Halaman

30 December 2013

Peranan media penting dalam membantu pembangunan negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melihat peranan media massa terutamanya media elektronik dan cetak amat penting dalam membantu pembangunan negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong berkata, pendekatan penyampaian maklumat melalui media massa mampu memberi liputan yang luas dan efektif dalam penyampaian sesuatu maklumat kepada masyarakat.

“Media berperanan sebagai orang tengah untuk menyampaikan maklumat antara kerajaan dengan orang ramai dan begitu juga sebaliknya. Segala maklumat yang disampaikan media akan dikongsi kepada berjuta-juta penduduk dunia.

 “Amatlah penting bagi pengamal media menyampaikan maklumat yang betul dengan hati yang tulus dan ikhlas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Malam Mesra Media Jabatan Penerangan Negeri Terengganu 2013 di Dewan Kovensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, sumbangan media massa sangat hebat kerana hanya dengan sebatang pena mampu memberi impak yang besar terhadap sesuatu perkara.

“Sebagai pengamal media, segala maklumat yang hendak dikongsi dengan masyarakat harus tepat dan perlu mematuhi etika kewartawanan demi menjaga kewibawaan berita yang dihasilkan,” katanya.

Tambah beliau, sejajar dengan perkembangan teknologi, peranan media kini lebih meluas dan sebarang maklumat juga lebih mudah untuk diperolehi termasuk melalui media baru.