Halaman

01 January 2014

Si cilik gembira hari pertama bersekolah

Oleh: Noraini Jusoh dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Pelbagai gelagat murid tahun satu dapat dilihat pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ladang, Kuala Terengganu, hari ini.
Kebanyakan mereka menunjukkan riak wajah ceria dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru. Hanya sebilangan kecil sahaja dilihat sentiasa ditemani ibu atau bapa.

Tinjauan Teganukita di sekolah itu mendapati sebahagian besar murid pandai berdikari dan sudah mula berkawan sesama mereka.

Walaupun ada yang menangis apabila ibu bapa beredar meninggalkan mereka kepada guru kelas masing-masing, tetapi keadaan itu tidak lama kerana sebaik sahaja kelas bermula, si cilik mula memberi tumpuan kepada guru yang mengajar.

Salah seorang murid, Nurul Nuha, 7, sangat teruja memulakan persekolahan dan kelihatan sungguh gembira dapat bersama rakan-rakan yang lain belajar di sekolah berkenaan.

“Saya sangat gembira dapat bersekolah dan hendak belajar bersungguh-sungguh dan jadi budak pandai," katanya.

Rakannya, Nor Azwatie, 7, pula berkata dia begitu bersemangat untuk bersekolah dan tidak berasa takut pada hari pertama sesi persekolahan bermula.

“Saya tidak sabar untuk bersekolah dan tidak menangis pun apabila tiba di sekolah kerana ada ramai kawan-kawan,” katanya.

Dalam pada itu Guru Besar sekolah berkenaan, Haji Ghazali Abd Rahman (gambar) berkata, kerjasama yang baik diberikan ibu bapa semasa menghantar anak-anak pada hari pertama persekolahan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan ibu bapa memberikan kerjasama apabila diminta beredar dan dilarang berada di kelas atau berdekatan kelas sewaktu sesi pembelajaran. Kita hanya benarkan ibu bapa berjumpa anak masing-masing pada waktu rehat,’ ujarnya.

Katanya, larangan tersebut bertujuan mempercepatkan lagi proses penyesuaian diri murid-murid terhadap persekitaran di sekolah.

Haji Ghazali berkata, sehingga hari pertama sesi persekolahan bermula, seramai 39 orang murid mendaftar untuk memasuki Darjah Satu di Sekolah berkenaan yang mempunyai 321 murid keseluruhannya.

Sementara itu, seramai 17, 481 murid memasuki Darjah Satu di 351 buah sekolah rendah di Terengganu pada hari ini.