Halaman

07 April 2011

Sasar pengurangan 0.11 peratus pelajar ponteng pada 2011

Oleh: Aida Abd Rahman


Peratus pelajar ponteng pada 2010 dijangka dapat diturunkan kepada 0.25 peratus tahun ini menerusi gerakan bersepadu Operasi Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah yang akan dilaksanakan secara berkala di seluruh Terengganu bermula Mac lalu.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) mensasarkan pengurangan 0.11 peratus pelajar ponteng sekolah berbanding tahun lalu.

Kadar 0.36 peratus pelajar ponteng pada 2010 dijangka dapat diturunkan kepada 0.25 peratus tahun ini menerusi gerakan bersepadu Operasi Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah yang akan dilaksanakan secara berkala di seluruh Terengganu bermula Mac lalu.
Dalam operasi pertama, seramai 103 pelajar ditahan melalui usaha yang digerakkan oleh JPNT dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat (Rela), polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta guru sekolah.

Operasi itu dilakukan secara serentak di seluruh Terengganu bertujuan mengurangkan kadar ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini.

Pengarah JPNT, Encik Razali Daud, berkata daripada 103 pelajar yang berjaya ditahan, lima daripadanya adalah pelajar perempuan akan menjalani kursus pembangunan kendiri dan kaunseling pemulihan sahsiah.

“Kita akan memberi mereka pemulihan sahsiah diri dan program kesedaran dari segi kepentingan pelajaran dan sebagainya. Mungkin dulu, ramai menganggap kita tangkap dan biarkan sahaja tanpa apa-apa tindakan susulan yang boleh menyedarkan mereka,” katanya dalam sidang akhbar sempena Malam Mesra Media-JPNT, di Hotel Sumai, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPNT, Haji Zubir Embong, Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat dan beberapa ketua sektor serta kira-kira 20 pengamal media cetak dan elektronik.

Encik Razali berkata, sebaik selesai proses pemulihan pelajar yang ditahan dalam operasi yang pertama, pihaknya akan melaksanakan operasi kedua di mana mereka juga akan melalui proses yang sama.

“Dalam operasi kedua nanti juga kita tangkap pelajar ponteng dan akan memberikan kursus kepada mereka. Kalau kita tangkap sahaja dan membiarkannya tidak akan memberi apa-apa makna kerana apa yang dilaksanakan adalah berkonsepkan pendidikan untuk mengatasi masalah pelajar terbabit,” katanya.

Beliau berkata, lima pelajar perempuan yang turut ditahan dalam operasi itu akan diberikan khidmat kaunseling secara dalaman di peringkat sekolah masing-masing.

Katanya, tindakan kepada pelajar perempuan yang terlibat mungkin berbeza selepas ini bergantung kepada sejauh mana penglibatan mereka dalam operasi basmi ponteng kali kedua dan seterusnya kelak.



Permata Terengganu sandarkan emas pertama di Sukan SEA November ini

Oleh: Aida Abdul Rahman



Pesilat wanita negeri dan juga kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir, 24, nekad untuk membawa pulang sebutir pingat emas buat negara pada edisi Sukan SEA Ke-26 di Indonesia, November ini.

Atlet kelahiran Kuala Terengganu kini berada di kem latihan di bawah Majlis Sukan Negara sejak bulan lalu selepas berlatih melalui kendalian jurulatih tempatan di Majlis Sukan Negeri Terengganu.

“Saya amat teruja untuk mewakili Malaysia lantaran mahu menebus kekecewaan lampau, sekaligus mencapai impian memiliki koleksi emas pertama di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Teganukita, baru-baru ini.

Anak kepada bekas pemain bola sepak Terengganu pada era 80-an, Mohamed Nasir Jalil, pernah meraih emas untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) dua kali berturut-turut pada 2008 dan 2010.

Siti Rahmah juga pemegang pingat gangsa di `3rd ASEAN Indoor Games Vietnam 2009’ dan pingat perak masing-masing menerusi temasya Jemputan ASEAN Games 2009 serta `1st ASEAN Martial Art Bangkok 2009’.

Pada penyertaan Sukan SEA Laos dua tahun lalu, Siti Rahmah berjaya memperolehi pingat gangsa.

Mengulas kejohanan sukan SEA kelak, Siti Rahimah nekad memperbaiki pencapaian untuk menambah pungutan emas buat negara sebagai hadiah buat seluruh rakyat Malaysia, sekaligus menjadi emas pertama yang hadir dalam kemuncak kariernya.

Atlet harapan negara itu juga sudah mengatur strategi bagi menentang musuh habis-habisan dan tidak akan memandang rendah kehebatan lawan walaupun menentang lawan yang bukan pilihan.

“Vietnam mungkin antara lawan yang penuh muslihat dan akan mempertahankan emasnya pada sukan SEA kelak. Bagaimanapun negara lain juga tidak harus dipandang mudah kerana mereka semua memiliki percaturan tersendiri untuk mendapatkan emas.

“Yang penting, saya akan melakukan yang terbaik dan memberi tumpuan sejak awal persaingan lagi,” katanya.

Sementara itu, bapa Siti Rahmah kini menderita penyakit ketumbuhan dalam kepala sejak beberapa tahun lalu hanya mampu terlantar di rumahnya, di Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu serta diuruskan sepenuhnya oleh keluarga.



TM laksana program khas di Terengganu.

Oleh: Esah Abdullah



Tertarik dengan populariti dan penonjolan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa kehadapan dalam banyak perkara, Telekom Malaysia (TM) Berhad telah memilih Terengganu untuk melaksanakan program 'Broadband Lifestar Showcase'.

Pengurus Besar TM Terengganu, Haji Badrul Hisham Bahari berkata,program khas yang julung kalinya dilaksanakan di luar Lembah Klang itu akan berlangsung di Mesra Mall, Kemasik, Kemaman selama dua minggu bermula 1 Mei depan .

Katanya, sebagai peneraju pengendali internet jalur lebar utama di negara ini pihak pengurusan TM Pusat amat teruja dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi utama melaksanakan program ini.

“Antaranya, pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 5 serta mewujudkan pasukan lumba basikal sendiri dan menyertai Kejohanan Le Tour de Langkawi serta jelajah Malaysia baru-baru ini,” katanya kepada Teganukita.

Showcase yang diadakan ini katanya, memberi fokus kepada pelajar dan masyarakat untuk bersama mengendali dan membantu meningkatkan tahap cara hidup kita menggunakan teknologi ICT hari ini.

Orang ramai diharap dapat berkunjung ke program berkenaan untuk melihat bagaimana pengendalian broadband untuk pembaharuan lesen secara terus serta boleh berhubung antara satu tempat ke satu tempat.

“Kita berhasrat melihat penglibatan seluruh masyarakat terutama pendidik beserta pelajar sekolah untuk mendapat maklumat yang lebih luas selaras dengan hasrat pucuk pimpinan negeri yang mahu membudayakan ICT dikalangan rakyat,” katanya.



Pandu Puteri anjur forum ‘buang bayi dan seks bebas’

Oleh: Esah Abdullah

Mengambil iktibar daripada perkembangan kehidupan sosial kalangan masyarakat hari ini, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu mengambil inisiatif mengadakan Forum Perdana bertajuk ‘ cabaran remaja masa kini ‘buang bayi dan seks bebas’.

Ketua Pesuruhjaya Cawangan Terengganu, Puan Zaini Mohd. Nor berkata, majlis berkenaan akan berlangsung di Padang Astaka Seberang Pintasan, Dungun, pada Sabtu ini pukul 8.45 malam.

“Dua tokoh agama dijemput untuk memberi ceramah pada malam berkenaan antaranya, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Dato’ Haji Che Mat Che Ali dan Pegawai Khas Agama, Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Kamaruddin Omar,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, persatuan juga turut mengundang Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Umum Fakulti Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr . Niziata Omar untuk memberi kupasan kepada tajuk forum yang dikemukakan.

Menurut Puan Zaini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Datuk Za’abar Mohd Adib bersetuju hadir merasmikan majlis berkenaan.

“Majlis forum ini merupakan usaha persatuan mendekati masyarakat dengan menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan awam dan orang ramai disekitar daerah Dungun dijemput hadir beramai-ramai,” katanya.




Pembangkang lawan sama sendiri

Analisis oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Seperti dijangka, Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 menyaksikan parti pembangkang berlawan sesama sendiri.

Selepas berakhir tempoh penamaan calon semalam, tidak sampai separuh daripada keseluruhan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dengan pakatan pembangkang.

Hanya 27 kerusi DUN bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu manakala 23 DUN melibatkan pertandingan tiga penjuru dan 17 DUN empat penjuru.

DUN Balai Ringin (N25) dan Belaga (N57) akan menyaksikan pertandingan enam penjuru manakala dua DUN lagi iaitu Negmah (N43) dan Jepak (N58) pertandingan lima penjuru.

Bagi pilihan raya kali ini yang akan berlangsung 16 April, BN meletakkan calon di semua 71 DUN , DAP (15 kerusi), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) 26 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 49 kerusi, Pas ( 5 kerusi) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) 6 kerusi.

Pilihan raya ini turut menyaksikan PKR dan Snap – dua parti pembangkang besar di Sarawak – akan bertembung sesama sendiri kerana pemimpin kedua-dua parti tersebut gagal menyelesaikan masalah perebutan kerusi.

Sikap tamak haloba dan tidak ada rasa tolak ansur di kalangan parti tersebut dikatakan menjadi punca masalah itu berlarutan hingga hari penamaan calon dan akhirnya menyaksikan mereka berlawan sesama sendiri.

Pilihan raya Sarawak kali ini agak unik apabila buat pertama kalinya menyaksikan kesemua 71 kerusi ditandingi. Keadaan tersebut agak berbeza di mana sebelum ini BN biasanya akan menang tanpa bertanding di beberapa kerusi DUN, pada hari penamaan calon lagi.

Pada pilihan raya ini seramai 197 calon lelaki bertanding manakala 16 wanita mewakili pelbagai parti turut bertanding.

Gendang sudah dipalu dan mereka yang bertanding perlu menari mengikut rentak dan sudah tentu 979,796 orang rakyat Sarawak yang menjadi pengundi akan menjadi hakim pada 16 April ini.




06 April 2011

Kerajaan berjaya selesai 94.79 peratus permohonan tanah haram

Oleh: Esah Abdullah


PTG daerah berjaya menyelesaikan 9,399 kes permohonan tanah haram dan baki 517 lagi akan diproses tahun ini. - Foto: Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 9,399 kes permohonan tanah haram daripada 9,916 permohonan yang diterima atau 94.79 peratus dan baki 517 lagi akan diproses tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, jumlah permohonan berkenaan adalah selepas tarikh tutup pada 31 Desember 2006 dan proses permohonan dibuat mengikut Pejabat Tanah daerah-daerah.

“Kerajaan akan membuat kajian dan penilaian serta bercadang akan membuka semula permohonan baru bagi tanah haram setelah semua kes yang berbaki selesai diproses tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini (6 April).

Katanya, syarat permohonan tanah haram adalah yang diteroka sehingga 1990 serta ada tanaman kekal berusia tidak kurang 15 tahun namun bagi tanaman getah dan kelapa sawit diberi kelonggaran lingkungan tiga tahun ke atas.

Mengikut pecahan daerah katanya, Besut menerima 973 pemohon dan berjaya menyelesaikannya sebanyak 98.97 peratus, Dungun 540 permohonan (89.26 peratus), Hulu Terengganu 2,794 permohonan (92.30 peratus) dan Kemaman 959 permohonan (95.52 peratus).

Manakala Kuala Terengganu menerima 1,167 permohonan ( 96.46 peratus), Marang 504 permohonan (91.27 peratus) dan Setiu 2,979 permohonan (96.44 peratus).




Dato’ Seri Ahmad berkata, pencapaian penyelesaian keseluruhan adalah 94.79 peratus dan ia berada pada tahap yang memuaskan di mana semua daerah menunjukkan komitmen dalam usaha menyelesaikan permohonan orang ramai.

Mengenai permohonan tukaran hak milik sementara kepada hak milik kekal sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 sebanyak 139,227 permohonan diterima melalui pejabat tanah daerah-daerah dan dari jumlah berkenaan 111,490 dapat diselesaikan.

“Masih berbaki 37,737 dan kerajaan berusaha mempercepatkan proses permohonan berkenaan dengan melantik juru ukur swasta serta menawarkan insentif kepada mereka,” katanya.





Karnival kerjaya bantu pelajar

Oleh: Suriati Ali


Karnival kerjaya dapat membantu pelajar atau mahasiswa mendapatkan maklumat mengenai dunia pekerjaan. - Foto: Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dilakukan pelbagai pihak dalam menganjurkan aktiviti atau program yang menjurus kepada bimbingan kerjaya untuk kalangan belia lepasan sekolah termasuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata karnival kerjaya dapat membantu pelajar atau mahasiswa mendapatkan maklumat mengenai dunia pekerjaan.

Katanya, maklumat itu dilihat amat penting kerana ia kerana dapat memberi peluang, panduan dan hala tuju untuk pelajar lepasan sekolah memilih kursus bagi menyambung pelajaran seterusnya menentukan kerjayaan bersesuaian dengan kelulusan yang bakal mereka dimiliki.



“Setiap pelajar dan mahasiswa perlu memiliki nilai tambah dalam diri mereka termasuk kemahiran berkomunikasi sebagai persedian memasuki gerbang perkerjaan seterusnya berdepan dengan persaingan dalam hidup berkerjaya serta masyarakat.

“Pihak kami mengharapkan graduan tidak terlalu memilih perkerjaan, jika mendapat peluang bekerja di mana- mana sektor sewajarnya menerima walaupun tidak setaraf dengan bidang dan kelulusan yang dimiliki,” katanya.

Katanya, pengalaman kerja cukup penting, lebih lama seseorang itu bekerja, pelbagai perkara dapat mereka dipelajari selain bersikap matang berbanding individu yang menganggur,” katanya




Tfm terbit koleksi pantun GGOK

Oleh: Esah Abdullah

Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) bercadang untuk menerbitkan koleksi pantun secara komersial dan orang ramai berpeluang untuk mendapatkannya apabila ia dijual di pasaran terbuka.

Pengarah Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, sambutan orang ramai terhadap rancangan mari berpantun yang bersiaran di Tfm telah mengilhamkan kewujudan koleksi pantun Guana Gamok Orang Kita (GGOK).

GGOK telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, serentak dengan sambutan hari RTM ke-65, wajah baru van Tfm dan hari Tfm bersama pendengar dan penaja yang diadakan di Auditorium RTM, Bukit Pak Apil baru-baru ini.

“Pantun ini dikumpul selama setahun setengah iaitu sejak awal 2009 hingga pertengahan 2010 untuk menghargai sumbangan pendengar dan setiap rangkap pantun yang dihantar mempunyai nilai tersendiri,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, koleksi pertama ini memuatkan 100 pantun dan dicetak sebanyak 200 naskah untuk diagihkan kepada jabatan-jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, perpustakaan awam serta pendengar terbabit.

“Melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, buku ini berjaya dicetak dan Tfm akan melihat tindak balas dari pelbagai pihak termasuk penggiat seni dan pendengar setia,” katanya.

Pendekatan yang diambil ini juga katanya, secara tidak langsung dapat menyegarkan kembali budaya berpantun kalangan masyarakat hari ini yang semakin dilupakan oleh generasi hari ini.

“Kita akan melakukan penambahbaikan dalam keluaran kedua nanti dengan mengambil kira kualiti kertas lebih baik dan hiasan kulit depan lebih cantik serta bilangan pantun lebih banyak,” katanya.





YIT bina tadika baru

Oleh: Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) sedang dalam proses membina tiga bangunan tadika di tiga daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu yang kesemuanya bernilai RM10.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata ketiga-tiga bangunan itu dijangka dapat memulakan operasinya awal tahun depan.

“Dengan pertambahan bangunan, YIT dapat mewujudkan suasana yang selesa di samping menambah bilangan penyertaan murid,” katanya kepada pemberita di majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan Malaysia bersama YIT di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, komplek berkenaan bernilai RM3.5 juta setiap satu kini sedang dalam pembinaan di Kijal, Kemaman, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Ketengah, Dungun dan Seberang Takir, Kuala Terengganu dengan kapasiti 500 kanak-kanak setiap kompleks.

“Kerajaan ingin pastikan jumlah kanak-kanak khatam Quran setiap tahun terus meningkat dan akan mengumpul jumlah seramai yang boleh di mana dengan pertambahan tempat belajar ini akan membantu ke arah mencapai wawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, terdapat antara 25,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun di seluruh negeri dan hanya 10 peratus daripada jumlah berkenaan yang berjaya khatam Quran setiap tahun.

Menyedari hakikat itu 200 orang guru pra sekolah di bawah YIT yang mempunyai diploma akan ditawarkan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Diploma (KPLD) dan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dalam musim cuti mulai November tahun ini.

“Kerajaan amat berterima kasih kepada pihak IPG yang menawarkan kursus dalam cuti serta menyediakan modul terkini dengan sistem Pendidikan Pra Sekolah Kementerian untuk dipraktikkan oleh guru-guru Tadika YIT,” katanya.




Terengganu hasrat ketepikan Sarawak, Selangor di kolam renang

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu berhasrat untuk memungut pingat lebih banyak menerusi acara sukan yang menawarkan koleksi pingat tertinggi khususnya dalam sukan akuatik pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang, sekaligus mengenepikan penguasaan Sarawak dan Selangor dalam acara itu.

“Antara cara kita boleh mempertahankan kejuaraan dalam Sukma adalah menguasai sukan renang kerana sukan ini menawakan koleksi pingat paling tinggi.

“Malah, pada masa yang sama, kita juga tidak boleh terlalu bergantung kepada sukan tertentu sahaja, seperti kanu dan basikal. Bagi memastikan kita benar-benar kuasa baru sukan negara, kita juga perlu penguasaan di kolam renang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Pengenalpastian Bakat (TID) Sukan Renang di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Program anjuran Kerajaan Terengganu menerusi Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) mensasarkan peserta cilik yang berusia lima hingga 14 tahun bagi mencuba bakat dan kemahiran mereka untuk diasah lebih jauh.

Haji Rozi berkata program julung kali dilaksanakan itu sebagai antara alternatif kerajaan mencari bakat baru dan pelapis dalam sukan akuatik yang mampu mewakili negeri khususnya dalam temasya Sukma depan.

Katanya, kontinjen Terengganu agak terbelakang dalam penguasaan sukan renang atas pelbagai faktor termasuk kemudahan Pusat Akuatik MBKT yang baru selesai dibaikpulih akibat mengalami kerosakan sejak 2009 lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PRAT, Dr Hashim Azmi Che Nor, berkata pasukan renang negeri ini hanya mempunyai enam perenang dan mendapat latihan sepenuhnya daripada jurulatih tempatan.

Dr Hashim, jumlah itu jauh lebih kecil berbanding negeri lain dan program yang diadakan bagi mencungkil bakat baru menjadi titik tolak kepada melahirkan lebih ramai pelapis dalam sukan akuatik.

Katanya, PRAT mungkin akan menambah eorang lagi jurulatih luar bagi membantu jurulatih sedia ada, Foo Yock Meng untuk melahirkan jaguh renang di kalangan anak tempatan.