Halaman

12 April 2013

Terengganu negeri kebajikan

Banyaknya projek dan program yang dilaksanakan Kerajaan BN Terengganu

Kelas Maya

Kerajaan Terengganu akan memastikan kesemua kira-kira 700 sekolah rendah dan menengah di negeri ini melaksanakan kelas maya dalam tempoh lima tahun akan datang dengan sekurang-kurangnya satu kelas maya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebanyak RM1 juta disediakan setiap tahun kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Pegawai Pembangunan DUN melibatkan RM500,000 bagi Bantuan Am yang boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti skrin sesentuh dan monitor.

E-book

Sehingga ini, kira-kira 114,000 murid sekolah rendah di seluruh negeri telah diberi e-Book melibatkan perbelanjaan RM114 juta sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.

Kerajaan negeri membuat pelaburan yang besar pada setiap tahun bagi membiayai bidang pendidikan, termasuk membeli e-Book bagi kegunaan murid-murid dari Tahun Empat hingga Tahun Enam di semua sekolah rendah.

Bantuan Persekolah/pakaian sekolah Kerajaan negeri meneruskan pemberian bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan RM150 untuk sekolah menengah. Sejak tahun 2008 hingga 2012 sejumlah peruntukan melebihi RM50 juta telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut untuk manfaat kira-kira lebih 500,000 pelajar.

 

11 April 2013

5 Mei mungkin cuti umum di Terengganu

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri akan menimbang untuk membenarkan cuti umum pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) pada 5 Mei depan, bagi membolehkan penduduk Terengganu menunaikan tanggungjawab mereka.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan khas berkaitan perkara itu mengikut peraturan yang ditetapkan.

 “Kita belum memutuskan lagi sama ada ia cuti atau tidak, apabila tiba masa nanti akan diberitahu, “ katanya.



 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Ke-40, di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud; Mantan Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengumumkan senarai calon untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini selepas mendapat watikah dari Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

 “Kita tidak mahu melengah-lengahkan perkara ini, sebaik saja dapat kebenaran dan watikah dari pucuk pimpinan, sehari selepas itu, kita akan umumkan calon-calon berkaitan,” katanya.

 Dalam perkembangan lain, beliau juga berkata manifesto BN Terengganu yang bakal diumumkan nanti ada sedikit tambahan berbanding manifesto BN Pusat.

 “Apa yang pasti, ianya bukan janji kosong atau janji tidak logic seperti apa yang dumumkan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.



 Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad bersama rombongan sempat meluangkan masa melawat gerai-gerai pameran yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

 Pelbagai aktiviti diadakan sempena majlis sambutan yang diadakan selama tiga hari dan berakhir 13 April itu, termasuk pertandingan memasak, peraduan kuiz, demontrasi produk usahawan, pertandingan sukan rakyat dan seminar kerjaya.

 






Janji Pas bagai racun

Oleh; Esah Abdullah

Jangan termakan janji yang ditabur pemimpin Pas yang hanya kelihatan manis diluaran tetapi hakikat sebenarnya ia racun yang telah memusnahkan ikatan perpaduan dalam masyarakat.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Noh berkata, sudah banyak bukti angkara Pas, masyarakat berpecah belah dan jiran tidak bertegur sapa.

“Malah ada suami sanggup memberi talak kepada isteri dan abang tidak mengaku adik dan menularnya sikap pelik ini datangnya dari ketaksuban terhadap pemimpin pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, masyarakat jangan tertipu lagi kerana apa yang dicanangkan pemimpin pembangkang itu tidak lebih daripada usaha membeli undi.

Katanya, mereka tidak pernah bersedia untuk perhambakan diri membantu rakyat yang susah tetapi mengejar cita-cita peribadi untuk menjadi ‘yang berhormat’.

Tambahnya, rakyat perlu bersyukur dengan limpahan nikmat yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mencurahkan pelbagai bantuan bermula dari dalam perut ibu hingga ke liang lahat.

 “Bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan rakyat mendapatkan kehidupan yang selesa,” katanya.

Beliau kemudiannya mengajak semua rakyat beri undi kepada BN dalam pilihan raya nanti serta sokong siapa saja calon yang dipilih pucuk pimpinan parti untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Adun Pas hanya tahu hadiri majlis keraian

Oleh: Aida Abd Rahman 

Peranan utama wakil rakyat Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam tidak lebih dari menghadiri majlis keraian yang melibatkan tetamu yang ramai di kawasan pimpinannya itu sejak 30 tahun lalu.

Jika tidak berkunjung sendiri atas pelbagai faktor termasuk berada di luar Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbabit, Haji Abdul Wahid Endut memilih mewakilkan urusan itu kepada isteri beliau, termasuk melawat kematian yang mungkin sampai ke pengetahuannya.

“Wakil Rakyat Pas yang dipilih majoriti rakyat di kawasan ini atas tiket Adun dan Ahli Parlimen hanya menjalankan tanggungjawab yang tidak seberapa itu. Oleh itu, kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab harus memikul amanah `menggantikan’ peranannya untuk menyediakan keperluan dan bantuan sewajarnya bagi membela nasib penduduk.

 “Penduduk Wakaf Mempelam masih ramai yang hidup susah dan memerlukan perhatian termasuk uzur dan menghidap penyakit kronik, kalau biarkan `tok wakil’ menjaga kebajikan, makin melaratlah mereka,” kata Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Wan Mahyuddin berkata, usaha memastikan seluruh penduduk yang memiliki pelbagai latar kehidupan bebas dari kemiskinan, tidak tercicir dalam arus pembangunan dan mendapat manfaat sepatutnya dari kerajaan negeri dan Pusat dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, perkembangan semasa itu membuktikan, pemimpin Pas gagal menterjemahkan hasrat dan kemahuan penduduk termasuk pengikutnya sendiri, malah ia boleh diibaratkan seperti `menang sorak, kampung tergadai’.

Haji Wan Mahyuddin sebagai individu yang dilantik menjadi medium kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan dibantu 34 Ketua Cawangan termasuk 31 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menggalas tanggungjawab menjaga kebajikan penduduk termasuk kepada penyokong Pas sendiri.

"Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 sudahpun dinikmati 6,972 penerima (isi rumah) yang melibatkan jumlah RM3,486,00, selain BR1M untuk remaja kepada 4,079 penerima (RM1,019,750).

"Pada tahun lalu, seramai 6,767 isi rumah menerima BR1M, selain 1,188 penduduk menerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dana Hari Raya (6,600 penerima), Dana Remaja (2,400 penerima) serta lebih 200 penerima bantuan cermin mata," katanya.

Selain itu, beliau berkata bantuan pakaian sekolah juga disediakan kepada 2,093 pelajar yang melibatkan peruntukan RM341,700 pada tahun ini.

 “Kita juga tidak lupa mengiktiraf pelajar terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan awam. Kali ini, seramai 158 orang menerima insentif itu, masing-masing 63 orang (UPSR) dan 95 orang (PMR) dengan jumlah keseluruhan RM15,200.

 “Soal pendidikan, kita tidak mengira sama ada anak pemimpin dan penyokong Pas, sekiranya cemerlang dan wajar diberikan penghargaan Kerajaan BN tetap menunaikan kebajikan dan pengiktirafan dengan seadilnya,” katanya.


Perjuangan parti lebih utama dari peribadi

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pihak perlu meletakkan perjuangan parti mendahului kepentingan diri sendiri dan kekal membantu jentera parti walaupun tidak terpilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri, Puan Nordiana Shafei.

“Apabila meletakkan kepentingan parti paling utama, kita pastinya redha, seterusnya akur dan patuh dengan keputusan yang sudah dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Tanpa menafikan ketentuan Allah s.w.t itu, kita sebagai pemimpin dan ahli parti yang setia harus terus turun padang dan menjalankan tugas seperti biasa bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno terus kekal memerintah di negeri dan negara kita,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Nordiana berkata demikian sebagai mengulas ingatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak supaya pemimpin dan ahli parti komponen BN mengenepikan rasa kecewa jika pembahagian kerusi dan pemilihan calon PRU13 tidak memuaskan hati masing-masing.

Pengerusi BN berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada Pengerusi BN negeri dan kawasan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, matlamat utama yang harus dicapai semua pemimpin dan ahli parti adalah memastikan BN kekal menerajui kepimpinan dan membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dengan majoriti dua pertiga.

 Malah, beliau berkata sebagai umat Islam, setiap individu perlu redha dengan ketentuan Allah dan tidak sesekali mengkhianati sesama bangsa dan agama akibat kecewa mahupun tidak berpuas hati dengan apa yang dihajati itu nanti.

“Insya-Allah walau siapa pun calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan Puteri akan akur dan memastikan jentera bekerja habis-habisan supaya calon itu mampu menang dengan majoriti selesa.

“Calon yang terpilih nanti sudah tentu individu terbaik dalam pertimbangan dan penilaian pucuk pimpinan,” katanya.

Puan Nordiana berkata, Puteri akan memastikan jenteranya berjalan lancar dan berusaha meyakini pengundi muda supaya memilih BN dan Umno sebagai parti yang relevan demi meneruskan kesinambungan masa depan yang lebih gemilang.


JPNT anjur program sepakat komuniti 1Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan program Sepakat Komuniti 1Malaysia peringkat negeri bertempat di Padang Perumahan Awam Kos Rendah, Batu Hampar, Manir pada 12 April ini.

Pengarahnya, Puan Hajah Azizah Awang berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal menyempurnakan majlis perasmian program yang akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik itu.

"Sepanjang sehari program berlangsung, pengunjung berpeluang melihat pameran dan mengunjungi kaunter jabatan dan agensi kerajaan yang turut serta pada program kali ini.

"Selain itu, pertandingan mewarna kanak-kanak Tadika, gubahan masakan, memancing, sukan rakyat dan jamuan rakyat turut diadakan,” katanya.

Menurut beliau, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik.

Katanya, sempena program itu juga JPNT dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir akan mengadakan kunjungan kasih ke rumah penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan sekitar. 

Justeru, orang ramai terutamanya penduduk di kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi program tersebut.

 

Jangan ulangi kesilapan lalu

Oleh; Esah Abdullah

Lima tahun kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Bukit Tunggal berada di tangan parti pembangkang, dalam tempoh itu juga pemimpin Barisan Nasional (BN) menanggung kerja-kerja menjaga kebajikan rakyat yang diabaikan wakil rakyat Pas.

 “Kita sentiasa bersikap ‘lembut hati’ dan tidak pernah berkira soal parti, bantuan tetap dihulurkan mengikut kelayakan,” kata Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Sedangkan pemimpin pembangkang katanya, hanya minat berceramah dan menabur fitnah dimerata tempat tanpa mempedulikan derita rakyat yang menagih simpati.

“Saya harap masyarakat dalam DUN Bukit Tunggal tidak mengulangi kesilapan lalu (PRU12), jangan memberi undi kepada pemimpin Pas yang bertopengkan agama semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat,” katanya.

Menurut haji Ismail, kini jentera Wanita, Pemuda dan Puteri telah perhebatkan kempan bagi menentukan kemenangan parti termasuk mengadakan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung serta membuat kunjungan rumah ke rumah.

Namun katanya, pergerakan ini sudah lama berjalan namun ia ditingkatkan bila sudah hampir berada di garisan penamat.

 “Saf kepimpinan BN juga turun padang mengunjungi pengundi atas pagar, saya yakin mereka sudah ‘berpisah’ dan tidak lagi sebantal dengan pembangkang serta berjanji untuk bersama BN yang banyak membantu menyelesaikan masalah mereka dan keluarga,” katanya.

Katanya, mereka telah sedar serta mengakui termakan dengan cerita buruk tentang pemimpin BN namun hakikat sebenarnya kerajaan yang ada sekaranglah banyak membantu menyelesaikan masalah mereka bila ditimpa musibah.

 

PKR letak calon tidak dikenali di Kemaman

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Kamarudin Chik, yang berasal dari Kuala Terengganu sebagai calon parti itu untuk bertanding kerusi Parlimen Kemaman pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan calon berkenaan, berkata Kamarudin, 47, dipilih kerana memenuhi kriteria, antaranya anggota parti yang setia dan tidak mudah khianat kepada parti.

‘Kita pilih orang Terengganu menetap di Kemaman…kita tidak mahu berlaku seperti 2008, khianat sebelum pilihan raya dan khianat selepas pilihan raya tak dapat jadi calon, kriteria penting kita adalah orang yang taat dan tidak belot dan tidak khianat parti,” katanya.

Kamarudin yang merupakan ahli PKR sejak 1998 ketika ditemui pemberita berkata, beliau hanya maklum namanya dicalonkan kira-kira pukul 4 petang semalam.

Pada pilihan raya umum 2008, calon Barisan Nasional (BN) yang kini Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengalahkan calon PKR Fariz Musa dengan majoriti 12,683 undi di kerusi Parlimen Kemanan.

 

Pesta Terengganu Dishes 13 April

Oleh: Noraini Jusoh

Sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 kerajaan negeri akan menganjurkan Pesta Terengganu Dishes (masakan ketam nipah, lobster dan udang ketok) bertempat di Kedai Manggi Ketam Kubang Jela, Manir pada 13 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Sepuluh kumpulan secara berpasangan bakal mengambil bahagian dalam pertandingan memasak ketam yang menawarkan hadiah lumayan.

Johan pertandingan memasak akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,300.00, naib johan RM1,000.00, ketiga RM800.00 dan saguhati di tempat keempat hingga kesepuluh akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM300.00

Matlamat program ini adalah untuk mempromosikan Kuala Nerus khususnya dan Negeri Terengganu amnya sebagai hub masakan lobster dan ketam yang terbaik dan termurah di Malaysia.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan seni tradisi dan warisan serta mempunyai pelbagai makanan tradisional dan makanan laut, Terengganu dilihat berupaya menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara sebagai destinasi pilihan untuk mereka kunjungi.

 

10 April 2013

Tiga program perkukuh institusi keluarga

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan keluarga Terengganu (YPK) bakal memperkenalkan tiga program baru berkonsepkan kekeluargaan yang melibatkan peruntukan RM2 juta dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang dalam setiap aspek kehidupan menerusi pengukuhan institusi keluarga, bermula Mei ini.

Pengarahnya, Encik Shafaruddin Mustafa berkata, program pertama, Program Keluarga Baru Cemerlang dilaksanakan dalam bentuk kursus sepanjang dua hari satu malam secara berperingkat-peringkat di Setiap Dewan Undangan negeri (DUN) dengan penglibatan 2,000 pasangan suami-isteri.

“Program itu bertujuan memastikan pasangan suami-isteri berupaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman masing-masing mengenai peranan hidup berkeluarga dan mampu membina institusi keluarga yang lebih kukuh.

“Peserta yang terpilih nanti mengutamakan golongan yang usia perkahwinan bawah tiga tahun supaya kursus di tahun-tahun awal perkahwinan mampu mengukuhkan lagi ikatan dan hubungan, selain pasangan baru berkahwin mudah dibentuk berbanding yang sudah lama,” katanya.

Katanya, program kedua, Dialog Keluarga pula melibatkan lima keluarga di setiap Parlimen dengan perbelanjaan kira-kira RM30,000 yang memfokuskan kepada usaha mengatasi masalah pelajar yang terbabit dengan gejala sosial di sekolah masing-masing.

Menurutnya, program yang mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu memnumpukan kira-kira 400 pelajar bersama ibu bapa masing-masing.

 “Mereka akan menjalani sesi motivasi dan kaunseling untuk menyelesaikan punca penglibatan dengan masalah sosial.

 “Kita menjalinkan kerjasama dengan komuniti dan pihak berkaitan untuk mengenalpasti punca masalah itu dan disusuli dengan guru kaunselor akan bersemuka dengan ibu bapa di rumah pelajar terbabit bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Sementara program ketiga, Seminar Kekeluargaan pula bakal dilaksanakan secara besar-besaran melibatkan beberapa siri di seluruh negeri yang akan menampilkan pakar motivasi tersohor dan berpengalaman dalam aspek kekeluargaan.