Halaman

30 December 2013

Tarif elektrik: Kebanyakan penduduk tidak terbabit - Zulkifly.

Che Zulkifly..ada tidak perlu bayar.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Hampir semua penduduk di daerah ini tidak terbabit dengan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifly Jusoh.

Beliau berkata, kenaikan tarif elektrik itu sebenarnya hanya membabitkan golongan di atas manakala penduduk di daerah Setiu ini kebanyakanya tidak terbabit langsung dengan kenaikan tarif itu.

“Kita di kampung ini, contohnya sekiranya kita mengunakan elektrik RM20 dan ke bawah sebulan kita tidak akan dikenakan sebarang bayaran. Saya rasa ramai penduduk yang mengunakan elektrik RM20 atau kurang di daerah ini.

“Di Malaysia kira-kira 1 juta penduduk mengunakan elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah sebulan manakala mereka yang mengunakan elektrik RM77 dan ke bawah tidak terbabit dengan kenaikan itu.

"Saya rasa tidak ramai penduduk di daerah ini mengunakan elektrik lebih RM77 melainkan mereka mengunakan peralatan elektrik yang banyak di rumah," katanya dalam ucapan merasmikan satu majlis di Penarik, baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurutnya kenaikan harga minyak tidak lama dulu juga adalah kerana mengikut harga semasa dunia dan kenaikan itu kerajaan balas dengan kenaikan BR1M.

“BR1M ini ada kerajaan bagi RM650 dan ditambah RM50 untuk insuran. Kalau kita mengalami kecacatan dan sebagainya kita boleh tuntut sehingga RM30 ribu. Inilah yang dikatakan kerajaan ambil sedikit daripada kita tetapi dia beri banyak kebaikan kepada kita,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifly mengingatkan penduduk Setiu supaya lihat, dengar dan berfikir dan jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan.