Halaman

23 April 2012

Bina 6,737 unit RMM sejak 2008

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri telah membina 6,737 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negeri dengan melibatkan kos RM659.73 juta sejak Program Perumahan Rakyat diperkenalkan awal 2008 lalu.

Projek sama sedang diteruskan di mana sebanyak 2,277 unit RMM yang membabitkan peruntukan kira-kira RM80 juta masih dalam pembinaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Kerajaan negeri akan berusaha meneruskan projek RMM itu supaya sasaran 10,000 unit RMM dalam lima tahun tercapai sekaligus mampu memenuhi impian penduduk yang belum memiliki rumah.

Katanya, kemudahan perumahan juga diperlukan di kawasan bandar terutama kepada mereka yang terlibat dengan pengambilan balik tanah untuk tujuan penyusunan semula kawasan penempatan dalam bandar .

“Pada tahun lepas, kita telah menyerahkan rumah-rumah Projek Ladang Gemilang 1 dan Gemilang 11 kepada penduduk yang terlibat.

“Manakala Projek Pembangunan Ladang Tok Pelam setinggi 30 tingkat dan membabitkan 408 unit rumah sedang dalam pembinaan,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat di bawah agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, kerajaan sangat peka kepada soal perumahan dengan meletakkannya sebagai salah satu agenda utama dalam memastikan kesejahteraan hidup.


SMKA Nurul Itifaq Besut johan pertandingan bahas

Oleh: Mohammad Ishak

SMKA Nurul Itifaq johan pertandingan bahas Oleh: Mohammad Ishak Pasukan bahas bahasa Melayu ala parlimen SMKA Nurul Ittifaq, yang mewakili daerah Besut telah berjaya menjadi johan peringkat negeri Terengganu bagi tahun 2012 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana,Setiu.



SMK Nurul Itifaq yang diwakili Muhammad Syafiq bin Azman (17), Nur Akmal Syazwani bt. Khir (16), Nor Aina Mardiyah bt. Che Deraman (17), Wan Nor Aina Nasibah bt. Wan Abdul Rahim (16), Wan Nor Hanifah Hidayah bt Wan Kamaruddin (16) dan Nor Hidayah bt Mat Yaacb (15) telah berjaya menewaskan pasukan bahas SM Imtiaz, Dungun.

Dalam pertandingan akhir, pasukan bahas SMKA Nurul Ittifaq berada di pihak kerajaan, manakala SM Imtiaz, Dungun di barisan pembangkang.

Tajuk pertandingan akhir ialah, ‘ Peralatan Ketenteraan Termoden Menjamin Keselamatan Negara’. Nur Akmal Syazwani bt. Khir telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik pertandingan akhir .

Pada peringkat separuh akhir, pasukan bahas SMKA Nurul Ittifaq yang berperanan sebagai pihak kerajaan telah berjaya mengalahkan pasukan bahas SMK Tengku Ibrahim, Setiu. Tajuk di peringkat separuh akhir ialah, ’Malaysia Masih Memerlukan Pekerja Asing Untuk Meneruskan Agenda Pembangunan Negara’.

Bagi peringkat separuh akhir, Muhammad Syafiq bin Azman telah terpilih sebagai pembahas terbaik. Ketua jurulatih bahas, Tn. Hj. Mohd. Nordin bin Zahid, kejayaan ini cukup manis setelah kalah di peringkat akhir pada tahun lepas kepada pasukan bahas SMK Chukai, Kemaman.

Katanya, kali ini, pasukan bahas SMK Chukai, Kemaman kalah di peringkat separuh akhir kepada SM Imtiaz, Dungun.

 Menurutnyaa, saingan tahun ini cukup sengit dengan kehebatan para peserta yang petah mengutarakan hujah dan bidasan yang boleh meyakini pihak juri.

Katanya,peserta dari setiap sekolah dilihat telah membuat persediaan rapi dan berjaya menggamatkan dewan, seolah-olah berada di sidang Dewan Rakyat. Kejayaan ini membolehkan SMKA Nurul Ittifaq, Besut mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Johor Bahru, Johor pada 2 hingga 5 Mei nanti.

Olimpian anak Terengganu dapat duit poket RM10,000 seorang

Oleh: Aida Abd Rahman

Lima atlet Terengganu yang bakal menggalas cabaran di Olimpik London 2012 menerima `duit poket’ RM10,000 seorang dari kerajaan negeri sebagai penghargaan atas kejayaan menempah tiket untuk bersaing di kejohanan berprestij dunia itu.

 Selain habuan itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membiayai ibu atau bapa kesemua atlet berkenaan bagi mengiringi anak masing-masing sepanjang temasya itu nanti.

 Atlet berkenaan, masing-masing dua dari acara berbasikal trek, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa dan dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nur Shafiqah Hashim serta seorang atlet paralimpik, Muhamad Azwar Bakar (ping pong).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata insentif itu sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian yang dilakarkan kesemua atlet Terengganu itu, selain mengharapkan mereka mampu mengukir kejayaan gemilang di pentas dunia.

 “Ini merupakan penghargaan Kerajaan Terengganu tehadap anak negeri ini yang berjaya dengan cemerlang mewakili negara ke Olimpik London 2012. Duit poket RM10,000 seorang ini merupakan nilai tambah..jumlah ini tidak banyak sebenarnya.

 “Tetapi kita berharap insentif ini mampu memberi dorongan kepada anak Terengganu supaya terus cemerlang dan saya berjanji sekiranya mereka memenangi apa jua pingat (di London), selain anugerah oleh Majlis Sukan Negara, kerajaan negeri juga akan memberikan ganjaran setimpal dengan pingat yang bakal mereka perolehi yang tidak perlu saya umumkan sekarang,” katanya di sidang akhbar sempena  Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, teknologi dan Sumber manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin.

 Menteri Besar ketika ditanya apa bentuk ganjaran yang bakal menanti atlet berkenaan, beliau enggan mengulas lanjut, bagaimanapun berjanji akan mempertimbangkan sebarang bentuk ganjaran itu sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan atlet negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Terengganu turut bersedia menaikkan insentif kemenangan kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang jika Terengganu mampu mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut dalam temasya sukan yang bermula pada 7 hingga 16 Julai ini.

Pada Sukma Ke-14 Kuala Lumpur tahun lalu, Terengganu dinobatkan juara keseluruhan dan kali ketiga berturut-turut apabila mengumpul 30 emas, sekaligus mengetepikan pencabar terdekat Selangor yang memenangi 26 emas, diikuti Johor 21 emas.

Sebelum ini, setiap pemenang pingat emas menerima RM5,000, manakala pemenang pingat perak RM3,000, diikuti pemenang pingat gangsa menerima RM2,000 seorang.







22 April 2012

BOTR : Peniaga warung bawa pulang RM8,000 jinakkan Siakap, Belida

Oleh FAUZI MOHD

Pertandingan memancing, Boat On The Road (BOTR) yang berlansung selama tiga hari di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu melabuhkan tirainya hari ini.



Program kali ketiga anjuran Berita Harian dan TV3 dengan kerjasama Kerajaan Terengganu itu berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta dengan dua kategori pertandingan iaitu Kategori Casting (kumpulan) dan Kategori Boat House (individu).

Mencuri perhatian peserta kali ini, tawaran wang tunai RM20,000 daripada kerajaan negeri sebagai ganjaran tangkapan ikan Arapaima Gigas serta hadiah wang tunai keseluruhan RM75,300.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan kaki pancing di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu termasuklah Sungai Leban, Sungai Lasir dan Sungai Merah yang mana peserta akan bermalam di rumah bot sehingga tamat pertandingan pada pukul 12 tengah hari.

Jumaat lalu, 20 kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang sebahagian dilengkapi bot berlepas dari Sri Pentas TV3 menuju ke Tasir Kenyir.

Dalam pertandingan itu, peniaga warung dari Kuala Terengganu, Shammunaha Bakar, 37 tahun, diumumkan sebagai johan kategori individu setelah berjaya menjinakkan Siakap seberat 4.45 kilogram (kg) dan Belida 1.82 kg.



Shammunaha meraih wang tunai RM8,000 serta hadiah sumbangan Nestle, Boat Explorer Sdn Bhd, Universal Fitness & Leisure, TCE Tackle Sport Sdn Bhd, Ion Adventure Sdn Bhd dan Sar Technologies Sdn Bhd.

Manakala kategori kumpulan, Alucast I yang diwakili Azuan Man, 41 dan Hamzah Mat Rani, 45 dari Kuala Lumpur diumumkan pemenang dengan meraih wang tunai RM15,000 serta hadiah daripada penaja.

Mereka menarik perhatian juri dengan Siakap seberat 10.65 kg Sebarau 0.55 kg.Hadiah kepada para pemenang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said dan Pengarah Eksekutif Media Prima, Dato’ Ahmad A. Talib.



Anak pembangkang sertai demonstrasi haram

Oleh: Kamarudin Mat Akib

 Anak pemimpin kanan parti pembangkang turut menyertai demostrasi haram di perkarangan Wisma Darul Iman, baru-baru ini, yang kononnya bertujuan mendesak Kerajaan Terengganu menarik balik pinjaman terhadap sembilan penuntut yang sedang mengikuti pengajian di Mesir kerana melanggar perjanjian dengan menyertai perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir tahun lalu.

Penglibatan anak pemimpin tersebut secara terang menunjukkan pihak pembangkang menjadi dalang kepada demonstrasi itu yang menganggu ketenteraman awam dan bertentangan dengan Perlembagaan negara.

 Inilah kebiadapan jelas dan terang-terang yang dilakukan oleh pembangkang – menghasut pelajar mengadakan demonstrai bagi melahirkan rasa tidak puas hati walaupun amat jelas pelajar terlibat melakukan kesalahan sehingga kerajaan menarik balik pinjaman mereka.

Mereka sendiri tidak ‘turun padang’, tetapi membiarkan anak masing-masing mengetuai demonstrasi bagi memberi gambaran buruk rakyat terhadap kerajaan.
 Jika diteliti memang wajar pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Mesir dikenakan tindakan tegas ditarik balik pinjaman pengajian kerana mereka melakukan tindakan yang bertentangan dengan perjanjian sewaktu pinjaman tersebut ditawarkan kepada mereka.
 Di mana wajarnya apabila pemimpin pembangkang meminta mahasiswa bangkit disebabkan `Menteri Besar pengkhianat’ kerana mengambil tindakan itu,

sedangkan kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan dan peluang kepada pelajar. Dalam isu ini, pengkhianat adalah Pas kerana mempengaruhi pelajar supaya menyertai demonstrasi Bersih dan perhimpunan haram membantah tindakan terhadap pelajar tersebut di Wisma Darul Iman.
 Apa yang menyedihkan pemimpin pembangkang menggunakan pelajar untuk mengadakan demonstrasi dan mereka tidak membela nasib mereka bila pelajar berkenaan dikenakan tindakan akibat perbuatan itu.

 Kini pembangkang turut menggunakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta pula sebagai kuda tunggangan dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 Golongan pelajar perlu berwaspada dengan keadaan ini dan mereka tidak wajar membiarkan diri diperkudakan oleh parti pembangkang bagi mencapai kepentingan politik mereka.

 

Belanja RM340 setahun untuk pendidikan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menganggap masih ada agenda yang belum selesai walaupun setia berbelanja RM340 juta setahun bagi kesinambungan dan memperkasakan bidang pendidikan di Terengganu.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata kerajaan sanggup melakukan apa saja semata-mata mahu melihat anak didik Terengganu terus cemerlang mencipta nama di serata negeri dan negara.

“Melalui peruntukan itu, kita laksanakan pelbagai agenda termasuk mengeluarkan belanja untuk program e-Book yang berjumlah kira-kira hampir RM25 juta dan kelas tambahan RM3.7 juta dan pelbagai program lain.

“Berdasarkan apa yang dilaksanakan ini, tidak wajar bagi pihak pembangkang menuduh dan memfitnah kerajaan dengan menyatakan anak Terengganu terabai dalam pendidikan kerana pemimpinnya lebih sayangnya binatang di zoo,” katanya.

Katanya, demi politik mereka sanggup menabur fitnah walaupun mereka mengetahui apa yang dilaksanakan kerajaan adalah untuk kepentingan bersama.

“Pihak kami serius membangunkan bidang pendidikan dengan memberi tambah nilai kepada anak-anak negeri ini semata-mata untuk melihat mereka cemerlang dan terbilang.

“Tidak ada politik dalam isu pelajaran, semua dapat sama rata tidak kita anak orang UMNO atau orang Pas,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperkasakan bidang pendidikan dan melalui pelbagai program kesedaran patriotik dan kesetiaan kepada kerajaan memerintah dapat dipertingkatkan.

“Oleh itu kerajaan sedia ada perlu dipertahan dan dikekalkan untuk memastikan pembangunan pendidikan terus diperkasa dan pelbagai kemudahan pembelajaran dapat disalurkan kepada anak-anak kita,” katanya.




13,119 KIR `terkeluar' dari kemiskinan

Oleh: Aida Abd Rahman

 Seramai 13,119 Ketua Isi Rumah (KIR) seluruh Terengganu `terkeluar’ atau berjaya keluar daripada paras kemiskinan daripada keseluruhan 43,344 KIR dalam senarai Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) di seluruh Terengganu sehingga 3 April lalu.

 Daripada jumlah itu, KIR yang dikategorikan miskin seramai 8,689 orang, miskin tegar 1,099 orang dan mudah miskin 20,437 orang.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Encik Ahmad Sharom Yasin berkata, pihaknya menjalankan proses pemutihan dan kemaskini untuk menentukan pergerakan isi rumah yang melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) per kapita yang bergerak kepada kategori lebih baik atau terkeluar.

 “Data bagi mereka yang melepasi PGK per kapita kepada kategori terkeluar masih disimpan dalam e-Kasih.

“Usaha pemutihan ini juga dapat memastikan bantuan dan projek yang disediakan kerajaan hanya disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Kuala Terengganu mencatat senarai tertinggi dalam e-Kasih iaitu 15,273 orang yang melibatkan 3,776 miskin, 455 orang miskin tegar, 6,959 orang mudah miskin dan selebihnya 4,083 orang (terkeluar).

 Manakala, Besut mencatat KIR kedua tertinggi dengan jumlah 8,015 orang, masing-masing 1,543 orang (miskin), 295 orang (miskin tegar), 3,727 orang (mudah miskin) dan 2,450 orang terkeluar.

 Katanya, Marang adalah daerah ketiga, iaitu daripada keseluruhan 5,647 orang dalam senarai e-Kasih, 897 orang (miskin), 99 orang (miskin tegar), 1,830 orang (mudah miskin) dan 1,604 orang (terkeluar).

Encik Ahmad Sharom berkata, daerah lain adalah Setiu (4,151 orang), Hulu Terengganu (3,512 orang), Kemaman (3,421 orang) dan 3,325 orang di Dungun.

 “Data yang diaplikasikan bermula 2008 ini menjadi sistem pengkalan data sebagai rujukan setiap agensi kerajaan terutamanya agensi persekutuan bagi tujuan penyaluran bantuan kemiskinan yang melibatkan dana persekutuan, selain membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan .

“Bermula tahun lalu semua penyaluran bantuan kemiskinan yang melibatkan dana persekutuan menggunakan senarai daftar KIR e-Kasih ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jika terdapat nama cadangan yang didapati layak namun masih belum tersenarai, `Jawatankuasa Focus Group Kemiskinan ‘ peringkat daerah dan negeri boleh mencadangkan KIR itu selepas pertimbangan jawatankuasa.

 Manakala Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK 2009) setiap bulan yang sebagaimana ketetapan yang dibuat `Jawatankuasa Delivery Task Force (DTF)’ berdasarkan `Low Income Household’ (LIH) pada 10 Januari lalu, bagi kategori miskin bagi KIR yang berpendapatan bulanan isi rumah RM760 (semenanjung Malaysia), RM770 (bandar) dan RM740 (luar bandar).

Manakala pendapatan per kapita RM190 (semenanjung Malaysia), RM200 (bandar) dan RM170 untuk luar bandar.

 “Bagi miskin tegar setiap KIR berpendapatan bulanan RM460 (semenanjung) dan RM450 bandar serta RM490 untuk luar bandar, berbanding pendapatan per kapita RM110 (Semenanjung Malaysia), RM120 (bandar) dan luar bandar RM110,” katanya.

 

6,000 naskah al-Quran diagih ke masjid

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri mengagihkan 6,000 naskah al-Quran kepada 492 buah masjid seluruh negeri dalam usaha mengimarahkan masjid dan memperkasakan syiar Islam di negeri ini.



Menteri Besar, Dato; Seri Haji Ahmad Said berkata, tugas dan tanggung jawab jawatankuasa masjid amat besar untuk mendekatkan kariah masing-masing dengan rumah Allah itu.



“Jawatankuasa masjid perlu faham hala tuju kerajaan dan maklumat yang disampaikan biarlah berasaskan fakta yang betul serta elak daripada menyebar khabar angin dan fitnah,” katanya pada majlis perjumpaan bersama jawatankuasa masjid di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie, Dato’ Haji ismail Yahya; Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd Rozali Salleh dan Pengarah Pengurusan Imtiaz, Ustaz Ahmad Kamal Abdullah.Menteri Besar berkata, sifat suka ‘adu-domba’ sesama umat Islam menggambarkan kerosakan akhlak individu dan ini amat ditegah dalam Islam.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Haji Ahmad akan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan kanan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan jurulatihnya Selasa ini untuk berbincang mengenai kemerosotan permainan sukan itu kebelakangan ini .

“Perkara pokok adalah untuk berbincang serta menyatakan dari sudut pandangan saya mengenai corak permainan pemain kita,” katanya bila diminta respon terhadap kekalahan Terengganu di tangan pasukan berstatus kelas Sime Darby 2-1 semalam.

Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira, corak pengurusan, kejurulatihan dan juga pemain yang akan menyokong kepada kejayaan kepada satu-satu pasukan.

“Kita nampak ada ruang untuk perbetulkan terutama kepincangan dan secara peribadi terdapat pemain yang tidak begitu kosisten untuk memberi kemenangan kepada pasukan dan ini diketahui di kalangan pemain-pemain lain,” katanya.

Katanya, bukan saja peminat, saya juga begitu kecewa melihat cara pemain kita bermain tapi kita masih ada ruang untuk perbaiki keadaan dan saya harap kita akan bangkit dalam perlawanan kedua nanti sambil berharap jurulatih dan pemain membuat perubahan pada perlawanan akan datang jika mahu menang dan bergelar juara.



Pemuda Umno perhebatkan gerakan

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda Umno negeri ini akan terus memperhebatkan gerakan dan strategi untuk mendekati golongan muda dalam usaha meyakinkan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju negara.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata untuk tujuan itu, program serampang dua mata yang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya akan terus dipergiatkan lagi setelah ianya menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

“Pelbagai program seperti seperti kelab permotoran di setiap Parlimen, program kebajikan, kesukanan serta lain-lain program yang menepati cita rasa golongan muda akan diteliti sebaik mungkin.

“Pendekatan itu penting dalam usaha mendekati anak-anak muda yang merupakan penentu kepada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Katanya, pihaknya sedar golongan ini adalah faktor penentu kepada PRU dan kita juga ambil maklum bukan sahaja BN yang akan cuba mendekati golongan tersebut, malah kalangan parti-parti pembangkang.

“Sebab itulah saya tekankan tadi, pentingnya program yang menepati citarasa mereka dan bukannya program syok sendiri. Perkara ini turut diingatkan oleh pucuk pimpinan dan ianya seiring dengan prinsip Pemuda Umno itu sendiri

“Maknanya kita bukan sahaja memberi tumpuan terhadap ahli kita, tetapi kumpulan anak-anak muda yang lain,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya yakin anak-anak muda di Terengganu tetap bersama kita berdasarkan kepada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Buktinya Pemuda Umno berjaya mendaftarkan hampir 90,000 pengundi baru di kalangan belia di seluruh negeri ini.

“Jumlah pendaftaran yang dikemaskini pada akhir tahun lalu itu, merupakan satu angka tertinggi yang pernah dicatatkan oleh Pemuda Umno Terengganu,” katanya.



Dewan gimnastik RM1j di Bukit Payong

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal memiliki sebuah dewan gimnastik berharga RM1 juta di Kampung Pak Su Man, Bukit Payong yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSN), Haji Zainal Abidin Hussin, berkata dewan itu merupakan kemudahan prasarana terbaru yang disediakan kerajaan bagi memberi manfaat kepada atlet gimnastik di negeri ini.

“Kemudahan itu boleh dimanfaatkan oleh atlet yang kebanyakannya tinggal di sekitar Kuala Terengganu dan Marang untuk berlatih.

"Kita harap pembangunan sukan gimnastik di Terengganu akan lebih berkembang dan maju setanding dengan negeri yang lain pada masa depan," katanya.

Haji Zainal Abidin berkata, pembinaan dewan itu hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memberi tumpuan kepada sukan yang kurang popular seperti gimnastik supaya sukan itu lebih berjaya di negeri ini pada masa akan datang.