Halaman

02 January 2014

Belia Marang hulur bantuan


Oleh: Amirullah Othman

Kepimpinan Majlis Belia Daerah Marang dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang menziarahi mangsa-mangsa banjir di daerah Marang, kelmarin.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik zaidi Muda, berkata kepimpinan Majlis Belia Daerah Marang mengambil inisiatif  memberikan bantuan dalam bentuk barangan dapur kepada mangsa-mangsa banjir.

"Program ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang telah mengalami kerosakan harta benda yang teruk dalam bencana banjir yang lalu.

"Kesemua mangsa mengucapkan terima kasih kepada warga belia dan bersyukur kerana dalam keadaan mereka mengalami musibah dan kesusahan ini bantuan yang diperolehi tidak putus-putus," katanya kepada Teganukita.

Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Shamsir Mohd dan 30 sukarelawan-sukarelawan Rakan Muda.

Sukarelawan berkenaan turut membantu dan meninjau sendiri kesan akibat musibah itu, baru-baru ini.

Terdapat empat pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Marang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih yang melibatkan 13 keluarga (37 mangsa); SK Pengkalan Berangan, satu keluarga (empat orang); Dewan Orang Ramai Temala tiga keluarga (19 orang) dan di SK Jenang membabitkan dua keluarga (tujuh  orang).

 Seramai 67 mangsa dari 19 keluarga keseluruhan dipindahkan ke pusat perpindahan di daerah Marang.