Halaman
30 December 2013
Seramai 5.4 juta pelajar dapat bantuan persediaan
Dato' Seri Idris Jusoh...bantu pelajar
Oleh: Mohammad Ishak
ISU kenaikan kos sara hidup yang dibangkitkan pembangkang sehingga mencetuskan kebangkitan pihak tertentu mengadakan perhimpunan untuk mengulingkan kerajaan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur, esok tidak sepatutnya berlaku.
Walau apa cara sekali pun bantahan yang bakal dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, kerajaan sebenarnya amat prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan miskin.
Bagi membantu meringankan beban hidup rakyat kerajaan sama ada peringkat negeri dan pusat mengadakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif sebagai imbangan kepada kenaikan kos sara hidup yang bakal dihadapi rakyat.
Sebagai contoh, Kerajaan Terengganu dalam usaha meringankan beban ibu bapa menghadapi pembiayaan sekolah kini sedang mengagihkan bantuan persekolahan kepada mereka yang layak untuk menerimanya.
Di peringkat Persekutuan pula, Kementerian Pendidikan akan mengagihkan bantuan serupa pada 15 Januari depan kepada pelajar terbabit.
Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris, berkata menerusi agihan itu kerajaan memperuntukkan RM540 juta yang akan memberi manfaat kepada 5.4 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Katanya, kementerian akan menyalurkan bantuan berkenaan ke akaun sekolah bermula 15 Januari 2014. Oleh itu, tidak timbul masalah ibu bapa untuk membiayai persekolahan anak-anak kerana bantuan berkenaan adalah sebahagian kesediaan kerajaan untuk membantu rakyat.
Bagi rakyat Terengganu ia sememangnya beruntung kerana akan mendapat dua bantuan dalam tempoh sama dan setiap ibu bapa akan mendapat antara RM100 hingga RM300 sebagai bantuan pendidikan.
Selain bantuan pendidikan, golongan remaja negeri ini juga sedang menikmati agihan dana bakti remaja yang sedang berjalan di seluruh negeri.
Malah menjelang Februari tahun depan Kerajaan Pusat sekali lagi meneruskan program bantuan BRIM kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Bantuan bagi pelbagai kategori termasuk individu, keluarga, remaja dan warga emas akan memnerima antara RM300 hingga RM650 mengikut kumpulan diharap dapat membantu rakyat membelanja secara berhemah bagi mengimbangi kos sara hidup.