatan ke penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Jabi, hari ini.

Teks dan gambar oleh Mohammad Ishak

Penduduk negeri ini terutama yang tinggal di persisiran pantai diminta bersiap sedia kerana kemungkinan berlakunya banjir besar pada 25 dan 26 Disember berikutan ombak besar berlaku disebabkan air pasang dijangka berlaku pada tarikh berkenaan.

Menteri Besar,Dato' Seri Ahmad Said berkata, jika air pasang dan hujuan masih berterusan dikhuatiri banjir besar akan melanda di beberapa kawasan rendah negeri ini kerana pertembungan kejadian itu.

Katanya, ketika ini tiga daerah iaitu Dungun, Setiu dan Besut sudah mula dilanda banjir sejak malam semalam menyebabkan mereka yang terbabit kini dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan semua agensi terbabit mengambil tindakan segera menyelamatkan mangsa yang terbabit dengan banjir bagi mempastikan tidak ada nyawa yang terkorban.


“Masalah logistik dan keperluan lain termasuk bekalan makanan, selimut, perubatan, pusat pemindahan dan bot sudah lama disediakan pihak terbabit,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Jabi, dekat sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiu,Dato' Mohd Jidin Shafie, ADUN Jabi, Ramlan Ali,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan pegawai kanan jabatan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan sudah membuat persiapan yang cukup rapi untuk menghadpi bencana itu dan orang ramai perlu mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Menteri Besar berkata,kerajaan negeri juga sudah menyediakan peruntukkan khas bagi membina rumah baru jika mendapati mangsa banjir kehilangan tempat tinggal dalam bencana berkenaan.

Malah,katanya, kerosakan kemudahan awam terutama jalan raya juga akan diberi perhatian serius untuk memaikinya jika didapi rosak dan musnah dalam kejadian banjir tahun ini.