Halaman

14 March 2014

Wanita UMNO Terengganu bantu Kempen BN di Kajang.

Kenangan..Wanita UMNO Terengganu bergambar di bilik gerakan BN di Bandar Kajang.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KAJANG: Bagi mempastikan Barisan Nasional(BN) kembali mentadbir Kajang, 10 Wanita UMNO Terengganu bersama 10 Pemuda dan 10  Puteri UMNO berkampung sejak sehari sebelum hari penamaan calon sehingga hari pengundian 23hb Mac ini bagi membantu jentera kempen BN dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang. 

Ketika ditemui di Bilik Gerakan BN di Bandar Kajang, di sini, hari ini, Ketua Wanita UMNO Bahagian Dungun, Zainun Bakar, berkata semua Ketua Wanita Bahagian hadir secara bergilir-gilir di Kajang termasuklah beberapa ahli dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya ialah mengesan pengundi berdaftar.

"Wanita UMNO Dungun seramai tujuh orang tinggal di sini sehingga tamat tempoh berkempen manakala ketua-ketua wanita bersama beberapa ahli datang secara bergilir di Kajang ini.

Zainun (kiri) di rumah seorang pengundi.
"Antara aktiviti yang sudah kita laksanakan ialah berkempen dari rumah ke rumah dengan dibantu oleh UMNO Bandar Kajang dengan menjelaskan keadaan sebenar mengenai beberapa perkara yang menjadi isu sekarang ini," katanya yang juga Bendahari Wanita UMNO Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

Zainun berkata, rombongan itu menghadapi sedikit kesukaran untuk bertemu pengundi PRK itu kerana kebanyakan penduduk tiada di rumah kerana bekerja.

"Kita mengharapkan sasaran kita untuk mengunjungi beberapa rumah lagi akan tercapai," katanya sambil mengharapkan penduduk Kajang membuat pilihan yang bijak dengan memilih kerajaan Barisan Nasional demi agama bangsa dan negara.

Rombongan wanita itu diketuai Ketua Wanita Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Fatimah Hamad.

Ketua Rombongan ialah Datuk Jailani Johari, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Turut hadir ialah Adun Batu Rakit Bazlan Abdul Rahman dan Setiausaha Barisan Nasional negeri, Komsa Chik serta 10 kakitangan UMNO negeri.

 

Staf Jabatan Perhutanan yang hilang ditemui.

Oleh: Aminudin Ismail.

KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Wan Saidi Amri Jusoh, 35, ditemui dalam keadaan selamat di Sungai Tongkat, Hulu Chalok, kira-kira jam 11 pagi ini.

Seorang anggota JPAM yang terbabit dengan operasi mencari mangsa, ketika dihubungi Teganukita memberitahu Wan Saidi ditemui oleh sekumpulan pemancing yang datang memancing di sungai berkenaan.

"Selepas menemui kumpulan pemancing itu, Wan Saidi terus menghubungi rakannya dengan mengunakan telefon milik seorang pemancing dan kini anggota penyelamat sedang membawa keluar mangsa yang agak sedikit keletihan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Abdul Rahman Raja Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mangsa sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Semalam Teganukita melaporkan bahawa Wan Saidi hilang di hutan simpan Kampung Payong, Langkap, Setiu kira-kira jam 2 petang kelmarin, selepas terpisah dengan tiga lagi rakannya ketika membuat bancian balak di hutan simpan itu.

Usaha mencarinya dilakukan oleh PDRM, Bomba, JPAM, Rela dan beberapa kakitangan Jabatan Perhutanan serta beberapa penduduk kampung.

 

Nelayan bantu cari pesawat MH370

Bot-bot nelayan di Dungun turut mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

 Pengerusi Persatuan Nelayan Daerah Dungun Mohd Abdul Ghani berkata lokasi yang menjadi tumpuan ialah kawasan sekitar perairan Terengganu.

 "Kita menggunakan peralatan sonar untuk mengesan kapal terbang jika ia jatuh di laut," katanya .

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) berkata banyak bot nelayan Dungun sekarang ini menangkap ikan di kawasan berkenaan.

 Katanya beliau sendiri mempunyai beberapa buah bot yang beroperasi di kawasan laut dalam dan turut terlibat membantu mengesan pesawat berkenaan.

 "Kita gunakan sonar iaitu peralatan untuk mengesan ikan bagi mengesan kapal terbang berkenaan," katanya menambah golongan nelayan turut bersimpati dengan nasib penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

 

Penonton dilarang timbulkan provokasi

Polis Terengganu memberi amaran kepada penyokong agar tidak menimbulkan provokasi melampau sepanjang perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok (Sabtu).

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencetuskan kekecohan pada perlawanan tersebut.

 "Saya juga mengingatkan penyokong agar tidak membawa barang larangan seperti mercun, suar, senjata tajam ke dalam stadium.

"Kami akan melakukan pemeriksaan rapi pada badan dan beg setiap penonton di pintu masuk stadium," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

 Bagi memastikan kelancaran perlawanan tersebut, Jamshah berkata sebanyak 250 anggota polis daripada pelbagai cawangan akan ditempatkan di luar dan dalam stadium bagi mengawal keselamatan penyokong.

 

13 March 2014

Jadikan anak berjaya dalam pelajaran dan bermoral- Dato' Sabri.

Sabri ketika berucap merasmikan mesyuarat.
Oleh: Aminudin Ismail.

IBUBAPA perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai akhlak yang baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor berkata, tugas mendidik anak-anak bukan terletak di bahu guru semata-mata tetapi ibubapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mempastikan anak-anak mereka berjaya pada masa depan.

“Kadang-kadang guru tidak mampu untuk mendisiplinkan anak-anak, menjadikan anak-anak kita anak yang berakhlak.

“Untuk menjadikan anak-anak kita berjaya dalam akademik, guru boleh melakukannya tetapi kadang-kadang guru tidak boleh menjadikan anak kita anak yang berakhlak,” katanya.

Justeru itu, katanya ibubapalah yang bertanggungjawab untuk mempastikan akhlak anak-anak mereka baik dan tidak meletakan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.

Sebahagian ibubapa yang hadir.
“Tanggungjawab selepas pulang dari sekolah adalah tanggungjawab ibubapa untuk mendidik anak-anak supaya menjadikan anak yang berdisiplin dan anak yang berakhlak serta anak yang bermoral.

“Tentulah kita tidak mahu anak kita yang cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak bermoral, apa yang kita mahu ialah anak kita berjaya dalam pelajaran dan mempunyai akhlak yang baik,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Agong PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu, hari ini.

Seramai kira-kira 200 ibubapa hadir pada mesyuarat itu yang turut mengadakan pemilihan untuk melantik jawatankuasa yang baru. Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Mohd Azmi Nazir.
Sabri menyampaikan hadiah cabutan bertuah.

Pelajar turut hadir mendengar ucapan Sabri

Azmi..mahu SMK Pelong cemerlang.

Antara jemputan yang hadir.

Sabri mencabut nombor bertuah.

Pencatat mesyuarat dan pengerusi majlis.

Seorang bapa sedang meneliti agenda mesyuarat.

Sabri bersama tetamu jemputan.

Ustaz membaca doa selamat.

 

Masih ramai pesakit tidak peka terhadap tanggungjawab tunai solat fardu

Oleh: Noraini Jusoh

Ramai pesakit yang mendapat rawatan di hospital masih kurang memahami kewajipan menunaikan solat fardu walaupun segala kelengkapan disediakan pihak hospital.

Tidak hairanlah jika ada dalam kalangan apabila tidak boleh bangun, tangan berbalut dengan simen dan sebagainya memberikan pelbagai alasan kerana merasakan kesakitan yang dialami menjadi halangan untuk menunaikan solat.

Pelbagai usaha dilakukan pertubuhan, agensi mahupun badan kerajaan menerusi aktiviti seperti seminar bagi membolehkan pesakit melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Untuk itu, Persatuan Pembelajaran Pascasiswazah Perubatan (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengambil insiatif menganjurkan Seminar Mukmin Profesional dengan memberi kefahaman mengenai solat kepada pengamal perubatan supaya dapat berkongsi dengan pesakit.

Pengerusi PGMES, Dr. Nujaimin Udin (gambar) berkata, seminar sehari itu membincangkan topik mengenai matlamat kerja dalam islam, kerja sebagai ibadah serta kecemerlangan budaya kerja islam.

Katanya, seminar sempena Mesyuarat Agung Tahunan PGMES yang bertemakan ‘Mukmin Profesional’ itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pengamal perubatan supaya lebih peka terhadap tanggungjawab memberi pemahaman kepada pesakit mengenai kewajipan menunaikan solat fardu.

 “Sebagai pengamal perubatan yang peka terhadap kewajipan sebagai seorang muslim, telah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha memberi peringatan dan dakwah kepada pesakit khususnya untuk menunaikan solat lima waktu ketika mereka ditahan di wad hospital.

“Seminar Mukmin Profesional merupakan salah satu usaha pihak persatuan untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Seminar Mukmin Profesional sempena Mesyuarat Agung Tahunan PGMES, HSNZ di Hotel Permai, hari ini.

Seminar tersebut telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Haji Muhammad Pehimi Yusof .

Menurut Dr. Junaidi yang juga Ketua Unit dan Pakar Neurosurgeri HSNZ, melalui kajian yang dibuat pihaknya awal tahun ini, mendapati kurang daripada 20 peratus pesakit solat semasa berada di wad hospital itu.

 

Staf Jabatan Perhutanan belum ditemui.

Anggota JPAM bersiap memulakan operasi, pagi tadi.
Oleh: Aminudin Ismail.

SEORANG kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Wan Saidi Amri Wan Jusoh, 35, yang hilang di hutan simpan Kampung Payong, Langkap, Setiu kira-kira jam 2 petang semalam, masih belum ditemui sehingga jam 5 petang ini.

Seorang anggota JPAM yang berada di hutan berkenaan menyertai operasi mencari itu ketika dihubungi Teganukita memberitahu sehingga kini usaha mencari masih diteruskan.

"Kami masih belum menemui mangsa, jarak antara Kampung Payong ke kawasan tempat mangsa dipercayai hilang ini agak jauh dan hanya boleh dimasuki kenderaan pacuan empat roda.

"Sehingga kini seramai kira-kira 50 anggota dari PDRM, Bomba,JPAM, Jabatan Perhutanan dan Rela berganding tenaga mencari mangsa sejak awal pagi tadi," katanya mengenai mangsa yang tinggal di Losong, Kuala Terengganu dan berasal dari Besut itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Ab. Rahman Raja Mohamed melalui 'whatsapp'nya memberi tahu Teganukita bahawa kejadian berlaku apabila mangsa bersama empat pegawai Jabatan Perhutanan masuk ke hutan simpan itu untuk membuat bancian.

"Empat kakitangan Jabatan Perhutanan itu menaiki sebuah pacuan empat roda untuk membuat bancian pokok-pokok.

"Pada Jam kira-kira dua petang (12.3.2104) Seorang lelaki, Wan Saidi Amri Wan Jusoh telah tiada dalam kumpulan. Puas mencari di merata tempat tetapi tidak jumpa," katanya.

Selepas laporan polis itu, Abdul Rahman dan Ketua Balai Sungai Tong serta sembilan anggota masuk ke dalam hutan berkenaan untuk mengesan mangsa, bagaimanapun disebabkan lokasi hutan yang tebal dan keadaan gelap, usaha mencari diteruskan pagi ini.

"Sehingga kini, mangsa belum ditemui," kata Abdul Rahman ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, unit pencarian yang diketuai oleh ASP Idris Mohamed. Ketua Siasatan Daerah Setiu menamatkan operasi pencarian hari ini kira-kira jam 5 petang tadi dan akan disambung pagi esok.

 

250 hektar masih terbakar di Lembah Bidong.

Bieza...babitkan 100 anggota.
Oleh: Aminudin Ismail.

SELEPAS 17 hari menjalankan operasi memadam dan mengawal kawasan kebakaran di hutan tanah gambut Lembah Bidong, Bomba terus membuat ‘fire break’ dan semburan air bagi mengawal api daripada terus merebak, hari ini.

 Komander Operasinya, Kamerul Bieza Mohd Kasim, tiupan angin yang agak kencang di kawasan terbabit mengakibatkan usaha untuk memadam kebakaran sedikit terhalang sekaligus memudahkan api merebak ke tempat lain.

“Kita masih lagi mengawal dalam lingkungan 250 hektar kawasan kebakaran di Lembah Bidong ini (sehingga semalam).

Antara kawasan yang terbakar.
“Tempat yang padam kembali terbakar disebabkan sisa kebakaran dahulu menjadi kering dan keadaan yang berangin agak kuat memberi sedikit cabaran kepada kami dalam usaha untuk memadam kebakaran, di mana semua anggota perlu berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Setakat ini, segala usaha masih lagi terkawal di mana kita terpaksa membuat beberapa takungan air sebagai halangan untuk api merebak, di samping membuat semburan di kawasan yang berhampiran kebakaran,” katanya.

Menurut Kamerul Bieza lagi, selain memberi fokus kepada kawasan yang terbakar, pihaknya juga memantau kawasan lain bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.

“Keadaan kebakaran di kawasan tanah gambut adalah berbeza di kawasan tanah biasa, di mana api sememangnya sukar untuk dipadamkan kerana ia bergerak di dalam tanah dan mengambil masa untuk dikesan.

“Bagaimanapun, dengan kepakaran dan usaha yang berterusan yang dilakukan pasukan kami seramai kira-kira 100 anggota, ia mampu mengelak api daripada terus merebak ke tempat yang lain,” katanya.

Katanya lagi, beliau mengharapkan hujan akan turun dalam masa terdekat ini bagi membantu usaha mamadam dan mengawal kebakaran kawasan belukar itu dengan lebih berkesan.

Katanya, kerjasama daripada penduduk adalah sangat penting iaitu dengan tidak melakukan sebarang pembakaran secara terbuka dalam keadaan cuaca yang panas dan kering ini.

Kebakaran di kawasan hutan belukar lembah bidong itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 500 hektar termasuklah berhampiran Ladang Rakyat dan Ladang Tabung Haji, sejak lebih dua minggu lalu, bagaimanapun Bomba berjaya memadam dan mengawal lebih separuh kawasan kebakaran itu sehingga kelmarin.

 

PBSNT jual 7,000 tiket Sabtu ini

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menjual 7,000 tiket menjelang perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Setiausaha Agungnya, Arpin Draman, berkata jumlah tiket itu hanya untuk tempat duduk terbuka dan tidak termasuk pas bermusim selain tempat duduk berbumbung yang dihadkan.

Katanya, pihaknya terpaksa mengehadkan penjualan tiket untuk langkah keselamatan walaupun stadium itu mampu menampung sehingga 10,000 penonton dalam satu perlawanan.

“Kami hanya menyediakan 100 keping kepada penyokong JDT dan jika mereka datang sendiri membeli tiket di kaunter stadium, itu kita tidak boleh buat apa-apa.

“Penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan mulai jam 10 pagi di kaunter tiket utama stadium Jumaat ini.

 “Pihak kami terpaksa mengehadkan penjualkan tiket atas faktor keselamatan, selain ingin mengelak pelbagai kemungkinan berlaku,” katanya.

Katanya Arpin berkata pihaknya memberi jaminan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan berikutan insiden `Terowong Larkin’ pada 1 Februari lalu.

 “Pihak kami dimaklumkan seramai 400 anggotan polis dari Bukit Aman akan ditugaskan pada hari perlawanan itu selaian gabungan tiga polis Pantai Timur, iaitu membabitkan Terengganu, Kelanatan dan Pahang,” katanya.



MH370: Semua masjid di Besut adakan solat hajat

Oleh: Noraini Jusoh
 YB Haji Muhammad Pehimi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof menyatakan, semua masjid di daerah Besut mengadakan solat hajat ekoran kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370.

“Semua 82 buah masjid disini telah mengadakan solat hajat disamping berdoa kepada Allah s.w.t supaya kemelut peristiwa kehilangan kapal terbang ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Ini adalah salah usaha yang dapat kita lakukan. Diharapkan mangsa yang terlibat dengan kehilangan pesawat MH370 dipanjangkan umur dan dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehilangan pesawat MH370 pada sidang media sempena Majlis Perasmian Seminar Mukmin Profesional anjuran Persatuan Pembelajaran Pascasiswazah Perubatan (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Hotel Permai, hari ini.
Turut hadir, Ketua Unit dan Pakar Neurosurgeri HSNZ, Dr. Nujaimin Udin.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal dilaporkan hilang daripada radar, kira-kira dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing, China pada 12.41 pagi Sabtu lalu.

 Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Pehimi yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Terengganu berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM4 juta untuk Tabung Penyakit Kronik bagi tahun 2014 sebagai bantuan membiayai pesakit kronik negeri ini.