Halaman

02 January 2014

Pemilihan cabaran Terengganu De'Everest

Selaras dengan hasrat untuk merealisasikan slogan Terengganu kuasa sukan negara, kerajaan negeri Terengganu melancarkan projek Terengganu D'Everest untuk menawan puncak gunung Everest pada April 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah dilantik sebagai urusetia projek tersebut.

"Terengganu nelang (berani) dan Terengganu boleh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa urusetia Terengganu De'Everest 2015, semalam.

YB Haji Rozi berkata projek tersebut mendapat kerjasama Persatuan Kembara Malaysia dan negeri. 

Katanya Mohd Rafi Qori, anak Terengganu pertama yang berjaya menawan gunung Everest pada 2007 telah dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu De'Everest.

 Beliau berkata satu sesi pemilihan pendaki di kalangan rakyat Terengganu akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak pada 9.30 pagi, 11 Januari  ini.

YB Haji Rozi berkata untuk saringan awal, seramai 40 orang akan dipilih dan daripada jumlah itu cuma lapan orang sahaja akan dipilih untuk membawa misi kerajaan negeri itu.

Menurutnya antara syarat untuk menyertai pemilihan itu lelaki dan perempuan berumur 18 tahun ke atas serta berpengalaman dalam pendakian.

Borang permohonan boleh didapati di pejabat MSNT dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu.