Halaman

22 March 2011

Kagum nilai estetika tekstil Terengganu-peserta simposium

Oleh: Aida Abd Rahman



Simposium Tekstil Negara Asean ke-3 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenggganu, menjadi medan penggiat tekstil dari seluruh negara Asean berkongsi teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan serta pengekalan tekstil di rantau Asean.

Malah, program itu juga bagi memastikan tekstil yang selama ini menjadi tradisi Asean akan terus hidup dan diminati generasi muda serta mengenal pasti bagaimana rantau itu berdepan dengan cabaran supaya tekstil mereka tidak pupus pada masa akan datang.


Essy Ediriono, 65,Indonesia.

Seorang peserta dari Indonesia, Essy Ediriono, 65, berkata, program simposium tekstil itu amat bagus dan lancar selain berasa kagum dengan tekstil tradisi yang terdapat di Malaysia dan juga Terengganu yang sememangnya mempunyai nilai estetika yang tidak terdapat di negara lain.
Essy yang juga penggiat tekstil tradisi Indonesia Wastraprema, berkata tekstil tradisi seluruh negara Asean memiliki tarikan tersendiri dan hanya mampu diterokai hasil penggabungan idea serta pengalaman daripada mereka yang terlibat secara langsung dan profesional dalam industri itu.

“Saya bersama delegasi Indonesia amat berbesar hati dan pastinya mahu menyertai lagi program ini pada masa depan kerana banyak manfaatnya yang diperolehi peserta bagi mempertingkatkan lagi keseniaan tekstil yang terdapat di negara kami,” katanya.


Ma Ngoc Dung, 56, Penolong Pengarah Muzium Kebudayaan Kumpulan Etnik, Vietnam

Wakil delegasi Vietnam, Ma Ngoc Dung, 56, pula berharap kesenian dan ketulenan produk tekstil negara mereka mampu berkembang ke seluruh negara Asean dan mampu mencetus inovasi baru bagi meningkatkan lagi pasaran produk itu ke negara luar.

“Setiap negara kaya dengan budaya dan kesenian produk tekstil tradisi yang boleh diketengahkan lagi kepada seluruh dunia. Melalui simposium ini, kami berharap semua pencipta tekstil mendapat pengalaman berharga,” katanya.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Muzium Kebudayaan Kumpulan Etnik Vietnam gembira apabila berpeluang berkunjung ke Malaysia dan Terengganu khasnya kerana bukan hanya dapat melihat keunikan produk tekstil tempatan, tetapi juga merasai kelaianan budaya negera jiran.

Rakan senegara Ma Ngoc, Vang Thi Mai, 47, juga berkongsi pendapat yang serupa apabila melihat simposium dua hari itu sebagai peluang yang sangat baik untuk peserta yang terdiri daripada penggiat tekstil berhimpun dan mencapai kata sepakat bagi menaikkan lagi tahap keseniaan itu.


Mohd Nor Ashari, pengusaha Atikah Songket ketika ditemubual wartawan.

Pengusaha Nor Atikah Songket, Mohd Nor Ashari, pula berkata program yang melibatkan peserta negara Asean itu menjadi landasan terbaik mencetus idea baru sejajar dengan evolusi teknologi dan perkembangan penggunaan tekstil di setiap negara.

“Penganjuran simposium oleh pihak Kerajaan Terengganu, Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE) dan badan yang terlibat sangat wajar dan dihargai kerana mencetus usaha pemuliharaan tekstil merentasi sempadan negara dan rantau Asean,” katanya yang sudah terlibat dalam industri itu lebih 40 tahun lalu.

Mohd Nor juga berharap simposium itu menjadi batu loncatan untuk pengusaha tempatan menghasilkan idea baru yang menepati kehendak pasaran rantau Asean.

Sebanyak 15 negara berkampung sempena dua hari bermula hari ini yang menghimpunkan 330 peserta negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos dan Vietnam, selain negara sokongan Asean seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea, Hong Kong dan Australia.

Malaysia terpilih sebagai tuan rumah selepas simposium pertama kali diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2005 dan di Manila, Filipina pada 2009. Sementara simposium 2012 bakal dilaksanakan di Thailand.




MB ziarah makam bonda Yang di-Pertuan Agong

Oleh: Mohamad Shahrir, Raja Faisal dan Ali Tengah



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira setengah jam pagi ini, menziarahi makam bonda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang.



Beliau yang baru tiba dari lawatan kerja luar negara, menghadiahkan al-Fatihah dan bacaan Yassin serta tahlil yang diketuai Imam Masjid Buluh Gading, Ustaz Mastura Mohamad, kepada roh Almarhum Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah.

Suasana suram menyelubungi makam tersebut ketika hadirin khusyuk membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Makam Almarhum Tengku Ampuan Bariah yang terletak bersebelahan makam suaminya, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah masih basah disiram air mawar serta dipenuhi bunga-bungaan.

Turut hadir melawat makam itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Rozali Salleh, kakitangan awam serta pihak media.

Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat di Hospital Seri Kota, Klang dan jenazahnya tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 kira-kira jam 11.45 pagi semalam.




Kemangkatan Bonda Yang di-Pertuan Agong - Terengganu berkabung 40 hari.

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Kerajaan Terengganu mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari bagi menghormati kemangkatan almarhum bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah.


BERKABUNG ..... bendera dikibarkan separuh tiang.
Foto: Haris Fadzillah

Sehubungan itu, semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di negeri ini diarah mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang sebagai tanda berkabung dalam tempoh berkenaan.

Manakala semua program rasmi kerajaan yang berunsur hiburan dan keceriaan di negeri ini juga ditangguhkan sementara.

Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat jam 1.07 pagi semalam di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah almarhum kemudiannya diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan pesawat C130 TUDM kira-kira 10.45 pagi dengan turut diiringi oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta tiga anakanda baginda.

Jenazah almarhum selamat disemadikan di Makam Diraja di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang, bersebelahan dengan makam suaminya almarhum Sultan Mahmud Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail selepas solat hari ini.

Tinjauan Tegankita kita mendapati kebanyakan pejabat kerajaan mula mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang sejak semalam.

Manakala beberapa majlis keramaian yang dijadualkan hari ini di beberapa tempat, termasuk Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, turut dibatalkan bagi mematuhi tempoh berkabung.



2.5 juta lawat Terengganu tahun lalu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pelbagai program menarik melibatkan industri pelancongan sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri menganggarkan bilangan pelancong meningkat kepada 3.5 juta orang pada tahun ini. - Foto: Zulkipli Putra.

Kira-kira 2.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri ini sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan pelbagai program lebih menarik yang melibatkan industri pelancongan sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri menganggarkan bilangan pelancong meningkat kepada 3.5 juta orang tahun ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Said, berkata kegigihan pimpinan negeri memajukan bidang pelancongan menunjukkan hasil positif apabila Terengganu merupakan antara destinasi pelancongan utama di Pantai Timur.

Beliau berkata, bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan, kerajaan negeri mempergiatkan pelbagai usaha menghidupkan kembali tradisi budaya warisan negeri bagi menarik minat pengunjung.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menghidupkan semula semua jenis permainan tradisional yang ada di Terengganu agar warisan berkenaan terus hidup dan bertahan untuk tatapan generasi akan datang.

Menurutnya, Terengganu kaya dengan pelbagai permainan tradisi dan seni warisan yang menjadi aset penting bagi menarik minat orang ramai serta pelancong luar untuk datang ke Terengganu

Kerajaan bercadang menganjurkan pertandingan permainan tradisional peringkat nasional bagi memberi peluang golongan belia menyertai apa saja permainan mengikut minat masing-masing.

Antaranya menghidupkan semula permainan wau yang rata-rata dimonopoli golongan muda bermula dari mencari, meraut buluh, membuat rekabentuk seterusnya menaikkan wau.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Presatuan Agen-Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) cawangan Terengganu, Wan Supian Wan Ishak berkata kerajaan negeri menggalakkan pembangunan hotel dan pusat peranginan, sekaligus meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong mulai tahun ini.

"Terengganu menghadapi masalah bilik-bilik hotel yang terhad khususnya pada musim cuti. Kerajaan harus mengambil usaha membangunkan lebih banyak hotel, pusat peranginan dan tempat penginapan bagi menampung jumlah kedatangan pelancong," katanya.




Kekal berumah tangga selepas jalani terapi `second honeymoon’

Oleh: Aida Abd Rahman

Program terapi pengukuhan institusi kekeluargaan yang dikenali sebagai `second honeymoon’ memberi kesan positif apabila sebahagian peserta yang dipilih kerana mengalami masalah rumah tangga, kini mampu meneruskan kehidupan berumah tangga dengan baik selepas mengikuti program tiga hari dua malam itu.

Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) merintis program itu sejak tahun lalu dengan melaksanakan lima siri melibatkan 20 pasangan suami isteri setiap siri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan membelanjakan RM17,000 setiap siri bagi memastikan peserta mendapat manfaat sekaligus mempraktikkan apa yang sudah mereka pelajari menerusi program itu.

Katanya, sebahagian peserta diperolehi daripada senarai pasangan yang berdaftar di bawah khidmat kaunseling di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT).

“Sebahagian daripada pasangan mereka yang ada masalah rumah tangga dan sedang mendapatkan kaunseling bagi mencapai kata sepakat dan membina kehidupan yang lebih baik. Manakala selebihnya adalah di kalangan pasangan yang dipilih oleh pihak penganjur dan tidak semestinya mereka ada masalah rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan adalah mereka yang masih di fasa baru berumah tangga dan usia perkahwinan tidak lebih daripada lima tahun.

Katanya, ada juga peserta yang sudah berkahwin lebih daripada lima tahun namun lazimnya mereka berusia tidak lebih daripada 40 tahun dan berminat selain mampu memberi komitmen bagi menjalani program itu.

YB Yahya berkata, melihat keberkesanan program itu, kerajaan negeri akan meneruskan lagi pada tahun ini dengan mengekalkan lima siri yang dijalankan secara berperingkat-peringkat di pusat peranginan dalam negeri.

“Kita memilih pulau bagi melaksanakan program ini kerana suasananya yang damai, tenang dan sesuai untuk memulihkan keadaan pasangan supaya mampu berfikir dengan baik tanpa gangguan pihak luar. Pada masa yang sama, kita menyediakan beberapa aktiviti dan slot berguna kepada mereka dengan diawasi urusetia bertugas,” katanya.

Beliau berkata, selain second honeymoon, program lainnya adalah Keluarga Syurgaku, Ibu Sejati dan Parenting@Work yang menekankan nilai-nilai kecemerlangan kepada pasangan muda supaya kehidupan generasi akan datang lebih terarah serta mengikut acuan sebenar.

Untuk rekod, statistik perkahwinan di Terengganu bagi tahun 2004 sehingga pertengahan 2008 menunjukkan sejumlah 33,533 pasangan berkahwin telah didaftarkan. Daripada jumlah itu, seramai 5,365 jumlah pasangan telah bercerai.

Katanya, walaupun dilihat berlaku pertambahan dari segi kesedaran pasangan untuk berkahwin, peratusan penceraian juga dikenalpasti bertambah dari tahun ke tahun.

Situasi ini mewujudkan satu keadaan yang kurang baik di mana kesan pertambahan kadar penceraian telah menimbulkan banyak permasalahan sosial di kalangan masyarakat seperti isu kemiskinan, pendidikan, gejala sosial dan emosi anak-anak.




21 March 2011

Jenazah Bonda Yang di-Pertuan Agong selamat disemadi

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Suriati Ali dan Harun Hassan



Jenazah bonda Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah al-Marhum Sultan Hisahmuddin Alam Shah al-Haj, selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang, petang ini, dengan penuh penghormatan diraja.



Turut berangkat memberi penghormatan terakhir ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta kerabat-kerabat diraja.

Hadir sama, para pembesar negeri serta orang-orang kenamaan dan rakyat jelata daripada pelbagai lapisan masyarakat.



Mufti Negeri Dato’ Dr Haji Alias Abdullah membacakan talkin dan doa yang turut diaminkan oleh kaum kerabat diraja dan rakyat jelata.

Terdahulu, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat menziarahi Almarhumah yang ditempatkan di Istana Maziah, bagi memberi peluang kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir.

Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta dua anakanda, memasuki ruang Istana Maziah jam 2.05 petang untuk penghormatan terakhir.



Turut menziarahi jenazah Almarhumah ialah beberapa kerabat diraja Perak dan Kelantan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera bersama isteri To’ Puan Wan Zaharah Wan Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda.

Rakyat jelata pelbagai bangsa yang dibenarkan masuk ruang Istana Maziah jam 2.15 kelihatan bersedih di atas kemangkatan Almarhumah yang sememangnya banyak berjasa kepada rakyat sepanjang hayatnya.

Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah. Amin.



BELASUNGKAWA BUAT ALMARHUMAH TENGKU AMPUAN BARIAH

Oleh: Ruslan Rahman


Jenazah Almarhumah Tengku Ampuan Bariah tiba di LTSM pagi tadi.

Hari ini, seluruh rakyat Terengganu dari pelbagai bangsa merafakkan setinggi-tinggi takziah dan melahirkan rasa dukacita di atas kemangkatan Yang Maha Mulia, Tengku Ampuan Bariah ibni AlMarhum Sultan Hisahmuddin Shah Al Haj, bekas Tengku Ampuan Besar Terengganu.

Susasana sedih terbayang pada setiap wajah rakyat di negeri ini, kerana kehilangan seorang bekas Tengku Ampuan Besar Terengganu yang sangat-sangat dikasihi oleh sekalian hamba rakyat sewaktu berada di takhta,bahkan disayangi sehingga ke akhir hayatnya.

Ini kerana Almarhumah amat dekat di hati rakyat Terengganu terutama sewaktu menjadi Tengku Ampuan Besar Terengganu tatkala suami Almarhumah, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafibillah Shah menjadi Ketua Negeri (Sultan) bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta Jajahan Takluknya.

Almarhum Sultan Mahmud bersama Almarhumah menduduki takhta berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada tahu 1979 di mana Baginda berdua ditabalkan pada 21 Mac 1980.

Bahkan sebelum itu Almarhum Sultan Mahmud dan Almarhumah Tengku Ampuan Bariah pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan dan Sultanah Terengganu sewaktu Almarhum Sultan Ismail dilantik sebagai Yang Di Pertuan Agong pada 21 September 1965 hinggalah 20 September 1970.

Bermakna dalam tempoh berkenaan Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah amat dekat di hati rakyat, lebih-lebih lagi dengan sifatnya yang sederhana, ‘low profile”, lemah lembut dan berjiwa rakyat.

Almarhum Sultan Mahmud mangkat pada 14 Mei 1998 digantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin yang kini merupakan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Malaysia.

Almarhumah Tengku Ampuan Bariah sewaktu menjadi Tengku Ampuan Besar Terengganu banyak kali mencemar duli berangkat menghadiri upacara-upacara bersama rakyat jelata. Misalnya hadir ke majlis-majlis berkaitan golongan wanita seperti Pergerakan Pandu Puteri, Pergerakan Wanita Islam, Puspanita dan Puteri Islam.

Almarhumah juga amat dekat di hati rakyat Selangor kerana beliau adalah bonda saudara kepada Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharifuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Alhaj.

Tengku Ampuan Bariah sepanjang hayatnya telah menyumbang masa, tenaga dan sokongan peribadi untuk berbakti kepada masyarakat dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Malah semasa hayatnya menjadi harapan menggunung Baginda untuk menaungi penubuhan pertubuhan kebajikan dan keagamaan.



Semoga roh baginda dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang mendapat makfirah (keampunan).




Almarhumah bekas Tengku Ampuan Besar Terengganu berjiwa rakyat

Oleh: Suriati Ali

Almarhumah Yang Maha Mulia Tengku Bariah Al-Marhum Sultan Hisahmuddin Alam Shah Al-Haj yang diputerakan pada 31 Ogos 1933 di Klang Selangor berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud yang pada masa itu bergelar Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda pada 22 Mac 1952 di Kuala Lumpur.

Almarhumah selepas itu dikurnia gelaran Tengku Puan Muda oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 7 April 1954 dan dilantik menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 20 September 1979.


Sepanjang hayatnya, Almarhumah dianugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) Yang Kehormat pada 26 Jun 1964 dan pada 16 Disember 1970 pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu (D.K) Yang Amat Mulia, Darjah Yang kedua, Yang Kerhormat oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Tuanku Al-Sultan Ismail Nasaruddin Shah.

Almarhumah pernah menjadi penaung Perkumpulan Perempuan Terengganu dan memiliki hobi memasak, menanam bunga orkid serta bermain badminton.

Sepanjang berada di sisi suami sebagai pemerintah negeri ini, Almarhumah merupakan Tengku Ampuan Besar yang disenangi pelbagai lapisan rakyat jelata.




Mahasiswa cerminan masa depan negara

Oleh: Esah Abdullah

Kecenderungan golongan muda terutama penuntut institusi pengajian tinggi mengamalkan budaya tidak sihat membangkitkan kebimbangan semua pihak termasuk ibu bapa dan kepimpinan negeri.

Apa yang jelas amalan untuk menikmati keseronokan melampau dengan membelakangkan larangan agama tidak harus menjadi ikutan kerana ia akan merugikan diri sendiri serta membantut hasrat negara melahirkan pemimpin pelapis yang hebat.

Segala perlakuan dan tindak tanduk mahasiswa adalah cerminan masa depan negara, lantas itu berilah tumpuan terhadap pelajaran ketika masih bergelar penuntut dan jangan sekali terbabit dengan gejala yang akan merugikan diri sendiri.

Demikian kata, Naib Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri di majlis Seminar Kepimpinan Mahasiswa Universiri Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Program yang dianjurkan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan kerjasama Gagasan dan Hal Ehwal dan Alumni UniSZA disertai penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Politeknik Kota Kuala Terengganu dan UniSZA.

Katanya, mahasiswa perlu menjadi contoh yang baik serta sentiasa mengilap bakat kepimpinan sepanjang berada di kampus dalam usaha mewarnai kepimpinan negara.

“Mahasiswa yang mempunyai nilai karismatik, berintelektual serta sarat dengan idea baru mampu meyakinkan masyarakat untuk bergelar seorang pemimpin yang disegani apabila memasuki alam pekerjaan nanti,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi.

Selain itu katanya, tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, akan memberi impak besar kepada mahasiswa sekali gus merosakkan masyarakat dan masa depan negara.





Kelebihan Terengganu jadi pilihan himpun tekstil negara Asean

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu menjadi negeri paling layak mewakili Malaysia sebagai tuan rumah yang mengetengahkan kesenian tekstil negara-negara Asean di bawah satu bumbung kerana negeri ini menjadi lokasi menghimpunkan pencinta dan pencipta tekstil tradisi terutama batik serta songket yang tersohor di rantau ini.

Presiden Asean Traditional Textiles Art Community (Aseanttac), Prof Sulaiman Abdul Ghani, berkata pemilihan Terengganu tepat dan memang wajar kerana negeri ini terkenal sebagai negeri pengeluar batik dan songket, selain berhasrat menjadi pusat pembangunan tradisi tekstil di Asia.

“Kita berharap dengan berkumpulnya pencinta dan pejuang tekstil dari seluruh negara Asean dan juga rakan negara Asean seperti Jepun, Korea, Kanada, Hong Kong dan Australia menjadi suatu pengiktirafan dan memberi penghormatan kepada kerajaan Terengganu sebagai wilayah tekstil di pesisir Malaysia.

“Harapan kita juga supaya penganjuran ini dapat menarik penglibatan lebih ramai generasi muda kerana tekstil tradisi ini banyak diperjuangkan oleh generasi lama dan keseniaan ini harus diperturunkan supaya erus hidup dan bernafas daripada satu generasi ke satu generasi,” katanya dalam sidang media sempena Simposium Tekstil Negara Asean ke-3, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenggganu, hari ini (21 Mac).

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Asean Foundation, Dr Makarim Wibisono.

Sebanyak 15 negara berkampung sempena dua hari bermula hari ini yang menghimpunkan 330 peserta negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos dan Vietnam, selain negara sokongan Asean seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea, Hong Kong dan Australia.

Malaysia terpilih sebagai tuan rumah selepas simposium pertama kali diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2005 dan di Manila, Filipina pada 2009.



Prof Sulaiman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE) berkata,jika dahulu kain corak tradisi hanya terhad kepada pemakaian sebagai sarung dan baju sahaja.

Bagaimanapun, katanya perubahan masa dan inovasi hari ini menuntut supaya generasi muda melihat tekstil tradisi bukan hanya untuk generasi terdahulu, sebaliknya perlu mengolah menggunakan kreativiti mereka bagi menghasilkan busana dalam gaya kontemporari, selain mereka cipta sebagai cenderahati dan juga produk hiasan dalaman.



Menurut Prof Madya Sulaiman, objektif simposium itu antara lain untuk berkongsi teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan serta pengekalan tekstil di rantau Asean.

“Semua penampilan tekstil yang ditonjolkan setiap negara mempunyai keunikan tersendiri dan batik Malaysia juga ada kelasnya yang tersendiri. Malah kebanyakan negara Asean seperti Filipina, Thailand dan Indonesia kaya dengan tenunan masing-masing tetapi songket di Terengganu juga hebat kerana tidak terdapat di tempat lain.

“Hasil perhimpunan ini juga mampu menukar pengalaman dan pendapat di kalangan peserta, sekaligus mampu meningkatkan inovasi terhadap penghasilan songket Terengganu serta tenunan dari seluruh negara Asean dari semasa ke semasa,” katanya.