Halaman

29 December 2013

Pegawai Daerah pelajari kaedah pembangunan sukan di Myanmar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menghantar semua Pegawai Daerah (DO) menyertai lawatan ke Sukan SEA Myanmar 2013 bagi mempelajari kaedah pembangunan sukan yang berjaya dibangunkan di negara miskin berkenaan, untuk kemajuan bidang itu di setiap daerah seluruh Terengganu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin, berkata lawatan bermula 17 hingga 22 Disember lalu  yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat bukan semata-mata memberi sokongan moral terhadap perjuangan atlet negeri khasnya serta atlet negara amnya di temasya itu, tetapi juga mencari pendedahan dan mengutip pengalaman berguna untuk diaplikasikan di Terengganu.

“Rombongan mengadakan lawatan kerja dan pemantauan supaya belajar dari Myanmar, sebuah negara yang serba kekurangan dan bukan kuasa utama di kalangan negara Asia Tenggara di bidang sukan, namun berjaya memperlihatkan kekuatan serta pencapaian mendadak dalam pencapaian atlet mereka.

“Walaupun tidak mempunyai infrastruktur sukan yang baik, kemampuan atlet Myanmar ini diihat sebagai satu faktor yang mendorong MSNT bersama pegawai sukan serta DO terbabit berusaha mengenal pasti faktor kejayaan itu selain menambah elemen dan impak baru bagi emmbangunkan sukan di setiap daerah yang kini agak malap,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Tambah Haji Zainal lagi, pendedahan dari lawatan itu diharap dapat memajukan semula dan menambahbaik setiap lapangan acara sukan yang dipelopori di setiap daerah seperti acara tinju dan muay Thai (Besut), pentaque (Dungun), berkuda (Setiu) serta kanu (Marang).

Katanya, peserta juga dapat mempelajari sistem persatuan sukan dan kelab yang membangunkan sukan secara sukarelawan sebenar di Myanmar berbanding negara kita yang bersifat pergantungan kepada kerajaan.

“Imej Myanmar secara realiti dan kemudahan asas sukan direkacipta menggunakan bajet yang rendah dan penyediaan kendiri para atlet ditumpukan kepada kesedaran tanggungjawab serta bukan `materialistik’ merupakan subjek yang boleh dikaji atau diambil sebagai contoh kepada pembangunan atlet Terengganu di masa depan.

 “Hasil lawatan itu diharap akan dapat meningkatkan mutu sukan negeri sekali gus menjadi medan terbaik bagi memungut informasi sukan,” katanya.

Menurutnya, lawatan itu juga berupaya menjalin hubungan dua hala antara Myanmar dan Malaysia, khususnya Negeri Terengganu di bidang sukan terutama dari segi Pengurusan Sukan Berprestasi Tinggi selain menimba pengalaman baru dalam aspek penyediaan program pembangunan sukan yang berkesan.