Halaman

31 December 2013

32 sekolah perintis Program Tranglish

 Oleh: Suriati Ali

 Terengganu akan memperkenalkan program `Tranglish’ sebagai langkah memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah menengah mulai tahun depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, Encik Ghazali Taib, berkata program itu akan memberi penekanan terhadap aspek komunikasi yang dikesan menjadi kelemahan besar pelajar negeri ini.

 Beliau berkata, sebanyak 32 sekolah menengah di seluruh negeri dipilih sebagai perintis dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar yang mencatat keputusan kurang memberangsangkan dalam subjek bahasa Inggeris dalam peperiksaan awam.

 "Untuk permulaan kita pilih sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan fokusnya adalah kawasan luar bandar atau pedalaman kerana pencapaian mereka agak rendah berbanding sekolah bandar.

"Selain itu pemilihan juga dibuat bagi sekolah yang ramai murid bagi memastikan pelaksanaannya lebih meluas,"katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 1,033 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan awam di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

 Turut hadir, Pengarah YT, Encik Azmi Razik. Encik Ghazali berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM3.3 juta bagi pengisian program berkenaan dan semua pengetua, penolong kanan serta guru bidang di sekolah perintis sudah diberi penerangan serta latihan berkaitan.

 "Kita harap projek ini akan berjaya dan sekali gus mewujudkan budaya komunikasi bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan guru sekolah.

 "Bagaimanapun matlamat jangka panjang kita sebenarnya adalah untuk melahirkan mahasiswa yang dapat menguasai bahasa Inggeris dan apabila keluar nanti dapat memenuhi kehendak pasaran kerja yang amat mementingkan kemahiran bahasa ekdua dunia itu,"katanya.

 Katanya lagi, program itu nanti akan diperluaskan ke peringkat ekolah rendah dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan kerjasama daripada pihak swasta.

 "Kita mahu dalam tempoh 10 tahun lagi semua pelajar Terengganu sekurang-kurangnya dapat berkomunikasi dalam bahas Inggeris mudah bukan saja di sekolah malah di rumah.

 "Kita akan minta kerjasama daripada syarikat korporat atau swasta untuk turut sama membiayai program ini bagi memperluaskannya ke peringkat sekolah rendah pula,"katanya.