Halaman

25 March 2011

Operasi berkas 54 pelajar ponteng

Oleh: Aida Abd Rahman



Operasi Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah berjaya menahan 54 pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 17 tahun yang sedang ponteng di sekitar Kuala Terengganu termasuk kawasan Gong Badak, pagi semalam.

Sebahagian pelajar berkenaan yang lengkap berpakaian sekolah dan sebahagian lagi berpakaian biasa ditahan dalam operasi tiga jam melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah dengan kerjasama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan rakyat Malaysia (Rela) serta Jabatan Kesihatan.
Timbalan Pegawai Pelajaran PPD Kuala Terengganu, Encik Azahar Abu Bakar, berkata operasi itu dilaksanakan secara serentak seluruh negeri bagi memastikan masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar dapat ditangani secara bersepadu dan serius.

Seramai 13 pelajar yang ditahan dari Sekolah menengah kebangsaan (SMK) Gong Badak, SMK Bukit Besar (14), SMK Bukit Tunggal (sembilan), SMK Seri Budiman (tujuh), dua pelajar SMK Panji Alam dan masing-masing tiga pelajar dari SMK Bukit Guntong, SMK Agama Tok Jiring dan SMK Ibrahim Fikri.

Encik Azahar berkata, ketika serbuan sebahagian pelajar berkenaan asyik menyaksikan acara sukan Majlis Sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara.

“Kita menyerbu ke kawasan yang menjadi `port’ pelajar untuk ponteng. Kita juga menahan beberapa pelajar ponteng yang kononnya mahu menyokong rakan yang sedang menyertai acara sukan di kompleks itu, “katanya selepas member taklimat kepada pelajar terbabit serta ibu bapa mereka di Dewan SMK Ibrahim Fikri.

Katanya, hasil operasi itu juga, pihaknya mendapati seorang pelajar lelaki yang ditahan positif dadah selepas melakukan ujan air kencing.




PPDNKKT laksana 60 program dekati pengguna

Oleh: Esah Abdullah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT) merancang mengadakan 60 program kepenggunaan sepanjang tahun ini membabitkan peruntukan RM390,000.

Timbalan Pengarahnya, Encik Abdul Ghani Harun berkata, program yang dirancang itu merupakan kesinambungan tanggungjawab jabatan bagi melindungi kepentingan pengguna di negeri ini.

“Pelbagai pendekatan membabitkan segenap lapisan masyarakat antaranya, mengadakan ceramah, pameran, sembang pengguna serta kempen agihan risalah untuk memberi kesedaran tentang hak mereka sebagai pengguna,” katanya.

Program Bestari turut di adakan pada minggu pertama di setiap daerah bermula di Hulu Terengganu, diikuti Besut, Dungun, Kemaman, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang serta merancang setiap program akan diarasmikan oleh wakil rakyat di kawasan terbabit.

“Setiap program yang dianjurkan tumpuan khusus adalah untuk pengguna terutama golongan yang tinggal di kawasan pedalaman kerana kumpulan ini agak lambat mendapat info terhadap setiap isu yang berbangkit,” katanya.

PPDNKKT juga merancang beberapa program baru di kawasan baru yang dikenal pasti di bawah projek pengedaran barang perlu di Sungai Sayap, Keruak, Pulau Perhentian, Besut dan Mukim Pasir Raja, Hulu Dungun.

Manakala projek penyeragaman harga LPG dan program komuniti ‘drumming’ turut diadakan di kawasan berkenaan termasuk di Pulau Redang, Kuala Terengganu.



Kerajaan sedia ratusan juta untuk sedia kemudahan jalan

Oleh: Esah Abdullah

Berdasarkan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan, kerajaan negeri terus memacu pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan seimbang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaa’bar Mohd Adib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan besar untuk projek jalan negeri(luar bandar) dan persekutuan serta pembinaan jambatan mengikut keutamaan di daerah.

Katanya, antara keutamaan projek termasuklah persimpangan bertingkat di Bandaraya Kuala Terengganu membabitkan Jalan Batu Buruk ke Jalan Kamarudin dan ke persimpangan Cabang Tiga/Kuala Berang,Kuala Terengganu yang menelan kos RM465 juta.

“Jalan Kemajuan ke Jambatan Sultan Mahmud (RM170 juta) dan dari Jambatan Sultan Mahmud ke jalan Sultan Mohamad (RM165 juta),” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan merancang membina jalan utama dari Universiti Darul Iman (UDM) dan Taman Ilmu ke Kampung Raja di Besut dan Jalan Kuala Terengganu By-Pass fasa 3 dan Feeder Road (RM120 juta).

“Kerajaan juga memperuntukan RM400 juta bagi projek pembinaan jambatan kedua yang merentasi Sungai Terengganu bagi mengelak kesesakan di jambatan Sultan Mahmud terutama ketika waktu puncak,” katanya.

Katanya, semua cadangan projek akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan berbentuk baru dan sambungan kemudahan sedia ada .



Ampangan Jajar Baru Sungai Besut tingkat hasil padi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pembinaan Ampangan Jajar Baru Sungai Besut atau lebih dikenali ‘Besut Barrage’ yang berharga RM86 juta dapat membantu meningkatkan kecekapan bekalan air ke kawasan jelapang padi di daerah Besut.

Projek berkenaan juga dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan sehingga mencecah 6 metrik tan sehektar menjelang tahun 2015.

Secara tidak langsung, projek yang dirancang kerajaan itu bertujuan meningkatkan hasil pendapatan para petani serta mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

Mengikut Berita Ketara 2010, empangan baru itu yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Jertih, mula dibina pada 7 Jun 2009 dan mengambil masa 20 bulan untuk disiapkan.

Pembinaan empangan itu bertujuan menyediakan bekalan air yang lebih efisien serta mencukupi dalam meningkatkan hasil padi di samping bertindak sebagai sokongan kepada tebatan banjir bagi seluruh kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (Ketara).

Projek itu dapat meningkatkan bekalan air ke kawasan Ketara sebanyak 28 peratus iaitu dari sembilan cumec kepada 11 cumec di mana struktur baru itu dapat menakung bekalan air pada paras bekalan penuh (FSL) 14.9 m.

Dengan adanya empangan itu, lebihan curahan hujan pada musim tengkujuh dapat ditakung dan disimpan secara berkesan.



100,000 murid di Terengganu guna e-Book akhir tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dulunya sejak zaman berzaman, Terengganu lebih dikenali dengan keropok lekor dan songket tenun yang sangat halus buatannya.

Para pelancong datang dari jauh semata-mata mahu menikmati keenakan keropok lekor dan memberi sehelai dua songket sebagai ‘ole-ole’ untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.

Namun begitu, kejayaan demi kejayaan yang diraih di bidang pelajaran sejak kebelakangan ini, mula mengalih pandangan masyarakat luar terhadap negeri ini.

Terkini nama Terengganu terus menjadi sebutan apabila ia mengorak maju di bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan terhasilnya e-Book.

Kejayaan menjadi perintis e-Book menjadikan Terengganu cukup masyhur, termasuk di kalangan negara luar apabila produk tersebut turut diimport ke beberapa negara luar.
Sehingga ini, lebih 50,000 murid Tahun Empat, Lima dan Enam di seluruh negeri sudah mendapat e-Book yang diagih secara percuma oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata kira-kira 100,000 murid sekolah rendah akan mendapat e-Book menjelang akhir tahun ini.

Proses pengagihan e-Book akan diteruskan dalam tempoh terdekat bagi memastikan sasaran 100,000 murid mendapat e-Book akan dicapai, sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Kedudukan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut menjadi penyuntik semangat kepada pemimpin kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada para pelajar.

Hakikat ini terbukti apabila kini kelas maya diperkenalkan membabitkan tiga buah sekolah rendah di Kuala Terengganu dan Kemaman.

Dengan penggunaan pembelajaran secara ‘online’ itu diharapkan prestasi pelajar dapat ditingkatkan dan kelas tersebut diperluaskan di seluruh negeri.

Program e-Book kini mendapat pujian di kalangan pendidik, cendikiawan dan pemimpin kerajaan di dalam dan luar negara.



















24 March 2011

Sistem pembelajaran taska YPK dinaiktaraf

Oleh: Suriati Ali

Sistem pendidikan kanak-kanak di 65 Taska Keluarga dan Taska Permata Keluarga di bawah pengurusan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dinaiktaraf bersesuaian dengan perubahan sistem pendidikan di negeri ini.

Taska berkenaan dilengkapi kemudahan pembelajaran canggih atau dikenali sebagai TB-kids di mana kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah boleh mengenali pelbagai jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, kanak-kanak yang belajar menggunakan kaedah itu bukan sahaja menunjukkan minat dan semangat untuk mencuba malah berdisplin serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan.

Pendekatan itu membuatkan kanak-kanak cepat belajar dan mudah mengingati berbanding menerangkan sesuatu perkara menggunakan buku atau `flash card’.

Penolong Pengurus Taska YPK Batas Baru, Kuala Terengganu, Puan Norhayati Omar berkata, kanak-kanak yang mendapat pendidikan di taska YPK cukup bertuah kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati.

Ini termasuk setiap kelas dilengkapi kemudahan penghawa dingin, menu makanan yang berkhasiat dan mampu dinikmati sebanyak empat kali dalam tempoh lapan jam, pengasuh berpendidikan tinggi dan pelbagai jenis permainan canggih dan moden dapat dicuba.

“Kanak-kanak taska YPK cukup berdisplin kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika ingin tidur, makan dan bermain.

“Pengasuh atau pembimbing yang telah melalui pelbagai jenis kursus mempunyai kaedah tersendiri untuk mendisplin setiap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Yahya Khatib, berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai pendekatan semata-mata ingin melihat anak jati Terengganu mendapat pendidikan sempurna dari awal usia lagi.

Seramai 3,700 kanak-kanak berusia dua bulan hingga empat tahun mendapat pendidikan di 65 taska YPK seluruh negeri ini.

Katanya, kemudahan taska yang disediakan ini nyata memberi manfaat kepada ibu bapa terutama mereka yang bekerja dan mengalami masalah untuk menempatkan anak masing-masing.

“Kemudahan yang diterima itu dikenakan yuran yang sangat berpatutan setanding dengan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.



Kos RM29.5 juta untuk kecantikan dan kebersihan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri cukup prihatin mengenai kebersihan, kecantikan dan pembangunan bandar serta luar bandar di Terengganu apabila menyediakan peruntukan RM29.5 juta bagi tujuan itu tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, kos itu meliputi kontrak-kontrak kebersihan dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pembersihan pulau-pulau, pertandingan kebersihan dan pembelian tong sampah serta pembekalan pokok teduhan dan hiasan.

Manakala bagi kemudahan infrastruktur dan utiliti yang terancang sebanyak RM24.5 juta diperuntukkan untuk pembinaan dan penyelenggaraan parit serta longkang dalam kawasan PBT dan sistem saliran di Mak Lagam, Kemaman.

“Program ini bertujuan menyelesaikan masalah banjir dan longkang tersumbat yang sering berlaku di musim tengkujuh.

“Bagi memastikan keselamatan awam dan keindahan bandar, kualiti pencahayaan serta landskap pula membabitkan kos RM6 juta, manakala RM3 juta pemasangan kamera litar atau CCTV,” katanya.

Katanya, kerajaan akan membina pasar, rumah kedai, terminal pengangkutan awam, pembaikian pusat-pusat sivik dan dewan majlis serta penyelenggaraan bangunan di seluruh negeri.



Kerajaan bantu ibu tunggal berdikari

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan miskin, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad berkata melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) banyak program disediakan khusus kepada ibu tunggal untuk berdikari.

“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya pada majlis Bicara Bersama Media sempena tiga tahun ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu.

Katanya, pada masa ini kira-kira 20,000 ibu tunggal berdaftar di seluruh negeri dan kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam soal kebajikan dan keperluan anak-anak di bawah tanggungan mereka.

“Di YPK juga disediakan pakar motivasi bagi sesi pemulihan emosi terutama mereka yang menghadapi tekanan perasan selepas kehilangan orang tersayang atau berhadapan masalah mendidik- anak-anak di zaman yang mencabar ini ,” katanya.

YB Yahya menegaskan kerajaan sebenarnya tidak pernah mengabaikan golongan rakyat bermasalah sebaliknya menyediakan ruang dan peluang seluas-luasnya bagi membantu meringankan beban mereka.





Kempen pengurangan harga insentif kerajaan untuk rakyat

Oleh: Esah Abdullah

Kempen pengurangan harga barang merupakan satu insentif kerajaan untuk memastikan semua lapisan rakyat membayar barang keperluan mengikut harga standard yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu mereka yang berada di daerah-daerah membeli barang keperluan harian berbeza dengan apa yang dibayar oleh pengguna di bandar,” kata Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT), Encik Abdul Ghani Harun.

Katanya, PPDNK akan bekerjasama dengan pengurusan pasar raya dan pasar mini yang terdapat di negeri ini untuk menawarkan penyelarasan harga barangan di bawah kawalan kerajaan.

“Contohnya beras ST15, kerajaan beri subsidi RM4 supaya harga dapat kekal RM18.00 sekampit, tepung harga semasa RM1.35 sekilo berbanding harga sebenar RM1.80 (subsidi 45 sen), gula RM2.10 harga sebenar RM2.50 (subsidi 40 sen) serta minyak masak hanya RM2.50 berbanding harga sebenar RM3.50 (subsidi RM1.00),” katanya.

Katanya, sekarang harga gas cuma RM26.60 sedangkan harga sebenar adalah RM53.62 jadi kerajaan telah beri subsidi RM27 setong, begitu juga petrol RON95 yang dijual dengan harga RM1.90 sedangkan harga sebenar RM2.33 (subsidi 43 sen seliter).

Beliau berkata, bukan setakat pengguna di daerah-daerah kempen ini juga membabitkan mereka yang tinggal di pulau-pulau dan kawasan pedalaman.

“Kita telah menyewa sebuah kapal dari Kuala Besut untuk membawa barang keperluan ke Pulau Perhentian bagi memastikan mereka juga memperolehi harga barangan seperti apa mana yang terdapat di tanah besar,” katanya..

Katanya, kos pengangkutan akan disubsidi oleh kerajaaan bagi membolehkan harga yang dijual di kawasan pedalaman dan pulau sama dengan harga yang diperolehi masyarakat di bandar.

“Semua itu adalah untuk kebajikan kepada pengguna dan meredakan kesusahan mereka di pedalaman mendapat bekalan makanan dengan harga yang stabil sekali gus memberi peningkatan kepada pengguna,” katanya.





Saingan sengit, Terengganu kekalkan prestasi cemerlang SPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Persaingan untuk muncul sebagai negeri terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 seluruh negara amat sengit, bagaimanapun Terengganu masih mengekalkan prestasi cemerlangnya dan berjaya menghasilkan peningkatan ketara dalam keputusan itu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas pengumuman keputusan SPM 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, Kuala Terengganu, semalam (23 Mac).

Menteri Besar sebelum itu menyampaikan komputer riba berjenama `TC' (Terengganu Computer) kepada setiap 17 pelajar cemerlang berkenaan sebagai hadiah berikutan kecemerlangan mereka dalam peperiksaan awam itu.
“Sekurang-kurangnya kita berasa bertuah dan berbangga dengan pencapaian kali ini dan melihat dari segi pencapaian sekolah, dari segi pelajarnya kalau dulu (2009) kita mendapat lima pelajar mendapat keseluruhan A dan sekarang meningkat kepada 17 pelajar.

“Daripada enam sekolah terbaik meningkat kepada tujuh. Begitu juga dari segi mata pelajaran daripada 33 mata pelajaran kepada `49 mata pelajaran menunjukkan peningkatan,” katanya.

Dato' Seri Ahmad berkata, kejayaan itu jelas menggambarkan kerjasama semua pihak terutama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Pejabat Pelajaran Daerah, ibu bapa dan guru-guru yang memberikan komitmen mereka bagi memastikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai `Negeri Anjung Ilmu’ dan juga program `201052’ akan tercapai satu masa nanti.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga akan mengkaji semula mengenai prestasi pelajar Sekolah Imtiaz dan sekolah elit seluruh Terengganu yang gagal menghasilkan pelajar terbaik pada SPM kali ini.

“Dalam Penilaian Menengah Rendah mereka cemerlang, kenapa dalam SPM mereka kurang cemerlang dan kita akan tengok perkara ini nanti. Begitu juga dengan sekolah elit kita tidak menunjukkan pencapaian agak bagus pada kali.

“Saya sudah berbincang dengan pengarah (JPNT) untuk memanggil pengetua-pengetua sekolah berkenaan apakah pendekatan yang mesti kita lakukan kerana sepatutnya kita mendapat lebih ramai lagi selain 17 pelajar cemerlang kali ini,” katanya.

Di samping itu, perubahan sikap ibu bapa yang semakin memberi perhatian kepada pendidikan anak mereka juga antara faktor yang menjadi dorongan bagi meningkatkan pencapaian negeri dalam keputusan SPM ini.

Beliau juga berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan pelajar cemerlang terutama di kalangan anak buruh serta kemampuan pelajar Tiong Hua, Wong Yujing, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman yang mampu mendapat A+ dalam Tasawwur Islam.

“Jika pelajar Tiong Hua boleh mendapat A+ dalam Tasawwur Islam, kenapa tidak pelajar sekolah agama kita? Ini satu cabaran kepada (pelajar agama Islam) ,” katanya.

Dalam keputusan SPM yang diumumkan serentak semalam, Terengganu terus melakar kecemerlangan apabila gred purata negeri mencapai 5.03 bagi 2010 berbanding 5.17 tahun sebelumnya.

Pengecilan nilai gred purata negeri menunjukkan prestasi keseluruhan meningkat. Malah, peratusan calon yang memperolehi A ( kombinasi A+, A dan A-) dalam semua subjek yang diambil meningkat 0.5 peratus daripada 1.31 peratus (283 calon) pada 2009 kepada 1.88 peratus (405 calon) pada 2010.

Selain itu, peningkatan juga direkodkan dalam peratusan calon yang lulus semua subjek, iaitu 2.96 peratus daripada 53.58 peratus (11,601 calon) pada 2009 kepada 56.54 peratus (12,182 calon) pada 2010.