Halaman

29 December 2013

Tiga menara telekomunikasi di Tasik Kenyir operasi suku pertama 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat membangunkan tiga menara telekomunikasi di Pulau Bayas, Pulau Camal dan Sungai Petang, Tasik Kenyir bagi  melancarkan kemudahan komunikasi di pulau peranginan itu pada masa akan datang. 

Kemudahan yang dijangka dapat beroperasi pada suku pertama tahun depan dapat memenuhi keperluan pelancong sejajar dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari, berkata kos bagi sebuah menara bernilai lebih RM1 juta kerana menggunakan pengangkutan air berbanding pembinaan menara di tanah lapang, selain masa menyiapkannya juga lebih lama sehingga lebih setahun.

“Bagi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tiga menara telekomunikasi telahpun siap dibina di tiga pulau yang dijangka akan mula aktif pada suku pertama tahun depan.

“Dengan adanya komunikasi yang lebih baik pasti akan lebih melonjak sektor pelancongan di pulau itu kelak,” kata beliau dalam satu kenyataan di akaun facebook rasmi beliau, hari ini.

Katanya, sebanyak 53 daripada 77 buah menara seluruh Terengganu telah siap dibina termasuk 24 di daerah Hulu Terengganu dan tiga di Tasik Kenyir.

Dalam pada itu, Dato’ Jailani berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion pada tahun hadapan untuk membina 1,000 buah menara baru di seluruh negara, termasuk menumpukan perhatian di kawasan pelancongan.

Tambah beliau lagi, Tasik Kenyir menjadi satu ikon pelancongan yang menarik dan berpotensi besar sebagai destinasi yang mampu menarik pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

“Jadi, sebagai persiapan saya harap pihak berkaitan dapat mempertingkatkan usaha yang lebih berkesan bagi bersama-sama menjadikan Tasik Kenyir sebagai satu destinasi pelancongan utama bukan sahaja di Terengganu, malah Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, beliau bersama pihak Ketengah, agensi bawah KKMM seperti RTM, penerangan dan SKMM meninjau dan menikmatri pengalaman menarik menerokai kawasan menarik di pulau peranginan itu seperti Pulau Herba, Sungai Lasir, Pulau Petang dan Santuari Kelah.