Halaman

17 July 2013

Calon BN hargai jasa wartawan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Haris Fadzillah

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Raihan Che Ku Abdul Rahman menghargai jasa golongan wartawan membantu memberi publisiti yang baik sepanjang kempen pilihan raya tersebut.



Beliau harap hubungan baik dengan golongan wartawan akan terus dikekalkan sehingga selepas PRK pada 24 Julai nanti.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur di atas kesudian golongan wartawan membantu menyiarkan berita-berita yang positif mengenai saya dan BN sepanjang kempen pilihan raya ini,” katanya dalam ucapan sempena pertemuan dengan media di Anjung Bahtera malam ini.

Pada majlis itu yang dihadiri kira-kira 160 wartawan, jurugambar dan blogger, pengamal media berkenaan diraikan dengan majlis berbuka puasa anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM).

Hadir sama Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, kakitangan UKOM serta ketua-ketua biro media massa.

Tengku Zaihan berkata, beliau akan memberi perkhidmatan terbaik sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat selepas PRK nanti.

“Insya Allah dengan bantuan rakan-rakan media hasrat pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan kerusi DUN Kuala Besut akan tercapai,” tambahnya.

 #prk kuala besut


 



Srikandi sumbang RM5,000 pada keluarga Allahyarham Dr A Rahman



Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di kediaman bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu, di Kampung Telok Bayu, Kuala Besut, hari ini.
Pengerusi Srikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta ahli-ahli persatuan itu hadir bersama-sama balu alahyarham, Hajah Azizah Nik Omar.
To’ Puan Seri Norliza kemudiannya menyampaikan cek bernilai RM5,000 sumbangan Srikandi kepada Hajah Nik Azizah.
Allahyarham meninggal dunia bulan lalu selepas mengalami penyakit kanser paru-paru.


#prk kuala besut




Pas bangkit isu lapuk

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

Pas membangkit isu lapuk berkaitan pemberian tanah kepada wakil rakyat Barisan Nasional BN) pada kempen Pilhan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, kerana parti itu tidak ada isu dan kekeringan modal bagi mengkritik Kerajaan BN.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata wakil rakyat yang diberi tanah tersebut sememangnya layak menerima habuan itu kerana ia merupakan angerah kerajaan negeri kepada mereka yang telah banyak berjasa.

“Dalam tempoh saya menjadi Menteri Besar, kita beri kira-kira 20,000 lota tanah kepada rakyat di seluruh negeri.

“Tak kan kerana kita beri satu lot rumah saja kepada beberapa wakil rakyat BN, Pas mahu menjadikannya satu isu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Katanya, daripada tanah yang diagih kepada rakyat itu 12,000 lota merupakan tapak rumah manakala 8,000 lot lagi bagi tujuan pertanian.

Dato’ Seri Haji Ahmad menjelaskan sewaktu Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, ada wakil rakyat dan isterinya yang diberi tanah seluas 150 ekar untuk dijadikan ladang limau.

“Apalah sangat jika dibandingkan kita beri wakil rakyat satu lot rumah sedangkan Pas beri wakil rakyat mereka hingga 150 ekar?,” soal beliau ketika mengulas isu lapuk yang ditimbulkan kembali pencermah Pas pada kempen PRK Kuala Besut.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, Pas terpaksa mengulangi isu yang sama bagi menghangatkan kempen PRK Kuala Besut.

“Ini sudah tabiat semula jadi Pas, tidak sempurna kempen mereka jika tidak ada fitnah dan menimbulkan isu bagi memburukkan orang lain,” katanya.

Menteri Besar berharap rakyat mengenang budi jasa-jasa Umno dan BN tehadap mereka selama ini dan tidak mengundi calon Pas pada pilihan raya ini.


#prk kuala besut


 

MB akan lawat projek di Pulau Perhentian esok

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan melakukan lawatan kerja ke Pulau Perhentian pagi esok bagi meninjau projek-projek kerajaan bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata, antara projek besar yang sedang dilaksanakan di pulau peranginan tersebut ialah masjid baru dan rumah pangsa mengandungi 200 unit bagi menempatkan golongan miskin.

“Lawatan kerja saya ini bagi memastikan semua projek yang dilaksanakan di Pulau Perhentian berjalan lancar supaya rakyat mendapat faedah.

“Jika ada masalah yang berbangkit kita akan selesaikan dengan kadar segera supaya projek yang dilaksanakan tidak terencat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyurat Exco di Pejabat Daerah Besut, petang ini.

Mengenai projek perumahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan membina 500 unit rumah kos rendah lagi jika calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang.

“Pada masa ini kita sedang merancang untuk membina 555 unit rumah kos rendah, 200 unit sedang dalam pembinaan. Ini bermakna penduduk di DUN ini akan mendapat 1,255 unit rumah tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menghadapi kesukaran untuk merancang projek perumahan rakyat kerana masalah mendapatkan tanah bagi tujuan tersebut.

“Kerajaan terpaksa menimbus tanah paya bagi membina rumah dan ini melibatkan kos yang tinggi serta masa yang panjang.

“Kebanyakan tanah yang elok dan sessuai untuk dibina rumah kerajaan sudah bagi kepada rakyat,” katanya.


#prk kuala besut

 



Pusat Islam UMT bakal beroperasi tahun depan

Oleh; Esah Abdullah

Pusat Islam Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berharga lebih RM15 juta bakal beroperasi sepenuhnya pada Mac tahun depan.

Ketua Pusat Islam UMT, Ustaz Riswadi Azmi berkata, bila pusat itu siap sepenuhnya tahun depan semua aktiviti berkaitan keislaman akan diadakan di pusat berkenaan.

 “Sebelum ini semua aktiviti berkenaan diadakan di Kompleks Siswa dengan keadaan ruang yang agak terhad,” katanya kepada pemberita pada Program Bicara Keluarga Sakinah di Dewan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT semalam.

Katanya, Pusat Islam yang boleh muat 3,000 jemaah pada satu-satu masa itu turut dilengkapi dewan seminar , kelas fardu ain, tabika Islam dan 10 lot kedai.

“Kita mahu ada pengumpulan aktiviti di situ dan berfungi sebagai pusat komuniti untuk kemudahan orang ramai termasuk mewujudkan sebuah kedai asnaf iaitu kedai makan yang murah dan boleh dikunjungi oleh semua golongan terutama pelajar miskin,” katanya.

“Insyaalah, pengurusan kedai ini dibuat melalui dana zakat yang kita ada dengan konsep membantu terutama golongan pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap lebih banyak aktiviti berbentuk keagamaan dapat dijalankan nanti berikutan lebih banyak kemudahan yang terdapat sekaligus dapat mengembangkan syiar Islam kalangan orang muda khususnya waga kampus.

Menurut Ustaz Riswadi, pembinaan pusat ini sebenarnya telah bermula sejak 2006 dengan kos asal RM15 juta namun ia tertangguh beberapa kali dan kini kerja-kerja penyiapan berada dalam proses akhir .

Penduduk DUN Kuala Besut amat beruntung


Tan Sri Muhyiddin bersalaman dengan Che Ku Abd Rahman (ayah calon BN Tengku Zaihan)

Oleh: Mohammad Ishak 

Hasrat pembangkang untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, semakin tipis kerana Barisan Nasional (BN) kini dilihat menguasai sepenuhnya setiap program yang diadakan apabila mendapat sambutan daripada orang ramai.

Meskipun berada dalam suasana bulan puasa tetapi rasa penat dan letih penyokong BN masih mampu menghadapi cabaran kerana masing-masing bersemangat untuk membantu calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman mengekalkan kerusi tradisi milik BN itu.

Bermula pada waktu berbuka dan tarawih penyokong kedua-dua parti mengisi ruang pada majlis berbuka puasa, menyertai solat tarawih dan diakhiri dengan ceramah oleh pemimpin parti masing-masing.

Sempena Ramadan tahun ini surau dan masjid kelihatan berfungsi sebagai pusat kegiatan pemimpin dan masyarakat bertemju sambil mengerjakan ibadah.

Selepas masuk hari kenam berkempen tiadak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan kedua-dua penyokong parti semenangnya menghormati bulan Ramadan.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa sehinggi ini berpuas hati dengan keselamatan di kawasan DUN Kuala Besut walaupun jumlah kehadiran pemimpin dan penyokong parti politik sering bertambah menjelang hari pembuangan undi pada 24 Julai ini.

Bagi mempastikan keselamatan pengundi terjamin Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan 3,000 anggota pelbagai pangkat dan jumlah itu tidak akan ditambah.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut semenagnya memberi banyak manfaat kepada 22,700 penduduk kawasan berkenaan kerana kerajaan BN akan melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk mereka.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk tiga kali berturut-turut sejak pengumuman calon bermula meyakinkan penduduk dengan janji-jangi yang dibuat oleh pemimpin BN.

Malah pembangkag juga turut membuat janji untuk mengubah nasib penduduk Kuala Besut yang sebahagian besarnya nelayan jika parti pembangkang menang pada PRK itu.

Walaupun BN sudah mendahului dan mengotakan janji apabila pelbagai projek pembangunan untuk rakyat akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat menyababkan pembangkang tersentak dengan strategi BN yang nyata menarik sokongan pengundi di DUN Kuala Besut.

Pasar Payang tetap menerima kunjungan walaupun ada bazar ramadan

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukor 
Gambar oleh: Farah Farina Mohmad Zali

Walaupun bazar ramadan dan pelbagai gerai juadah berbuka puasa tumbuh bak `cendawan’ di sekitar Kuala Terengganu, Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu tetap menerima kunjungan, termasuk mereka yang tinggal di luar Terengganu.

Peniaga buah, barangan basah, makanan tradisional di lokasi itu tetap menjalankan peniagaan seperti biasa, walaupun mengakui kurang mendapat sambutan pelanggan berbanding pada hari biasa dan cuti sekolah.

Seorang peniaga, Puan Hayati Mat Zin, 45, berkata dia bersyukur kerana masih memperoleh rezeki antara RM150 hingga RM200 sehari hasil jualan pelbagai jenis buah-buahan walaupun pelanggan agak kurang.

Katanya, pelanggan terutama orang luar tetap datang ke pasar payang, kerana ingin mendapat pelbagai produk Terengganu seperti batik, kain sutera, songket, dan makan tradisional.

“Sebagai peniaga, kita tidak boleh dijadikan alasan pelanggan kurang, mesti tutup gerai, rezeki itu ada di mana-mana, jika tiada pelanggan tempatan, pelancong asing tetap singgah ke sini“,” katanya.

Peniaga kuih-muih tradisional, Zaiton Muda, 58, berkata dia memilih pasar payang untuk menjual pelbagai juadah berbuka puasa kerana sudah serasi, selain mempunyai ramai pelanggan tetap.

Katanya, kebanyakan pelanggan yang datang ke sini akan singgah untuk membeli dua atau tiga jenis kuih yang dijual antara RM1 hingga RM5 sebungkus..

“Mereka mengakui gemar datang ke gerai makcik kerana pelbagai juadah ada, termasuk nekbat, nganang, lemang, jala Mas, rojak kateh, baulu, ketupat pulut, kuih bakar, dan tepung pelita,” katanya.

 

Skim kawalan harga musim perayaan bermula bulan depan

Oleh; Esah Abdullah 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan harga Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 bermula pada 1 Ogos depan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Encik Syamsul Badrin Mohshin berkata, dalam tempoh pelaksanaan skim itu peniaga adalah diwajibkan menjual barangan harga terkawal yang merupakan barang keperluan asas perayaan.

Menurutnya, peniaga digalakkan untuk menjual barang-barang tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

“Skim Kawalan Harga bagi musim perayaan dijangkakan bermula 1 Ogos ini selama dua minggu, di mana pada tempoh tersebut harga ayam dan juga beberapa barangan keperluan lain akan ditentukan kerajaan.

“Pada hari biasa (sekarang) harga ayam di pasaran tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh permintaan dan penawaran," katanya.

Menurutnya, sepanjang pemantauan harga yang dilakukan sebelum dan bermula puasa, tiada perbezaan yang ketara, sebaliknya merupakan trend harga apabila tiba musim perayaan.

 Sementara itu. berhubung dengan harga berbeza yang dikenakan oleh peniaga bermula RM8 hingga ada yang mencecah RM9, ia adalah bergantung pada lokasi dan bekalan dijamin mencukupi di pasaran.

Katanya, peniaga juga perlu meletakkan tanda harga, sekiranya tiada tanda harga dan harga lebih mahal daripada tanda harga, pihaknya boleh mengambil tindakan ke atas peniaga terlibat.

 

Bajet RM250 juta biaya projek dalam muara Sungai Kuala Besut

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah



Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM250 juta bagi membiayai projek mendalamkan muara Sungai Kuala Besut bagi kemudahan golongan nelayan dan pelancong untuk ke Pulau Perhentian.

Sewaktu mengumumkan projek berkenaan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, sebuah syarikat akan melakukan kajian awal yang memakan masa enam bulan bagi menyediakan pelan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Katanya, keadaan muara Sungai Kuala Besut yang cetek menimbulkan rungutan kepada nelayan untuk masuk ke muka kuala bagi memunggah hasil tangkapan dan pelancong yang menaki bot ke Pulau Perhentian.

“Sebelum ini, kerajaan sudah melakukan projek mendalamkan muara sungai ini, tetapi disebabkan ia dilakukan secara ‘ad-hoc’ masalah muara cetek berulang dan isu ini perlu diberi perhatian.

“Semalam Perdana Menteri (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak) telah bersetuju meluluskan projek ini dan pihak ICU menyediakan peruntukan awal RM500,000 bagi membiayai kajian awal untuk pelaksanaan projek ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Cadangan Membina & Menyiapkan Projek SMK Alor Peroi, petang ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri turut mengulas mengenai keterlanjuran calon Pas yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, yang mahu mengupah beberapa orang menjalankan tugas bagi pihaknya jika menang pilhan raya berkenaan.

“Saya melihat sendiri tayangan video berkenaan yang jelas menunjukkan sikap sebenar pemimpin Pas yang tidak mengambil berat kebajikan rakyat jika mereka menang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah jika wakil rakyat berniaga, tetapi mereka perlu mendahulukan kepentingan rakyat di kawasan mereka wakili.

“Mungkin juga calon Pas tidak minat untuk bertanding, tetapi dia telah dipaksa oleh pemimpin Pas,” katanya.

Sebab itulah, katanya, kini pemimpin Pas terpaksa mengarahkan calon mereka supaya ‘menutup mulut’ berhubung isu tersebut supaya tembelang mereka tidak pecah dan dijadikan isu yang boleh merencatkan kempen mereka.


#prk kuala besut

 



TPM imam solat Maghrib di Masjid Telok Bayu

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, malam ini mengimamkan solat Maghrib di Masjid Kampung Telok Bayu, berhampiran tempat tinggal bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar.



Sebelum itu, beliau yang diiring Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan pemimpin Umno, berbuka puasa bersama-sama penduduk kampung dan anak yatim di perkarangan masjid berkenaan.

Selepas itu, Timbalan Perdana Menteri menunaikan solat terawih di Masjid Haji Ishak, Kampung Dengir, bersama-sama pemimpin Umno dan penduduk kampung tersebut.

Dalam ucapannya selepas solat terawih, beliau mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan bersatu padu agar mereka tidak diperkotak-katikkan oleh masyarakat bukan Islam.

Beliau mengajak umat Islam supaya bersyukur dengan nikmat keamanan negara Malaysia yang jauh berbeza dengan sebahagian negara luar yang berkecamuk akibat sengketa sesama sendiri.

“Saya bimbang dengan perkembangan terbaru negara ini di mana ada pihak yang cuba melaga-lagakan sesama umat Islam bagi kepentingan politik mereka akan mengakibatkan perkara buruk di masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam supaya bersatu dan mengetepikan fahaman politik bagi memastikan perpaduan di kalangan umat Islam dan penduduk negara ini dapat dikukuhkan.

 “Tidak salah jika kita mempunyai fahaman politik yang berbeza, tetapi kita mesti bersatu dan mengelak daripada sebarang kegiatan yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam,” katanya.


#prk kuala besut