Halaman

03 January 2014

Masjid baru Kampung Pauh lengkap dan selesa.

Masjid Kampung Pauh, Hulu Terengganu.
Oleh: Aminudin Ismail.

PEMBINAAN beberapa masjid baru oleh kerajaan negeri bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar semata-mata malah penduduk kawasan pendalaman turut dapat menikmatinya untuk melakukan solat dan ibadah-ibadah lain di dalam masjid baru yang lebih luas dan selesa.

Masjid Kampung Pauh yang terletak di Hulu Terengganu dibina bagi mengantikan masjid lama bagi menampung jumlah jemaah dari beberapa kampung sekitar yang semakin meningkat terutamanya untuk menunaikan solat jumaat dan solat dua hari raya.

Di buka kepada orang ramai pada Julai 2012, masjid yang dibina di atas tapak berhampiran masjid lama itu boleh menampung kira-kira 800 jemaah dan mempunyai pelbagai kelengkapan termasuklah tempat letak kereta berbumbung, dapur dan tempat menjamu selera.

Ustaz Mohd...Iman I Masjid.
"Masjid ini memang memberi banyak keselesaan kepada jemaah. Selain kita boleh melakukan ibadah dengan lebih selesa kerana ia lebih luas, beberapa kelengkapan lain turut disediakan.

"Jika dahulu, untuk menunaikan solat Jumaat atau dua hari raya jemaah terpaksa bersolat di luar daripada ruang solat kerana tidak muat tetapi dengan adanya masjid baru ini jemaah dapat bersolat di dalam masjid dengan lebih selesa," kata iman I masjid itu Mohd@ Zali Ismail.

Menurutnya, pelbagai aktiviti keagamaan diadakan di masjid itu, antaranya ialah ceramah agama pada malam Ahad dan Isnin serta mengadakan bacaan yasin, tahlil dan solat hajat pada malam jumaat.

"Buat masa ini kita hanya mengadakan bacaan Al-Quran sahaja kerana ustaz yang mengajar itu sakit dan belum ada pengantinya. Sebelum ini sambutan daripada penduduk agak mengalakan terutamanya pada malam yang terdapat ustaz," katanya.

Beliau mengharapkan dengan pembinaan masjid baru oleh kerajaan Barisan Nasional itu, penduduk akan sentiasa mengimarahkan masjid dan meminta penduduk terutamanya golongan muda supaya datang ke masjid untuk menunaikan solat fardu berjemaah kerana ia lebih baik daripada solat berseorangan di rumah.

Katanya, Iman II Masjid ialah Ahmad Muhammad manakala bilal I ialah Razali@ Mohd Ali dan Bilal II pula ialah Bidin Teras. Pengerusi masjid ialah Abdullah Sulong.
Kemas..ruang letak kereta.

Selesa...ruang solat yang luas.

Lengkap...dapur turut dibina di luar masjid.

Hias..dinding yang terdapat ayat Quran.

Mimbar..terdapat ukiran kayu.

Iman I bersama dua bilalnya.