Halaman

08 March 2013

Remaja disaran aktif dalam kokurikolum

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Negeri sedia membantu dan menggalakkan persatuan beruniform dan belia di negeri ini yang berminat untuk mengadakan program termasuk kepada pihak sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kebiasaanya belia dan pelajar yang tidak terlibat dengan aktiviti kokurikulum dan juga unit-unit kesukarelawan mudah terjebak masalah sosial.

“Golongan remaja dan belia disaran melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan kesukanan yang secara tidak langsung mampu menerapkan nilai-nilai murni yang boleh membentuk jati diri mereka menjadi insan hebat.

“Bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu, kita bercadang memberi bantuan termasuk kewangn kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk disalurkan kepada sekolah bagi menjalankan aktiviti terutama kepada persatuan-persatuan beruniform yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Perkhemahan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) Peringkat Negeri di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu.

Menurutnya,kerajaan juga sentiasa memberi kerjasama dengan memberi bantuan dari segi kewangan dan menyediakan kemudahan kepada kepada unit-unit yang ingin mengadakan program.

"Keutamaan diberi kepada pelajar sekolah menengah dan belia kerana peringkat usia begitu mereka mudah menerima apa yang disampaikan," katanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mula menular di Terengganu dengan menggunakan media sosial.

Namun ia masih terkawal melalui pemantauan yang dibuat serta mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kempen-kempen di sekolah agar tidak menyulitkan kerajaan hari ini.

 

KARISMA @Hati Rakyat Bantu Rakyat Miskin

Oleh: Mastura Jamaluddin

Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA @Hati Rakyat) yang merupakan satu inisiatif terbaru bagi membantu rakyat berpendapatan rendah, miskin dan tidak bernasib baik diperingkat akar umbi telah di lancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.

 Melalui program ini, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk diagihkan kepada 200,000 penerima diseluruh negara.

Penerima-penerima terbabit akan menerima baucer berjumlah RM200 bagi di Semenanjung dan RM300 di Sabah dan Sarawak secara one-off.

Baucer ini boleh digunakan bagi penebusan barangan keperluan rumah, kelengkapan sekolah, barangan dapur dan memasak dari kedai-kedai terpilih di seluruh negara.

Peruntukan RM50 juta ini adalah susulan daripada Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan akan diselaraskan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Yayasan Kebajikan Negara.

Di Parlimen Hulu Terengganu,pembahagian ini di pecahkan mengikut dewan undangan negeri( dun) dan akan di sampaikan oleh wakil rakyat masing-masing.

Menurut Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga(MPWK) Parlimen Hulu Terengganu ,Datuk Hajah Fatimah binti Hamat,program ini di khususkan kepada mereka yang tidak pernah menerima mana-mana bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau MAIDAM.

 “Untuk program Karisma @Hati Rakyat,kita perlu ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah memberi kecaknaan yang begitu hebat kepada rakyat Malaysia.Kita juga harus bersyukur kerana sebagai rakyat Terengganu,kita paling banyak menerima dana atau sumbangan berbanding negeri lain….dan hanya satu kebenaran yang kita tidak dapat nafikan iaitu semuanya kerana Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah. “Oleh sebab itu,saya menyeru tanpa was-was,berikanlah sokongan kepada kerajaan yang sedia ada kerana Barisan Nasional merupakan kerajaan terbaik apabila di berikan amanah untuk mentadbir Negara”

Nelayan Marang dapat elaun sara hidup.



Oleh :Amirullah Othman 

Seramai 604 orang nelayan dalam Parlimen Marang mendapat elaun sara hidup daripada kerajaan Barisan Nasional sebanyak RM200 seorang di Dewan Pusat Sumber Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Program ini dirasmikan oleh YB. Dato’HajiYahya Khatib Mohamad, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Marang merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Turut hadir dalam program ini adalah YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman, Bakar Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Pengarah LKIM Negeri Terengganu, Encik Wei Fu Kui Pengurus AmBank (M) Berhad Kawasan Terengganu dan Kelantan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Dato’ Yahya Khatib dalam ucapannya berharap warga nelayan memberi sokongan secara berterusan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau berharap lebih banyak lagi bantuan akan diberikan oleh kerajaan apabila mandat diberikan kepada Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti.

Beliau juga berharap tidak akan berlaku kekacauan dan pergaduhan dalam PRU 13 akan datang dan berikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

Konvensyen Kelab Doktor Muda 16 Mac

Oleh: Noraini Jusoh 

Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu akan mengadakan Konvensyen Kelab Doktor Muda di Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato’ Razali Ismail, pada 16 Mac ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Balkis Ab. Karim berkata, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian penutup konvensyen peringkat daerah Kuala Terengganu itu.

"Kelab Doktor Muda merupakan sebuah kelab yang dijalankan di sekolah rendah.

"Ahli Kelab merupakan ejen (promoter) kesihatan di sekolah dalam menyampaikan maklumat dan kemahiran berkaitan kesihatan dan kebersihan,” ujarnya.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya pertandingan bercerita dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pertandingan melukis poster, kuiz kesihatan, serta persembahan bakat / sketsa.

Tambah beliau, Anugerah Sekolah Doktor Muda Cemerlang dan Anugerah Guru Penasihat turut diadakan sebagai penghargaan kepada pelajar dan guru yang bakal menerima anugerah tersebut.

 

Gua Bewah, kaya dengan sejarah

Oleh: Suriati Ali 

 Gua Bewah yang terletak 578 meter dari aras laut di Tasik Kenyik, Hulu Terengganu, cukup dikenali sebagai gua batu kapur yang mempunyai bentuk dan formasi stalaktit dan stalagmit yang unik seperti bentuk burung unta dan lembaga manusia yang sedang sujud.

 Namun, di sebalik keistimewaan itu, tersingkap sejarah bahawa Gua Bewah adalah penempatan manusia di zaman Mesolitik dan Neolitik. Menurut sumber masyarakat terdahulu, nama Gua Bewah dipercayai berdasarkan kedudukannya yang berdekatan dengan Bukit Bewah.

 Sekumpulan penyelidik arkeologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja penggalian November 2010, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Sebelum ini, Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu dilaporkan pernah melakukan kerja penggalian pada Julai 1976 dan antara artifak yang ditemui ketika itu termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang siput sedut.

 Pengunjung yang berminat untuk menikmati keindahan gua ini, perlu mendaki 240 anak tangga untuk ke pintu gua sebelum dapat merasai suasana udara sejuk di dalam gua selain melihat pokok keladi besar dan cili padi hidup subur di hadapan pintu gua berkenaan.

 Gua Bewah juga dilengkapi dengan sistem solar untuk menyalurkan kuasa elektrik bagi pencahayaan lampu di dalam gua berkenaan bagi kemudahan pengunjung yang berkunjung ke situ.

 Di samping itu, kerajaan negeri membina laluan untuk memudahkan pergerakan pengunjung dan pengunjung juga boleh membawa lampu suluh kerana tidak semua kawasan di dalam gua berkenaan dilengkapi dengan lampu.

 Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke gua berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.

 Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.

 Bagi pakej dua hari satu malam, bayaran yang dikenakan oleh perkhidmatan itu ialah RM280 dan pakej tiga hari dua malam, RM470 dikenakan manakala RM188 akan dikenakan sekiranya pengunjung menambah sehari bermalam.

 Bahtera Petang Houseboat mempunyai dua bilik di mana satu bilik mempunyai dua katil bujang manakala sebuah bilik lagi mempunyai dua buah katil bertingkat dan lebihan enam penumpang lagi, mereka akan diberi kelengkapan tidur untuk tidur lobi rumah bot.

 Pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan rumah bot melalui Jeti Jenagor atau Pangkalan Gawi.

 

07 March 2013

PMINT Square ubah lanskap pembangunan Kuala Terengganu

Dato' Osman Muda (kanan) menerangkan sesuatu kepada Dato' Haji Ahmad Said mengenai PB Sentral yang bakal didirikan di bandar Kuala Terengganu. Turut hadir Dato' Haji Mazlan Ngah.

Oleh: Aida Abd Rahman

Bandar Raya Kuala Terengganu akan berubah wajah dalam tempoh lima tahun lagi apabila PMINT Square, yang melibatkan enam komponen bangunan pusat komersial, ruang pejabat serta hotel, bakal dibangunkan di kawasan Paya Bunga, tidak lama lagi.

Komponen bangunan seperti Menara PMINT, Wisma PMINT, PB Sentral, Plaza Paya Bunga dan PB Square yang dihubungkan menggunakan jejantas pejalan kaki bakal menjadi mercu tanda baru Terengganu yang merubah lanskap pembangunan Kuala Terengganu khasnya dan Terengganu, amnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata PB Sentral merupakan satu komponen yang terdapat dalam PMINT Square yang mula dibangunkan sejak bulan lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

 “Enam komponen bangunan itu termasuk PB Square yang melibatkan hotel dan ruang pejabat (sedang dibangunkan), selain PB Sentral dan satu lagi projek baru akan dibangunkan di tapak stesen bas lama dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Semua kawasan pembangunan ini dinamakan sebagai PMINT Square dan komponen bangunan berkenaan bakal dihubungkan dengan jejantas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah PB Sentral, di Jalan Engku Embong Fatimah, hari ini.

 Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Osman Muda.

 PB Sentral sempena nama kawasan `Paya Bunga’ sebagai kesinambungan pembangunan projek PB Square (bersebelahan PB Sentral) yang sudah 82 peratus siap dan Plaza Paya Bunga yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya Jun ini, selepas terbengkalai agak lama.

Menteri Besar berkata, PB Sentral yang bernilai RM90 juta setinggi sembilan tingkat akan dilengkapi 679 lot parkir (tingkat satu hingga enam), 10 panggung cineplex (tingkat tujuh hingga lapan) serta pusat boling (36 lorong) di tingkat sembilan.

 “Kita berharap dalam tempoh lima tahun akan datang Terengganu akan berubah wajah kerana selain Menara PMINT di tapak stesen bas lama, satu syarikat swasta juga akan bangunkan hotel 23 tingkat di tapak Panggung Rex (bersebelahan Hentian Bas MBKT).

 “Manakala di Ladang Tok Pelam kita sedang bangunkan premis 31 tingkat, di mana sekarang sudah siap hampir 19 tingkat dan dua tiga bulan lagi akan siap lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga merancang membangunkan pusat perniagaan baru dikenali sebagai `Life Style Mega Mall’ di kawasan seluas satu juta kaki persegi di Kampung Tanjung yang dilengkapi dengan kompleks membeli-belah, panggung wayang, pusat boling dan juga apartment.

Selain itu, tender pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu setinggi 23 tingkat bernilai RM80 juta di Kampung Tanjung juga sudah ditutup dan kerja pembinaan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

 "Kita merancang pada masa depan untuk membina satu lagi apartment 31 tingkat di Kampung Tanjung sama seperti reka bentuk apartment di Ladang Tok Pelam, bagi mengekalkan penduduk yang terlibat dengan kawasan pengambilan balik tanah di situ.

"Di samping itu, kita juga akan membina pasar baru Pasar Kedai Payang setinggi empat tingkat yang lebih moden, ada penghawa dingin, eskalotor dan jejambat yang menghubungkan Bazaar Warisan, selain hotel lima bintang 23 tingkat dan apartment 30 tingkat,” katanya.

 Katanya, Menara bangunan Yayasan Islam Terengganu juga akan dibangunkan membabitkan kos RM20 juta bersebalahan bangunan Wisma Darul Iman yang kini sedang dalam peringkat kerja membersih tapak bangunan.

 

Kerajaan negeri optimis bantu ‘mat motor’

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri optimis membantu anak muda negeri ini terutamanya ‘mat motor’ dengan menggalakkan mereka mengusahakan bengkel motosikal.


Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, selaras dengan hasrat tersebut program T-Bikers Shop dilancarkan sebagai memenuhi janji dan tanggungjawab kerajaan negeri kepada anak muda.

"Program T-Bikers Shop adalah satu program transformasi yang merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Koperasi Belia 1Malaysia Berhad (KOB1M).

"Ia akan menaik taraf dan menjenama semula bengkel motosikal yang menyertai program ini,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan kedai T-Bikers Shop di Lan Jawa Motor, semalam.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato' Wan Hisham Wan Salleh; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki serta Jaguh Moto GP Negara, Zulfahmi Khairudin.

Menurut YB Rozi, bengkel Lan Jawa Motor milik pemuda yang bernama Azlan Abdul Rahman, 37, merupakan bengkel pertama yang menjadi perintis kepada program ini di Terengganu.

"Kita berhasrat untuk membuka T-Bikers Shop di setiap daerah dan usaha ke arah itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

"Sebagai usaha membantu anak muda menceburi bidang ini dan mengembangkan perniagaan mereka, kerajaan pusat melalui KOB1M memperuntukkan RM100,000 dan kerajaan negeri sebanyak RM50,000 untuk memberi bantuan kepada setiap bengkel yang menyertai program ini,” katanya.

Katanya, apabila menyertai program T-Bikers Shop pemilik bengkel akan mendapat banyak faedah antaranya dapat mempelajari kaedah pengurusan perniagaan terkini, memperoleh kemahiran baru, serta cara mengembangkan perniagaan dengan di bantu oleh pakar-pakar terlatih.

 


15 atlet berbasikal terpilih sertai ACC di India

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 15 orang atlet anak Terengganu telah terpilih mewakili negara ke Kejohanan Berbasikal Asia Ke 33 (ACC) dan Kejohanan Berbasikal Junior Ke-20 (AJCC) yang berlangsung di New Delhi, India bermula 5 hingga 17 Mac depan.

Menteri Besar ditemani SUK Terengganu sedang meneliti nama-nama atlet anak Terengganu yang terpilih mewakili negara ke Kejohanan Berbasikal Asia ke 33 di India.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, seramai 36 orang atlet berbasikal kebangsaan yang menyertai kejohanan tersebut, 15 orang adalah dari negeri ini.

“Daripada 36 orang yang mewakili negara, 15 orang atau separuh daripadanya merupakan atlet kita,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pasukan negara akan berentap bersama 40 buah negara seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam ACC Ke-33 dan AJCC Ke-20 dan akan berakhir 17 Mac depan di New Delhi, India.

Pasukan lelaki elit dibarisi Mohd Azizul Hasni Awang, Sofian Nabil Omar Bakri dan Amir Mustafa Rosli manakala Mohd Harrif Salleh dan Mohd Zamri Salleh dari TSG.

Wanita elit pula terdiri daripada Fatehah Mustafa dan Ummi Hamimah Mohamad dan Nuru Suhada Zainal merupakan atlet yang dilahirkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.

Manakala pasukan junior dibarisi Mohd Afiq Othman, Irwandie Lakasek, Asyraf Naim Ying. Badrul Hakimi Hamid dan Abdul Aziz Mohd Zahit kelima-lima mereka ini juga lahir dari Sukma.

Selain itu dua atlet mewakili pasukan bawah 23 tahun ialah Mohd Adiq Husainie Othman dan Yusrizal Usof.

“Kita berharap atlet kita mampu mengharumkan nama negara dengan memberi tentangan hebat kepada atlet dari negara-negara yang bertanding dalam kejohanan itu,” katanya.

 

90 mangsa banjir Kampung La dapat bantuan Ahli Parlimen Besut


Datuk Seri Dr Abdullah menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir Kampung La.

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 90 penduduk Kampung La, Hulu Besut yang terbabit dalam kejadian banjir gelombang ketiga menerima bantuan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Besut semalam.

Majlis penyampaian bantuan berupa makanan dan wang tunai yang diadakan di Masjid Kampung La, dekat sini disampaikan Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri.

Penduduk Kampung La adalah yang terjejas teruk dalam kejadian banjir gelombang ketiga akhir Februari lalu menyebabkan tiga rumah milik penduduk musnah dihanyutkan bajir.

Abdullah berkata, pihaknya sedang berusaha dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk kampung itu kerana terpaksa berpindah tiga kali dalam tempoh dua bulan akibat banjir.

Sementara itu, Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad yang hadir sama pada majlis itu berkata, kerajaan negeri mengenal pasti satu kawasan baru bagi penempatan penduduk Kampung La yang sering dilanda banjir.

Katanya, sebelum ini ramai penduduk kampung itu sudah mendapat rumah di bawah projek rumah mesra rakyat untuk dijadikan tempat pemindahan banjir.

Menurutnya, semua penduduk kampung itu yang tidak mempunyai tanah dan terbabit dalam banjir akan diberikan tapak perumahan di satu kawasan tidak jauh dari kampung berkenaan.

Mengenai bantuan kepada tiga mangsa yang kehilangan rumah selepas dihanyutkan banjir Nawi berkata, mereka akan diberi bantuan RM`10,000 bagi membaiki rumah yang rosak.

Nawi berkata, beliau akan menggunakan sebahagian daripada RM1 juta yang diperuntukan kerajaan negeri kepada ADUN negeri ini untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah di kampung itu.

Hantar atlet Maksak mengerjakan umrah

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri akan menghantar atlet Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) mengerjakan umrah jika terus tampil cemerlang pada kejohanan akan datang.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, langkah itu mendorong penjawat awam menzahirkan semangat dan kerjasama dalam memartabatkan sukan supaya ianya diktiraf sebagai elemen penting dalam arus pembangunan di dalam perkhidmatan awam dan negara.

 “Sihat dari segi mental dan fizikal, sejajar dengan usaha kerajaan melahirkan anggota penjawat yang berdisplin, komited kepada kerja serta budaya saing bagi memberi perkhimatan yang cemerlang, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugeraha dan Jamuan Makan Malam Terengganu 2013, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajjah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Hai Mazlan Ngah; Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, Dato’ Noorbahri Baharuddin dan Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Abdl Razak Ismail.

Penjawat awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Syed Ali Syed Akil, yang pernah menjadi johan Shooting dalam pertandingan Petanque MAKSAK 2012 dianugerahkan sebagai olahragawan.

 Manakala Puan Suhaida Zukifli, 30, pula dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dinobatkan sebagai Olahragawati. Percapaian tertinggi beliau, menjadi johan dalam Pertandingan Boling Padang pada kejohanan sama.

Anugerah yang disampaikan Menteri Besar itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM500 beserta sijil dan pingat..

Katanya, Maksak memainkan peranan penting dalam menganjur program bagi membolehkan ahli-ahli gabungan mangasah dan memperkembangkan bakat mereka serta bergiat cerdas dalam pelbagai bidang sukan

.