Halaman

01 January 2014

Nasib malang nenek mangsa kebakaran dapat perhatian Exco


YB Muhamad Pehimi mendengar ritihan mangsa kebakaran

Oleh: Mohammad Ishak 

Nasib malang yang menimpa usia emas,Siti Aminah Abdullah, 75, dari Kampung Gong Mak Som, dekat Jertih, yang kehilangan tempat tinggal apabila rumahnya musnah dalam kebakaran mendapat perhatian pemimpin kerajaan.

Siti Aminah yang tinggal bersama empat cucu berusi 3 dan 11 tahun bagaimanapun terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof ketika kejadian tidak ada dalam kawasan kerana menunaikan umrah dan kembali ke tanah air malam tadi.

Bagaimanapun, sebaik dimaklumkan oleh pegawainya mengenai nasib yang menimpa warga emas itu, Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, pagi ini melawat mangsa terbabit.

Sempena lawatan kerja itu, Muhamad Pehimi turut menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Siti Aminah berkata, dalam kebakaran itu beliau tidak sempat menyelamatkan semua harta dalam rumah menyebabkan beliau mengalami kerugian kira-kira RM160,00.

 “Saya bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran itu walaupun semua barang penting musnah dalam kebakaran,” katanya.