Halaman

14 December 2010

BAJET RAKYAT

Oleh; Ruslan Abdul Rahman



Apa yang menarik dalam Bajet atau Belanjawan Terengganu atau Perancangan Kewangan Tahunan Negeri Terengganu bagi tahun 2011 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said semalam (13 Disember 2010) di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu?

Ia masih mengekalkan tema Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan; bermakna segala perancangan pembangunan dan wang yang hendak dibelanjakan hendak dipastikan menjurus kepada kepentingan rakyat.

Bahkan, segala perbelanjaan yang dibuat dijuruskan supaya dapat dilakukan secara terbaik berpandukan ayat al-Quran dipermulaan ucapannya:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhir) itu”. – Surah al-Furqan ayat 67.

Dato’ Seri Ahmad yang sejak awal-awal diberi amanah dulu sememangnya terkenal sebagai seorang yang amat berjiwa rakyat dengan berulang kali menyatakan bahawa kerajaannya adalah kerajaan rakyat, maka segalanya dijuruskan untuk kepentingan rakyat.

Kali ini pun sewaktu berucap membentangkan Bajet 2011 ini beliau sekali lagi menegaskan:

“Belanjawan yang disediakan untuk tahun hadapan (2011) hampir meliputi semua sector kehidupan rakyat. Tumpuan dan keutamaan kita adalah kepada program dan projek yang dapat memberi impak secara langsung kepada rakyat.”


Dengan peruntukan RM1.887 billion, pertambahan sebanyak 0.32 peratus dari bajet 2010, sudah tentu ia amat dialu-alukan oleh semua lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi tentang bagaimana bajet tersebut akan mencapai hasrat untuk KESEJAHTERAAN RAKYAT sebagaimana menjadi stragtegi pertama dan utama Dato’ Seri Ahmad.

STRATEGI PERTAMA : Kesejahteraan Rakyat

Beberapa fokus diberikan untuk mempastikan proses kesejahteraan rakyat yang diharapkan itu menjadi realiti iaitu:

• Membantu golongan miskin dan mudah miskin
• Memajukan sektor pertanian
• Meningkatkan pemilikan rumah
• Memantapkan institusi keluarga
• Menambahbaik pengangkutan awam
• Menggalakkan sektor pembinaan
• Meningkatkan kemudahan kesihatan rakyat
• Meningkatkan pembangunan belia dan sukan
• Merancakkan pembangunan bandar dan luar bandar
• Menambahbaik pengairan dan saliran serta bekalan air

Kerajaan Negeri dalam Bajet 2011 ini memperuntukkan RM58 juta untuk Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Kemahiran dan Kerjaya, Projek Ladang Kelapa Sawit dan Projek Jelapang Padi.

Sasarannya sebanyak 320 unit rumah akan dibina tahun hadapan untuk golongan miskin dan lebih 2000 unit rumah yang uzur daif akan dibaikpulih.Ini suatu fokus yang sungguh merakyat oleh kerajaan pimpinan Dato’ Seri Ahmad.

Malah kerajaan juga meminta pihak swasta dan badan bukan kerajaan juga terbabit sama dalam usaha membantu golongan miskin sebagai tanggungjawab social korporat.

Namun begitu, kerajaan pimpinannya tidak berhasrat sekadar ‘memberikan ikan’ tetapi memberikan joran untuk mereka berusaha sendiri. Projek Jelapang Padi akan menempatkan 175 orang miskin untuk mengusahakan tanaman padi secara komersial.

Program Pembangunan Minda Insan diteruskan kepada ketua isi rumah, malah program latihan kemahiran dan kerjaya bakal diberikan dengan kerjasama UiTM, TESDEC dan lain-lain agensi bagi membantu mereka yang miskin ini menjadi usahawan dan peniaga.

STRATEGI KEDUA- Memperkasa Pembangunan Insan

Pembangunan insan pendidikan adalah asas penting dalam mempastikan negara terus cemerlang didokongi oleh generasi yang mempunyai ilmu dan pendidikan yang baik.

Justeru itu Kerajaan Negeri terus memberi penekanan kepada soal pendidikan dengan mencadangkan RM92.45 juta untuk sektor ini.

Usaha-usaha memberi nilai tambah kepada pembangunan pendidikan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sudah tentu akan mengekalkan Terengganu menjadi terus cemerlang dalam pencapaian peperiksaan awam dan dibidang hafazan al-Quran di kalangan pelajarnya.

Kejayaan 3,560 pelajar atau 15.4 peratus yang mendapat straight A dalam UPSR dalam peperiksaan 2010 terus mengekalkan Terengganu di tempat pertama 10 tahun berturut-turut cukup membuktikan hasil dari usaha yang dijalankan itu.

STRATEGI KETIGA: Meningkatkan Daya Saing Negeri
Antara lain penekanan yang diberikan bagi meningkatkan daya saing negeri ini ialah:

• Mempergiatkan Industri Pelancongan
• Memantapkan sektor ICT
• Meningkatkan Pembangunan Industri
• Menjayakan Pembangunan Wilayah Eknoni Pantai Timur (ECER)
• Pengiktirafan kepada Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM)
• Memperkasakan IKS dan Koperasi
• Menggalakkan Pusat Pertumbuhah Desa
• Mempermudahkan Program Mikro Kredit

Sektor pelancongan mempunyai nilai tambah tinggi dan berupaya untuk menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Daripada 3.5 juta pelancong yang disasar bagi tahun ini (2010), lebih 2.25 juta kemasukan pelancong telah direkodkan sehingga bulan Ogos lalu. Sektor ini secara tidak langsung menyumbang RM2.583 billion kepada ekonomi negeri.

Oleh sebab itu industri pelancongan ini perlu diberi tumpuan, bukan sahaja di pihak kerajaan tetapi pengusaha dan rakyat keseluruhannya.

Keputusan Kerajaan Persekutuan bersetuju menjadikan Tasik Kenyuir sebagai kawasan bebas cukai amatlah dialu-alukan untuk memesatkan lagi industri pelancongan di negeri ini. RM40 juta diperuntukkan untuk pembangunan awal kawasan bebas cukai ini.

Kita juga mendapat maklumat baru, apabila Pulau Tenggol di Dungun mula dikenali sebagai lokasi persinggahan jerus paus. Ini satu lagi tarikan baru pelancongan yang sewajarnya dimanfaatkan, selain galeri dasar laut dan replika-replika tertentu di perairan Pulau Bidong yang boleh memberi kelainan kepada penyelam-penyelam.


STRATEGI KEEMPAT: Memperkukuhkan Penyampaian Perkhidmatan Awam

Agensi perlaksana yang penting ialah anggota perkhidmatan awam melalui agensi-agensi kerajaan tempat mereka berkhidmat. Berbagai-bagai galakan diberikan, termasuk memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi menaja jemaah haji dari kalangan kakitangan awam, imam,bilal dan Pengerusi JKKK adalah suatu usaha yang jelas kecaknaan kerajaan negeri memberi nilai tambah insentif kepada mereka supaya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.

Dato’ Seri Ahmad sendiri telah acap kali menyatakan konsep 5M yang harus dihayati oleh setiap anggota perkhidmatan awam, iaitu: Melaksana,Memantau, Memahami, Menghalusi dan Menjiwai.

Apa yang penting di sini, merekalah yang akan mempastikan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan dapat direalisasikan dalam bentuk kenyataan yang berkesan.

Sesungguhnya rakyat di semua peringkat akan dapat manfaat hasil dari Bajet ini, lebih-lebih lagi melalui limpahan ekonomi yang akan berlaku hasil dari peruntukkan dan perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan Terengganu, di samping peruntukan-peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah pelabagai agensi.

Gabungan Kerajaan Negeri dan pusat yang seiring dan sejalan, sudah tentu rakyat akan mendapat manfaatnya. Kebersamaan matlamat negeri dan pusat iaitu segalanya untuk “RAKYAT” adalah sesuatu yang sungguh bertuah!

Bajet 2011: Terima kasih kerajaan
Laporan : SURIATI BINTI ALI dan Mohamad Shahrir dan Raja Faisal

Bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pada hari pertama (13 Disember) persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada pemerhati yang juga merupakan rakyat negeri Terengganu.

Empat aspek yang ditekankan Menteri Besar dalam Bajet 2011 meliputi aspek kesejahteraan rakyat, memperkasa pembangunan rakyat, meningkatkan daya saing negeri dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam diterima baik oleh rakyat Terengganu.

“Saya amat berpuas hati dengan Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Menteri Besar kerana selari dengan moto `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang mengutamakan rakyat atau rakyat didahulukan di dalam segala aspek,” kata Aini Majdah, 42 dari Kampung Padang Midin ketika diwawancara TeganuKita, baru-baru ini.

Ketika ditanya lagi mengenai aspek keempat yang terkandung dalam Bajet 2011, Aini dari Kampung Padang Midin melahirkan rasa bangga kerana pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di tempatnya sentiasa mengambil berat dalam penyediaan infrastruktur kampung serta keperluan rakyat.

Contohnya, kata beliau, apabila jalan yang rosak di kampungnya akibat kesan banjir telah dibaiki baru-baru ini oleh pihak berwajib hasil usaha pihak JKKK.

Manakala bagi Mohd Arif, 24 yang bertugas sebagai pemandu berpendapat bahawa pihak JKKK perlu meningkatkan lagi perkhidmatan bagi memastikan rakyat mendapat keselesaan dalam kehidupan.

“ JKKK merupakan medium bagi rakyat mendapatkan informasi terutama bagi penduduk luar bandar serta menjadi tempat mengadu jika penduduk memerlukan bantuan. Justeru itu pihak JKKK perlulah meninjau keadaan penduduk dari semasa ke semasa untuk mengetahui situasi yang dihadapi oleh para penduduk”.

Kenyataan ini juga disokong oleh Zulkiflli Bin Ngah, seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Terengganu.

“JKKK telah menjalankan tugas dengan baik, bagaimanapun perlu lebih prihatin terhadap tugas yang telah diamanahkan agar rakyat di kampung mereka mendapat lebih banyak manfaat dan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan.

“Saya juga amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memberikan banyak dana dan bantuan kepada semua golongan rakyat di negeri ini,” katanya.

Rakyat Terengganu sudah tentu mengharapkan pembangunan yang dapat membuahkan hasil yang tinggi kepada hasil negeri serta memberi faedah kepada segenap lapisan masyarakat sendiri dengan peningkatan peruntukan bajet sebanyak 0.32 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM 1.887 billion pada tahun 2011.

Seorang pesara dari Besut, Roslan Ramli, 53 ketika ditemui bersetuju seratus peratus dengan peningkatan bajet 2011 daripada tahun sebelumnya dan merasakan jumlah RM 1.887 walaupun tinggi tetapi berbaloi untuk kesejahteraan rakyat serta negeri.

TEGANUKITA