Halaman

07 March 2011

Tadarus al-Quran isi program cuti sekolah

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Program tadarus al-Quran anjuran Radio Malaysia Terengganu (Tfm) dengan kerjasama Yayasan Terengganu (Imtiaz), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Taman Tamadun Islam Management dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Penduduk tempatan boleh membawa anak-anak mereka ke Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam untuk melihat kegigihan sebahagian pelajar Sekolah Menengah Imtiaz, membaca al-Quran di masjid itu selama lima hari berturut-turut, mulai 13 Mac ini.

Sepanjang program itu, 30 pelajar SMK Imtiaz Kuala Terengganu akan memperdengarkan bacaan dari ayat-ayat suci al-Quran sehingga 30 juzuk, mulai 9 pagi hingga 6 petang.

Program tadarus al-Quran itu yang kali kedua diadakan, dianjurkan Radio Malaysia Terengganu (Tfm) dengan kerjasama Yayasan Terengganu (Imtiaz), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Taman Tamadun Islam Management dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat, mengadakan sidang akhbar di Masjid Kristal hari ini, bagi tujuan menghebahkan program tersebut kepada umum.



Turut hadir di majlis itu ialah Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Haji Shaikh Harun Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan Pengarah Penyiaran Terengganu, Dr Nawiyah Che Lah.

YB Khazan dalam ucapannya merakamkan penghargaan terima kasih dan tahniah kepada TfM yang sentiasa menyajikan rancangan menarik dan berinformasi khusus kepada rakyat Terengganu.

Program tadarus itu akan disiarkan pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini yang akan bermula Ogos depan.



Beliau berkata, Tfm juga menganjurkan pelbaagi program lain dalam usaha mendekatkan stesen radio itu dengan masyarakat seperti ‘Suara Kampus’ dan ‘Terengganu Indah’.

“TfM juga tidak ketinggalan menyiarkan rancangan serta program berbentuk agama seperti tadarus al-Quran, ‘Suara Masjid’ dan ‘Suara Azan’ yang merupakan program terbarunya tahun ini,” ujarnya.



Maidam biayai kos penerbangan 300 pelajar pulang ke Mesir

Oleh: Esah Abdullah


Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membiayai sebahagian kos tambang penerbangan 300 pelajar di bawah tajaannya kembali ke Mesir.

“Kita memperuntukkan RM450,000 dengan anggaran RM1,500 setiap pelajar terbabit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dalam sidang media di pejabat Maidam, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, Maidam akan membantu menguruskan permohonan visa dari Kedutaan Mesir kepada mana-mana pelajar yang belum berbuat demikian dan meminta mereka menghadirkan diri ke pejabat Maidam mulai 8 Mac jam 9 pagi.

Antara kemudahan yang disediakan kepada pelajar termasuklah menyediakan khidmat jurugambar, borang Visa, kos gambar dan caj permohonan Visa serta mengumpul dan mengurus permohonan Visa dengan pihak kedutaan.

“Pelajar juga diminta membawa bersama salinan muka depan Pasport Antarabangsa serta sebarang pengenalan lain seperti kad matriks bagi mengesahkan mereka adalah penuntut dari mana-mana IPT di Mesir,” katanya.

Haji Wan Harujan berkata Maidam akan membantu melicinkan urusan pelajar untuk kembali ke Mesir bagi menyambung pengajian mereka yang tertangguh akibat pergolakan politik di negara itu baru-baru ini.

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan menyediakan penerbangan secara sewa khas melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Kaherah, Mesir.

Katanya, jadual penerbangan akan ditetapkan kemudian hasil perbincangan kerajaan negeri dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Maidam akan guna penerbangan komersial jika penumpang penerbangan sewa khas penuh.

“Maidam juga turut menghantar seorang pegawai pengiring bagi memastikan kelancaran sepanjang perjalanan ke negara itu serta membantu urusan perjalanan ke destinasi masing-masing terutama pelajar tahun pertama yang belum biasa di negara berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Maidam juga akan memberi RM100 kepada setiap pelajar yang belum mendapat bayaran tunai itu semasa mendarat ke Malaysia pada Februari lalu disebabkan pulang secara persendirian dan juga pulang melalui dua penerbangan terakhir yang diatur oleh kerajaan negeri.



Pekebun getah diminta jual hasil kepada koperasi

Oleh: Esah Abdullah

Pekebun kecil getah di negeri ini diingatkan supaya menjual hasil getah mereka kepada koperasi bagi menjamin bahan berkenaan selari dengan harga yang ditetapkan pasaran semasa.

Pengarah Risda Terengganu, Haji Zakaria Mat Zin berkata, kenaikan harga getah yang tinggi sekarang, tidak mustahil wujudnya ‘orang tengah’ bagi mengaut keuntungan mudah daripada pekebun kecil getah atau penoreh.

“Mereka perlu berhati-hati kerana jika hasil torehan dijual kepada koperasi, meraka akan mendapat harga yang ditetapkan bagi setiap kilogram dan kaedah urusan jual beli melalui koperasi juga adalah terancang dan terus kepada pemborong berlesen,” katanya.

Haji Zakaria juga tidak menafikan sebahagian besar penoreh getah hari ini perlu bekerja lebih masa, siang menoreh getah, waktu malam membuat rondaan dalam kebun semata-mata untuk memastikan tiada penceroboh masuk mengambil kesempatan ‘mencuri’ getah beku.

“Dalam keadaan sekarang mereka perlu pro-aktif, jika tidak kemungkinan besar akan berputih mata keesokkan hari,” katanya.

Beliau tidak pasti jumlah sebenar pekebun yang melakukan kerja ‘lebih masa’ tetapi bagi pemilik kebun yang berada di kawasan boleh dilalui kenderaan dianggap berisiko tinggi.

Katanya, dengan kenaikan harga getah sekarang, pekebun memperolehi pendapatan secara purata antara RM1,500 hingga RM2,000 sehektar sebulan dengan purata harga getah basah (skrap) antara RM8.00 hingga RM8.40 sekilogram.

“Kita tidak pelik kerana dalam keadaan sekarang kebimbangan pekebun kecil dan penoreh getah berasas dan tindakan mereka membuat kawalan di ladang masing-masing itu bagi mengelak kecurian,” katanya.

Katanya, terdapat 10,988 orang pekebun kecil getah yang produktif melibatkan kawasan seluas 20,599 hektar daripada 25,614 orang dengan keluasan 48,589 yang direkodkan di seluruh negeri.




Seminar Kaji Batu Bersurat Piagam Terengganu 28 Mac-29 Mac

Oleh: Aida Abd Rahman

Batu Bersurat Piagam Terengganu memperlihatkan wujudnya nilai ketamadunan yang tinggi masyarakat Melayu dari segi budaya kehidupan merangkumi holistik dan kerohanian serta linguistik sekaligus menyebabkan huruf-huruf dan perkataan yang tercatat pada keempat-empat penampang Batu Bersurat Piagam Terengganu perlu disemak dan dikaji semula supaya transkripsinya menjadi lebih tepat.

Demikian antara dua resolusi yang dikeluarkan pada 2010 hasil seminar yang dilaksanakan secara tahunan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu sejak 2009.
Seminar bagi menyelidik dan mengkaji isi kandungan Batu Bersurat Piagam Terengganu itu dengan tema `Wadah Intelektual Tamadun Melayu’diteruskan lagi pada tahun ini selama dua hari bermula 28 Mac ini bertempat di Lembaga Muzium Negeri.

Pengarahnya, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, seminar terdahulu yang menggariskan tujuh resolusi bakal diteruskan dengan pelbagi sudut penyelidikan yang dilaksanakan sejak dulu lagi itu bagi memperkayakan ilmu yang terkandung dalam Batu Bersurat Piagam Terengganu.

Katanya, dalam merungkai sejarah itu, banyak usaha dijalankan oleh pelbagai pihak sama ada individu atau organisasi dalam menyalurkan maklumat serta hasil kajian ini ke satu tahap yang lebih tinggi serta global, sehingga ia benar-benar menggambarkan situasi sebenar masyarakat ketika itu.

“Antara lain objektif seminar ini adalah mengkaji isi kandungan Batu bersurat Piagam Terengganu dari sudut Astronomi, membuat perbandingan Batu Bersurat ini dengan batu bersurat yang ada diseluruh Nusantara serta menyelidik asal usul batu yang digunakan ketika penyediaan teks Undang-Undang Islam yang dikuatkuasakan oleh pemerintah Islam pada abad ke-14,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu, katanya, seminar juga bertujuan menyelidik maksud lebih tepat berdasarkan kepada patah perkataan yang digunakan dalam Batu Bersurat dan merungkai sebanyak mungkin maklumat yang terkandung dalam Batu Bersurat yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan.

Beliau berkata, seramai 10 ahli akademik akan membentang kertas kerja mengenai sejarah rakaman manuskrip yang menjelaskan mengenai hukum Islam yang diamalkan penduduk Terengganu melalui penguatkuasaan pemerintahnya, Raja Mandalika itu dari sudut dan aspek berbeza.

Penyertaan dibuka kepada 250 peserta sahaja di kalangan kakitangan institusi dan jabatan, individu dan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian awam dan swasta.
Tarikh tutup adalah pada 21 Mac 2011.

Sebarang maklumat lanjut serta borang yang lengkap hendaklah dihantar kepada:

Urus Setia Seminar Batu Bersurat
Muzium Negeri Terengganu
Bukit Losong
20566 Kuala Terengganu
Tel : +609-6221444 Fax : + 609-6231209 / + 609-6266164





06 March 2011

Misi Kemanusiaan dan persaudaraan Islam

Bagi meningkatkan motivasi dan kesedaran untuk terus berkhidmat kepada rakyat, Jawatankuasa Mesyuarat Tindakan Daerah Kuala Terengganu mengadakan misi khas kemanusiaan ke Cambodia atau Kemboja khususnya bagi mengadakan perjumpaan dengan keturunan Melayu Champa beragama Islam yang merupakan golongan minoriti di negara berkenaan.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Terengganu Haji Mat Arsad bin Mohamed mewakili Pegawai Daerah Kuala Terengganu selaku Pengerusi kepada jawatankuasa itu, bersama-sama dengan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd.Jidin Shafie dan Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd.Nasir Ibrahim Fikri serta Pegawai pegawai pembangunan Dewan Undangan Negeri dan ketua-ketua jabatan di peringkat daerah menyertainya.

Menurut Haji Mat Arsad, lawatan itu sekaligus dapat menjalinkan hubungan persaudaraan Islam sebagaimana yang dituntut oleh agama kerana di mana pun mereka berada persaudaraan Islam tetap wujud apatah lagi mereka juga dari rumpun Melayu.

Dalam lawatan itu jawatankuasa menyampaikan beberapa buah naskah al-Quran, derma kepada masjid dan untuk hal ehwal agama serta pakaian dan makanan untuk penduduk Melayu Islam di Kampung Umbil, Daerah Kampung Cham, Phnom Penh, Cambodia (kira-kira 150 kilometer dari bandar Phnom Penh).

Seramai 1,500 orang menghuni di kampung berkenaan dalam keadaan daif, kebanyakannya hanya bekerja sebagai nelayan di Sungai Mekong, berdekatan kampung mereka serta petani luar bandar yang mengusahakan tanaman seperti ubi kayu, tembakau dan sayur-sayuran.


(Gambar:Penduduk perkampungan Melayu Islam Champa, di Kg.Umbil, Daerah Kg.Cham, Kemboja, keluar beramai-ramai menyambut kedatangan misi khas kemanusiaan dan persaudaraan Islam).

Sungai Mekong adalah antara sungai terpanjang di dunia (4,880 kilometer panjang) bermula dari Tibet China merentasi negara Myanmar, Laos, Kemboja dan hinggalah ke Vietnam. Kawasan sekitarnya merupakan lembah yang subur untuk bercucuk tanam.

Orang-orang Islam keturunan Melayu Champa adalah sebahagian (minoriti) penduduk negara Kemboja di lembah Mekong.Mereka adalah sebahagian yang selamat dari menjadi mangsa pembunuhan oleh rejim Pol Pot suatu masa dulu yang anti rakyat beragama; hampir 500,000 umat Islam Melayu Cham dicatat dibunuh sekitar tahun 1976-79 oleh rejim komunis itu.

Dengan sedikit bantuan itu sekurang-kurangnya dapat membantu orang-orang yang serumpun dengan bangsa kita dan atas nama saudara seIslam, kata Haji Mat Arsad.

(Gambar: Bangunan Muzium Pembunuhan Beramai-ramai, asalnya ialah sekolah)
Dalam lawatan itu, rombongan turut megunjungi Muzium Pembunuhan Beramai-ramai (Tuol Sleng) di zaman kekuasaan komunis iaitu Rejim Khmer Rough pimpinan Pol Pot, terletak di dalam bandar Phnom Penh.

Pusat itu asalnya adalah sebuah sekolah tinggi tetapi ditukar menjadi penjara dan tempat penyiksaan tahanan politik dan pentadbiran di zaman hitam Cambodia (Kemboja) di tahun-tahun 1976-79 yang lalu.
Gambar: Bot-bot besar untuk 'river cruise' dalam Sungai Mekong di Phnom Penh.
Rombongan juga menaiki bot (river cruise) di Sungai Mekong dan melihat kedhaifan hidup orang-orang Melayu (keturunan Champa) beragama Islam yang tinggal di dalam perahu di pinggir sungai yang luas itu di bandar Phnom Penh.
Gambar:Melayu Champa tinggal di dalam perahu di pinggir sungai Mekong dalam bandar Phnom Penh).
Bagaimanapun, keindahan pinggir sungai Mekong di bandar itu terserlah dengan wujudnya restoran mewah di pinggirnya dan restoran dalam bot, malah bilik-bilik penginapan yang terapung di atas air, menjadi daya tarikan pelancong, khususnya di waktu senja dan malam.

Haji Mat Arsad berkata, misi berkenaan berjaya memberi kesedaran untuk menyedarkan bahawa pentingnya pembangunan untuk rakyat sepertimana yang dijalankan oleh kerajaan di negara dan negeri ini dan rakyat menghadapi kesulitan hidup sekiranya tanpa perhatian pihak kerajaan. Oleh: Ruslan Rahman

Peruntukan RM2.2 juta bantu usahawan

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membelanjakan hampir RM2.2 juta bagi mambantu usahawan di negeri ini membuka T'Cafe dan restoran makanan laut, tahun lalu.



Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik, berkata setakat ini 15 pengusaha Bumiputera membuka perniagaan itu dengan diberi pinjaman sebanyak RM150,000 seorang.

“Jika mereka benar-benar komited, pinjaman sedia ada akan ditambah dari semasa ke semasa untuk membesarkan lagi empayar perniagaan sedia ada," katanya.

Beliau berkata, YPU akan menjadikan Pengkalan Keropok Losong, di Kampung Losong, di Kuala Terengganu sebagai hub makanan tradisional yang popular di Terengganu.

“Restoran dengan menawarkan hidangan nasi dagang, pelbagai kuih tradisional dan keropok lekor turut dibuka bagi memudahkan pengunjung tempatan dan pelancong luar negara menikmati makanan popular itu.

“Pihak kami percaya pendekatan itu bukan saja dapat membantu sektor pelancongan memperkenalkan makanan tradisional malah mampu memperbanyakkan lagi lokasi menarik yang diperkenalkan pihak pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) melalui perkhimatan Bot Cruise,” katanya

Menurutnya, pelancong yang menyusuri Sungai Terengganu akan dapat menikmati makanan di restoran tersebut sambil menikmati keindahan Sungai Terengganu. YPU turut membuka restoran seumpamanya itu, di Kampung Gong Kemuntong, Besut.




6,000 usahawan bakal dilahirkan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri dijangka melahirkan 6,000 usahawan Bumiputera terutama dalam bidang peruncitan, pengedaran, pertanian dan industri makanan halal dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, keempat-empat bidang itu berpotensi dijana untuk menarik penglibatan rakyat di bidang perniagaan .

“Berdasarkan kekuatan dari segi maklumat dan sokongan pelbagai agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), pihak kami yakin sasaran ini mampu dicapai,” katanya.

Dato’ Haji Mohamed turut mengingatkan usahawan Melayu tempatan agar tidak terlalu ‘manja’ sekiranya mahu berjaya dalam dunia perniagaan kerana ramai di kalangan mereka bukan sahaja mengharapkan projek daripada kerajaan malah mahu dibantu sekali gus dengan modal.

“Sebenarnya banyak sebab mengapa usahawan Melayu masih lagi lemah di bidang ini dan kita perlu kenal pasti kelemahan tersebut serta mencari jalan untuk memperbaikinya agar mereka dapat bersaing di pasaran terbuka.

“Setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1 juta melalui YPU bagi memberi pinjaman kepada usahawan-usahawan untuk membuka perniagaan baru serta mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.

YPU turut menganjurkan pelbagai program termasuk Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Promosi Batik dan Songket di Timur Tengah dan Festival Pelamin dan Rias Pengantin, dalam usaha membawa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).




Satu pertubuhan belia satu JKKK

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Belia dan Sukan yakin dapat mencapai sasaran untuk mewujudkan 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini, bagi mengalakkan golongan berkenaan bergerak secara berkumpulan melalui pelbagai aktiviti dalam persatuan.



“Setakat ini terdapat 436 persatuan belia di negeri ini dengan keahlian 30,000 orang yang bergerak bersama masyarakat setempat,” kata Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), Encik Abd. Aziz Abd. Rahman.

Katanya, kerajaan mahu mewujudkan satu pertubuhan belia satu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di mana peruntukan lebih mudah disalurkan untuk menjalankan aktiviti.

Menurutnya, proses permohonan dan kelulusan setiap persatuan adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Pendaftar Pertubuhan dan kepada yang ingin tubuh persatuan perlu meng ikut prosedur berkenaan.

“Untuk merealisasikan hasrat itu JBST bekerjasama badan gabungan ‘turun padang’ bagi memberi penerangan kepada belia di kampung-kampung supaya menubuhkan persatuan,” katanya pada sidang media di majlis Perasmian dan Pelepasan Jelajah Proton- Majlis Belia Malaysia (MBM) di Primula Beach Resort hari ini (6 Mac).

Hadir sama, Presiden MBM, Encik Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan naibnya Encik Abdul Karim Mohamad serta Pengerusi MBM Terengganu, Encik Mat Yusof Mat Ali.

Program jelajah ini membabitkan seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, diadakan sempena kempen Hari Belia Negara 2011 yang bakal menghimpun satu juta belia di Putrajaya pada 27 hingga 29 Mei depan.



JBST dapat peruntukan RM300,000

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST) menerima peruntukan RM300,000 dari Kementerian Belia dan Sukan untuk menjalankan aktiviti latihan dan kepimpinan kepada belia-belia di negeri ini.

Pengarah JBST, Encik Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, peruntukan ini hanya untuk program dan aktiviti sehingga bulan Jun manakala baki enam bulan seterusnya akan diterima pada pertengahan tahun ini.

Katanya, jabatan itu telah menggariskan beberapa program kursus dan latihan untuk memantapkan kepimpinan belia di kawasan masing-masing.

“Tumpuan diberi kepada pemimpin belia di peringkat pertengahan yang baru mengambilalih kepimpinan persatuan setelah penguatkuasaan had umur 40 ke bawah pemimpin belia,” katanya di majlis Pelepasan Jelajah Proton – Majlis Belia Malaysia bagi Zon Timur di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.

JBST juga meneruskan program k-bestari yang melatih golongan belia yang berminat dalam bidang keusahawanan untuk mengikuti kursus dan latihan di Tesdec selama enam bulan.

“Kita percaya tahap pengetahan kepimpinan muda perlu diberi pendedahan dan melalui kursus-kursus mereka mampu bangkit menjadi pemimpin yang berwibawa,” katanya.

Selain itu JBST juga sedang mengenal pasti beberapa tempat untuk tujuan latihan kemahiran kepada golongan belia mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Kepada belia wanita, mereka boleh mengikuti jahitan, masakan dan jabatan ada menyediakan bajet dalam kursus-kursus berkenaan.





Turun Padang Bantu Perkasakan Pendidikan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bekas pesara guru di seluruh Terengganu akan mengadakan program turun padang bagi menemui rakyat dan mendengar permasalahan mereka khususnya di bidang pendidikan dalam usaha membantu kerajaan memperkasakan lagi institusi pendidikan di negeri ini.

Yang Dipertua Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Terengganu, Dato’ Abdul Rashid Ngah, berkata dengan ahli seramai 1, 014 orang di seluruh negeri , persatuan itu dapat bergerak lebih aktif dengan memberi tumpuan kepada pendidikan yang menjadi agenda penting masyarakat Terengganu hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu berkata, persatuan itu juga akan bertindak sebagai serampang dua mata dengan membantu kerajaan dalam arena politik khususnya berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti .

“ Kita akan manfaatkan tenaga, masa dan pengalaman yang ada bagi memberi input berguna kepada kerajaan terutama membantu dalam politik, apatah lagi PRU ke-13 memerlukan semua pihak dan peringkat saling bekerjasama bagi menjayakannya,” katanya.

Beliau berharap bekas-bekas guru yang belum menjadi ahli persatuan itu berbuat demikian dengan kadar yang segera bagi membolehkan mereka sama-sama membantu kerajaan memartbatkan bidang pendidikan.

“Amat sayang sekali jika buah fikiran dan tenaga bekas guru tidak dapat dicurahkan untuk kepentingan anak-anak bangsa kita.

“Persatuan ini adalah wadah yang tepat untuk bekas guru terus mencurahkan jasa mereka bagi kepentingan masyarakat negeri ini, khususnya orang-orang Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Abdul Rashid berkata, pihaknya juga sentiasa menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan secara percuma bagi membolehkan ahli-ahli perasatuan membuat pemeriksaan.

“Dalam hal ini kita bekerjasama dengan pihak kesihatan untuk mengadakan program ini secara serentak dengan aktiviti semasa yang dilakukan oleh persatuan,” ujarnya.