Halaman

27 December 2011

JPM mahu Maidam tangani isu solat dua Jumaat

Oleh; Esah Abdullah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan keputusan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha menangani isu dua solat Jumaat dalam satu kariah yang masih berlaku negeri ini.

Menurutnya, dalam Perkara Sembilan Perlembangaan Negara, agama Islam terletak di bawah hak kerajaan negeri dan Tuanku Sultan di mana dalam perkara ini Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan perkara terbabit.

Katanya, jika perkara ini gagal diselesaikan dengan segera, nescaya ia mengundang pandangan negatif masyarakat bukan Islam.

"Sudah pasti masyarakat di luar sana memandang kehairanan mengapa umat Islam tidak boleh bersatu tambahan pula dalam kontek institusi masjid.

“Jadi yang rugi adalah umat Islam dan saya melihat kalau semua pihak boleh berlapang dada dan bermuafakat sudah pastinya masalah ini tidak timbul," katanya di sidang akhbar selepas hadir pada majlis perasmian Karnival Hijrah di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu dua solat Jumaat dalam satu kariah di negeri ini yang turut melahirkan rasa dukacita Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Jamil berkata, beliau berharap semua pihak dapat menyerahkan segala urusan bagi menyelesaikan perkara berkenaan kepada Maidam selaku institusi agama tertinggi negeri .

"Semua urusan dan kuasa diberikan kepada Maidam dan saya yakin Maidam pasti ada jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera," katanya.

Sebelum ini Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Haji Mohd Rozali Salleh mengesahkan terdapat 11 masjid yang tidak diiiktiraf oleh institusi agama sehingga menyebabkan berlakunya senario dua jemaah bersembahyang secara berasingan di dalam satu-satu kariah atau kawasan di negeri ini.

Menurutnya, JHEAT telah melakukan permantauan dan akan menghantar laporan lengkap berhubung perkara itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan selanjutnya.







950 murid DUN Kijal terima bantuan sekolah RM100

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 950 murid dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman menerima sumbangan wang tunai RM100 setiap seorang bagi perbelanjaan musim persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.



Sumbangan yang melibatkan murid sekolah dari Bandar Seri Bandi, Padang Kubu dan Ibok disampaikan di Dataran Seri Bandi, Kemaman petang semalam.



Hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Ketua Wanita UMNO Kemaman yang baru dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, YB. Senator Rohani Abdullah.

Menteri Besar dalam ucapannya memberitahu, bantuan persekolahan kepada setiap pelajar di negeri ini oleh Kerajaan Terengganu sedang diagihkan.



“Kerajaan negeri menetapkan setiap keluarga akan mendapat bantuan maksimum hanya untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

“Bantuan tersebut diberikan dalam bentuk wang tunai bertujuan membeli pakaian sekolah pelajar,” katanya.

Tambah beliau, sejumlah RM12 juta diperuntukkan dengan melibatkan kira-kira 120,000 yang layak mendapat bantuan tersebut dengan maksimum dua pelajar bagi satu keluarga.


Dua pemanah Terengganu galas cabaran di sukan Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kehebatan pasukan memanah negara yang menggondol dua emas, lima perak dan lima gangsa di Sukan SEA, Indonesia lalu mengesahkan tiket untuk empat pemanah termasuk dua anak Terengganu melangkah ke sukan Olimpik tahun depan.



Aksi Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim selain dua lagi rakannya Cheng Chu Sian serta Haziq Kamaruddin kini menjadi sandaran negara untuk memungut pingat di temasya sukan terbesar dunia kelak.

Sebagai persiapan ke kejohanan di London nanti, empat pemanah terbabit akan menyertai tiga kejohanan sebagai pemanas badan aiitu Grand Prix Asia di Thailand, Piala Dunia siri pertama (China) dan Piala Dunia siri kedua di Turki.

Dalam perkembangan yang sama, rutama Khairul Anuar pernah diuar-uarkan bersama pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa untuk menerima ganjaran berupa `wang saku’ oleh Kerajaan Terengganu sebelum berangkat membawa cabaran itu nanti.

Selain empat nama besar dalam arena sukan negara itu, seramai 51 atlit lain yang juga mewakili 11.03 peratus daripada keseluruhan atlit negara turut menjadi sandaran Malaysia ketika temasya sukan SEA di Indonesia lalu.

Malah, seorang lagi pelumba basikal, Mohamad Adiq Husainie Othman pula tersenarai dalam program `Road to London’.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Terengganu menjadi negeri utama menyumbang kepada negara untuk bersaing di peringkat Asia mahupun dunia.

Atlit Terengganu di sukan SEA mewakili acara bola lisut, kenu, silat, basikal, sepak takraw, judo, olahraga, bola sepak, memanah dan lawang pedang.

Sebagai menghargai pengorbanan dan kejayaan membawa nama negeri ke persada dunia, kerajaan negeri memberi sumbangan kepada atlit berkenaan sebanyak RM1,000 seorang.

PMR terbaik semua aspek

Oleh: Aida Abd Rahman

Keputusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) seluruh Terengganu bukan hanya dihasilkn melalui prestasi Gred Purata Negeri (GPN) yang meningkat, malah semua A dan minimum D turut bertambah.



GPN meningkat 2.57 berbanding 2.58 pada tahun lalu, manakala 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Selain itu, 15,127 atau 69.04 peratus calon sekolah bantuan penuh kerajaan lulus semua mata pelajaran (minimum D) berbanding 15,034 calon (67.23 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan seramai 93 calon.



Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata pencapaian memberangsangkan dalam semua aspek PMR merupakan hasil usaha untuk melestarikan pendidikan terbilang di negeri ini.

“Ia memberi petunjuk kepada peluasan dan keberkesanan pelaksanaan pendidikan untuk semua dan amalan dasar memberi peluang pendidikan yang sama rata untuk semua lapisan masyarakat, seiring dan sejajar dengan gagasan `1Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’,” katanya.



Selain itu, katanya Terengganu beraya melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi akademik untuk memenuhi agenda dan misi nasional serta Wawasan 2020.
Beliau berkata, kecemerlangan itu slerai dengan usaha memacu kejayaan terutama dalam pendidikan masa depan selaras dengan kehendak Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).






26 December 2011

Penerima teruja pilih pakaian sekolah

Oleh: Suriati Ali

Tiga pasangan kembar seiras Siti Nur Fatihah, Siti Nur Atikah dan Siti Nur Hidayah , 12, gembira kerana diberi peluang memilih sendiri pakaian sekolah di Pasaraya Giant Bandar Baru Kijal, Kemaman, hari ini.



Mereka bertiga merupakan antara 240 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Kemaman terpilih untuk menerima baucer pakaian sekolah berjumlah RM100 dari Pemuda Umno Bahagian Kemaman.

Siti Nur Hidayah berkata, dia bersama dua beradik kembar dan seorang lagi abangnya cukup terharu di atas pemberian baucer itu kerana dapat meringankan beban ibu yang hanya bekerja sebagai tukang sapu.

“Kami adik beradik anak yatim dan orang susah, jika tiada sumbangan seumpama ini, sudah tentu nanti tidak dapat untuk bergilir pakaian dalam tempoh seminggu.

“Ibu sentiasa mengajar kami erti berjimat cermat dengan hanya membeli barangan penting saja termasuk mengehadkan hanya seorang satu pakaian sekolah dalam tempoh setahun,” katanya ketika di temui dalam program Pengagihan Baucer Pakaian Sekolah di pasar raya itu.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang hadir di majlis itu turut meluangkan masa memilih kelengkapan sekolah yang diperlukan penerima.

Seorang ibu tunggal, Norhasiah Mustapa, 35, berkata dia tidak akan melupakan jasa pihak penganjur kerana sudi memilih anaknya, Mohd Shah Izwan Iznur, 10, untuk menerima baucer yang cukup berharga itu.

“Baucer RM100 ini sangat besar ertinya kerana wang yang diperuntukkan membeli pakaian sekolah anak ketiga itu boleh membeli pelbagai barangan lain.

“Saya cukup terharu melihat gelagat anak dan penerima lain kerana diberi peluang untuk memilih sendiri kelengkapan sekolah yang diinginkan,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan berasal dari Felda Nerang 1.


"Jangan cuba gigit tangan yang menyuap makanan"

Oleh; Esah Abdullah

Untuk membangunkan sesebuah negara perlu mengambil masa yang lama antara 50 hingga 60 tahun tetapi untuk memusnahkannya hanya memerlukan beberapa minit sahaja.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Rosol Wahid berkata, secara sedar atau tidak ada pihak cuba memusnahkan keharmonian yang wujud di negara ini dengan menyebarkan dakyah menghasut rakyat membenci kerajaan.

“Saya terkilan dan sedih bila ada pihak cuba gigit tangan yang menyuap makanan ke mulut mereka,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Koperasi Belia Negeri Terengganu (Kobenet) kali ke-16 di Wisma Seri Amar Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kobenet, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman.

Katanya, kerajaan telah beri macam-macam bantuan dan sumbangan dalam usaha memastikan rakyat terus dapat menikmati kehidupan yang selesa.

“Sikap yang suka mencari kesalahan kerajaan semata-mata untuk meraih undi dalam pilihanraya tidak menunjukkan mereka golongan yang dituntut dalam Islam, sambil berharap budaya ini tidak menular dikalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, ambil iktibar peristiwa yang berlaku terhadap negara Libya dan Mesir yang tidak ada kesudahannya, rakyat menjadi mangsa kumpulan yang berkepentingan.

Dato’ Haji Rosol turut menyatakan, kerajaan menyediakan geran perniagaan sehingga RM10,000 dan semua koperasi layak memohon untuk mendapatkan dana berkenaan.

Beliau seterusnya menyarankan Kobenet terus pro aktif serta merebut peluang mencari keuntungan berganda supaya dapat mengagihkan labanya kepada ahli.





YPKT tambah peruntukan PJD

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertambahan peruntukan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjumlah RM8 juta kepada peserta pinjaman modal Program Jaya Diri (PJD) berbanding peruntukan tahunan RM4 juta sebelum ini dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai kumpulan sasar itu.

Pengarahnya, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa (gambar atas kiri) berkata, setiap tahun kerajaan negeri menyediakan RM4 juta bagi menjana program itu, bagaimanapun jumlah itu ditambah bagi memberi kemudahan kepada peserta di masa depan.

Katanya, pihaknya tidak berdepan dengan masalah dalam aspek bayaran balik pinjaman berikutan setiap peserta membayarnya jumlah pinjaman mengikut waktu serta masa yang ditetapkan.

“Kami yakin kerajaan negeri bersedia menambah peruntukan sekali ganda daripada jumlah yang ditetapkan sbelum ini.

“Berdasarkan rekod bayaran balik peserta juga membolehkan YPKT memberikan mereka lebih peruntukan iaitu, RM4.4 juta bagi tahun ini. Malah, PJD juga dibuka kepada mereka yantg berpendapatan RM3,000 ke bawah berbanding RM2,500 sebelum ini,” katanya.


Beliau berkata, golongan belia juga boleh mengambil peluang menyertai PJD bagi menceburi diri dalam bidang perniagaan dan program itu tidak terhad kepada golongan wanita sahaja.

Pada masa yang sama, Encik Mohd Shafaruddin juga menasihati peserta supaya memanfaatkan kemudahan pinjaman itu sebaik mungkin bagi memajukan diri serta keluarga dan tidak sesekali menyalahgunakannya untuk tujuan lain.



Taekwondo Terengganu muncul juara keseluruhan

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Taekwondo Teguh Terengganu (KTTT) muncul juara keseluruhan kategori 10 hingga 13 tahun (perempuan) dalam Kejohanan Taekwondo antara Kelab yang berlangsung di Stadium Badminton, Cheras , Kuala Lumpur minggu lalu.

Ketua jurulatihnya, Encik Mohd. Salihin Abdullah berkata, pencapaian yang direkodkan dalam pertandingan kali ini di luar jangkaan di mana kesemua atlet yang mengambil bahagian menunjukkan kesungguhan jitu.

Katanya, KTTT bejaya meraih tiga pingat emas melalui atlet Raros Kamilah Rasit dan Nur Alwani Nabilah Mansor (kategori 10-13 tahun) dan Nor Afifah Mohd Nor (kategori welter 62-68 kilogram) di samping satu perak dan lima gangsa.

“ini adalah pencapaian terbaik kita memandangkan jumah penyertaan atlet KTTT seramai 18 orang sahaja berbanding kelab-kelab lain seluruh negara berjumlah 1,300 orang,” katanya.

Menurutnya, kelab berbangga dengan prestasi keseluruhan atlet yang memperlihatkan kesungguhan dan peningkatan potensi diri yang tinggi.

“Kita harap semua atlet mampu mengekalkan semangat dan kesungguhan yang ada dalam diri masing-masing serta menjadi atlet yang disegani dalam sukan mempertahankan diri pada masa akan datang,” katanya.




Adun Kuala Berang sampai bantuan banjir

YB Haji Mohd Zawawi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu. - Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

Oleh: Mastura Jamaluddin

Seramai 165 orang mangsa banjir dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kuala Berang, Ajil dan Telemong menerima bantuan RM500 dari ADUN Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu. baru-baru ini.

“Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang begitu peka terhadap permasalahan rakyat, lebih-lebih lagi mangsa banjir.

“Dengan wang RM500 yang diberikan ini, kita berharap ianya dapat meringankan beban dan perasaan dukacita mangsa banjir terhadap musibah yang berlaku.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua Pengerusi JKKK serta ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk kampong dalam meringankan permasalahan mereka, ” kata YB Haji Mohd Zawawi sewaktu berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Kepada Mangsa Banjir 2011 Daerah Hulu Terengganu.

“Kerajaan sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat dan sebagai ADUN Kuala Berang contohnya, saya telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di kawasan saya.

“Dan saya bersyukur apabila satu takungan banjir yang melibatkan kos RM5 juta akan di bina untuk mengatasi masalah ini.” katanya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Hulu Terengganu,wakil Majlis Keselamatan Negara,pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat,Jurutera Daerah Hulu Terengganu ,ketua-ketua jabatan serta penerima-penerima bantuan.


Calon khas nikmati peluang sama rata

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi peluang yang sama kepada Calon Berkeperluan Khas (CBK) untuk menikmati sesi pembelajaran dan peperiksaan sepertimana calon normal yang lain.

Malah, golongan itu juga mendapat pengiktirafan dengan adanya kemudahan pentaksiran yang disediakan jabatan pelajaran bagi memenuhi keperluan mereka yang serba kekurangan.

Pada tahun ini, seramai 103 CBK menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di 31 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

“Daripada jumlah calon yang dinyatakan, terdapat seorang calon mendapat semua A(9A), seorang mendapat 4A 2B 2C dan seorang mendapat 7A 1B,” kata Timbalan Pengarah JPNT, Encik Hashim Mohd Zin, ketika mengumumkan peperiksaan itu di JPNT, baru-baru ini.

Calon berkenaan, Muhammad Danial Zainuddin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek mengalami autisme (9A);, Mohamad Aliff Rozahilmie Md Rasid SMK Binjai , Kemaman cacat anggota (7A 1B) dan Mohamad Fazri Hafizi Mohd SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu mengalami rabun dan memperolehi 4A 2B 2C.

Katanya, pada masa kini, kemudahan disediakan seperti kertas soalan Braille untuk calon cacat penglihatan, kertas soalan moderasi untuk calon cacat pendengaran dan kertas soalan cetakan besar untuk calon rabun.

“Kekurangan yang ada juga menyebabkan mereka diberikan masa lebih lama bagi menjawab soalan peperiksaan berbanding calon normal,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.