Halaman

09 May 2013

Gembira kekal, kecewa dengan orang muda : Rozi

Oleh: Aida Abd Rahman

Saya berterima kasih kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong kerana memberi peluang kepada saya untuk meneruskan amanah sebagai wakil rakyat pada 5 Mei lalu, namun saya tetap kecewa dengan senario hari ini apabila pengundi muda gagal memihak kepada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Badan Perhubungan Umno Terengganu, Haji Rozi Mamat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu berjaya mengekalkan kerusi DUN Telemong selepas memperolehi 10,262 bagi mengenepikan pencabarnya, Narawi Embong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 6,864 undi meningkat 971 undi berbanding PRU lalu.

“Alhamdulillah, saya gembira dan berbangga dengan pilihan tepat orang-orang DUN Telemong yang setia dan percaya kepada keupayaan BN. Bagaimanapun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa kesal dengan sikap kebanyakan orang muda yang memihak kepada pembangkang di kebanyakan peti undi di DUN lain.

“Sebagai exco belia pada penggal lalu, saya bertanggungjawab memastikan golongan itu tidak terpinggir. Pelbagai dana, bantuan dan kemudahan disediakan tetapi tidak berbekas kepada mereka sehingga langsung tidak berterima kasih kepada kerajaan yang membantu mengakibatkan undi kepada BN merosot,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Haji Rozi berkata, kegagalan BN meraih sokongan belia itu harus ditangani secara teliti dan serius kerana golongan itu merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan dan usaha untuk memperkasakan lagi kekuatan parti.

Beliau turut mengakui hanya di DUN Telemong pengundi muda bersama BN apabila majoriti dari 80 peratus golongan itu termasuk pengundi luar memilih parti itu , berbanding DUN lain khususnya dalam Parlimen Hulu Terengganu, kebanyakannya lebih memihak pembangkang.

“Dalam soal ini, kita sebagai pemimpin tidak boleh menyalahkan golongan itu semata-mata memandangkan mereka ada hak untuk memilih berdasarkan citarasa dan penilaian masing-masing ketika PRU13 lalu. Pada masa yang sama, mungkin ada kelemahan kita yang tanpa sedar menjadi punca kepada kegagalan meraih sokongan orang muda.

“Antara perkara yang mungkin kita terlepas pandang adalah dasar dan juga intipati perjuangan kerajaan BN selama ini tidak dapat diterima mahupun diterjemahkan dengan baik oleh mereka atas faktor mereka sendiri yang gagal menerima, ataupun kegagalan pemimpin sama ada dari peringkat atasan sehingga akar umbi dalam menyampaikan mesej itu secara efektif,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, tempoh empat tahun yang mendatang sebelum pilihan raya akan datang, semua pihak khususnya jentera parti BN dan Umno wajar memperbaiki dan mengisi kelompongan itu supaya pengundi muda kembali kepada menguatkan parti.

Katanya, pembangunan fizikal seperti kemudahan prasarana dan wang ringgit kini bukan ukuran utama yang mampu mempengaruhi undian orang muda kepada BN, tetapi kekuatan kerohanian dan pengukuhan dalam jiwa menerusi pendekatan yang lebih santai mungkin menjadi faktor yang harus diambil kira bagi memastikan kelangsungan BN dan Umno di negeri dan negara ini amnya.

“Satu lagi, saya merasakan kebanyakan pemimpin termasuk di peringkat akar umbi, tidak boleh ada jenis hok yang `payoh base’(sukar untuk berunding). Mereka kena sentiasa dekat dengan orang muda dan mendengar suara mereka. Sebaik-baiknya jadi macam kawan dan tiada jurang antara pemimpin dengan rakyat. Hubungan baik dan saling memahami antara satu sama lain sebenarnya senjata terbaik untuk kita sentiasa dikenang dan dihargai oleh orang lain. Itu pandangan saya dan kita perlu sentiasa memperbaiki kelemahan diri,” katanya.

08 May 2013

YIT buat penambahbaikan sekolah aliran agama

Oleh; Esah Abdullah 

Yayasan Islam Terengganu (YIT) sedang membuat penambahbaikan dalam bidang pendidikan khususnya di sekolah aliran agama di bawah kelolaannya sebagai pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Pengarahnya, Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata, salah satunya ialah perlaksanaan fasa kedua Institut Pendidikan Islam (Inspi) di Kemaman yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

“Projek berkenaan membabitkan pembinaan asrama puteri, dewan makan dan dewan serbaguna dengan peruntukan berjumlah RM5 juta,” katanya dalam sidang media di Permai Inn baru-baru ini.

Katanya, bila fasa kedua ini siap, projek fasa ketiga iaitu fasa akhir akan disambung yang turut membabitkan peruntukan RM5 juta.

Tambahnya sehingga ini terdapat 300 pelajar lepasan UPSR sedang menuntut di Inspi dan jika mendapat keputusan cemerlang mereka berpeluang menyambung pengajian di universiti tempatan dan luar negara termasuk Jordan.

Haji Md Kamarul berkata, bangunan baru ini dijangka boleh menampung 1,000 pelajar dan mereka akan menerima biasiswa RM100 sebulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan RM5.5 juta untuk pembinaan fasa pertama Pondok Darul Iman (PDI) di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu tahun ini.

“Tapak asalnya keluasan satu hektar itu telah di wakafkan oleh masyarakat di kampung berkenaan dan telah digunakan sejak 2010 yang menempatkan 100 pelajar lepasan UPSR,” katanya.

Katanya, YIT juga telah selesai membuat urusan pembelian tanah seluas 3.6 hektar sekitar kawasan berkenaan untuk tanaman kelapa sawit dan rambutan.

Menurutnya, fasa pertama akan dibangunkan bangunan akademik dan fasa kedua bangunan asrama serta dewan makan dengan perbelanjaannya dianggarkan RM20 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan.
 

Sokongan BN merosot akibat terpedaya dakyah pembangkang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kebanyakan pengundi terpedaya dengan dakyah pembangkang di saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu sehingga mengakibatkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) merosot.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata BN Terengganu yang akan menjalankan post-morterm punca sebenar kemerosotan sokongan pengundi khususnya orang muda dan pengundi luar itu, turut berbangga dengan kesetiaan kebanyakan pengundi terhadap BN ketika pembangkang cuba mempengaruhi rakyat dengan pelbagai tohmahan.

 “Secara tidak langsung, ramai rakyat tertipu dan terpengaruh, lalu mereka yang sebelum ini menyokong BN dan percaya dengan keupayaan BN, akhirnya menyokong pakatan rakyat.

“Pada masa yang sama, saya menghormati dan berterima kasih dengan kepercayaan dan kesetiaan sebahagian besar lagi rakyat yangmemberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri mahupun Pusat,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Dato’ Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Seberang Takir, berkata hala tuju sekarang adalah memulihkan kepercayaan generasi muda untuk mendukung aspirasi dan misi membangunkan negeri bersama-sama Kerajaan BN.

 “Sebagai memenuhi mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat di negeri ini saya akan memastikan pembangunan untuk generasi muda diberi penekanan utama, selari dengan Aku Janji Tambahan BN sekiranya menang PRU13.

“Kerajaan BN sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap apa yang dijanjikan dan sedaya –upaya akan berusaha merealisasikan berdasarkan hasrat dan keperluan rakyat,” katanya.

Menurutnya, bukan hanya memastikan lebih banyak peluang untuk anak muda meneruskan pengajian di bidang pendidikan dan memperkasakan sektor pendidikan negeri, kerajaan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

“Kemudahan dan insentif khas bagi meneruskan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kritikal serta memperkasakan lagi program e-Book dan membina sekolah Imtiaz di setiap daerah antara usaha bakal dilaksanakan kerajaan dari sekarang.

“Pada masa yang sama, kita juga bersedia mendengar suara orang muda dan memenuhi aspirasi mereka termasuk menyediakan lebih banyak peluang dan kemudahan-kemudahan riadah untuk orang muda seperti memperbanyakkan gelanggang futsal dan membina kompleks litar perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pada PRU13, Dato’ Ahmad Razif kekal mempertahankan DUN itu selepas memperolehi 7,731 undi mengenepikan pencabarnya dari Pas, Zakaria Dagang dengan majoriti 1,510 undi.

 

PR1M beri manfaat kepada pesakit

Oleh: Suriati Ali 

Penubuhan Pusat Rehabilitasi 1 Malaysia (PR1M) di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Terengganu yang membabitkan kos kira-kira RM350,000 kini memberi manfaat kepada ramai penduduk setempat sejak dibuka awal tahun ini.

 PR1M yang memberi fokus terhadap pesakit strok itu merupakan pusat yang melibatkan peranan komuniti pertama di Semenanjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pusat yang akan menempatkan pakar fisioterapi bertauliah itu membantu merawat dan mencegah penyakit tersebut.

“Pusat yang beroperasi secara percuma untuk masyarakat setempat mula menerima pesakit sebaik segala kelengkapan sedia sepenuhnya awal tahun ini.

“Idea mewujudkan pusat rehabilitasi bermula apabila saya dapati hampir sebahagian besar penduduk yang saya lawati mengalami penyakit ini (strok) dan lebih menyedihkan ada antara mereka yang masih baru dan boleh dirawat, namun akibat tidak tahu penjagaan yang betul ia menjadi bertambah parah,” katanya.

 Dato’ Seri Haji Ahmad Razif berkata, selain khidmat fisioterapi, pusat berkenaan turut menyediakan khidmat rawatan dan latihan kepada pesakit serta waris mengenai penjagaan yang betul bagi pesakit strok agar mampu pulih kembali.

 “Kita harap dengan wujudnya pusat ini nanti mampu memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pesakit dan waris yang menjaga dengan harapan pesakit diberi rawatan menyeluruh,” katanya.

 Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar menyifatkan penubuhan pusat berkenaan usaha murni yang wajar dikembangkan.

Katanya, inisiatif itu digerakkan melalui kerjasama pintar antara pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Seberang Takir.

"Langkah ini juga dapat menarik penglibatan para sukarelawan membantu sekali gus memperlihatkan tanggungjawab dalam aspek penjagaan kesihatan rakyat tidak terserah kepada kementerian semata-mata.

"Ini juga salah satu pendekatan Strategi Lautan Biru dan pihak jabatan akan membantu memberikan nasihat kepakaran dan penyelarasan operasi," katanya.

 

07 May 2013

PMINT komited lahir usahawan bumiputera

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) komited dalam melahir dan membangunkan usahawan bumiputera yang berdaya maju dan dan berdaya saing

Pengurus Bahagian Pembangunan Industri & Usahawan PMINT, Puan Norzihan Abd Karim berkata, pendekatan yang diambil itu selaras dengan Dasar Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

“Melalui program ini dapat memberi kefahaman, maklumat terperinci pelaksanaan Program Usahawan Muda (PUM) dan maklumbalas serta matlamat kerajaan berkaitan dasar PUM.

“Ia juga bagi melahirkan komitmen di kalangan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) terhadap tanggungjawab syarikat yang ditakbir. Pada masa yang sama juga memantapkan komitmen di kalangan ALP dalam melaksanakan peranan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Kursus Pengurusan Syarikat Program Usahawan Muda 2013 di Prinzpark Terengganu baru-baru ini,

Menurut Puan Norzihan, lahirnya masyarakat usahawan yang berkualiti adalah melalui bimbingan, latihan pembudayaan, usahawan, penyelaras maklumat dan juga bantuan pasaran.

 Katanya, program selama dua hari itu memberikan pendedahan kepada pelajar tentang memperkasakan usahawan, proses pembentukan syarikat PUM, mengetahui apa itu syarikat sendirian berhad, tugas dan tanggungjawab pengurus-pengurus dan juga strategi pemasaran.

Selain itu katanya, melalui program tersebut juga diharapkan dapat memupuk dan membentuk budaya keusahawanan di kalangan pelajar sekolah, menjadikan PUM sebagai aktiviti ko-kurikulum yang berjaya kepada pelajar, meningkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk melaksanakan perniagaan berkesan.

“Perancangan pada masa hadapan, diharapkan golongan belia tidak terlalu bergantung kepada untuk bekerja dengan kerajaan, sebaliknya manfaatkan pengalaman dan kemahiran dengan menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

 

Muka baru bantu BN menang

Oleh: Suriati Ali 

Tujuh muka baru merupakan kalangan calon Barisan Nasional (BN) yang menang dan membantu parti itu menguasai 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Mereka termasuk Mohd. Iskandar Jaafar (DUN Jabi), Bazlan Abdul Rahman (DUN Batu Rakit), Mohd. Mahdi Musa (DUN Kota Putera), Sabri Mohd. Noor (DUN Langkap), A. Latiff Awang (DUN Pengkalan Berangan), Ghazali Taib (Ajil) di samping Roslee Daud (Bukit Besi).

Muka lama yang berjaya mengekalkan kerusi pula ialah Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said (DUN Kijal), Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman (DUN Seberang Takir), Dr. A. Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Rozi Mamat (DUN Telemong), Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (DUN Air Putih) dan Ir. Rosli Othman (DUN Kemasik).

Yang turut memenangi kerusi ialah Tengku Putera Tengku Awang (DUN Kuala Berang), Mohd. Pehimi Yusof (DUN Jerteh) dan Nawi Mohamad (DUN Hulu Besut).

Dalam pada itu, bagi kerusi Parlimen, BN memperoleh jumlah kerusi yang sama dengan Pas iaitu masing-masing sebanyak empat kerusi. Bagi kerusi Parlimen Kemaman, penyandang, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berjaya menewaskan calon PKR, Kamaruddin Chik dengan majoriti 12,306 undi, Dato’ Ahmad Shabery memperoleh 45,525 undi manakala Kamaruddin (33,219 undi).

Dato’ Seri Idris Jusoh pula menang di kerusi Parlimen Besut selepas memperoleh 35,232 undi berbanding lawannya, Riduan Mohamad Nor (26, 890), sekali gus merupakan majoriti yang agak besar iaitu 8,342 undi. Dua lagi kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN ialah Setiu dan Hulu Terengganu yang kedua-dua ditandingi oleh muka baharu.

Bagi Parlimen Setiu, calon BN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh menang dengan 33.198 undi, majoriti 7,943 undi selepas mengalahkan calon Pas, Omar Sidek (25,225 undi) manakala Parlimen Hulu Terengganu pula dimenangi Datuk Jailani Johari (31,940 undi) selepas menewaskan calon Pas, Kamaruzaman Abdullah (23,727 undi).

 



06 May 2013

BN Terengganu akan lakukan post-mortem PRU13

BN Terengganu akan membuat post-mortem punca merosot
kerusi BN dalam PRU13.
Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Barisan Nasional (BN) Terengganu akan melakukan post-mortem bagi mengenal pasti punca kekalahan calon-calonnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri ini.

Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata perkara itu akan dlakukan segera bagi membolehkan tidakan segera dilakukan bagi mengenal pasti puncanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kehadiran pengundi luar di sebahagian besar kawasan yang menyaksikan kekalahan calon-calon BN menjadi faktor kekalahan tersebut.

BN hanya memenangi empat daripada lima kerusi yang dipertandingkan di Parlimen Kemaman.
Calon BN, Wan Hakim mendapat sokongan padu daripada ayahnya, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, yang juga mantan Menteri Besar Terengganu selepas menang kerusi DUN Air Putih, Kemaman.

“Pada peringkat awal kita menjangkakan BN akan menang 28 kerusi DUN, tetapi keputusan yang dicapai jauh dari yang kita jangkakan,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Umno Bahagian Kemaman, awal pagi ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad bagaimanapun, berkata pihaknya bersyukur kerana BN masih terus kekal memerintah negeri ini walaupun hanya dengan keputusan majoriti mudah.

 “Kita (BN) akan terus memberi khidmat kepada rakyat Terengganu yang memilih BN sebagai kerajaan dan meneruskan dasar-dasar serta projek pembangunan yang dirancang sebelum ini,” katanya.



Barisan Nasional (BN) perlu buat kajian semula


Calon BN di Parlimen Besut mengangkat tangan tanda kejayaan

Oleh: Mohammad Ishak 

Barisan Nasional (BN) perlu membuat kajian semula terhadap kemerosotan sokongan rakyat kepada parti itu selepas keputusan PRU13 yang memberi banyak petunjuk kepada parti

Ahli Majlis Tertinggi Umno,Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tumpuan patut diberikan terhadap saluran orang muda yang jelas tidak memihak kepada BN.

Katanya,mungkin ada sesuatu yang tidak kena dan parti akan memperbaikinya untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai Umno.

 “Walaupun penghargaan patut diberikan kepada pengundi luar Bandar yang masih memberi sokongan kepada BN,” kata Idris selepas diumumkan kemenangan beliau sebagai calon BN di Parlimen Besut.

Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, berkata kerajaan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat tetapi ia perlu dibuat kajian semula bagi mengetahui kelemahan jentera parti berhadapan dengan pembangkang.

Dalam perkembangan lain Idris berkata, beliau bersyukur kerana BN masih lagi mampu menguasai Terengganu dan Kerajaan Pusat selepas menghadapi serangan hebat pembangkang.

Selepas ini,katanya, semua wakil rakyat BN perlu bekerja kuat dan kerap mendampingi rakyat supaya mengetahui masalah sebenar yang mereka perlukan.

BN sapu bersih Parlimen Setiu

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) menyapu bersih Parlimen Setiu apabila empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen dimenangi calon BN.

Bukan setakat menawan semua kerusi yang dipertandingkan malah mendapat majoriti lebih besar di Parlimen, Dun Langkap dan Batu Rakit berbanding Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12).

Calon Parlimen Setiu Che Mohd Zulkifly Jusoh memperolehi 33,198 undi mengalahkan Encik Omar Sidek (Pas) yang mendapat 25,255 undi dengan majoriti 7,943 undi manakala 648 undi rosak.

Mohd Iskandar Jaafar (BN Jabi) pula memperolehi 7,735 undi menewaskan calon Pas Encik Azman Ibrahim (6,953 undi) dengan majoriti 782 undi.

Dun Permaisuri yang melibatkan pertandingan tiga penjuru, turut dimenangi calon BN Dato’ Mohd Jidin Shafee yang mendapat 9,188 undi mengalahkan Encik Wan Mokhtar Wan Ibrahim (PKR) yang memperolehi 6,260 undi serta Haji Mohd Yusof Majid (Bebas) 1,920 undi. BN memperolehi majoriti 2,928 undi.

Datuk Sabri Mohd Nor (BN-Langkap) mendapat 8,425 undi menewaskan Encik Hassan Karim (Pas) (5,403 undi) dengan majoriti 3,022 undi dan 190 undi rosak.

Haji Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) pula berjaya menewaskan calon Pas Che Ghani Che Ambak dengan majoriti 1,635 undi. BN memperolehi 7,008 manakala Pas 5,373 undi dan 134 undi rosak.

Langkap dan Batu Rakit memperolehi majoriti lebih besar berbanding PRU12 iaitu 3.022 undi (PRU13) dan 2,551 undi (PRU12) manakala Batu Rakit mendapat 1,635 undi (PRU13) berbanding 1,486 undi (PRU12).

Parlimen Setiu juga mendapat majoriti besar iaitu 7,943 undi (PRU13) berbanding 7,232 undi (PRU12).

Manakala DUN Jabi mendapat majoriti sedikit merosok iaitu 782 undi (PRU13) berbanding 782 undi (PRU12) dan Permaisuri 2,928 undi (PRU13) berbanding 3,639 undi (PRU12).
 

BN Terengganu kekal mandat

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) Terengganu kekal mempertahankan mandat memimpin negeri apabila memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas memperolehi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 17 kerusi daripada 32 kerusi DUN seluruh Terengganu.

Kerusi DUN di Parlimen Setiu dan Besut menyaksikan penguasaan BN di kesemua kerusi yang dipertandingkan.

Selain Permaisuri, Langkap, Jabi dan Batu Rakit (Setiu), Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut (Besut), BN kukuh penguasaan di Ajil, Kuala Berang dan Telemong (Hulu Terengganu), Kijal, Kemasik, Kijal dan Air Putih (Kemaman) serta  Seberang Takir (Kuala Nerus).

Keputusan malam tadi itu juga menyaksikan BN gagal merampas semula DUN Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Ladang, Batu Buruk, Manir, Sura, Bukit Payong dan Rhu Rendang, selain turut kehilangan tujuh kerusi DUN lain.

Pas memperolehi kemenangan di DUN Cukai, Bandar, Alur Limbat, Tepuh, Teluk Pasu, Rantau Abang dan Paka.