Halaman

31 December 2013

10 NGO Marang bantah himpunan guling kerajaan

Oleh : Amirullah Othman 

Perhimpunan 4.0 atau perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan mendapat tentangan hebat dari semua pihak.

Di Marang, sebanyak 10 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Kelab-Kelab Belia Malaysia(MAYC) Kawasan Marang, Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Marang, Majlis Belia Daerah Marang, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang, Kelab Rakan Muda Marang, Kelab Gym Daerah Marang, Alumni Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Marang, Kawasan Rukun Tetangga Alor Ketitir, Kelab Rekreasi dan Cinta Alam Daerah Marang dan Kelab Sukan Rhu Rendang.

Susulan itu, 10 laporan polis dibuat supaya penganjur dan sesiapa yang terlibat dalam perhimpunan haram itu di tangkap dan dikenakan hukuman seberat-beratnya.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik Zaidi Muda berkata Jika perhimpunan itu berlaku, ia boleh menimbulkan huru hara dan banyak kerosakan harta benda yang amat serius jika tidak di halang oleh pihak polis.

 “Kami NGO Marang cintakan keamanan dan menentang segala bentuk propaganda-propaganda yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak stabil dan keganasan.

 “Jika keadaan ini berlaku, Malaysia akan menjadi seperti Thailand yang mana keadaan tidak selamat dan ekonomi merudum jatuh.

 “Seharusnya kita semua rakyat Malaysia bersatu hati dan hidup dalam keadaan aman seperti sekarang dan pihak berkuasa seharusnya mengambil langkah yang terbaik untuk mengatasi sebarang kemungkinan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan Rhu Rendang, Dato ‘ Razali Idris, pula berkata jika sebarang bentuk anasir-anasir jahat ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan semakin menular terutamanya kalangan anak-anak muda.

 “Pelajar dan mahasiswa perlu diberi tumpuan kerana golongan ini kebanyakannya yang banyak terdedah dengan dakyah-dakyah pembangkang.

 “Jadi, tindakan tegas kepada golongan itu perlu diambil supaya mereka tidak terbabit dengan aktiviti tidak sihat yang menyalahi undang-undang dengan menyertai perhimpunan haram ini,” katanya.

 

179 masuk Tingkatan satu SMK Lembah Bidong.

Kipayatuallah (bersongkok) bersalaman dengan seorang bapa.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Seramai 179 pelajar di negeri ini yang mencapai keputusan cemerlang UPSR 2013 mendaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, hari ini.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said berkata, pendaftaran berjalan lancar dan tamat kira-kira jam 12.30 tengahari.

"Tahun ini sebanyak enam kelas tingkatan satu diwujudkan. Kesemua murid yang terpilih adalah mereka yang cemerlang dalam keputusan UPSR tahun lalu.

Kipayatuallah...Ketua PPD Setiu.
"Perjalanan pendaftaran hari ini berjalan lancar. Beberapa orang guru dan murid senior berjaya mengendalikan majlis pendaftaran dengan baik dan kebanyakan ibubapa berpuashati dengan layanan pihak sekolah," katanya.

Kipayatuallah mengharapkan semua pelajar yang mendaftar semalam supaya terus kekal di Sekolah Berprestasi Tinggi itu sehingga tamat tingkatan lima supaya boleh membantu sekolah untuk mencapai keputusan cemerlang dalam PPMR dan SPM pada masa depan.

Dalam pada itu, Kipayatuallah berkata, seramai 1090 murid mendaftar untuk memasuki Tahun Satu 2014 di Setiu yang akan bermula esok.




 

Seberang Takir hab perdagangan Negeri Terengganu

Seberang Takir, kawasan pesisir pantai yang dipisahkan dengan pusat bandar raya ini oleh muara sungai Terengganu akan dibangunkan sebagai hab perdagangan utama negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beta Asset Sdn. Bhd., anak syarikat kumpulan Akmam yang diberi peluang untuk memajukan kawasan seluas 11.8 hektar, merancang projek hartanah bersepadu dengan pelaburan dianggarkan RM1.5 bilion di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pengerusinya, Datuk Mohd. Johar Abas memberitahu, sekiranya menjadi kenyataan sepenuhnya, lebih 3,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan di samping menjadi penjana kepesatan perkembangan ekonomi setempat dan pemangkin kepada kemasukan pelabur lain.

''Beta Asset akan membangunkan hospital pakar setelah menerima kelulusan zon daripada Kementerian Kesihatan di samping pusat pengajian, kompleks perniagaan, hotel butik, hotel lima bintang, kondominium dan apartmen dengan pemandangan laut yang indah.

''Cadangan pembinaan hospital pakar, pusat pengajian dan hotel lima bintang akan dilakukan mengunakan konsep bina - pajak - pindah (built - lease - transfer) bagi memastikan pendapatan kumpulan terjamin pada masa hadapan," ujarnya.

Projek pembangunan bersepadu di Seberang Takir itu merupakan salah satu daripada 12 projek pelaburan baharu ECER yang diumumkan dan Beta Asset turut dipilih oleh ECER menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran dokumen di Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, Majlis Pembangunan wilayah ECER (ECERDC) memberi pelbagai insentif menarik termasuk pelepasan cukai kepada syarikat yang beroperasi di wilayah berkenaan.

Menurut beliau, bagi menjayakan perancangan tersebut, Beta Asset telah melantik pengurus dana, Ingenious Billion Berhad (IBB), bersama Anametrics Holding Ltd., untuk menguruskan dan meraih dana berjumlah RM3 bilion.

''Sebanyak RM1.5 bilion adalah untuk membiayai projek-projek pembangunan bercampur di ECER manakala RM1.5 bilion lagi untuk menampung projek semasa dan masa hadapan kumpulan termasuk projek pesawat pemantauan dan maritim.

''Bahagian pesawat pemantauan dan maritim akan menjadi teras perniagaan kumpulan pada masa depan, satu lagi sumbangan kukuh pendapatan dan aliran tunai bagi kumpulan dalam waktu terdekat," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut bercadang melebar dan mempelbagaikan lagi penglibatan pembinaan hab perdagangan termasuk pelabuhan di Wilayah Utara pada masa depan.

''Dalam usaha mengembangkan itu, kami merancang untuk melakukan dua penyenaraian di pasaran bursa saham tempatan dan antarabangsa," ujarnya.

 

TMT 2013 jana pendapatan RM4 bilion

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menjana pendapatan kira-kira RM4 bilion hasil kedatangan empat juta pengunjung dari dalam dan luar negeri sepanjang sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata kempen TMT 2013 berjaya dilaksanakan dengan jaya sekali gus menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini khususnya di pulau dan juga Tasik Kenyir, berbanding sebelum ini.

“Seramai empat juta pelancong dari dalam dan luar negara berjaya direkodkan sepanjang 2013 ini dengan jumlah pendapatan sepanjang tempoh itu pula dianggarkan sebanyak RM4 bilion,” katanya ketika berucap sempena merasmikan Penganjuran Malam Aprisiasi Penggiat Industri Pelancongan dan Media Negeri Terengganu serta Pra Pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pengurusan Kanan Tourism Terengganu, Haji Ishamudin Hashim dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria.



Dato’ Mohd Jidin berkata, bagi memastikan Terengganu terus menjadi destinasi pilihan, kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan kempen TMT berterusan sejajar dengan inisiatif menjadikan industri pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negeri tercapai.

Dalam pada itu juga, beliau berharap TMM 2014 yang akan menyusl dengan tahun Perayaan 2015 sebagaimana pengumuman Perdana Menteri menerusi pembentangan bajet dua bulan lalu menjadi pemangkin kepada hasrat itu.

 “Seiring dengan itu, kerajaan negeri mengambil langkah memfokuskan promosi dan pembengunan kepada empat produk pelancongan utama negeri seperti pertama, pulau dan pantai; kedua, Kuala Terengganu Bandaraya Warisan pesisir Air; ketiga, Tasik Kenyir dan keempat, produk-produk pelancongan yang merangkumi seni dan budaya, sejarah dan warisan, taman rekreasi, hutan simpan dan air terjun, Setiu Wetland dan penyu,” katanya.

Beliau sebelum itu berkata, kerajaan negeri menyambut baik dan penyokong penuh uasaha kerajaan Pusat menganjurkan TMM 2014 seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Katanya, langkah itu dimulakan lebih awal oleh kerajaan negeri menerusi penganjuran TMT 2013 bagi memastikan Terengganu lebih bersedia dari segi promosi, infrastruktur pelancongan, pakej pelancongan dan program pelancongan sempena TMM 2014 nanti.





Pindaan lima portfolio Exco

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meminda lima portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sejak minggu lalu.

Perubahan itu termasuk tugas terbaru Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Alam Sekitar, iaitu pertambahan Alam Sekitar.

Dato’ Mohd Jidin Shafee yang sebelum ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kini ditukarkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan.


Pindaan portfolio baru itu, menurut Dato’ Mohd Jidin sebagai usaha kerajaan negeri menyeragamkan peranan itu dengan bidang tugas di kementerian.

 “Pada minggu lalu, Menteri Besar telah meminda portfolio . Pindaan terhadap nama sahaja, misalnya saya hanya memegang Pelancongan dan Kebudayaan.

 “Pindaan itu termasuk portfolio Alam Sekitar di bawah Dato’ Ahmad Razif diletakkan bawah Menteri Besar,” katanya kepada media ketika siding akhbar Penganjuran Malam Aprisiasi Penggiat Industri Pelancongan dan Media Negeri Terengganu serta Pra Pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.


Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air.

Sementara YB A.Latiff Awang pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi , iaitu tambahan Komunikasi yang sebelum ini di bawah Dato’ Mohd Jidin.

Sementara YB Ghazali Taib pula kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas, dengan menggugurkan Inovasi yang berada bawah portfolio beliau sebelum ini.


Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, engetuai majlis mengangkat sumpah barisan Exco di Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, pada 11 Mei lalu.

Adun Kuala Berang itu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.


Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, turut memegang portfolio Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.


Teganukita 92


http://issuu.com/pokjoe2010/docs/teganukita_92__digital_/1

32 sekolah perintis Program Tranglish

 Oleh: Suriati Ali

 Terengganu akan memperkenalkan program `Tranglish’ sebagai langkah memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah menengah mulai tahun depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, Encik Ghazali Taib, berkata program itu akan memberi penekanan terhadap aspek komunikasi yang dikesan menjadi kelemahan besar pelajar negeri ini.

 Beliau berkata, sebanyak 32 sekolah menengah di seluruh negeri dipilih sebagai perintis dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar yang mencatat keputusan kurang memberangsangkan dalam subjek bahasa Inggeris dalam peperiksaan awam.

 "Untuk permulaan kita pilih sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan fokusnya adalah kawasan luar bandar atau pedalaman kerana pencapaian mereka agak rendah berbanding sekolah bandar.

"Selain itu pemilihan juga dibuat bagi sekolah yang ramai murid bagi memastikan pelaksanaannya lebih meluas,"katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 1,033 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan awam di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

 Turut hadir, Pengarah YT, Encik Azmi Razik. Encik Ghazali berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM3.3 juta bagi pengisian program berkenaan dan semua pengetua, penolong kanan serta guru bidang di sekolah perintis sudah diberi penerangan serta latihan berkaitan.

 "Kita harap projek ini akan berjaya dan sekali gus mewujudkan budaya komunikasi bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan guru sekolah.

 "Bagaimanapun matlamat jangka panjang kita sebenarnya adalah untuk melahirkan mahasiswa yang dapat menguasai bahasa Inggeris dan apabila keluar nanti dapat memenuhi kehendak pasaran kerja yang amat mementingkan kemahiran bahasa ekdua dunia itu,"katanya.

 Katanya lagi, program itu nanti akan diperluaskan ke peringkat ekolah rendah dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan kerjasama daripada pihak swasta.

 "Kita mahu dalam tempoh 10 tahun lagi semua pelajar Terengganu sekurang-kurangnya dapat berkomunikasi dalam bahas Inggeris mudah bukan saja di sekolah malah di rumah.

 "Kita akan minta kerjasama daripada syarikat korporat atau swasta untuk turut sama membiayai program ini bagi memperluaskannya ke peringkat sekolah rendah pula,"katanya.

 

100 pelajar gunting rambut percuma.


GUNTING...seorang pelajar sedang digunting rambut oleh seorang tukang gunting ketika menyertai program Gunting Rambut Percuma Dun Batu Rakit, di ekan Batu Rakit, baru-baru ini.

Program anjuran Penyelaras Pemuda dan Puteri UMNO Dun Batu Rakit itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh. Turut hadir ialah isteri Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Siti Zaimah Mahmud.


Zakaria (kanan) bersama YB Zul (mengunting).
Menurut jurucakap penganjur program itu, Zakaria Abdul Rahman, seramai kira-kira 100 pelajar dari beberapa kampung di Dun itu terbabit dengan program yang diadakan di dua lokasi itu.

"Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara pelajar dan ibubapa dengan Pemuda dan Puteri UMNO Dun Batu Rakit ini.

Tungu giliran.
"Selain itu, ia juga bagi meringankan sedikit bebanan ibubapa untuk mengunting rambut anak-anak mereka terutamanya yang mempunyai anak lebih seorang," katanya.

Zakaria berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada  semua pihak yang menjayakan rogram itu termasuklah kepada Zulkifly kerana sudi hadir.-Oleh Aminudin Ismail

 

Razak nekad pertahankan rodat

Oleh: Aida Abd Rahman

Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berkaitan kehidupan berasal dari Terengganu serta pernah masyhur sekitar 40-an sehingga 80-an dulu.

Pantun dan sajak yang dilagukan dalam persembahan rodat mempunyai peranan serta pengaruh yang agak signifikan dengan kehidupan bermasyarakat di negeri ini.

Kebimbangan lenyapnya kesenian itu mendorong seorang penggiat rodat, Razak Senik (gambar), 61, atau lebih dikenali sebagai `Pok Jak’ dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu untuk terus mempertahankannya sejak 47 tahun lalu.

“Suatu masa dulu, persembahan rodat ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat Terengganu. Ia dipersembahkan di majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pesta kebudayaan.

"Tapi sayang, persembahan ini kian lenyap apatah lagi anak muda hari ini sudah tidak lagi mahu menceburinya. Oleh sebab itu juga, saya tidak akan berundur dari lapangan ini kerana bimbang ia terkubur begitu sahaja,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menurut Razak, biasanya struktur kumpulan utama rodat yang dipeloporinya terdiri daripada enam hingga lapan orang pengadi (pemukul rebana), 10 pelenggok (penari) dan lima orang mak inang.

Dalam usia yang semakin lanjut, Razak masih kekal membimbing 10 hingga 15 golongan muda dari sekitar kampungnya bagi mempelajari kesenian itu, selain membawa bersama Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang menyertai pelbagai persembahan sama ada dalam dan luar Terengganu.
Razak menyiapkan gendang yang ditempah pelanggan sebagai kerja sampingan di rumahnya di Kampung Surau Panjang
Kumpulan berkenaan juga sudah menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan peringkat nasional mahupun antarabangsa seperti di Hong Kong, Taiwan dan Singapura.

Razak berkata, seni yang mengetengahkan lagu-lagu yang bersahut-sahutan yang diungkap dalam bahasa Arab yang dipetik dan disalin daripada kitab Hadrah.

Oleh itu, menurutnya sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab.

"Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila dilihat perkataan rodat itu sendiri wujud dalam perbendaharaan kata Arab yang membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga berbalas-balas.

 “Seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul.

 “Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas,” kata Pok Jak yang bekerja tetap sebagai penjaja keropok.

Katanya, selawat yang dilagukan dalam rodat dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit dan sebaik sahaja lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan `Bismillahi Muala Nab Tadaina’ iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan.

Menurutnya, para pengadi kemudiannya akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok dan seterusnya lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

Dalam pada itu, Razak juga tidak menolak kemungkinan kesukaran mengalunkan lagu dan menghafal bait-bait lirik dalam persembahan rodat juga menyebabkan ramai anak muda menolak untuk mewarisi kesenian zaman-berzaman itu pada masa kini.

Menurut satu catatan di dalam Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu menyebut bahawa pada awal abad ke-19 didapati ada pedagang dari Sambas dan Pontianak datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket serta perkakas.

Mereka berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil mempersembahkan rodat dengan diiringi alat muzik yang dipanggil rebana tar sehingga lewat malam.

Penduduk Terengganu kemudiannya tertarik mempelajari persembahan rodat selepas mendengar alunan lagu dalam rodat yang diiringi suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik itu sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor, sekali gus berkembang dalam masyarakat.

Selain itu, kawasan atau kampung yang dipercayai mula-mula diperkenalkan seni rodat di daerah Kuala Terengganu adalah di Kampung Pasir Panjang dan Gong Tok Nasek, sebelum ia berkembang di sekitar daerah Marang dan Hulu Terengganu termasuk di Kampung Surau Panjang, iaitu satu-satunya kawasan yang masih utuh mempertahankan kesenian itu.

 

30 December 2013

Peranan media penting dalam membantu pembangunan negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melihat peranan media massa terutamanya media elektronik dan cetak amat penting dalam membantu pembangunan negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong berkata, pendekatan penyampaian maklumat melalui media massa mampu memberi liputan yang luas dan efektif dalam penyampaian sesuatu maklumat kepada masyarakat.

“Media berperanan sebagai orang tengah untuk menyampaikan maklumat antara kerajaan dengan orang ramai dan begitu juga sebaliknya. Segala maklumat yang disampaikan media akan dikongsi kepada berjuta-juta penduduk dunia.

 “Amatlah penting bagi pengamal media menyampaikan maklumat yang betul dengan hati yang tulus dan ikhlas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Malam Mesra Media Jabatan Penerangan Negeri Terengganu 2013 di Dewan Kovensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, sumbangan media massa sangat hebat kerana hanya dengan sebatang pena mampu memberi impak yang besar terhadap sesuatu perkara.

“Sebagai pengamal media, segala maklumat yang hendak dikongsi dengan masyarakat harus tepat dan perlu mematuhi etika kewartawanan demi menjaga kewibawaan berita yang dihasilkan,” katanya.

Tambah beliau, sejajar dengan perkembangan teknologi, peranan media kini lebih meluas dan sebarang maklumat juga lebih mudah untuk diperolehi termasuk melalui media baru.