Halaman

02 January 2014

KRT Kampung Tok Dir proaktif bermula 2014

Oleh : Amirullah Othman 

Kawalan Rukun Tetangga(KRT) Kampung Tok Dir berhasrat menjadikan tahun baru 2014 sebagai landasan untuk memenuhi segala bentuk peningkatan sahsiah diri dan mewujudkan ikatan silaturrahim lebih utuh di kalangan jawatankuasa.

Bagi memastikan hasrat itu menjadi kenyataan, satu program bagi menghimpunkan semua jawatankuasa KRT berkenaan dengan kepimpinan kampung itu dilaksanakan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Setiausahanya, Encik Matam Mohamad mengambil inisiatif yang begitu proaktif dengan mengadunkan pelbagai aktiviti untuk menjayakan matlamat penubuhan dan menggerakkan aktiviti sesama ahli serta jawatankuasa berkenaan.

“Dalam pertemuan ini, kami turut membentangkan hala tuju dan perancangan program tahunan 2014 supaya setiap program mampu dilaksanakan dengan terancang.

 “Kesan daripada program yang dijalankan ini, banyak pandangan positif dapat diperolehi daripada setiap jawatankuasa ,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bersusaha sedaya upaya untuk memenuhi segala permintaan dan menjaga keharmonian penduduk di Kampung Tok Dir.

Seramai 30 orang jawatankuasa berkampung dalam houseboat di Tasik Kenyir sepanjang tiga hari dua malam itu.