Halaman

05 November 2011

DUN Bukit Payong anjur Korban Perdana


Oleh: Amirullah Othman

Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong akan menganjurkan Porgram Korban Perdana di perkarangan Tadika Paya Resak, pada 8 November ini.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata sempena program itu lapan ekor lembu akan dikorbankan melibatkan 56 bahagian.

Kira-kira 2,000 orang penduduk sekitar DUN berkenaan akan terlibat dengan program itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim antara penduduk kawasan itu.

Sempena majlis itu, jamuan tengahari disediakan kepada penduduk kampung di mana daging korban itu akan dimasak secara gotong royong untuk hidangan.

Encik Zaidi mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam di seluruh negeri, khususnya penduduk di DUN Bukit Payong.

Beliau turut menjemput mereka menghadiri jamuan rakyat pada 8 November itu, di tempat yang sama.

Tubuh akademi untuk lahir pemain berkualiti

Oleh: Suriati Ali

Sebuah akademi bola sepak akan ditubuhkan di Terengganu bagi melahirkan pemain berkualiti sekali gus meningkatkan mutu sukan popular itu di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

"Nama sebenar akademi bola sepak ini akan diumumkan apabila majlis perasmiannya dibuat awal tahun depan,” katanya .

Akademi seumpamanya pernah diwujudkan di negeri ini dari 1995 hingga 2007 yang dinamakan Akademi Bolasepak FAM Terengganu dan berjaya melahirkan ramai pemain berkualiti seperti Shamsuri Mustapa, Haris Safwan Kamal, Zairo Anuar Zalani, Mohd Sharbinee Allawee, Muslim Ahmad dan Manaf Mamat.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, akademi itu bakal diletakkan di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu dan di peringkat permulaan, seramai 25 hingga 30 pemain bawah umur 21 tahun akan ditempatkan di akademi berkenaan serta dibimbing oleh Che ku Marzuki Che ku Mohd Nor.

Beliau berkata, perintis akademi akan dipilih menerusi pertandingan liga bawah 21 yang akan diadakan di setiap daerah di negeri itu.







Ayah Su tabur jasa hingga akhir usia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Fauzi Mohd

Sepanjang usianya, bekas calon Perikatan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Setiu, Yusoff Mohd. Amin, 74, yang meninggal dunia di kediamannya di Kampung Calok Kedai, pada 6 September lalu, banyak berjasa kepada Umno dan masyarakat di kawasan itu.

Allahyarham yang pernah bertugas sebagai Penyelia Kemas Parlimen Kuala Nerus dan Setiu dan mempunyai sembilan anak, 33 cucu dan 6 cicit itu meninggal akibat sakit tua.

Menurut anak ketujuhnya, Nazri, 44, semasa hayatnya, Allahyarham bukan sahaja terbabit dalam pelbagai kegiatan politik malah turut berkerjasama menjayakan pelbagai program Badan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah Setiu.

Nazri yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai termasuk pemimpin masyarakat yang hadir menziarah jenazah dan mengucapkan takziah.

Katanya, jawatan terakhir bapanya ialah Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Setiu selain pernah diberi kepercayaan berkhidmat dalam Majlis Daerah Setiu, Pertubuhan Peladang Setiu serta beberapa pertubuhan belia semasa zaman mudanya.

"Susur galur perjalanannya dalam politik dan khidmat kepada masyarakat sangat panjang. Bermula apabila dia dipilih sebagai calon Perikatan pada usia 22 tahun.

"Walaupun tewas kepada calon PAS, Daud Samad yang dilantik sebagai Menteri Besar pada ketika itu, semangatnya terus kental untuk berbakti dengan mengasaskan UMNO Cawangan Gong Terap sebelum menyertai pergerakan pemuda UMNO Bahagian pada ketika itu," katanya ketika ditemui wartawan Teganukita di rumah arwah bapanya, petang semalam.

Kata Nazri, pemergiannya cukup menyentuh hati kerana sebelum itu adik kepada bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Allahyarham Dato' Abdul Ghani Mohd. Amin itu sempat melaksanakan impiannya mengumpul kaum keluarganya pada hari raya ketiga lalu.

Ujarnya, setelah tiga tahun arwah berusaha, buat pertama kalinya, hampir 1,500 ahli keluarga keturunan Tok Bilal Ali dari generasi ketiga hingga keenam berkumpul dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Terap Calok.

Tok Bilal Ali dikatakan hidup sekitar 1900-an yang dipercayai mengasaskan Kampung Bukit Calok, yang berkembang menjadi Kampung Penarik ketika itu.

Keturunan Tok Bilal Ali diteruskan oleh Mat Amin (Tok Bilal Mat Amin) yang akhirnya meninggal dunia pada tahun 1991 ketika berusia lingkungan 80-an.

"Perjumpaan keluarga berkenaan bagi memberi pendedahan kepada generasi baru Tok Bilal Ali tentang susur galur keturunan keluarga agar jati diri dapat diterapkan di dalam jiwa mereka.

"Saya tidak sangka acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli keluarga dan amat gembira kerana ramai ahli keluarga Tok Bilal Ali berkumpul," katanya.

Kata Nazri, itulah kerja terakhir ayahnya sebelum pergi buat selama-lamanya.


Kerajaan BN jaga kebajikan rakyat: Apa lagi yang rakyat mahu?

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jika dihalusi, begitu banyak sekali bantuan disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membantu rakyat negeri ini, terutama sekali di bidang pendidikan.

Sebagai bukti, Kerajaan Terengganu telah mengeluarkan perbelanjaan RM8.48 juta kepada 8,486 pelajar tingkatan enam atas yang diagih melalui Program Bantuan Pendidikan sejak ia diperkenalkan pada 2008.

Bantuan RM1,000 diberi kepada setiap pelajar sebagai hadiah galakan dan bantuan bagi membeli keperluan pembelajaran sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Tahun ini, 2,156 pelajar dari 51 sekolah yang akan menduduki STPM tidak lama lagi menerima bantuan RM1,000 melibatkan keseluruhan kos RM2.15 juta.

Bagi bantuan pakaian seragam untuk pelajar sekolah menengah dan rendah seluruh negeri tahun ini pula, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM20 juta.

Seramai 109,216 pelajar dari keluarga berpendapatan RM1,200 ke bawah, layak menerima sumbangan di mana setiap orang diberi RM200 bagi membeli pakaian sekolah.

Bulan depan, semua ibu bapa yang ada anak sedang belajar di sekolah rendah dan menengah bantuan penuh kerajaan, akan diberi bantuan RM100 seorang.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2012, pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan bantuan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan pemberian baucer buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Selain itu, Kerajaan Terengganu juga menyediakan bantuan persediaan pelajaran bagi semua pelajar yang melanjutkan pelajaran ke asrama penuh, pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan awam dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan STPM juga diberi imbuhan oleh Yayasan Terengganu (YT).

Manakala 150 pelajar terbaik dalam peperiksaan awam akan diberi biasiswa dan dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di bidang perubatan.

Terlalu banyak kemudahan dan bantuan yang disediakan Kerajaan BN bagi memastikan penduduk negeri ini mendapat kemudahan terbaik dalam pendidikan.

Tidak cukup lagikah kebajikan yang disediakan Kerajaan Negeri bagi membela nasib rakyat Terengganu?

Adakah Pas dan Pakatan Rakyat mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik daripada Kerajaan BN jika mereka diberi peluang memerintah negeri ini kerana sejarah lalu membuktikan mereka tidak mampu berbuat demikian.

Tepuk dada, tanya selera.


04 November 2011

UMNO Bahagian Besut sedia 7 lembu korban

Oleh: Mohammad Ishak

UMNO Bahagian Besut meneruskan tradisi mengagihkan daging korban kepada fakir miskin dan penduduk daerah itu pada setiap kali sambutan hari raya Aidiladha.

Ketuanya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pada tahun ini pihaknya menyediakan tujuh lembu masing lima disumbangkan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen manakala dua lagi disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Katanya, majlis korban tahun ini akan diadakan di pusat Bandar apabila Jertih Souq dijadikan upacara penyembelihan yang akan dilakukan selepas solat sunat Aidiadha.

Menurutnya, selain diagihkan kepada orang ramai pihak penganjur juga turut menyediakan lembu khas untuk dibuat jamuan makan tengahari kepada masyarakat Islam di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, selain itu MAIDAM juga turut mengagihkan daging korban di beberapa masjid terpilih sekitar daerah Besut sempena Aidiladha tahun ini.

Idris yang juga Pengerusi MARA berkata, sambutan Aidiadha di daerah itu tahun ini dijangka diadakan dalam keadaan sederhana berikutan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau berharap penduduk negeri ini terus mengamalkan budaya kunjung mengunjung ke rumah jiran dan sanak saudara selain dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan dikalangan masyarakat Islam tanpa mengira fahaman politik.


Program 'empower' ECER pertingkat sosio-ekonomi Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI

Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memperluaskan program 'empower', yang melibatkan Latihan Kemahiran Akademik dan Latihan Kemahiran Keusahawanan ke Kemaman, berikutan kejayaan projek perintis di Bentong, Pahang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato' Jebasingam Issace John berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian akademik di kalangan para pelajar serta peluang pekerjaan dan kebolehpasaran belia dan orang dewasa.

Katanya, sejumlah 921 penduduk tempatan dari empat Dewan Undangan Negeri(DUN) di daerah itu menerima manafaat daripada program berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 421 peserta telah mendaftar bagi kursus-kursus Latihan Kemahiran Akademik yang membantu memperbaiki prestasi keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun ini.

"10 buah sekolah terlibat dalam program latihan berkenaan iaitu SK Kampung Baru Kertih, SJK (C) Kuala Kemaman, SK Kijal, SK Ayer Putih, SK Jabor, SMK Badrul Alam Shah, SMK Chukai, SMK Kijal dan SMK Ayer Putih," katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program itu di Dewan Sri Amar Diraja, Kemaman. Hadir merasmikan, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera.

Tambah Dato' Jebasingam, 500 peserta terlibat dalam program Latihan Kemahiran Keusahawanan yang mengambil masa 15 bulan bermula Jun 2011 dengan tumpuan kepada penganggur, belia serta ibu tunggal di Kemaman.



Katanya, 80 peratus peserta mendapat pekerjaan daripada program itu.

"Kursus kemahiran yang sedang diajar di 'empower' Kemaman termasuk tatarias, pembuatan roti, jahitan, rekaan fesyen, dandangan rambut, pendawaian serta pemasangan paip," katanya.



Pada majlis itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan sijil penyertaan 'empower' kepada pengetua sekolah, penyedia latihan dan penyelaras program serta melawat ke pameran program itu.

















Kedai Rakyat 1 Malaysia di Terengganu semakin mendapat sambutan

Oleh: Mohammad Ishak

YB Dr A Rahman Mokhtar membayar nasi lemak ketika pelancaran kedai Menu Rakyat 1 Malaysia di Kuala Besut, semalam.


Sebanyak 127 kedai berkonsepkan Menu Rakyat 1 Malaysia sudah ditubuhkan di negeri ini sebagai menyambut seruan untuk meringankan beban perbelanjaan harian rakyat .

Daripada jumlah itu 125 buah dikendalikan bangsa Melayu manakala dua buah dimiliki Cina dan sebuah kedai diusahakan India.

Daerah Kuala Terengganu mendahului kawasan lain apabila 49 sudah diwujudkan dan diikuti Marang (27), Hulu Terengganu (23),Dungun (15), Kemaman (4) manakala Besut dan Setiu masing-masing 5.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, kerajaan mengharapkan lebih banyak pengusaha kedai terutama kedai makan menyertai program berkenaan.

Katanya, pemilik kedai yang menyertaii program itu akan diberikan banting khas daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) bagi mempromosikan kedai masing-amsing.

Selain itu,katanya, kementerian juga akan menyenaraikan kedai terbabit dalam portal kementerian dan degan cara ini pengusaha Kedai Rakyat 1 Malaysia secara langsung akan mendapat iklan secara percuma.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, berkata demikian ketika melancarkan Kedai Menu Rakyat 1 Malaysia milik Chik Nik di Kampung Nail, Kuala Besut, semalam.

“Mereka yang menyertai konsep kedai berkenaan tidak mengalami kerugian walaupun produk yang dijual dikatakan murah sebaliknya cara itu menyebabkan semakin ramai pelanggan yang datang membeli belah,” katanya.


Aturcara Penuh Karnival Inovasi & Skills Malaysia Terengganu 2011 (10 -12 November 2011)


KLIK FOTO UNTUK LIHAT ATURCARA

YPM terima peruntukan RM799 juta

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menerima peruntukan sebanyak RM799 juta di bawah Dana Pendidikan Teknikal Jepun (DPTJ) tahun ini.

Pengerusi YPM, Datuk Wira Rosli Mat Hassan berkata, dengan peruntukan baru ini YPM akan membuat pengambilan antara 80 hingga 100 orang pelajar baru setiap tahun.

“Setakat ini seramai 350 pelajar di bawah tajaan YPM yang sedang membuat PhD dan Ijazah di Universiti Jepun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Graduasi Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SMSKT) semalam.

Hadir sama Pengetua SMSKT, Haji Hassan Awang Mat dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru, Haji Mohd Omar Abdul Rahman serta 136 pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung bulan ini.

Menurut Datuk Wira Rosli, mulai tahun ini program Dana Pinjaman Pengajian Tinggi YPM iaitu gabungan dana Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun akan dikenali sebagai Dana Pendidikan Tinggi Jepun (DPTJ).

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah bersetuju menjadikan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Beranang, Selangor sebagai Pusat Pendidikan Teknikal Jepun (PPTJ).

Katanya, pelajar yang terpilih mengikuti pengajian di Jepun akan belajar selama tiga tahun di PPTJ sebelum menyambung pengajian selama dua tahun di Universiti Jepun untuk membuat Ijazah.

“YPM akan menyalurkan biasiswa berjumlah RM450,000 kepada setiap pelajar sehingga tamat pengajian mereka,” katanya.

Menurutnya, modul yang diperkenalkan di PPTJ diiktiraf oleh semua Universiti Teknikal yang terdapat di negara matahari terbit itu dan pelajar YPM dan Mara tidak menghadapi masalah perhubungan dengan pihak pengurusan di sana.




Umno Cawangan Atas Bukit Ru Rendang gotong royong bersih tali air

Oleh: Amirullah Othman

Kira-kira 100 orang penduduk Kampung Atas Bukit Ru Rendang menyertai program gotong-royong membersih tali air di kawasan Taman Ru Rendang, kelmarin.

Ketua Umno cawangan itu, Wan Kamaludin Wan Chik, berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua peringkat lapisan masyarakat di kawasan itu.

Rentetan daripada majlis itu juga, Umno cawangan itu akan menganjurkan pertandingan memancing di tali air ini tersebut yang dipenuhi pelbagai spesies ikan seperti haruan, keli, sepat dan puyu, dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkaya, bagi menjayakan gotong royong itu pihaknya mendapat kerjasama Majlis Daerah Marang dan Jabatan Pengairan Negeri Terengganu, bagi memastikan tali air itu sesuai dijadikan lokasi pertandingan memancing.

Pertandingan memancing itu terbuka kepada orang ramai, khususnya penduduk di sekitar Ru Rendang.