Halaman

23 August 2012

Penyu ceria, Kijang berduka

Oleh: Aida Abd Rahman
Skuad Peteh berjaya membenam musuh tradisi, Kelantan 2-0 dalam persaingan pembuka tirai kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Tanpa menggunakan khidmat pemain pinjaman, skuad kendalian Peter Butler membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi tunggak import, Francis Forkey Doe.

Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, skuad Kijang menggandakan asakan, namun peluang yang terhidang gagal diterjemahkan penyerangnya, Nor Shahrul Idlan Talaha apabila penjaga gol Sharbinee Alawee lebih pantas menerjah bagi menyelamatkan gawang pada minit ke-31.

Skuad Kelantan turut terlepas beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan, sebelum Terengganu cemerlang menjarakkan jurang gol hasil tolakan Ismail Faruqi seminit sebelum perlawanan berakhir.

Jaringan kedua diperolehi akibat kekalutan di depan gol selepas Forkey bijak menggelecek bola untuk menumpaskan barisan pertahanan Kelantan sebelum Ismail Faruqi menghadiahkan kemenangan bergaya membuat pelawat pulang berduka.

Sementara pasukan junior, T-Team terpaksa berputih mata apabila tunduk di tangan Pahang dengan keputusan 3-2 di Stadium Darul Makmur.




SQ2012 perlu penajaan jayakan seminar

Oleh: Aida Abd Rahman

Penganjur Seminar Antarabangsa al-Quran Dalam Masyarakat Kontemporari 2012 (SQ2012) mempelawa badan-badan korporat dan orang perseorangan membantu menghulurkan sumbangan bagi menjayakan seminar itu yang akan berlangsung di negeri ini pada 1 Disember ini.

Pengerusinya Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata SQ2012 yang disertai antaranya The World Islamic Sciences and Education University (Wise)dari Jordan dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), masih kekurangan dana bagi menampung perbelanjaan program itu.

"Kami memang sudah menerima sumbangan daripada beberapa pihak setakat ini,namun ia belum mencukupi kerana untuk menjayakan seminar dwitahunan peringkat antarabangsa itu, ia memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM120,000,"katanya.

SQ2012 anjuran Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan berlangsung dua hari dan dijangka disertai 400 peserta.

Beliau berkata antara objektif seminar ialah membincangkan isu kontemporari menurut perspektif Al-Quran sebagai bukti ketinggian fungsi dan kerelevenan al-Quran sebagai rujukan autoritatif dan autentik dalam segenap aspek kehidupan manusia.





Ucapan selamat Hari Raya

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat

Assalamualaikum, salam lebaran dan salam Merdeka buat rakyat seluruh Terengganu dan juga para belia.

Diharapkan kedatangan Syawal pada kali ini akan memberi seribu rahmat dan makna kepada semua umat Islam.

Kepada perantau, kami sekeluarga mengucapkan selamat pulang dan berhati-hati dijalan raya ketika balik menjalankan tugas di negeri orang.





Lima Atlit anak jati Setiu yang berjaya di Sukma diraikan.



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai lima Atlit anak jati daerah Setiu yang menempah kejayaan dengan memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang baru-baru ini diraikan dalam satu majlis khas semalam.

Mereka yang diraikan itu termasuk atlit dalam sukan sepak takraw,olahraga dan perahu layar menjadi tetamu khas sempena majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri,Abd Halim Jusoh.

Majlis yang diadakan di perkarangan Pusat Aktiviti Adun di Kampung Penarik itu turut dihadiri lebih 8,000 pengunjung yang ingin berhari raya dengan ADUN berkenaan.

Majlis yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran pelakon dan pelawak tanah air,Sathiya dan Pak Da serta penyampai Terengganu FM,Kak Su yang mengamatkan suasana.

Kehadiran ramai tetamu termasuk pelancong asing memberi semangat kepada Abd Halim dan isteri Rashidah Mokhtar yang sanggup melayani ribuan pengunjung dari awal pagi hingga petang.

Menariknya majlis itu berkonsepkan sambutan 1Malaysia kerana ia disertai rakyat pelbagai kaum dari daerah Setiu.

“Saya amat gembira dengan sambutan yang agak luar biasa tahun ini dan membuktikan penduduk daerah Setiu tetap bersama pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir terutama penduduk daerah Setiu kerana memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan majlis sambutan Aidilfitri tahun ini.

22 August 2012

100 Kereta berhias menjadi tarikan Merdeka Raya Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Perarakkan kereta berhias adalah antara acara yang dijangka menarik perhatian orang ramai sempena sambutan Merdeka Raya peringkat Daerah Besut yang akan berlangsung di Pantai Air Tawar, Besut pada 8 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program,Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana mood Hari Raya itu mampu menarik ramai penduduk tempatan menyaksikan program itu.

Dr Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, sehingga ini sudah 100 kenderaan mendaftar untuk menyertai perarakan kereta berhias mebabitkan jabatan kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah itu.

Katanya, kereta berhias itu akan bergerak dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan menamatkan perarakan di tapak perhimpunan di Pantai Air Tawar.

Menurutnya, pihak penganjur menjangka lebih 20,000 penduduk daerah Besut akan berhimpunan sempena sambutan Kemerdekaan Ke 55 itu.

Selain itu,katanya, semua jabatan dan agensi kerajaan daerah itu akan mengadakan majlis terbuka Aidilfitri di kawasan tapak sambutan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke jabatan terbabit.

“Berikutan itu semua jabatan kerajaan di daerah ini tidak akan mengadakan majlis jamuan hari raya di pejabat masing-masing sebaliknya akan mengadakan majlis serentak dengan program sambutan kemerdekaan,” katanya

Beliau berkata, jika sambutan Semarak Merdeka pada September tahun lalu diadakan di Bandar Jertih,kaliini ia diadakan di lokasi berbeza iaitu di kawasan pusat pelancongan persisiran pantai.

Perantau nikmati kemudahan sebagaimana anak Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Anak Terengganu di perantauan berpeluang menikmati faedah yang sama sebagaimana rakyat Terengganu yang lain apabila kerajaan negeri bersedia menimbang permohonan mendapatkan pinjaman dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak mereka.

Peluang itu terbuka untuk anak kepada mana-mana anak Terengganu di perantauan yang mendaftar mengundi di Terengganu bermula sekarang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bersedia menimbang sebarang permohonan kepada mereka yang mendaftar sebagai pemilih di negeri ini supaya turut sama menikmati pelbagai kemudahan khususnya pinjaman dan juga biasiswa tajaan Kerajaan Terengganu.

“Apabila sudah mendaftar (pemilih) mereka pastinya dipertimbangkan untuk menikmati biasiswa atau kemudahan lain sebagaimana yang diterima anak Terengganu yang berada di sini.

“Usaha ini bukan sahaja mampu menggalakkan mereka mendaftar sebagai pemilih dan juga pulang mengundi ke negeri kelahiran apabila tiba masa mengundi nanti. (tanggungjawab mendaftar )bukan sahaja kali ini, tetapi juga pada masa akan datang,” kata beliau di sidang akhbar selepas Majlis Aidilfitri YAB Menteri Besar Bersama Perantau, di Permai Hotel, kelmarin (20 Ogos).

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Lembah Kelang (Pesat), Ir Nawawi Embong.

Menteri Besar berkata, anak Terengganu boleh mula mendaftar bermula sekarang dan mereka perlu pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bermula Pilihan Raya Umum ke-14 dan seterusnya nanti.



Pelita raya produk penting dalam TMT

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Pertandingan Pelita Raya menjadi salah satu program penting ketika menyambut Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan (2013).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh berkata, konsep pertandingan pelita raya tahun depan juga akan disesuaikan dengan sambutan TMT.

“Pertandingan ini bukan saja setakat menghidupkan tradisi orang terdahulu malah mampu menguji kreativiti penduduk tempatan yang merekacipta pelbagai mercu tanda yang terdapat di negara ini,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya 2012 di perkarangan kediaman Adun Tepoh hari ini (21 Ogos).

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang. Hadir sama To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.
Menurutnya, dengan menggunakan bahan terbuang kreativiti mereka cukup teserlah kerana ada yang membina menara Kuala Lumpur, , kubah masjid, kapal layar, astaka, penyu dan bangunan Kuala Lumpur City Centrer (KLCC)

Katanya, aktiviti yang dicetuskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Padang Hangus kira-kira 12 tahun lalu kini menjadi satu fenomena baru yang merebak ke beberapa kampung dalam Dun Tepoh.

“Kini sudah ada beberapa kampung di daerah lain di negeri ini mula mengadakan aktiviti pelita raya dan ia satu perkembangan yang membanggakan,” katanya.






52 cabutan bertuah pikat tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 52 hadiah cabutan bertuah menjadi acara penutup tirai yang menghangatkan lagi sambutan Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin (20 Ogos).

Acara yang pertama kali diperkenalkan itu bukan sahaja menyebabkan kira-kira 3,000 tetamu tidak berganjak sehingga berakhir program, malah mencuit hari pemimpin yang hadir dengan reaksi spontan pemenang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Mereka teruja mendapat hadiah menarik disediakan penganjur seperti televisyen, telefon bimbit, mesin basuh dan pelbagai tawaran voucer sumbangan anak syarikat kerajaan negeri.

Bukan sahaja bangsa Melayu, masyarakat Cina turut memeriahkan sambutan itu dan berpeluang memenangi cabutan bertuah berkenaan.

Seorang pemenang, Esah Abdullah, berkata dia sangat bernasib baik apabila namanya tiba-tiba diumumkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang cenderahati kenang-kenangan sempena majlis itu.

“Saya gembira kerana selepas beberapa tahun menyertai program ini, tahun ini bernasib baik daripada ribuan tetamu yang datang dan membawa pulang hadiah istimewa berupa barangan elektrik sebagai tanda kenangan,” katanya.

Keseronokan itu turut dikongsi seorang lagi tetamu, Nik Rosidi Megat Deraman, yang turut membawa peluang hadiah bertuah berupa periuk pelbagai guna di majlis itu.

“Alhamdulillah daripada ribuan tetamu, saya mendapat satu daripada 52 hadiah disediakan itu. Menarik dan teruja untuk menyertainya lagi,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Ir Nawawi Embong.






Ucapan selamat Hari Raya

Isteri Menteri Besar Terengganu yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud.
Salam lebaran, Salam merdeka dan Salam 1Terengganu.

Saya dan ahli semua ahli Serikandi mengucapkan selamat menyambut Syawal iaitu bulan kemenangan selepas sebulan berpuasa kepada rakyat Terengganu beragama Islam.

Kepada perantau, jangan lupa meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sahabat handai dan saudara sepanjang berada di negeri sendiri.






Ucapan selamat Hari Raya


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris.

Saya dan isteri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu yang beragama Islam, khususnya perantau.

Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa.

Disamping bergembira bersama keluarga, saya harap kita akan teruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kita, terutama sekali dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam.

Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat.