Halaman

02 January 2014

Lima acara di Terengganu mengisi kalendar TMM 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berharap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyenaraikan lima acara utama dari negeri ini antara 22 acara utama sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Lima acara itu ialah Festival Kenyir, Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu, Terengganu International Rainforest Challenge, Sultan Mizan Cup dan Fiesta Redang-Perhentian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata Terengganu bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara kebudayaan dan pelancongan di peringkat antarabangsa sepanjang 2014 ini.

“Kita juga mahu beberapa acara antarabangsa dimasukkan dalam kelandar TMM 2014 termasuk Pesta Candat Sotong pada Mei dan Festival Kenyir selama sebulan bermula April hingga Mei,” katanya ketika berucap sempena merasmikan Penganjuran Malam Aprisiasi Penggiat Industri Pelancongan dan Media Negeri Terengganu serta Pra Pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurusan Kanan Tourism Terengganu, Haji Ishamudin Hashim dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menganggarkan kedatangan lima juta pelancong keseluruhannya pada 2014 dengan 35 peratusnya pelancong luar negara.

“Kemudahan 9,729 unit bilik hotel dan resort yang ada di seluruh Terengganu dijangka dapat menampung kedatangan lima juta pengunjung sepanjang 2014 nanti. Jumlah itu tidak termasuk hotel baru yang belum dirasmikan.

“Jangkaan kedatangan pelancong bertambah pada 2014 juga disokong dengan sebahagian program di Tasik Kenyir yang akan siap tidak lama lagi, termasuk Santuari Kelah dan Gajah, Taman Rama-Rama serta Festival Kenyir yang akan diadakan sebulan bermula April nanti,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan Terengganu terus menjadi destinasi pilihan, kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan kempen TMT berterusan sejajar dengan inisiatif menjadikan industri pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negeri tercapai.

Beliau juga berharap TMM 2014 yang menyusul dengan Tahun Perayaan 2015 sebagaimana pengumuman Perdana Menteri menerusi pembentangan bajet dua bulan lalu menjadi pemangkin kepada hasrat itu.

Dato’ Mohd Jidin berkata, Terengganu lebih awal bersedia menyambut TMM 2014 menerusi penganjuran TMT 2013 sama ada bersedia dari segi promosi, infrastruktur pelancongan, pakej pelancongan dan program pelancongan.

“Seiring dengan itu, kerajaan negeri mengambil langkah memfokuskan promosi dan pembangunan kepada empat produk pelancongan utama negeri seperti pertama, pulau dan pantai; kedua, Kuala Terengganu Bandaraya Warisan pesisir Air; ketiga, Tasik Kenyir dan keempat, produk-produk pelancongan yang merangkumi seni dan budaya, sejarah dan warisan, taman rekreasi, hutan simpan dan air terjun, Setiu Wetland dan penyu,” katanya.