Halaman

30 December 2013

Bantuan tahunan RM1.1 juta untuk 436 persatuan belia seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.1 juta kepada 436 persatuan belia di seluruh Terengganu yang aktif dan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) sebagai bantuan pengurusan tahunan pada tahun ini.

Daripada peruntukan itu, setiap persatuan termasuk Majlis Belia Negeri Terengganu menerima RM40,000, badan gabungan di peringkat negeri dan majlis belia-belia daerah (RM8,000), badan gabungan peringkat kawasan dan cawangan-cawangan (RM2,000).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, bantuan pengurusan tahunan kepada persatuan yang bernaung di bawah Majlis Belia Negeri Terengganu itu bagi memastikan pengurusan dan kemajuan organisasi belia di peringkat akar umbi dapat bergerak lebih aktif dan memberi manfaat kepada golongan muda.

“Insya-Allah, walaupun kita tidak menjanjikan untuk melaksanakan setiap tahun, tetapi sehingga kini kerajaan negeri tetap komited untuk menyediakan sejumlah peruntukan yang besar kepada setiap persatuan belia yang berdaftar.

 “Di majlis ini, semua 436 persatuan di peringkat termasuk cawangan dan kampung-kampung menerima bantuan dalam usaha kita untuk memastikan gerak kerja dan aktiviti belia lebih lancar,” katanya selepas ajlis Penyampaian bantuan pengurusan Kepada Persatuan-Persatuan Belia Negeri Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam tadi.

YB Haji Rozi turut mengingatkan belia seluruh Terengganu bahawa kerajaan negeri sudah banyak menunaikan akujanji yang digariskan pada pilihan raya umum yang lalu kepada golongan muda di negeri ini. 

“Bantuan pada kali ini merupakan bajet pada tahun ini dan pada tahun depan kita akan pastikan persatuan belia dan kepentingan seluruh belia di negeri ini akan terus terbela,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada tahun baru 2014 yang bakal menjelang tidak lama lagi akan menjadi tahun yang mampu membentuk belia yang lebih berdedikasi, berwawasan, berpandangan jauh untuk masa depan negara.

Dalam pada itu, berdasarkan Bajet 2014, kerajaan negeri memperuntukkan RM28.95 juta bagi memperkasakan pembangunan belia Terengganu pada tahun depan termasuk melaksanakan Program Bakti Remaja serta program pembangunan latihan belia untuk kepimpinan, keusahawann dan kemahiran.