Halaman

01 December 2013

Teganukita 91

TeganuKita91


Pemegang Ijazah Perikanan Tanam Rock Melon.

Hanif di ladang rock melonnya.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

MINAT mendalam dalam bidang pertanian mendorong seorang siswazah dari Kampung Tok Dor, Besut, Terengganu menceburi bidang penanaman rock melon biarpun pada mulanya beliau tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang penanaman buah itu yang mengunakan teknik fertigasi.

Mohd Hanif Amali, 26 pemegang ijazah dalam Bidang Perikanan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, nekad untuk menyertai projek Usahawantani Siswazah di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) Wilayah Timur, Tok Dor dengan meninggalkan projek pertamanya mengusahakan ternakan air tawar di kampung halamannya di Perak.

"Selepas tamat belajar di UMT, saya pulang ke kampung di Teluk Intan, Perak dengan mengusahakan ternakaan air tawar tetapi selepas berkahwin saya mengambil keputusan untuk ke Terengganu mengikuti isteri saya bekerja di Terengganu, dia juga orang Terengganu dengan membuka sebuah kedai di Kampung Tok Dor, Besut.

"Semasa berada di Kampung Tok Dor inilah saya mendapat tahu tentang projek Usahawantani Siswazah bawah Jabatan Pertanian yang diadakan di PLPP di sini.

"Saya begitu berminat terus memohon untuk menyertainya dan saya bersyukur kerana terpilih dan saya mula mengusahakan projek penanaman rock melon ini pada Jun 2011 lalu," katanya yang juga suami kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiu, Norfuzilawati Yusoof.

Mohd Hanif...minat pertanian
Hanif berkata, ketika mula-mula menyertai projek penanaman rock melon itu, beliau agak kekok mengusahakanya kerana bidang fertigasi itu adalah satu pengalaman baru baginya kerana dia belajar dalam bidang perikanan.

"Mula-mula agak kekok juga kerana banyak perkara baru yang saya pelajari kerana penanaman pokok ini tidak mengunakan tanah tetapi ianya mengunakan habuk kelapa tetapi lama-lama ia menjadi mudah malah teknik penanaman ini jauh lebih mudah dari penanaman biasa di atas tanah. 

"Setiap peserta mendapat empat bangsal penanaman yang boleh muat kira-kira 6,000 pokok semusim. Seramai lapan orang terlibat dengan Usahawantani Siswazah ini di sini," katanya. 

Menurut Hanif, dia lebih bersemangat apabila pada musim pertama pengeluaran, projek yang disertainya itu membuahkan hasil yang begitu memuaskan.

"Saya tidak mempunyai banyak masalah dengan penanaman buah 'rock melon' ini. Tanaman ini dilakukan sebanyak tiga kali dalam setahun iaitu pada Januari hingga Mac, Mei hingga Ogos dan bulan September hingga Disember. Pemasaran dilakukan oleh Jabatan Pertanian sendiri.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan khususnya Jabatan Pertanian kerana banyak membantu saya menjayakan projek ini." katanya yang kini memperolehi pendapatan bersih lebih RM3,000 sebulan itu.

Lazat...buah rock melon yang masak.
Segar..buah yang belum masak.

Hijau..ladang fertigasi Mohd Hanif.
Bantu...Nur Fuzilawati turut membantu.

     

30 November 2013

Ibu bapa tunggal sambut baik insentif perkahwinan

Oleh: Noraini Jusoh

Ibu bapa tunggal di negeri ini menyambut baik program insentif perkahwinan yang diperkenalkan Menteri Besar Terengganu dalam usaha menggalakkan ibu bapa tunggal mencari pasangan baru selepas gagal perkahwinan terdahulu.



Malah, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) turut memberi insentif sebanyak RM2,000 kepada ibu atau bapa tunggal yang telah bertemu jodoh dan memulakan kehidupan baru bersama-sama pasangan pilihan masing-masing.

Pasangan Saibani Ithmen, 63, dan Rahazaitom Ibrahim, 48, berkata program tersebut sangat baik kerana dapat membantu meringankan beban pasangan seperti mereka.

Saibani dari Kemaman yang mempunyai enam anak hasil perkahwinannya sebelum ini berkahwin dengan pasangannya yang mempunyai empat anak pada Jun lalu.

"Saya menjadi duda sejak tiga tahun lepas manakala isteri pula tidak berteman sejak tujuh tahun yang lalu. Kami mengambil keputusan untuk berkahwin selepas mendapat persetujuan anak-anak dan perkenalan kami hasil pertolongan seorang teman," katanya.

Menurut Salbani, mereka berdua merancang mengunakan wang insentif yang diterima sebanyak RM4,000 itu untuk menampung perbelanjaan ketika menunaikan umrah bersama Februari depan.

Sementara itu, pasangan ibu tunggal dan duda yang telah melangsungkan perkahwinan pada September lalu, Mamat Idris, 76, dan Zaiton Yahya, 51, bersyukur apabila masing-masing memperoleh RM2,000 seorang.

Kata Mamat yang mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu, dia menduda hampir 14 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangannya yang mempunyai lapan anak itu.

Mereka berdua melahirkan rasa gembira dengan pemberian tersebut serta mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang begitu prihatin terhadap rakyat.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sentiasa menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“InsyaAllah, kami merancang untuk menggunakan wang insentif ini sebagai modal permulaan untuk berniaga,” ujarnya.

Bagi pasangan Nawang Ali, 76, dan Zariah Ab. Rasid, 43, dari Balai Besar, Dungun berkata, insentif tersebut banyak membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti mereka.

Pasangan yang pernah berpisah dua tahun lalu setelah hampir 13 tahun berumah tangga mengambil keputusan untuk berkahwin semula demi anak tunggal mereka.

“Memandangkan kesihatan suami kurang baik, saya bercadang menggunakan duit RM4,000 yang diterima kami ini untuk membina bilik air baru bagi kemudahan suami,” katanya.

Pada majlis penyampaian insentif perkahwinan ibu/bapa tunggal peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak baru-baru ini, seramai 254 pasangan diraikan dan menerima insentif perkahwinan masing-masing yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 







UniSZA anjur ISLAC 2013

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (ISLAC 2013) selama dua hari bermula Sabtu ini.

 Setiausaha seminar, Syed Mohd Azmi Syed Abdul Rahman berkata seminar kali kedua ini merupakan kesinambungan Seminar Kebangsaan Perundangan Islam Dalam Kontemporari pada 2011 bertujuan mewujudkan perkongsian pintar dalam kalangan ahli akademik daripada pelbagai peringkat.

 Katanya seminar bertemakan 'Perundangan Islam ke arah Keharmonian Sejagat' ini akan membincangkan 11 isu semasa berkaitan perundangan Islam, antaranya konflik perundangan, kekeluargaan Islam, kewangan dan perbankan Islam serta Islam dan hak asasi manusia.

"Sebanyak 121 kertas kerja akan dibentangkan dalam tiga siri pembentangan berbeza dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh pembentang dari luar negara," katanya.

Syed Mohd Azmi berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 100 wakil agensi kerajaan dan swasta serta mahasiswa dari institusi pengajian tinggi tempatan.

 "Seminar ini juga diharapkan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat umum mengenai perundangan Islam serta dapat dijadikan sebagai platform untuk menyerlahkan keunggulan Islam dengan usaha yang menyeluruh daripada kalangan ahli akademik," katanya.

 

Hampir kesemua penuntut YT kembali ke Mesir.

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Hanya kurang 10 daripada 221 penuntut tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang belajar di Mesir meneruskan pengajian mereka di negara ini manakala selebihnya kembali menyambung pelajaran mereka di negara itu selepas pulang ke tanahair kerana situasi yang tidak menentu berlaku di Mesir, baru-baru ini.

Azmi Razik(dua dari kiri)
Pengarah Yayasan Terengganu, Azmi Razik berkata, penuntut yang mengambil keputusan tidak meneruskan pengajian di Mesir itu diuruskan tempat pengajian mereka di negara ini oleh keluarga masing-masing tetapi pihak Yayasan Terengganu tetap membiayai biasiswa mereka.

"Sekarang kita dah mula mengurangkan pelajar-pelajar di Mesir dan mahu menghabiskan pelajar yang ada. Situasi di Mesir sekarang sudah terkawal. Tumpuan hari ini adalah Jurusan Perubatan di Mansurah (Universiti) dan sebagainya. Pelajar yang ada akan menamatkan pengajian mereka. 

"Suasana semakin aman di Mesir sekarang dan hampir semua sudah pulang menyambungkan pelajaran mereka. Pelajar yang menyambung pelajaran mereka di negara ini tidaklah ramai, tidak sampai sepuluh orang.

"Pihak YT tidak menguruskan pelajar-pelajar ini cuma kita beri tajaan dan pembiayaan tidak sebagaimana di Mesir, di sini lebih tinggi sedikit," katanya kepada Teganukita ketika ditemui dalam satu majlis, di sini, baru-baru ini.

Azmi berkata, suasana di Mesir sudah mulai tenang, dan katanya, tempat penempatan pelajar YT itu berada jauh daripada kawasan merah.

"Cuma kegusaran ibubapa. Pada sayalah, sayang masa depan anak-anak ini, bagi penuntut perubatan di tahun akhir saya mengharapkan mereka akan meneruskan pengajian masing-masing," katanya.

Azmi menasihati semua penuntut tajaan YT yang belajar di Mesir supaya tidak menghampiri kawasan-kawasan yang sering berlaku rusuhan dan mengharapkan suasana di Mesir akan kembali tenang dan aman supaya penuntut YT itu dapat menamatkan pengajian masing-masing dengan jayanya.

JKKK Pantai menang hadiah melancong.

Juara..peserta JKKK Pantai bergambar bersama Bazlan.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BATU RAKIT: Keenakan rasa membawa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pantai menduduki tempat pertama Pertandingan Membuat Bubur Asyura Dun Batu Rakit sekaligus memenangi hadiah melancong ke mana-mana destinasi di Semenanjung Malaysia dengan sebuah bas selama tiga hari dua malam.

Bazlan dan isteri mengacau bubur.
Pertandingan yang disertai 29 JKKK seluruh kawasan Dun Batu Rakit itu turut disertai seramai 70 pelajar TATiUC dan kira-kira 30 pelajar Giat Mara Batu Rakit. Tempat kedua ialah JKKK Wakaf Catur dan ketiga JKKK Mengabang Panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, tujuan pertandingan diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan antara penduduk selain memperingati peristiwa yang berlaku ke atas nabi Nuh.

Ramuan..pelbagai ramuan diletak untuk menyedapkan bubur.
"Setiap JKKK membuat asyura di tempat kawasan masing-masing iaitu 29 tempat. Saya sempat melawat kira-kira 10 tempat kerana kesuntukan masa dan saya melihat masing-masing bekerjasama antara satu lain untuk menyiapkan bubur asyura itu.

"Pelajar TATiUC dan Giat Mara Batu Rakit di tempatkan disemua lokasi membuat bubur asyura iaitu seramai empat atau lima orang setempat.

"Bubur asyura ini kemudianya akan diagihkan kepada penduduk kawasan masing-masing " katanya.

Bazlan juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dengan program itu termasuklah pelajar dan tenaga pengajar TATiUC dan Giat Mara Batu Rakit kerana menjayakan program yang banyak memberi manfaat itu.
Mesra..Bazlan berbual dengan peserta.
Shahrul Nizam..bawa pelajar Giat Mara.


137 premis makanan abai kebersihan diarah tutup

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan 137 premis makanan di negeri ini ditutup setelah didapati mengabaikan kebersihan premis dan pengendalian makanan.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, penutupan dalam operasi sejak Januari hingga Oktober lalu membabitkan 8,623 pemeriksaan itu juga berpunca daripada kes keracunan makanan serta penemuan air kencing dan tahi tikus di premis makanan terbabit.

 “Pada amnya, tahap kebersihan premis makanan di Terengganu berada di tahap memuaskan dengan peratus premis yang mendapat gred A sehingga Oktober tahun ini adalah 57 peratus berbanding 57.4 peratus pada sepanjang tahun lalu (Januari hingga Disember).

“ Premis yang mendapat Gred B sehingga Oktober 2013 sebanyak 42 peratus berbanding 42.6 peratus  sepanjang 2012,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, kelmarin.

Sehingga kini, sebanyak 5,082 premis makanan berdaftar melalui JKNT seluruh Terengganu.

Selain itu, daripada aktiviti pemeriksaan dan penggredan premis makanan, JKNT juga menjalankan persampelan makanan bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,477 sampel makanan diambil dan dianalisa.Daripada jumlah tersebut, 99 sampel makanan (6.7 peratus) didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan makanan 1985.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2013, sebanyak 1,386 sampel makanan dianalisa dengan jumlah perlanggaran akta yang dikesan sebanyak 59 sampel (4.2 peratus) ,” katanya

Menurutnya, pihaknya bukan sahaja melakukan pemeriksaan dan penggredan premis makanan secara rutin, pemeriksaan secara besar-besaran bersama jabatan lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan wakil media juga dilaksanakan.

Katanya, operasi pemeriksaan dan penutupan premis makanan bermula sejak Julai lalu, selain JKNT akan meneruskan operasi dua kali sebulan di seluruh Terengganu.

“Operasi ini diadakan bertujuan meningkatkan tahap kebersihan premis makanan di seluruh negeri Terengganu dan penekenan diberikan terhadap kehadiran makhluk perosak seperti tikus di premis makanan.

“Tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawak Akta Makanan 1983 akan diambil terhadap peniaga makanan yang engkar dan gagal mematuhi peraturan, di mana antara tindakan yang boleh diambil adalah tindakan menutup premis makanan yang tidak sanitari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Selain daripada itu, peniaga yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983 juga boleh dihadapkan ke mahkamah sebagaimana diperuntukan di bawah Seksyen 32 (B) berkenaan.

Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan mula dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2014 sebagaimana surat arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 31 Disember 2009.


29 November 2013

Jangan terlalu selesakan anak-anak- Bazlan.

Kenangan...Bazlan (dua dari kanan, belakang) bergambar bersama kanak-kanak berkhatan di Wakaf Cagak.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BATU RAKIT: Ibubapa di kawasan dun ini diingatkan supaya tidak terlalu memanjakan dan dan memberi keselesaan kepada anak-anak kerana ia bimbang boleh merosakan masa depan anak-anak mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, tidak sebagaimana ibubapa dahulu, ibubapa sekarang dilihat berlebihan dalam memberi sesuatu kepada anak-anak mereka sehingga apa sahaja permintaan anak akan dipenuhi.

"Anak-anak kita sekarang, cukup selesa, bangun tidur makanan sudah tersedia, tak ada minyak motor mintak dengan ibubapa. Betapa mudahnya, betapa selesa. Inilah satu kebimbangan kepada kita kerana keselesaan inilah membuatkan anak-anak kita boleh melakukan sesuatu yang tidak elok.

"Ini adalah kerana mereka tidak bekerja, nak makan sudah tersedia, nak naik motor mak beli dan jalan motor ayah beri duit minyak. Keselesaan ini membuatkan anak-anak tidak perlu memikirkan bagaimana nak mencari duit," kata Bazlan.

Sehubungan itu, Bazlan meminta setiap ibubapa supaya mendidik anak-anak dengan landasan yang betul dan jangan terlampau memberi keselesaan kepada anak-anak kerana bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada mereka.

"Sebagai wakil rakyat, saya bimbang kawasan yang kita jaga ini, kawasan Batu Rakit akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini oleh anak-anak kita," katanya.

Bazlan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Khatan Beramai-ramai Komuniti 1Malaysia, Wakaf Cagak dekat sini, hari ini. Seramai 35 kanak-kanak dikhatan di majlis itu.

Turut hadir ialah Pegawai Penerangan Kuala Terengganu, Azri Zainal Abidin dan Pengerusi Komuniti 1Malaysia Wakaf Cagak, Mohammad Abdullah, Pegawai Kesihatan HNZ Kuala Terengganu dan beberapa Ahli JKKK kampung itu.

Sementara itu beberapa peserta khatan ketika ditemui mengakui tidak takut atau gementar untuk berkhatan malah ada yang tidak sabar menunggu untuk dikhatankan.

Salam..Bazlan bersalaman dengan seorang peserta khatan.
Hadir..sebahagian ibubapa yang hadir.
Azri ketika berucap.
Mohd Abdullah.
Mohd Aidilfitri..tidak takut berkhatan.

 

ADUN Kuala Besut sertai gotong royong bina pagar sekolah


Tengku Zaihan kanan meletak batu konkrik

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerosakkan pagar Sekolah Kebangsaan Alur Peroi,Kuala Besut, yang musnah dalam kejadian kemalangan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, mendapat perhatian pelbagai pihak di kampung berkenaan.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lay Out Tok Saboh dengan kerjasama PIBG sekolah berkenaan dan Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut, bergabung tenaga mengadakan gotong royong membina semula pagar yang rosak itu.

Kira-kira 50 ahli komuniti setempat menghadiri kerja gotong royonh yang turut dihadiri ADUN Kuala Besut, Yang Berhormat Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Dalam kejadian ketika PRK baru-baru ini seorang pegawai polis trafik yang bertugas putus kaki apabila dilanggar sebuah kereta dan merempuh pagar berkenaan.

Tengku Zaihan berkata, pihaknya mengambil masa agak lama untuk kerja membaiki pagar berkenaan kerana kesuntukkan masa dan baru sekarang ia boleh dibaiki.

Katanya, pihaknya membelanjakan RM3,000 untuk kerja baik pulih yang dijalankan secara gotong royong oleh penduduk kampung terbabit.

“Konsep gotong royong itu selain menjimatkan kos ia juga bertujuan merapatkan hubungan social antara masyarakat, guru dan pemimpin,” katanya.

618 pemohon layak terima insentif perkahwinan

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menerima 737 permohonan daripada ibu dan bapa tunggal untuk mendapat Insentif Perkahwinan sejak skim ini diperkenalkan Januari lalu.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, daripada jumlah itu 618 layak menerima insentif berkenaan melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM1,236,000.

"Penerima insentif perkahwinan ini perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan mesti mengikuti beberapa program pemantapan perkahwinan seperti ‘pasca perkahwinan’, ‘keluarga generasi baru’ dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, baru-baru ini.

Mohd Shafaruddin berkata, dari permohonan yang diluluskan, pasangan paling muda menerima insentif ini berusia 20 tahun (ibu tunggal) dengan pasangannya berusia 21 tahun dari Parlimen Kemaman.

“Manakala, pasangan paling berusia ialah pasangan berumur 92 tahun (duda) dengan pasangan berusia 72 tahun (ibu tunggal) daripada Parlimen Marang,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 254 pasangan diraikan dan menerima insentif perkahwinan masing-masing.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, statistik menunjukkan bahawa di negeri ini terdapat seramai 24, 318 orang yang berstatus ibu tunggal dan seramai 2, 810 pula berstatus duda.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan galakan di dalam proses perkahwinan semula ini bagi membantu ibu tunggal dan duda di Terengganu agar mereka dapat membina satu kehidupan baru yang lebih bahagia.

"Sejak diperkenalkan bermula awal tahun ini, program insentif perkahwinan menunjukkan perkembangan yang cukup menggalakkan. Justeru, program ini akan diteruskan pada masa akan datang termasuk penambahan peruntukan juga akan dipertimbangkan,” ujarnya.