Halaman

17 January 2011

YPU Adakan Promosi Batik Dan Songket Di Timur Tengah

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Selepas mengadakan promosi batik dan songket Terengganu ke Eropah, kini Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengadakan promosi yang serupa ke negara-negara Timur Tengah pula.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata langkah itu bertujuan supaya batik dan songket Terengganu berkembang serta terkenal di seluruh dunia.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Fesyen, Tekstil serta Pasaran Songket dan Batik Terengganu di Eropah, beliau berkata tahun lepas kerajaan negeri menghantar rombongan tediri daripada pengusaha batik dan songket untuk membuat promosi antaranya di Barcelona, Itali dan London.

Katanya hasil daripada promosi itu, ramai pengusaha pakaian terkemuka di negara-negara tersebut menunjukkan minat untuk menggunakan batik dan songket dalam ciptaan mereka.

Beliau berkata produk songket dan batik semakin kreatif dan kerajaan negeri Terengganu sentiasa berusaha untuk mendapatkan peluang pasaran di peringkat antarabangsa.

Azmi berkata awal 1990-an, songket dan batik Terengganu jatuh kerana beberapa sebab antaranya kurang daya kreativiti khususnya dalam rekaan dan kurang pemahaman tentang perkembangan citarasa pasaran.

Menyedari perkara itu, beliau berkata kerajaan negeri memberi perhatian terhadap songket dan batik melalui promosi, galakan dana bimbingan terhadap rekaan dan reka bentuk yang mengikuti trend serta citarasa pasaran.

Beliau berkata seminar sehari itu diadakan khusus untuk pengusaha-pengusaha songket dan batik mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang potensi pasaran songket dan batik di luar negara.

Kira-kira 100 penggiat songket dan batik di Terengganu menyertai seminar berkenaan.

-- BERNAMA

JPV Terengganu Nasihat Penternak Ayam Berjaga-Jaga Serangan Penyakit Hawar

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menasihatkan para penternak ayam supaya berjaga-jaga selepas beberapa kes hawar membabitkan ayam kampung dikesan di sekitar daerah Kuala Terengganu sejak kira-kira seminggu lepas.

Timbalan Pengarah JPV negeri Dr Ahmad Shafri Hassan berkata semua penternak ayam di tempat yang belum dikesan wabak itu di kawasan sekitar Kuala Terenganu, supaya memberikan suntikan vaksin kepada ternakan masing-masing bagi menghindari penyakit tersebut.

Katanya wabak hawar yang membabitkan haiwan ternakan sudah lama tidak berlaku, menyebabkan ramai kalangan penternak yang tidak menyuntik vaksin kepada ternakan mereka sekian lama.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini beliau berkata penternak boleh datang ke pejabat JPV berdekatan dan berjumpa pegawai untuk mendapatkan suntikan vaksin itu.

Sejak seminggu lalu ribuan ayam kampung di sekitar daerah ini mati akibat diserang penyakit hawar, dan kerugian yang dialami penternak dianggar menjangkau lebih RM100,000.

Sementara itu Setiausaha Persatuan Penternak Terengganu Ibrahim Abdul Rahman pula berkata biasanya penyakit hawar ini berlaku selepas banjir, dan menurutnya wabak kali ini agak teruk membabitkan ternakan di kawasan kampung-kampung seperti Pasir Panjang, Panji, Gelong Bilal, Pak Pa, Sungai Derhaka dan Pak Lebam.

"Kami minta para penternak ayam di kampung-kampung sekitar kawasan ini yang belum kena jangkitan wabak itu supaya berhubung dengan pejabat haiwan dengan segera untuk mengambil pelbagai langkah-langkah pencegahan," katanya.

Antara tanda-tanda penyakit hawar ialah ayam menjadi lemah dan paruhnya berair sebelum ia mati.

-- BERNAMA

Dua Kilang Besi Di Terengganu Akan Beroperasi Tahun Ini

KEMAMAN, 15 Jan (Bernama) -- Dua buah kilang besi akan mula beroperasi di kawasan perindustrian Teluk Kalong di sini tahun ini, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad berkata sebuah daripadanya adalah kilang besi waja milik Syarikat Perwaja Steel Sdn Bhd yang akan beroperasi pertengahan tahun ini melibatkan kos antara RM400 dan RM600 juta, yang mampu menyediakan pekerjaan kepada antara 200 dan 300 anak tempatan.

Selain itu, katanya sebuah lagi kilang besi yang lebih besar milik syarikat dari negara China yang menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan melibatkan kos ratusan juta dan mampu menyediakan pekerjaan kepada 600 orang.

"Kita jangka apabila kedua-dua kilang itu beroperasi, ia mampu memberi peluang pekerjaan sehingga 1,000 anak tempatan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan Dana Raya Cina kepada masyarakat Tionghua pada hari Sabtu.

Beliau berkata kilang besi syarikat Perwaja itu merupakan pembesaran kilang yang sedia ada di kawasan berkenaan.

Pada majlis itu, seramai 2,037 kaum Tionghua di daerah Kemaman menerima wang tunai RM300 seorang melibatkan peruntukan RM524,400.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan kira-kira RM4 juta untuk pembinaan sebuah dewan orang ramai dan gelanggang bola kerajang bagi kemudahan masyarakat Tionghua di daerah itu.

-- BERNAMA

16 January 2011

PAS JOIN UMNO BUKANNYA GANTI UMNO

Oleh: Putera Pesisir Air


Ketua Muslimat Pas, Ustazah Nuridah Salleh berpeluk erat dengan YB Elezbeth
Wong, Ratu Bogel, Exco Kerajaan Selangor.


Haji Hadi berpeluk erat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Ki Siang

Semoleknya Pas joint Umno; bubar parti Pas dan ahli-ahli mereka menyertai Umno demi perpaduan orang Melayu dan Islam.

Pengarah Unit Komunikasi (UKOM), Haji Shamsuddin Sulong yang berpendapat demikian juga berkata, slogan yang paling sesuai ialah “Pas masuk Umno” atau Pas bersama Umno kerana banyak apa yang telah lama dibuat oleh Umno baru hendak dibuat oleh Pas.

Malah katanya, pakatan dalam Barisan Nasional (BN) yang dirintis Umno untuk kebaikan dan maslahah ummah, tetapi yang Pas lebih banyak menghancur dan meruntuhkan umat Islam kerana berpakat dengan pihak yang menentang dan menolak Islam secara total.

Baru-baru ini pun sudah ada pertemuan di antara Preisden Pas (Haji Hadi) , Mursidul Am Pas (Nik Aziz) dengan Perdana Menteri (Dato’ Najib) dan bekas Perdana Menteri (Pak Lah) dalam satu majlis makan malam.

Jadi apa salahnya, bersama demi kepentingan agama Islam dan orang Melayu. Cara menyertai Umno itu fikirlah, kalau tidak mahu masuk Umno pun tetapi menyokong dan mendokong kebaikan dan jasa Umno selama ini dalam menyelamatkan orang Melayu dan mempertahankan kedudukan agama Islam.

Umno sebenarnya sudah lama membuat pakatan politik dengan bukan Islam atau bangsa bangsa lain di negara ini yang pemimpin Pas sebut sebagai Takhaluf Siyasi, cuma Umno tidaklah retorik bahasa dan istilah, yang pentingnya ialah amalan dan cara berpakat itu untuk kebaikan bersama.

Pas dulunya sampai menuduh orang Umno kafir kerana pakatan itu, justeru jahil atau cuba mengaburi rakyat dan umat Islam atas kebenaran yang dilakukan Umno itu melalui Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN). Malah Pas sendiri pernah menyertai pakatan BN, tidak timbul soal menjadi kafir pun ketika itu.

Apa salahnya kembali bersama demi perpaduan orang-orang Melayu dan keutuhan agama Islam. Banyak isu yang Pas gagal tangani apabila mereka buat pakatan sendiri dengan parti bukan Islam seperti yang berlaku dan Selangor, Pulau Pinang khususnya.

Itulah balasannya apabila, Umno buat pakatan dituduh macam-mcam sampai ke peringkat mengkafirkan orang-orang Umno. Sekarang Tuhan tunjuk secara ‘cash’ atas pakatan mereka itu yang tidak menjadi atau serba tidak jadi.

Sekutu mereka DAP menghalalkan orang Islam bekerja di premis arak di Selangor, apa yang Pas mampu pertahankan kedaulatan Islam kerana tindakan itu bertentangan dengan Islam malah perlembagaan negara.

Apa jadi masjid dan surau di Selangor bila pemimpin DAP yang bukan Islam datang dan masuk ke masjid bersyarah kepada orang Islam? Ini seperti dilakukan oleh Ahli Parlimen Serdang (DAP) Teo Ning Ching menyampaikan tazkiran kepada jemaah solat di surau al-Huda, Kajang? Wanita bukan Islam itu tanpa menutup aurat berbuat demikian? Wajar ke Pas bertakhaluf sampai menggadai agama dan umat Islam sedemikian rupa?

Tapi untuk berdalih menghalalkan segalanya, Pas boleh berhujah macam-macamlah dengan pelbagai belitan atau putar belit dengan bersandarkan agama.

Sebenarnya banyaklah yang Pas buat sekarang ini, sebenarnya apa yang telah Umno lakukan terdahulu yang diharamkan oleh Pas sebelum ini. Malah apa yang Umno buat adalah lebih baik kaedah dan pendekatannnya dari Pas.

Misalnya:

1.Enakmen atau perundangan Islam yang didakwa oleh Pas semasa memerintah Terengganu sebenarnya dicedok dari Kerajaan Pusat (Wilayah Persekutuan).Diperakui sendiri oleh Exco Kerajaan Pas Terengganu ketika itu, Tun Salleh Abbas .

2.Haji Hadi yang menuduh Umno kafir tidak menjalankan hukum Islam (Hudud) akhirnya berkata perlaksanaan hudud melalui proses yang panjang. Hadi berkata: “Hukum hudud adalahs atu aspek daripada 0.00001 dari hukum-hukum Islam” demikianlah apabila mereka berkuasa, jawapan dan dalihnya mudah sekali. Umno sebenarnya telah lama melaksanakan dasar dan kaedah siasah menurut Islam, cuma Pas saja yang bebal memahami dan menerimanya.

3.Bila Umno/BN buat Bank Islam, Haji Hadi kata, ia ibarat daging lembu dalam sekawah daging babi; tetapi akhirnya mereka juga yang menggunakan khidmat Bank Islam itu.

4.Haji Hadi yang menuduh wartawan sebagai tupai dank era, sukakan benda-benda busuk, akhirnya Pas juga yang beria-ia mendekati wartawan melalui pertemuan, jamun dan sebagainya yang Umno telah lama lakukan.

5.Hadi yang pernah meletakkan Pejabat Agama setaraf dengan Pejabat Pos, kononnya tidak berada di taraf paling tinggi, tetapi bila berkuasa terus mentadbir cara yang sama di mana pejabat agama juga salah satu dari jabatan dalam kerajaan.

6.Mengeluarkan lesen premis judi semasa memerintah Terengganu, tetapi semasa Umno dikecam hebat bila berbuat demikian.

7.Membenarkan hiburan-hiburan, pesta, fun fair dan sebagainya, termasuk tukang urut wanita Thai mengurut pelanggan lelaki-semasa memerintah Terengganu.


Tarian pun boleh, kalau Umno buat tak boleh?

8.Membenarkan premis jualan arak semasa berkuasa di Terengganu.

9.Melantik Pengerusi dan ahli-ahli JSR yang tidak mencukup syarat yang digariskan seperti sekurang-kurangnya lulus’Empat Sanawi” dan tidak melakukan dosa besar.

10.Semasa berkuasa, Kerajaan Pas Terengganu tidak memberi peruntukan kepada Ahli Yang Berhoramat (YB) bukan penyokong kerajaan, yang ditentang semasa kerajaan Umno amalkan kaedah itu.

TEGANUKITA

Pameran Pertama Anjuran Sinar Harian



TEGANUKITA

15 January 2011

PAS GANTI UMNO? SERIK DOH!!

Oleh: Penulis Khas

Beberapa sepanduk dan momokan Pas ganti Umno sedang dibuat di negeri ini, mungkin itu antara aktiviti biro perang saraf parti berkenaan di Terengganu.

Kita ucap tahniahlah kepada biro gerak saraf Pas Terengganu walaupun mereka tahu sebenarnya kata-kata itu sekadar hendak menyedapkan hati puak-puak mereka sahaja dan menakut-nakutkan orang Umno.

Bukan senang untuk menutup kesalahan dan kemungkaran semasa Pas berkuasa di Terengganu November 1999- Mac 2004.

52 bulan Pas berkuasa di Terengganu telah cukup menyebabkan rakyat menjadi serik, kecuali bagi orang dan penyokong Pas “totok” yang melihat Pas seperti agama dan pemimpin mereka teramat hebat.

Apatah lagi, pemimpin mereka sendiri meletakkan gelaran yang hebat kepada diri mereka sendiri, ‘Tuan Guru’ yang terpampang sebagai nama rasmi mereka. Adakah layak ulamak dan pemimpin Islam dengan sifat angkuh, sombong dan takabur menggelarkan diri mereka sebagai Tuan Guru?

Kini terpampang pula di kain rentang ; seolah-olah rakyat Teregganu semudah itu melupakan kerosakan di muka bumi Terengganu dilakukan Pas semasa berkuasa.

Tuan Guru mereka yang telah menyebabkan kawasan balak tergadai di Terengganu dalam tempoh 52 bulan kekuasaan Tuan Guru, gelaran ciptaan sendiri untuk membangkit sokongan para penyokong.

Kerajaan Negeri Terengganu sekarang terpaksa berdepan dengan saman RM1 billion angkara kemungkaran pemimpin Pas sewaktu mentadbir dan berkuasa di negeri Terengganu. Melulus dan menarik balik sesuka hati kawasan balak mega hanya kerana wang!

Masihkah kau ingat, kawasan-kawasan balak diberikan sewenangnya kepada kroni dan puak juak pemimpin Pas, termasuk apa yang disebut pemimpin JSR pun dapat balak?

Masihkah kau ingat, kawasan balak 10,000 ekar hutan dara di Hulu Dungun diluluskan oleh Tuan Guru yang berkuasa di Terengganu itu kepada syarikat kroninya yang dipimpin oleh mereka yang mengetuai akhbar rasmi parti mereka.

Masihkah kau ingat, anak Exco Kerajaan Pas Terengganu pun balon wang zakat? Kata hendak dipulangkan semula apabila terbongkar, tetapi sampai sekarang tidak dipulangkan.

Masihkah kau ingat, semasa Pas perintah Terengganu anak-anak Tadika Kemas dihalau dari balai raya, hingga ada yang berpindah di bangsal keropok, kedai kopi dan sebagainya.

Sekarang anak-anak yang pernah dihalau itu sudah pun meningkat remaja berada di sekolah menengah, berumur antara 16 - 17 tahun. Mereka pasti tidak lupa!

Masihkah kau ingat, semasa Pas perintah, diadakan pesta-pesta termasuk Pesta Thai, yang mengandungi tukang-tukang urut perempuan dari negara itu dibenarkan mengurut pelanggan lelaki di Pusat Dagangan Terengganu?

Banyak lagilah kalau hendak disenaraikan semula kemungkaran kemungkaran di zaman Pas memerintah Terengganu….Serih Doh!!
Ini datang pula sekali lagi dengan momokan hendak ganti Umno. Tidak malu!!

TEGANUKITA

SIAPA BAKAL SETIAUSAHA, BENDAHARI DAN KETUA PENERANGAN UMNO TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menjadi teka-teki siapakah agaknya Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Umno Terengganu di bawah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Ahmad Said yang buat kali kedua diberi amanah menjawat jawatan itu.

Sudah pasti kemungkinan besarlah, jawatan-jawatan pegawai tinggi dalam Umno Terengganu itu akan diumumkan dalam Mesyuarat Pertama Umno Terengganu pimpinan kali kedua Dato’ Seri Ahmad pada Isnin ini 17 Januari 2011, sebaik majlis penyerahan tugas dari bekas Pengerusi, Datuk Sri Hihsamuddin Tun Hussien (Naib Presiden Umno).

Majlis dijangka akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya yang sudah pasti akan dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian, termasuklah Ketua Umno bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad yang telahpun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Semasa Datuk Sri Hishamuddin menjadi Pengerusi hampir setahun lapan bulan iaitu bermula pada 24 April 2009 menggantikan Dato’ Seri Ahmad (Dato’ Seri Ahmad menjadi Timbalan) beliau telah melantik YB Tengku Putera Awang, (Setiausaha), YB Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari) dan YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek sebagai Ketua Penerangan.

Amat sukar kali ini untuk diramalkan siapa pula akan dilantik. Namun begitu beberapa nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak berjawatan utama di bahagian disebut-sebut.

Sebenarnya jawatan-jawatan itu bukanlah ‘mahkota’ tetapi suatu amanah yang perlu dipikul dengan komited dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan kepimpinan.

“Setia” dan “Usaha” adalah suatu jawatan yang akan menjadi nadi penggerak penting, sebab itu dalam institusi kerajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah nadi segalanya.

Bendahari pula bukan sahaja mampu menyimpan wang dan membelanjakannya secara berhemah, tetapi mestilah seorang yang mampu bersama-sama memastikan ‘tabung’ Umno Terengganu mampu menampung pentadbiran dan operasinya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umno, PRU 13.

Manakala Penerangan adalah nadi penting dalam sesebuah organiasi parti, jika lumpuh di peringkat ini, maka parti akan dilihat dan dikatakan lumpuh; sedangkan di pihak lawan operasi penerangan begitu hebat sekali.

“Kita tidak boleh ketinggalan dan tidur di masa pihak pembangkang menyerang kita dengan hebatnya,” kata orang-orang Umno yang bersemangat tinggi untuk melihat Umno Terengganu cemerlang.

Mereka berharap dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Ahmad selaku Pengerusi Umno dan Menteri Besar dan barisan kepimpinan dan para pegawai parti yang bakal dilantik meneruskan kembali gerakan memperkasakan kegiatan penerangan, turun padang menemui rakyat dan ahli-ahli serta penyokong.

TEGANUKITA

RM37 JUTA SETAHUN BIAYAI BIASISWA DAN PINJAMAN PELAJAR KE IPT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Negeri Terengganu, khususnya di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said sebenarnya negeri yang menjunjung pendidikan di tempat paling tertinggi dan hasilnya juga ialah kejayaan amat tinggi.

Terengganu mempunyai rakyat 1.1 juta membelanjakan RM37 juta setahun untuk membiayai biasiswa dan pinjaman bagi pelajarnya yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), berbanding dengan negeri lain yang tidak sampai kepada angka itu.

Berbanding ada negeri lain rakyatnya 3.5 juta, tetapi berbelanja untuk itu sekadar RM7 juta sahaja setahun, demikian diberitahu Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin yang hadir di perasmian Karnival Jom Masuk U, di Kuala Terengganu petang semalam (14 Januari) dimaklum tentang hal itu.

RM13.7 juta tahun lepas untuk bantuan persediaan pelajar ke IPT dan asrama penuh:
Dato’ Seri Ahmad berkata, bayaran persediaan untuk ke IPT dan asrama penuh juga amat besar dibelanjakan setiap tahun secara percuma bagi memastikan semua golongan kaya dan miskin dapat menyambung pelajaran.

Tahun lepas (2010) sebanyak RM13.7 juta dibelanjakan bagi tujuan itu membabitkan 23.000 pelajar. Untuk ijazah bantuan persediaan awal itu diberi sebanyak RM1,000, bagi diploma RM750 manakala bagi asrama penuh RM500.

“Kalau dulu ibubapa terpaksa bergadai dan jual apa sahaja untuk hantar anak belajar ke universiti atau asrama penuh, tetapi sekarang kerajaan bantu, suatu yang amat disyukuri” kata seorang bapa yang ditemui di majlis itu.

Terengganu Juara dalam semua keputusan peperiksaan UPSR,PMR,SPM dan STPM:
Dato’ Seri Ahmad menjelaskan perbelanjaan yang besar oleh pihaknya di bidang pendidikan sebenarnya melakarkan kejayaan setiap tahun sejak kebelakangan ini, bukan sahaja dalam UPSR tetapi juga dalam SPM dan STPM.

Contohnya, kata beliau Terengganu berturut-turut sepuluh tahun juara UPSR seluruh negara, malah PMR juga tahun ini masuk tahun ketiga menjadi juara dengan seramai 1,746 pelajar di negeri ini mendapat A kesemuanya, tidak termasuk pelajar anak Terengganu yang berada di negeri lain seperti MRSM dan sebagainya.

Tahun lalu juga negeri ini juara dalam SPM buat kali pertama dan kali kedua juara dalam STPM berturut-turut, menjadikan Terengganu negeri JUARA PENDIDIKAN ATAU PELAJARAN.

“Sebab itulah kita katakan, TERENGGANU ADALAH NEGERI ANJUNG ILMU dan kita terus berusaha untuk menjayakannya” kata Dato’ Seri Ahmad.

Menteri Besar Terengganu menyatakan perkara ini sewaktu berucap merasmikan Karnival Jom Masuk U yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohd.Khalid Nordin.

Tujuan program ini ialah untuk membolehkan pelajar dan ibubapa mengetahui peluang dan hala tuju untuk ke IPT .

TEGANUKITA

469,500 TEMPAT UNTUK PELAJAR MELANJUTKAN PELAJARAN IPT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain daripada IPT Awam, pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Swasta, Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan program persediaan ke luar negara secara tajaan.

“469,500 tempat disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf melanjutkan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara,” kata Menteri itu..

“Bagi mereka yang tidak mencapai keputusan yang baik dalam SPM, mereka sewajarnya memilih untuk menyambung pengajian bagi mendapatkan sijil di institusi-institusi kemahiran sama ada awam, swasta mahupun di Kolej Komuniti”

"Apabila Kementerian Pengajian Tinggi melalui Unit Pusat Universiti diberikan tanggungjawab untuk mengkordinasi dalam soal permohonan kemasukan pelajar termasuk ke institusi latihan, kita boleh melihat dan membuat perancangan bagi mereka yang tidak mendapat keputusan baik dalam SPM, kita boleh tampung melalui penyediaan mereka untuk mendapatkan sijil kemahiran.

"Dengan demikian kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi negara di mana ramai pelajar masuk pasaran kerja hanya berbekalkan SPM. Tetapi sekarang kita mahu buat perancangan supaya pelajar ini dibekalkan dengan sijil kemahiran," katanya berucap di Karnival Jom Masuk U, yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu semalam (14 Januari).

Katanya lagi, kementeriannya sedang merancang untuk mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA sebagai usaha untuk memperkasakan program diploma sebagai satu pilihan pelajaran lulusan SPM atau yang setaraf untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Beliau berkata kementeriannya juga akan menyediakan pembekal bagi melahirkan graduan berkemahiran teknikal dari universiti-universiti teknikal selain memartabatkan program diploma dengan mendapatkan pengiktirafan daripada badan profesional dalam dan luar negara.

TEGANUKITA

14 January 2011

Golongan Veteren UMNO Di Iktiraf

Oleh : Raja Faisal Raja Haron

“Sikap bersatu hati semua pemimpin serta pejuang UMNO boleh memastikan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-13 “ menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap di Majlis Mesra Veteren Bersama Pemimpin 2011 yang bertemakan “jasamu dikenang “ ,semalam (13 Januari).

Majlis yang di anjurkan oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) bersama Majlis Veteren UMNO bahagian Dungun dan Kemaman bertempat di Dewan Utama Perbandaran Dungun dan disusuli di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman(MPK) adalah usaha untuk merapatkan golongan veteren UMNO dengan kepimpanan UMNO masa kini.

Beliau yakin, dengan Jumlah ahli veteren UMNO berumur 60 tahun ke atas seramai 47,345 orang yang berdaftar sebagai pegundi yang hampir 9% daripada jumlah pegundi seluruh negeri Terengganu dan jika disatukan dengan ahli-ahli sayap parti UMNO yang lain, ia akan menghasilkan satu jumlah undi yang besar untuk memastikan kemenangan piliharaya akan datang.

Beliau amat menghargai dan berterima kasih kepada golongan veteren yang telah banyak memberi jasa-jasa dan bakti mereka kepada parti dan rakyat agar dapat mengecapi nikmat yang kita dapat pada hari ini.

Beliau juga menegaskan agar ahli UMNO tidak bersikap seperti ‘duri dalam daging’, Jangan disebabkan tidak berpuas hati dengan UMNO, ada antara ahli UMNO yang sanggup menjatuhkan UMNO.

“Sebaliknya sebagai pejuang sebenar, kita perlu sanggup mengorbankan jiwa raga demi memperkasakan parti, bak kata orang ‘adat berparti, parti dipertahankan’,” katanya.

Sempena majlis berkenaan juga, MB turut menyerahkan bantuan kerusi roda dan menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada 20 ahli Majlis Veteran UMNO Bahagian UMNO Dungun dan Kemaman yang banyak berjasa dalam perjuangan parti.

Ini satu pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap Jasa dan khidmat golongan veteren UMNO dalam memperjuangkan parti selama ini.

TEGANUKITA