Halaman

09 August 2011

PCIT bantu ibu tunggal

OLeh: Suriati Ali

Kira-kira 6,343 ibu tunggal di Terengganu aktif menyertai Program Cakna Ibu Tunggal (PCIT) yang diwujudkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sejak tahun lalu.

Penglibatan golongan itu dalam PCIT bukan saja dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah malah mampu memberi, sokongan, galakan dan menyuntik semangat baru supaya terus berdikari meningkatkan ekonomi keluarga.



Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata PCIT mampu membuktikan keberkesanannya kerana sehingga kini mampu menghimpunkan lebih 6,000 ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai dalam satu kumpulan.

“Melalui program ini, YPKT dapat membantu melalui pelbagai aspek termasuk berkaitan ekonomi, undang-undang, bimbingan kaunseling, hubungan kekeluargaan, bimbingan kesihatan dan pendidikan anak-anak,” katanya.

Katanya, pada masa sama kursus kemahiran internet dan pembangunan e-Perniagaan yang diselia khas oleh beberapa pegawai di bawah Program Bengkel Latihan Jendela Industri Kecil dan Sederhana turut dianjurkan bertujuan meningkatkan daya kreativiti berkaitan teknologi maklumat.

“Apabila mempunyai kemahiran berkaitan itu, mereka mampu mempromosi pelbagai jenis perniagaan atau produk yang dimiliki secara meluas melalui laman sesawang,” katanya.



SKUAD JEM ATASI MASALAH KESESAKAN DI BANDAR JERTIH

Oleh: Mohammad Ishak


Ketua Polis Daerah Besut Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria

MASALAH kesesakkan trafik di daerah Besut khusunya di bandar Jertih mendapat perhatian pihak berkuasa menyebabkan Polis Besut menubuhkan satu skuad khas dinamakan “Skuad Jem” bagi menjalankan tugas pemantauan dan operasi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, penubuhan skuad berkenaan membabitkan sebuah kereta peronda dan tiga motosikal dilakukan berikutan keadaan lalu lintas yang sering menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya.

Katanya, anggota skuad berkenaan menjalankan tugas harian bagi mengawal pergerakan trafik terutama di pusat bandar ini yang sering jem dengan kenderaan pada setiap hari.

“Keadaan dijangka bertambah teruk menjelang musim perayaan apabila kenderaan dari luar masuk dan menambahkan lagi kesesakan,” katanya.

Kamaruddin berkata, jambatan Jertih yang sering berlaku kemalangan juga dipantau anggota terbabit bagi mempastikan pergerakan kenderaan menghala ke Kota Bharu,Kelantan dan Kuala Terengganu, dapat berjalan lancar.

Mengenai keselamatan jalan raya Kamaruddin berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa lokasi di sekitar daerah Besut yang kerap berlaku kemalangan menjelang musim perayaan akan diberi perhatian oleh skuad terbabit.

Antara kawasan yang sering berlaku kemalangan ialah, Jalan Jertih-Kota Bharu di Kampung Padang Luas dan Bukit Yong sempadan Kelantan .

Selain itu Jalan Jertih-Kuala Terengganu membabitkan Kampung Jabi, Renik, dan Anak Ikan manakala bagi laluan pantai di Kampung Benteng Lintang.

Beliau berkata, pihak polis daerah itu akan mengadakan kempen keselamatan jalan raya menjelang Aidilfitri dengan mengedarkan risalah khas sebagai peringatan dan panduan kepada orang ramai ketika memandu kenderaan.

Jemaah umrah dapat layanan istimewa daripada petugas

Oleh: Suriati Ali

“Kami sekeluarga cukup terharu di atas keprihatinan Kerajaan Terengganu yang berusaha menyediakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah atau Jeddah.


Wan Suriani bersama suami, anak dan ibu.

“Langkah itu nyata dapat mengurangkan masa dan kos setiap jemaah umrah terutama yang mengerjakan ibadat umrah secara berkumpulan,” kata Wan Nur Suriani Wan Othman, 37 ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, semalam (8 Ogos).

Kumpulan pertama yang membawa seramai 450 jemaah umrah dengan penerbangan terus dari ke Madinah pada 29 Julai lepas, selamat kembali ke tanah air kira-kira jam 12.55 tengah hari.

Wan Suriani bersama suami, Tuan Adnan Tuan Sipat, 40; anak, Tuan Nur Alia Najwa, 11 dan tiga lagi saudara terdekat berasa amat selesa mengerjakan umrah sempena program pertama itu dan mengharapkan penerbangan seumpama itu diperbanyakkan.


Tuan Nur Alia Najwa

“Kami bukan saja diberi layanan istimewa oleh petugas malah disajikan pelbagai jenis makanan tradisional Terengganu termasuk lauk ikan singgang ketika berbuka puasa.

“Saya percaya program penerbangan terus yang ingin dikekalkan kerajaan negeri ini akan mendapatkan sambutan berganda datang sekiranya petugas dapat mengekalkan layanan istimewa terhadap setiap jemaah haji,” katanya yang baru pertama kali menunaikan umrah.

Anaknya Tuan Nur Alia Najwa yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar memberitahu, dia sangat bersyukur dan mengucapkan jutaaan terima kasih kepada ibu dan abah kerana memberinya peluang mengerjakan ibadat umrah bersama-sama.

“Saya seronok melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat seperti berpuasa, solat tarawih dan tawaf ketika berada di Tanah Suci dan akan kembali di sana sekiranya diizinkan Allah S.W.T,” katanya.


Nawang Awang Teh dan isteri, Zainab @Ramlah Jusoh

Sepasang suami isteri Nawang Awang Teh, 66, dan Zainab @ Ramlah Jusoh, 58 dari Kampung Padang Pulut, Dungun, dapat mengerjakan umrah hasil sumbangan anak kedua.

Nawang berkata, dia dapat merasakan suasana tenang, dingin dan tenteram sebaik saja menjejak kaki di Tanah Suci.

“Dengan izin Allah S.W.T, saya bersama isteri mampu melaksanakan ibadat wajib dan sunat dengan sempurna sepanjang berada berada di sana,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Muhamad Ramli Nuh ketika menyambut ketibaan rombongan berkata, pakej umrah yang dianjurkan kerajaan negeri itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.


Maidam peruntuk RM1.3 juta bina 38 unit rumah golongan miskin

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM1.3 juta bagi membina 38 unit rumah untuk golongan miskin di Kampung Banggol Peradong, Manir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, projek berkeluasan 3.5 ekar itu turut menerima peruntukan tambahan Kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta bagi membina sistem perparitan, jalan dan kemudahan asas yang lain.

Menurutnya, golongan miskin dan kurang berkemampuan yang mendiami rumah teres tiga bilik itu dikenakan bayaran sebanyak RM50 sebulan dan fasa pertama itu dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

“Projek ini memberi peluang kepada keluarga berkenaan untuk mendapat tempat penginapan yang lebih selesa sehingga mereka mampu berdikari dan memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan agihan zakat saudara baru di Kompleks Darul Hidayah, petang semalam.

Tambah Wan Harujan, fasa kedua akan diteruskan berdasarkan sambutan yang diterima dan projek seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini oleh pihak Maidam di Kampung Air, Kemaman yang melibatkan pembinaan 16 unit rumah pada tahun 1990.

Sementara itu katanya, Maidam memperuntukkan bantuan zakat Hari Raya sebanyak RM360,000 untuk disalurkan kepada 1,000 asnaf mualaf tahun ini.

Menurutnya, setiap mualaf atau 'saudara kita' menerima RM350 bagi tanggungan kurang daripada tiga orang manakala tanggungungan lebih dari empat orang, Maidam peruntukkan RM450.

“Selain itu, peruntukan berjumlah RM16,000 berupa biskut raya sedang diagihkan secara berperingkat di seluruh negeri sebagai hadiah kepada saudara kita untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Katanya, Maidam dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu (JHEAT) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut melaksanakan enam lagi program Ihya Ramadan untuk golongan berkenaan.

“Selain majlis berbuka puasa dan agihan zakat di Kemaman dan Besut, program Ziarah Dakwah turut diadakan tiga perkampungan orang asli di Kampung Sungai Pergam, Kemaman; Kampung Sungai Sayap, Besut dan Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

“Turut diadakan Kem Ramadan Saudara Kita dan Masyarakat Orang Asli di Demong Beach Resort, Besut selama tiga hari bermula 18 Ogos ini,” kata Wan Harujan.

Sikap prihatin Puteri dipuji

Oleh: Esah Abdullah


Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Puan Nordiana Dato’ Shafie.

Langkah yang diambil Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu mengagihkan juadah berbuka puasa kepada keluarga pesakit yang menunggu waris di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapat reaksi positif daripada orang ramai.

“Projek ini pertama kali diadakan di bawah Program Prihatin Puteri (3P) untuk memupuk sikap prihatin kalangan generasi muda terhadap orang ramai yang dalam kesusahan,” kata Pengerusi 3P merangkap Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Puan Nordiana Dato’ Shafie.

Katanya, program ini berjalan serentak di negeri-negeri seluruh negara namun kaedah pemberian mengikut kesesuaian negeri masing-masing.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan juadah berbuka puasa kepada waris pesakit bersama 20 sukarelawan Puteri dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang, di HSNZ petang semalam

Sebanyak 500 pek makanan berupa nasi putih serta lauk, kurma dan air mineral mula diagihkan kepada waris pesakit daripada wad satu hingga lapan yang bermula pada hari ke tujuh umat islam berpuasa.



“Bersyukur sangat, hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala perbuatan baik serta beroleh keberkatan dunia dan akhirat,” kata Puan Jawariah Sulong, 54, dari Kampung Padang Pulut, Dungun, Terengganu, yang menunggu kelahiran cucu barunya.

Beliau yang ditemui di lobi hospital adalah antara ratusan waris pesakit di atas pelbagai alasan, sama ada menjaga anak, suami, isteri, ibu bapa dan saudara mara terdekat yang terpaksa di tahan di wad hospital untuk beberapa ketika.

Encik Aziz Awang, 48, dari Kampung Sungai Kerak, Marang pula sedang menunggu kelahiran anak ke sembilan dan sudah empat hari isterinya di tahan di wad.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan ini walau pun ia hanya sebekas nasi beserta air, amat besar maknanya kerana tidak perlu bersusah payah keluar mencari makanan untuk berbuka nanti,” katanya.

Bagi Nurul Kasila Mansor, 21, dari Paka, Dungun, mengucapkan terima kasih kepada Puteri Terengganu yang sudi agih juadah untuk berbuka kepada waris pesakit di HSNZ.

“Memang dalam keadaan bersedih ini, soal makan minum tidak penting bagi kami, tapi bersyukur sangat ada yang memberi,” katanya yang bergilir bersama dua orang kakak menjaga abangnya yang masih tidak sedarkan akibat kemalangan jalan raya.





08 August 2011

Rakyat setuju kerajaan tambah pakej umrah

Oleh: Suriati Ali



Rata-rata umat Islam di negeri ini bersetuju dengan inisiatif Kerajaan Terengganu untuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah atau Jeddah bermula tahun depan.

Langkah itu nyata dapat menarik minat orang ramai terutama warga emas untuk mengunjungi Tanah Suci kerana ia menjimatkan kos dan masa setiap jemaah umrah.

Seorang kakitangan swasta Mohd Sani Othman, berkata dia amat bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri memperbanyakkan penerbangan terus ke Jeddah kerana sudah tentu dapat membantu masyarakat, terutama mereka yang kurang berkemampuan turut mengerjakan umrah.

“Melalui pakej penerbangan itu, setiap jemaah umrah dapat berjimat antara RM1,000 hingga RM1,300 bagi setiap individu,” katanya kepada Teganukita ketika menunggu ibu mertua yang pulang mengerjakan umrah anjuran Kerajaan Terengganu di LTSM, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 450 orang mengikuti umrah melalui penerbangan terus ke Madinah itu di mana
ia julung kali diadakan di Terengganu.



Mereka yang berlepas pada 29 Julai lalu selamat tiba di tanah air kira-kira jam 12.55 tengah hari dengan disambut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh, keluarga masing-masing dan sanak saudara.

Jemaah umrah, Che Ku Puan Muda, 73 dari Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, berkata dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana mampu mengerjakan ibadat umrah dengan sempurna termasuk berpuasa dan menunaikan solat sunat tarawih di Tanah Suci.

“Makcik cukup terharu kerana hajat untuk berpuasa di Tanah Suci dimakbulkan Allah S.W.T akhirnya. dan berazam akan kembali ke lokasi mulia itu, jika kesihatan mengizinkan untuk berbuat demikian,” katanya.

Katanya, dia menyarankan orang ramai terutama warga emas tidak melepaskan peluang mengikuti umrah anjuran kerajaan Terengganu kerana banyak manfaat diperoleh selain mendapat layanan istimewa daripada petugas.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pernah memberitahu dalam satu majlis baru-baru ini bahawa kerajaan Terengganu akan menyediakan lebih banyak penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Madinah atau Jeddah, bagi membawa orang ramai menunaikan umrah pada tahun depan.

“Sebanyak 10 hingga 15 trip umrah dirancang pada tahun depan bagi membawa penduduk Pantai Timur mengerjakan umrah di Tanah Suci.

“Kerajaan negeri melihat program ini (penerbangan umrah terus dari LTSM ke Madinah/Jeddah) sebagai langkah bijak untuk agensi-agensi pengendali umrah menjadikan LTSM sebagai pintu gerbang (hab) untuk operasi penerbangan umrah bagi penduduk Pantai Timur,” katanya.

Melalui program pertama operasi umrah penerbangan terus awal tahun ini, mereka yang terlibat dibawa dengan pesawat MAS dari LTSM ke Jeddah.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini perlu bersyukur kerana kerajaan negeri prihatin dalam menyediakan kemudahan seperti itu bagi kemudahan mereka menunaikan umrah dan haji.


YPU naik taraf 14 bengkel melalui projek Atom

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menyasarkan 14 buah bengkel automotif di seluruh negeri akan dapat manafaat daripada daripada projek Pemodenan Bengkel Automotif (Atom) menjelang akhir tahun ini.



Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Azmi Razik berkata, melalui usaha itu semua bengkel berkenaan, termasuk bengkel kereta dan motosikal akan diubah wajah dan dimodenkan menjadi pusat perkhidmatan yang lebih sistematik, cekap dan bersih.

Katanya, pemodenan bengkel-bengkel itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan dalam transformasi perkhidmatan berkenaan di seluruh negara untuk menjadikan perniagaan itu lebih bersistematik dan menguntungkan.

"Pengusaha bengkel boleh membuat pinjaman perniagaan sehingga RM100,000 selama 15 tahun melalui Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional yang akan berjalan sehingga tahun 2020.

"Perubahan itu dijangka mampu meningkatkan keyakinan pelanggan menghantar kenderaan mereka ke bengkel berkenaan, sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha bengkel terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Mei lalu melancarkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan projek Atom dalam usaha menaik taraf perkhidmatan pembaikan dan penyenggaraan kenderaan di negara ini.

Melalui pelancaran itu kata Azmi, YPU telah dilantik sebagai konsultan bagi program berkenaan oleh KPDNKK bagi negeri Terengganu.

Menurutnya, YPU pada masa kini sedang membuat tinjauan terhadap pengusaha bengkel yang berpotensi untuk dibantu dan dengan memberi penerangan mengenai projek itu kepada kumpulan terbabit.

"Khidmat perundingan yang ditawarkan YPU kepada pengusaha bengkel dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM) dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

"Selain itu, kepakaran Malaysian Association of Tyre Retreaders and Dealer Society (MATRDS) dan Automotive Aftersales Industry (M) Sdn. Bhd. turut dilibatkan bagi meningkatkan pengurusan kewangan dan operasi bengkel yang terpilih," ujarnya.

Puteri UMNO agih juadah berbuka kepada waris pesakit

Oleh: Esah Abdullah

Pelbagai program dan aktiviti amal jariah dilakukan sepanjang bulan Ramadan untuk membantu meringankan beban mereka yang berada dalam kesempitan dan kesusahan di samping mencari keredaan Allah SWT.


Puan Nordiana Dato’ Shafie

Pada kesempatan Ramadan ini, Program Prihatin Puteri (3P) telah mengambil inisiatif mengagihkan makanan untuk berbuka puasa kepada keluarga yang terpaksa menunggu pesakit di wad Hospital Sultanah Nor Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Program tersebut dimulakan pada petang semalam (7 Ramadan) dan diteruskan hingga hari akhir umat Islam menunaikan ibadat puasa.

Pengerusi Program 3P merangkap Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, setiap hari 500 pek makanan diagihkan kepada waris pesakit yang berada di wad satu hingga lapan di HSNZ.

“Puteri rasa tersentuh melihat waris atau keluarga pesakit yang terpaksa berbuka ala kadar sahaja kerana menunggu keluarga mereka yang dirawat di wad hospital,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, 20 orang sukarelawan Puteri akan bertugas setiap hari untuk mengagihkan makanan berupa nasi putih beserta lauk, kurma dan air mineral sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, Puteri mempunyai 40 sukarelawan di setiap Parlimen atau 10 orang setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mereka akan bertugas secara bergilir-gilir.

“Program 3P tidak tertumpu di HSNZ sahaja sebaliknya di semua hospital daerah-daerah seluruh negeri, bezanya di daerah kita agih hamper,” katanya.

Katanya, pengagihan hamper ke hospital daerah-daerah akan diadakan serentak dengan Program Menteri Besar berbuka puasa dengan rakyat yang bermula esok bagi daerah Kuala Terengganu, Dungun (10 Ogos), Kemaman (11 Ogos),Marang (14 Ogos),Besut (15 Ogos), Setiu (16 Ogos)dan Hulu Terengganu (21 Ogos).

Menurut Puan Nordiana, sumbangan kewangan yang diterima daripada pemimpin parti dan orang perseorangan serta dana Puteri membolehkan program ini dilaksanakan dengan lancar.




Ibu bapa puji YPKT pasang CCTV

Oleh: Suriati Ali

Langkah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) di beberapa premis taska kelolaan jabatan itu nyata memenuhi kehendak ibu bapa yang ingin memastikan anak masing-masing sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Taska Permata Keluarga Batas Baru, Encik Rahim Jusoh, berkata dia memuji pendekatan YPKT yang sentiasa prihatin mengenai keselamatan kanak-kanak di taska dengan memasang CCTV dan menutup pintu pagar selepas tiba tempoh tertentu.

Katanya, langkah ini secara tidak langsung meningkatkan kepercayaan pihak luar terhadap sikap cakna YPKT di mana sebelum ini mereka hanya mengetahui mengenai kelebihan kaedah pembelajaran, mutu perkhidmatan dan kualiti pengasuh di taska milik YPKT itu.

“Pemasangan CCTV bukan saja mampu mencegah jenayah malah dapat memberi maklumat awal kepada penjaga atau pengasuh mengenai kehadiran tetamu yang tidak diundang dan orang tidak siuman,” katanya.

Tinjauan pemberita Teganukita di beberapa taska di kawasan bandar raya Kuala Terengganu mendapati, pengasuh yang berada di setiap taska bukan saja ditugaskan mendidik dan mengasuh kanak-kanak malah mempunyai komitmen tinggi terhadap tahap keselamatan di kawasan taska masing-masing.

Dalam tempoh tertentu iaitu antara jam 8.30 hingga 5.00 petang setiap pagar akan ditutup atau dikunci, jika ada ibu bapa ingin menjenguk anak masing-masing dalam tempoh itu, mereka terlebih dahulu perlu mendapat kebenaran untuk berbuat demikian sama ada dengan ketua taska atau pengasuh.

Sementara itu, Pengarah YPKT, Encik Mohd Sharuddin Mustaffa berkata, setakat ini pihaknya telah memasang 16 CCTV di premis Taska di pusat-pusat bandar.

Katanya, setiap premis Taska YPKT berada dalam kawasan berpagar dan sentiasa berkunci beserta pintu premis yang dipasang besi penghadang serta sentiasa berkunci.

“Dengan apa yang telah kita lakukan seperti memasang CCTV, pasang besi penghadang setiap pintu dan tingkap serta setiap premis dilengkapi pagar, saya harap tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.


Polis kawal aktiviti jual mercun

Oleh; Esah Abdullah

Polis Terengganu meningkatkan kawalan bagi mencegah kejadian menjual, memiliki, membawa dan membakar mercun di kalangan orang ramai sepanjang bulan Ramadan.

“Anggota kami akan berada di kawasan yang dianggap menjadi tumpuan ramai termasuk bazar Ramadan dan juga karnival jualan Aidilfitri di sekitar bandar raya ini,” kata Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin.

Katanya, sehingga ini masuk hari ke lapan umat Islam berpuasa, hanya satu tangkapan dibuat membabitkan seorang tukang rumah dari Kampung Batu 11, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Beliau menasihatkan orang ramai jangan sesekali terlibat dengan penjualan atau pembakaran mercun kerana kegiatan berkenaan adalah adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Menurutnya, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Asisten Komisioner Zamri juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti berkaitan boleh menghubunginya menerusi talian 019-9000128 atau talian pejabat 09-6246222.