Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berkaitan kehidupan berasal dari Terengganu serta pernah masyhur sekitar 40-an sehingga 80-an dulu.
Pantun dan sajak yang dilagukan dalam persembahan rodat mempunyai peranan serta pengaruh yang agak signifikan dengan kehidupan bermasyarakat di negeri ini.
Kebimbangan lenyapnya kesenian itu mendorong seorang penggiat rodat, Razak Senik (gambar), 61, atau lebih dikenali sebagai `Pok Jak’ dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu untuk terus mempertahankannya sejak 47 tahun lalu.
“Suatu masa dulu, persembahan rodat ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat Terengganu. Ia dipersembahkan di majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pesta kebudayaan.
"Tapi sayang, persembahan ini kian lenyap apatah lagi anak muda hari ini sudah tidak lagi mahu menceburinya. Oleh sebab itu juga, saya tidak akan berundur dari lapangan ini kerana bimbang ia terkubur begitu sahaja,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Menurut Razak, biasanya struktur kumpulan utama rodat yang dipeloporinya terdiri daripada enam hingga lapan orang pengadi (pemukul rebana), 10 pelenggok (penari) dan lima orang mak inang.
Dalam usia yang semakin lanjut, Razak masih kekal membimbing 10 hingga 15 golongan muda dari sekitar kampungnya bagi mempelajari kesenian itu, selain membawa bersama Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang menyertai pelbagai persembahan sama ada dalam dan luar Terengganu.
Razak menyiapkan gendang yang ditempah pelanggan sebagai kerja sampingan di rumahnya di Kampung Surau Panjang |
Razak berkata, seni yang mengetengahkan lagu-lagu yang bersahut-sahutan yang diungkap dalam bahasa Arab yang dipetik dan disalin daripada kitab Hadrah.
Oleh itu, menurutnya sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab.
"Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila dilihat perkataan rodat itu sendiri wujud dalam perbendaharaan kata Arab yang membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga berbalas-balas.
“Seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul.
“Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas,” kata Pok Jak yang bekerja tetap sebagai penjaja keropok.
Katanya, selawat yang dilagukan dalam rodat dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit dan sebaik sahaja lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan `Bismillahi Muala Nab Tadaina’ iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan.
Menurutnya, para pengadi kemudiannya akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok dan seterusnya lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.
Dalam pada itu, Razak juga tidak menolak kemungkinan kesukaran mengalunkan lagu dan menghafal bait-bait lirik dalam persembahan rodat juga menyebabkan ramai anak muda menolak untuk mewarisi kesenian zaman-berzaman itu pada masa kini.
Menurut satu catatan di dalam Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu menyebut bahawa pada awal abad ke-19 didapati ada pedagang dari Sambas dan Pontianak datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket serta perkakas.
Mereka berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil mempersembahkan rodat dengan diiringi alat muzik yang dipanggil rebana tar sehingga lewat malam.
Penduduk Terengganu kemudiannya tertarik mempelajari persembahan rodat selepas mendengar alunan lagu dalam rodat yang diiringi suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik itu sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor, sekali gus berkembang dalam masyarakat.
Selain itu, kawasan atau kampung yang dipercayai mula-mula diperkenalkan seni rodat di daerah Kuala Terengganu adalah di Kampung Pasir Panjang dan Gong Tok Nasek, sebelum ia berkembang di sekitar daerah Marang dan Hulu Terengganu termasuk di Kampung Surau Panjang, iaitu satu-satunya kawasan yang masih utuh mempertahankan kesenian itu.