Halaman

07 December 2013

Rezeki Musim Banjir.


SEGAR...Fatimah Abdullah dari Felda Belara, Kuala Terengganu, sedang melihat ikan darat yang dijualnya di tepi jalan di Jalan Kuala Terengganu- Kota Baharu berhampiran felda itu, kelmarin.

Fatimah yang menjual ikan hasil tangkapan suaminya itu memperolehi pendapatan sekitar RM30 hingga RM50 sehari dengan menjual pelbagai jenis ikan antaranya ialah keli, puyu, haruan, lampang jawa, terbo dan ikan baung.

"Ikan-ikan ini dijala oleh suami di beberapa tempat di kawasan banjir ini. Ia sebagai pendapatan sampingan kerana sepanjang musim hujan ini, kami tidak dapat menoreh.

"Biasanya ikan-ikan ini begitu laris pada musim hujan ini kerana sukar untuk mendapatkan ikan laut yang agak mahal. mak cik jual kepada pengguna jalan ini dan ia cepat habis," katanya.

Azmi..sampingan.
Seorang lagi pencari ikan darat, Azmi Mohd, 53, berkata, beliau memperolehi pendapatan sekitar RM30 sekali membawa naik ikan-ikan itu iaitu sekitar 10 hingga 15 ekor.

"Biasanya saya memeriksa pukat yang ditahan itu dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Pendapatanya boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan selepas tidak dapat menoreh pada musim hujan ini.

“Setiap kali tiba musim hujan, saya akan turun ke kawasan ini bagi menjala ikan darat dan hasilnya terus dijual di tepi jalan. Musim ini, ikan laut susah didapati dan ikan darat menjadi pilihan untuk dijadikan lauk, tambahan pula ia mudah diperolehi,” katanya juga dari Felda Belara itu- Oleh: Aminudin Ismail.

 

06 December 2013

TPM turun padang tinjau kawasan dan mangsa banjir di Kemaman

Timbalan Perdana Mneteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Dato' Seri Haji Ahmad Said, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan rombongan bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Permindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggo, Paya Berenjut, Kemaman.
Oleh Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau kawasan dan penempatan mangsa banjir di sekitar Bandar Chukai, Kemaman, Terengganu, pagi ini. (6 Disember 2013).

Beliau dan rombongan menaiki lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan banjir sejauh kira-kira 5 kilometer dari persimpangan Mak Lagam untuk berjumpa dan bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di situ selepas menyampaikan bantuan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Paya Berenjut.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar turut bersama Timbalan Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, bekalan makanan kering akan dibekalkan sebagai persediaan keperluan mangsa banjir kerana bimbang keperluan asas yang tidak mampu menampung mangsa banjir yang semkain meningkat.

"Saya telah putuskan dengan panglima tentera darat, stok bekalan makanan kering yang digunakan oleh tentera mungin boleh digunakan untuk mangsa banjir," katanya.

Tan Sri Muhyiddin turut mencadangkan satu pasukan perubatan ditempatkan di pusat pemindahan bagi memantau kesihatan mangsa banjir.

"Kita telah mencadangkan Jabatan Kesihatan negeri menggerakkan pasukan perubatan dari hospital yang tidak terlibat dengan bencana untuk turun padang. Satu pasukan perubatan perlu ada di setiap pusat pemindahan bagi memantau kesihatan mangsa banjir.


2 Jalan utama di Chukai masih ditutup (6.12.13)

Keadaan banjir di Chukai Kemaman yang dirakamkan melalui udara semalam.
Oleh: Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

KUALA TERENGGANU: Dua jalan utama di Chukai, Kemaman iaitu Jalan Chukai ke Kuantan melalui Geliga dan Chukai ke Air Putih masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan masih terdapat air melimpahi kedua-dua jalan itu, pagi ini. (6.12.13)

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir IPD Kemaman, ketika dihubungi memberitahu kedua-dua jalan yang ditutup sejak banjir besar melanda bandar itu, kelmarin, masih bertahan dan tidak boleh dilalui sehingga pagi ini.

"Terdapat beberapa tempat di mana air melintas jalan di kedua jalan utama itu. Semua kenderaan yang hendak ke Kuantan atau Kuala Lumpur boleh melalui jalan Jerangau-Jabor iaitu melalui Beris Meraga-Seri Bandi-Padang Kubu," katanya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di Jalan Chukai- Air Putih, belum dapat pulang ke rumah masing-masing pagi ini berikutan masih terdapat air di kawasan rumah mereka.

"Saya sudah tiga hari tinggal di tempat perpindahan ini, nak balik rumah masih belum boleh kerana air masih dalam. Saya berharap ia akan surut dalam masa terdekat ini bagi membolehkan saya pulang ke rumah dan membersih barangan di dalam," kata seorang penduduk, Suffian Ismail, 42, katanya ketika dihubungi Teganukita.


Banjir Di Setiu semakin pulih, pusat pemindahan tutup.

Tutup..Pusat perpindahan Tadika Desa Jaya.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 26 keluarga dari Kampung Paloh Licung dan Kampung Desa Jaya yang berpindah ke Tadika Desa Jaya kelmarin selepas rumah mereka dinaiki air, pulang ke rumah masing-masing, malam semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis (IPD)Setiu ketika dihubungi berkata, mangsa banjir itu pulang ke rumah masing-masing berperingkat-peringkat dan paling akhir ialah kira-kira jam 9 malam semalam.

Sementara itu tinjauan Teganukita di beberapa tempat pagi ini mendapati, di Jalan Kampung Buluh ke Hulu Seladang mendapati beberapa kenderaan sudah boleh melalui kawasan yang dinaiki air iaitu berhampiran sempadan Kampung Bukit Pepari-Kampung Besut walaupun masih ada sedikit air di atas jalan.

Manakala Jalan Bukit Nenas ke Pak Ba melalui Ladang Fikri masih tidak dapat dilalui semua kenderaan kerana masih terdapat air melimpahi jalan berhampiran rumah pekerja Ladang Fikri. 

Dalam pada itu, pada keseluruhannya, keadaan banjir di Setiu bertambah baik, beberapa jalan yang ditutup dibuka semula, tiada pusat perpindahan di buka dan beberapa kampung yang sebelum ini ditenggelami air pulih seperti biasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur kerana banjir yang melanda langkap tidak berterusan setakat ini dan penduduk yang berpindah sudah pulang ke rumah masing-masing.

"Saya berterima kasih kepada semua yang terbabit dengan banjir di Dun Langkap ini, termasuklah  anggota keselamatan dan Jabatan kebajikan (JKM),"  katanya.


  

PEMIMPIN BN TURUN PADANG BANTU MANGSA BANJIR

Timbalan Perdana Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pagi ini ke Kemaman Terengganu untuk menemui mangsa banjir dan menyampaikan bantuan.
Beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan tiba di Pangkalan TUDM Kuantan dan di situ beliau menaiki helikopter ke Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Chukai.


Seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol Paya Berenjut. 


Di sana beliau diberi taklimat keadaan banjir oleh Pegawai Daerah Kemaman, Haji Kamil Othman.
Tan Sri Muhyiddin akan menemui mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan. 
Selepas itu beliau berlepas balik ke Kuala Lumpur semula untuk menghadiri Persidangan Agung Umno .



Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said sejak semalam telah berada di Kemaman meninggalkan Persidangan Agung Umno demi untuk bersama rakyat yang ditimpa banjir.
Semalam juga beliau mengiringi Sultan Terengganu yang mencemar duli berangkat melawat rakyat Baginda yang terlibat dengan banjir besar di Daerah Kemaman.
Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Ahli Parlimen Kemaman juga berada di Kemaman sejak beberapa hari lalu untuk membantu mangsa banjir terutama dalam menyelaras bekalan bantuan.


Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Haji Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar juga bersama penduduk Dun Air Putih yang terlibat banjir membantu dan menyelaras keselamatan dan kebajikan mangsa.


Sayap-sayap Umno di Kemaman dan seluruh kepimpinan Bahagian memberi tumpuan membantu mangsa banjir sebagai sukarelawan.
Inilah keperihatinan pemimpin BN/Umno dalam menbantu rakyat.menghadapi bersama suka dan duka.
- Ruslan Abdul Rahman
Sent from Yahoo Mail on Android



Jambatan Kuala Kejir retak akibat banjir

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Laluan alternatif pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang melalui jambatan Kampung Kuala Kejir, Tanggol, Hulu Terengganu terjejas berikutan terdapat lubang dan keretakan di jambatan itu, pagi semalam.

Jambatan Kampung Kuala Kejir, Tanggol, Hulu Terengganu tidak dapat dilalui semua kenderaan kerana runtuh dan terbentuk lubang besar.
Tinjauan Teganukita ke tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam mendapati pihak berkuasa sudahpun mengambil langkah berjaga-jaga dan menutup laluan itu sepenuhnya untuk semua kenderaan, kira-kira dua jam sebelum itu.

Difahamkan, Jabatan Kerja Raya Daerah terpaksa merobohkan sebahagian laluan berkenaan dan menutup laluan itu sepenuhnya kepada orang bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku.


Seorang pengguna jalan itu, Manan Deraman, 48, berkata, jambatan berkenaan dipercayai mulai runtuh kira-kira jam 7 pagi selepas 30 minit dia menunggang motosikal melalui jalan itu untuk ke tempat kerja.

 “Jalan ini menjadi laluan saya setiap hari ke tempat kerja dari rumah di kampung Langgar ke kilang kayu di Batu 17, Wakaf Tapai, Marang.

 “Ketika saya melalui jalan itu jam 6.30 pagi, tiada lagi sebarang lubang dan rekahan.Tetapi selepas hampir sejam saya berpatah balik dari tempat kerja untuk pulang ke rumah disebabkan kilang tidak beroperasi hari ini, saya dapati jalan ini sudah ditutup akibat kejadian itu,” katanya.

 Sehubungan itu, penduduk di kawasan itu yang mahu ke Kuala Berang perlu melalui jalan Manir – Telemong, sebelum melalui Kampung Nasi Dingin- Kampung Tajin.

 

TISB anjur seminar Internel Audit Colloqium 2013

Oleh: Suriati Ali 

 Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB), sebuah syarikat pelaburan milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, menganjurkan seminar “Internel Audit Colloqium 2013” dengan tema “The Evolving Role of Internal Auditors in Risk Management” Bangunan TISB, Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

 Seminar berkenaan dihadiri 50 peserta yang terdiri daripada Jururaudit Dalaman merangkumi syarikat di bawah kumpulan TISB dan pelbagai agensi Kerajaan Terengganu.

 Seminar ini merupakan yang kali kedua dianjurkan oleh Jabatan Audit Dalaman Kumpulan TISB dengan objektif utama untuk meningkatkan peranan Juruaudit Dalaman seiring dengan perubahan semasa dalam melaksanakan perkhidmatan pengauditan dan perundingan secara profesional dan berkualiti.

Selain itu, seminar ini juga merupakan platform untuk perkongsian idea dan maklumat bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara syarikat induk, anak-anak syarikat di bawah kumpulan dan juga jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

 Seminar ini diadakan dalam bentuk kolokium dengan menampilkan panel yang berpengalaman, termasuk Pengarah Urusan, Centegy Consulting Group yang juga penceramah profesional, En.Steven Yee; Penceramah Institut Intergriti Malaysia (IIM) Encik Wong Chai Looi.

 Buat masa ini, Jawatankuasa Audit Kumpulan, Lembaga Pengarah TISB dipengerusikan Pegawai Kewangan Negeri, Dato Abdul Razak Ismail, dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Dato’ Wan Jaafar Wan Mahmud.

Jawatankuasa itu mencadangkan agar seminar ini dapat diadakan setiap tahun sebagai platform untuk peserta berkongi pengalaman dan amalan terbaik serta membincangkan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh mereka sebagai juruaudit dalaman.

Seminar ini juga telah mendapat sokongan penuh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said Selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TISB sebagai salah satu usaha bagi mempertingkatkan tadbir urus syarikat melalui peranan Juruaudit Dalaman yang mempunyai integriti dan profesionalisma yang tinggi ke arah kemakmuran masa depan Terengganu.

 

SEKITAR MENTERI BESAR MENGIRINGI TUANKU SULTAN MIZAN MELAWAT KEADAAN BANJIR DI KEMAMAN

Oleh; Esah Abdullah


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal berkenan berangkat melawat ke beberapa pusat perpindahan banjir di daerah Kemaman semalam.


Keberangkatan Sultan Terengganu disambut  Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah serta Ketua Polis Terengganu Dato’ Jamshah Mustafa.


Baginda  berkenan menyampaikan  bantuan berupa barang keperluan harian  kepada  mangsa  di pusat perpindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Iman Kemaman serta meninjau keadaan jalan yang terjejas teruk di Bukit Mentok.









05 December 2013

Banjir Sekitar Chukai, petang tadi (5.12.13)

Bantu..anggota tentera membantu mengeluarkan penduduk.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

CHUKAI: Banjir yang melanda hampir keseluruhan bandar Chukai, Kemaman dan beberapa kampung berhampiranya semalam melumpuhkan bandar itu. Hampir 80 peratus kawasan Chukai di tengelami air, antara yang teruk ialah penduduk di beberapa kampung dan taman di sepanjang jalan Chukai ke Air Putih.

Tinjauan Teganukita petang tadi mendapati, terdapat beberapa kawasan di sekitar Chukai masih ditengelami air, antaranya ialah Jalan Chukai ke Kampung Geliga, beberapa tempat di Jalan Chukai ke Air Putih dan berhampiran sungai di dalam bandar Chukai.

Bagaimanapun ia surut berbanding semalam malah ada beberapa tempat surut sepenuhnya manakala terdapat penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing dengan berjalan kaki atau menaiki bot untuk melihat keadaan rumah mereka.

Berikut ialah gambar-gambar yang sempat dirakam Teganukita di sekitar Batu 2, Jalan Chukai ke Air Putih dan Jalan Chukai ke Geliga, berhampiran Centre Point, petang tadi.

Tutup..Jalan Chukai-Kuantan melalui Geliga masih ditutup petang tadi.

Tutup..Jalan Chukai-Air Putih masih ditutup petang tadi
Masih tenggelam..keadaan sebuah taman perumahan.

Ronda..beberapa penduduk menaiki sampan.

Kenangan..sekumpulan remaja bergambar ketika melihat air

Turun..sebuah bot diturunkan ke atas jalan.

Tersadai..kenderaan yang ditenggelami air.

Lihat..orang ramai melihat banjir

Tutup sebelah..LPT2 ditutup sebelah jalan berhampiran susur Bukit Besi.

Berselut..sebatang jalan berhampiran Air Putih selepas banjir.

Sesak..kenderaan terpaksa diletak di kiri kanan jalan.
Masih dalam...pemandangan di depan sebuah perkedaian di Batu 2.


Air hampir cecah bumbung : mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Seorang mangsa banjir dari Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Wan Mohd Raimi Wan Ya, 27, menyifatkan banjir tahun ini lebih buruk berbanding sebelum ini apabila rumah yang didiaminya sejak tujuh tahun lalu ditenggelami air sehingga menghampiri bumbung.

"Kami sekeluarga hanya sempat mengalihkan sebahagian barangan rumah ke tempat tinggi berikutan air yang naik ke dalam rumah begitu mendadak.

"Tahun lepas, air naik tidaklah secepat ini tetapi kali ini sangat berbeza sehingga rumah saya boleh tenggelam hanya nampak bumbung," kata bapa kepada tiga anak ketika ditemui Teganukita di pusat pemindahan banjir Dewan Sivik Batu 24, Kuala Berang, hari ini.

Wan Mohd Raimi berkata, walaupun kemungkinan sebahagian barangan elektrik dan perabot di rumahnya tidak boleh digunakan lagi, dia dan isteri bersyukur kerana sempat menyelamatkan dokumen penting dan ketiga-tiga anak mereka sebelum bergegas ke pusat pemindahan itu.

Dia juga berpuas-hati dengan bantuan yang diberikan pihak berkuasa sepanjang dua hari berada di pusat pemindahan itu. Seramai 167 mangsa dari 52 keluarga berada di Dewan Sivik Batu 24, Kuala Berang itu, sehingga pagi ini.

Sementara itu, tinjauan Teganukita ke pusat pemindahan banjir SK Kampung Nibong mendapati 58 mangsa dari 28 keluarga yang kebanyakan tinggal di Kampung Nibong ditempatkan di pusat berkenaan.

Seorang mangsa, Engku Hasmah Kamarulzaman, 38, dari Kampung Nibong berkata, dia dan empat anaknya mengambil keputusan untuk berpindah buat sementara waktu ke sekolah terbabit kerana tidak mahu kejadian tidak diingini menimpa keluarganya.

“Saya dan anak-anak segera berpindah ke sini apabila air mula memasuki rumah kerana merasakan tidak selamat berikutan pada waktu itu suami tiada di rumah kerana bekerja di Kemaman,” ujarnya.


 Bagi dua warga emas, Semek Ahmad, 70, dan Mek Ismail, 80, turut mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan yang sama berikutan kawasan kediaman mereka tidak lagi selamat didiami sejak petang kelmarin.

 “Memandangkan usia kami yang sudah tua, lebih elok sekiranya kami berehat disini buat sementara sehingga keadaan banjir benar-benar pulih.

“Alhamdulillah, bantuan oleh pihak berkenaan juga sampai dan kami rasa bersyukur dengan keprihatinan semua pihak,” katanya.

 Sehingga pagi ini, seramai 1,758 mangsa ditempatkan di 31 pusat pemindahan di seluruh Hulu Terengganu.

Sebelum itu, semua mangsa terbabit dikunjungi Ahli Parlimen Hulu Terenggganu, Dato’ Jailani Johari yang turun padang meninjau keadaan di semua pusat pemindahan berkenaan.

Beliau turut menyampaikan bantuan makanan dan bertanya khabar dalam tinjauan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu.