Halaman

17 April 2013

Dato’ Yahya dijangka mampu lawan Hadi

Oleh: Suriati Ali

 Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad dijangka menentang Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Marang mampu memberi kejutan seperti dilakukan Dato’ Haji ’Abdul Rahman yang memenangi kerusi Parlimen itu sebanyak dua kali iaitu pada pilihan raya 2004 dan 1986.

 Berdasarkan sejarah politik kawasan itu, tidak mustahil Dato’ Haji Yahya akan mengulangi sejarah manis BN pada PRU13 dengan memperoleh kemenangan selesa.

Kepercayaan pucuk pimpinan BN Pusat dan negeri merupakan sokongan moral yang amat kuat kepada beliau untuk menentang Presiden Pas itu.

Melihat senario Pas di kawasan itu, ia diakui semakin lemah oleh ramai pihak kerana Presiden Pas sendiri terpalit dengan beberapa isu sensitif, termasuk berkaitan Amanat Haji Hadi, Isu Kalimah Allah serta tindakan Pas bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidak ketinggalan, masalah moral ekoran pendedahan video yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaffa Ali.

 Oleh itu, rakyat di peringkat akar umbi, penyokong BN diseru memberi sokongan penuh kepada calon Parlimen Marang. Pencalonan semula, Alias Abdullah di kerusi N17 Alor Limbat dan tiga muka baru iaitu Zaidi Muda di N18 Bukit Payong; Nik Dir Nik Wan Ku (N19 Rhu Rendang); A. dan Latif Awang (N20 Pengkalan Berangan) dilihat mampu memberi peluang cerah kepada BN Marang untuk menyapu bersih kelima-lima kerusi.

 


PRU13 : Zubir tekad terus legasi Dato' Razali

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai individu yang rapat dengan Allahyarham Dato’ Razali Ismail, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong, 49, bertekad untuk meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu.

“Insya-Allah, saya yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat menguasai semula Parlimen Kuala Terengganu memandangkan kita semua percaya sokongan akan beralih arah demi memastikan arus pendidikan semasa harus didukung oleh kepimpinan yang lebih mantap, sebagaimana kesinambungan yang pernah dilaksanakan oleh Allahyarham Dato’ Razali Ismail.

“Saya berhasrat untuk menyambung legasi yang ditinggalkan oleh tokoh pemimpin hebat itu dalam memacu bidang pendidikan negara dan negeri , khususnya di Kuala Terengganu,” kata calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini, kepada Teganukita, semalam.

Haji Mohd Zubir yang berkhidmat sebagai Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) juga akan memastikan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya yang sedang pesat membangun di sudut fizikal dan prasarana, tidak ketinggalan dalam melahirkan sumber manusia dan modal insan berkualiti yang digembleng dalam arus pendidikan semasa.

Beliau juga mahu merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, sekaligus tidak menafikan peluang untuk anak muda lepasan sekolah menyambung pelajaran di universiti akibat kekangan sumber kewangan dan ekonomi.

Dalam pada itu, bakal calon lulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan Universiti Putra Malaysia itu akan memastikan tempoh berkempen dua minggu sebaik penamaan calon Sabtu ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi menemui seluruh rakyat di Kuala Terengganu dalam siri lawatan, ceramah dan juga aktiviti kemasyarakatan.

“Sepanjang kempen nanti sebagai calon mewakili parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara akan menerangkan secara terperinci dan tepat mengenai apa jua dasar, perjuangan dan setiap langkah kerajaan kepada semua rakyat yang ditemui kelak.

“Pada masa yang sama, saya juga tidak mahu menyentuh atau menceritakan perihal pihak lawan, kerana apa yang lebih utama rakyat kenal dan faham siapa yang layak dipilih untuk kesinambungan pembangunan hari ini,” katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Dato’ Razali meninggal dunia pada 28 November 2008 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland, Pahang ketika berumur 59 tahun. Allahyarham bertanding pada PRU11 dan menewaskan penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas).



SUK lancar buletin SUK Lening

Dato' Haji Mazlan Ngah bersama barisan kepimpinan melihat keluaran sulung buletin SUK Lening di majlis pelancaran di Wisma Darul Iman, pagi ini.
Oleh: Aida Abd Rahman

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) menerbitkan buletin SUK Lening bagi menyampaikan berita berkaitan aktiviti dan program jabatan itu sebagai medium perkongsian ilmu serta maklumat untuk manfaat semua lapisan masyarakat khususnya penjawat awam negeri.

Pelancaran buletin edisi pertama 2012 itu disempurnakan SUK Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di majlis perhimpunan bulanan kakitangan Wisma Darul Iman, pagi ini.


Penerbitan buletin secara dwitahunan di mana Dato’ Mazlan selaku penaung dan dibantu Ketua Editor, Puan Afnida Alwi (Ketua Penolong SUK (Korporat) serta kakitangan Bahagian Korporat SUK termasuk dengan ketua editor, Puan Afnida Alwi.

Dato’ Mazlan berkata, selaras dengan slogan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang akan menjadikan pentadbiran awam negeri yang cemerlang berteraskan profesionalisme, integriti dan berteknologi terkini demi mencapai matlamat sebagai `Terengganu Maju 2020’.

“Buletin ini juga mampu menjadi satu medium pelaksana dasar kerajaan yang cekap, berpengetahuan selain mengamalkan budaya mesra pelanggan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta daya saing negara.

“Apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan, semua penjawat awam harus berdepan dengan ledakan teknologi maklumat sebelum melangkah ke alaf baru yang memerlukan masing-masing melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan dalam pelbagai bidang ” katanya.


Barisan Nasional Besut pertaruh seorang calon Ketua Pemuda


Mohd Mahdi Musa calon BN (Kota Putera)

Oleh: Mohammad Ishak 

Barisan Nasional (BN) Besut mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Mahdi Musa, 44, sebagai calon baru selain mengekalkan empat calon lama pada Pilihan Raya Umum (PRU13) 5 Mei depan.

Mohd Mahdi,mewakili golongan muda dicalon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, mengambil alih tempat Muhammad Pehimi Yusof yang berpindah ke DUN Jertih.

Pemilihan Mohd Mahdi, yang juga seorang usahawan bagaimanapun, mengejutkan banyak pihak di bahagian berkenaan kerana beliau calon muda di bahagian itu.

Manakala empat yang dikekalkan termasuk Ketua UMNO bahagian Besut, Dato’ Seri Idris jusoh yang sebelum ini mewakili DUN Jertih yang berpindah ke Parlimen Besut. Pemimpin lain yang dikekalkan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian,Muhammad Pehimi Yusof (Jertih) dan Setiausaha Bahagian,Dr A Rahman Mokhtar kekal di Kuala Besut.

Mohd Mahdi berkata,beliau sebelum ini tidak menyangka disenaraikan sebagai calon BN kerana mempunyai ramai tokoh di daerah itu.

“Saya mengetahui sebagai calon kira-kira jam 8 pagi semalam selepas dihubungi sendiri Menteri Besar,Dato’ Seri Ahmad Said yang memaklumkan hadir ke majlis penerimaan watikah,” katanya.

Dr Abdullah Md Zin reda tidak dicalon semula



Oleh: Mohammad Ishak

Penasihat Agama Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Abdullah Md Zin, tidak kecewa beliau tidak dicalon semula mempertahankan kerusi Parlimen Besut yang dimenangi pada 2008.

Sebaliknya, beliau reda dengan keputusan pucuk pimpinan parti kerana ia sudah lumrah dalam politik kerana ada masa naik dan turun seseorang pemimpin.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu,Dato' Seri Ahmad Said, ketika mengumumkan senarai calan Barisan Nasional (BN) semalam, menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai calon Parlimen Besut. yang baru.

Pada PRU12 Abdullah m,engalahkan calon PAS Datuk Hussin Awang dengaan manjoriti 10,590. Katanya, walaupun tidak dicalonkan beliau akan tetap membantu semua calon BN di parlimen Besut bagi mempastikan Besut sebagai kubu kuat BN di Terengganu.

“Jika dahulu orang membantu kita, kini tiba giliran kita membantu kawan-kawan yang lain menghadapi pihak pembangkang,” katanya ketika mengulas senarai calon BN untuk PRU13.

Beliau yang juga Bendahari UMNO bahagian Besut berkata, kemasukan beliau dalam politik sebelum ini adalah di atas jemputan Idris yang juga selaku ketua umno bahagian itu.

Beliau yakin, Idris seorang pemimpin berkalibar dan berpengaruh akan mendapat manjoriti lebih besar bagi Parlmen Besut pada pilihan raya kali ini.

Sebagai bekas Menteri Besar, Idris mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan sentiasa mendekati rakyat sekalu gus mampu menarik lebih ramai penduduk Besut menyokong BN.

16 April 2013

BN tampilkan 18 muka baru

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) Terengganu mengetengahkan 18 calon muka baru untuk bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).


Calon baru yang merangkumi jumlah 45 peratus keseluruhan calon BN itu terdiri daripada Mohd Mahdi Musa (Kota Putera); Zulkifli Jusoh (Parlimen Setiu); Mohamad Iskandar Jaafar (Jabi); Sabri Mohd Noor (Langkap); Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit).


Selain itu, Haji Ismail Nik (Bukit Tunggal);  Mohd Zubir Embong (Parlimen Kuala Terengganu); Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf Mempelam); Zaidi Muda (Bukit Payong), Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang); A Latif Awang (Pengkalan Berangan); Jailani Johari (Parlimen Hulu Terengganu); Yusof Awang Hitam (Manir); Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang); Razali Taib (Ajil); Rosli Daud (Bukit Besi) dan Zakariah Ali (Sura).

Manakala muka lama yang diketengahkan semula  Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ladang), Dato’ Che Mat Jusoh (Batu Burok), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (Cukai); Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Parlimen Dungun).

Sementara pertukaran kerusi melibatkan Dato’ Seri Idris Jusoh (DUN Jertih ke Parlimen Besut) ; Pehimi Yusof  (Kota Putera ke Jertih); Dato' Mohd Jidin Shafei dari (Parlimen Setiu ke DUN Permaisuri) ;  Dato' Yahya Khatib Mohamad dari (DUN Pengkalan Berangan ke Parlimen Marang) dan Datuk Matulidi Jusoh (Parlimen Dungun ke DUN Paka).

Manakala calon yang kekal menyandang kerusi sebelum ini, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (Kijal); Dr A Rahman Mohktar (Kuala Besut); Haji Nawi Mohamad (Hulu Besut); Haji Muhammad Ramli Nuh (Tepoh); Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu) dan Rozi Mamat (Telemong).

Calon lain,  Dato' Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir); Dato' Toh Chin Yaw (Bandar); Alias Abdullah (Alor Limbat); Datuk Za’abar Mohd Adib (Rantau Abang); Rosli Othman (Kemasik); Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih); Dato Nasir Ibrahim Fikri (Parlimen Kuala Nerus) dan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek (Parlimen Kemaman).

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN  Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Kediaman Seri Iman petang ini.

 Lebih 3,000 penyokong BN, termasuk ketua bahagian Umno, ketua parti komponen BN dan ketua sayap Umno dan parti komponen BN hadir pada majlis tersebut.


BN kemuka empat muka baru di Setiu

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) mengemukakan empat muka baru dan mengekalkan seorang penyandang untuk bertanding di Parlimen Setiu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.



Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Kediaman Seri Iman petang ini.

Seorang hakim, Encik Zulkifli Jusoh, 54, diumumkan sebagai calon bagi Parlimen Setiu manakala penyandang asal Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee bertukar untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri.

Encik Sabri Mohd Nor seorang kontraktor turut diumumkan sebagai calon DUN Langkap manakala Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Encik Mohd Iskandar Jaafar, 37, akan bertanding DUN Jabi.

Calon bagi DUN Batu Rakit yang juga muka baru, Encik Bazlan Abdul Rahman merupakan seorang pendidik bagi menggantikan penyandang, Haji Khazan Che Mat.
 

BN kemuka gabungan muka lama, baru yang mantap tanding PRU13

Laporan oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman, Esah Abdullah dan Suriati Ali

BN Terengganu mengemukakan gabungan muka lama dan baru yang mantap untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Pengumuman calon-calon yang dilakukan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam satu majlis di Kediaman Seri Iman petang ini, jelas membuktikan kesungguhan BN untuk melakukan transformasi dan memperkasakan pentadbiran negeri ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Kijal selain mengekalkan calon bagi Air Putih (Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar) dan Kemasik (Ir Rosli Othman).

Hanya seorang muka baru dinamakan bagi bertanding DUN Cukai iaitu Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid yang merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek akan dicalonkan semula untuk bertanding kerusi Parlimen Kemaman.

Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad pula akan bertukar dari kerusi DUN Pengkalan Berangan ke Parlimen Marang.

Haji Alias Abdullah kekal bertanding di kerusi DUN Alor Limbat manakala Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Encik Zaidi Muda masing-masing dicalonkan untuk bertanding DUN Rhu Rendang dan Bukit Payong.

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh bertukar kerusi dari DUN Jertih ke Parlimen Besut manakala Haji Muhammad Pehimi Yusof bertukar dari kerusi DUN Kota Putera ke Jertih.

Dr Haji A.Rahman Mokhtar dan Haji Nawi Mohamad masing-masing akan mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut dan Hulu Besut manakala muka baru, Mohd Mahadi Musa akan bertanding di DUN Kota Putera.

Ketua Umno Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dicalonkan bertanding di kerusi DUN Kuala Berang manakala Yusof Awang Hitam dan Razali Taib masing-masing akan bertanding di kerusi Manir dan Ajil.

Kerusi Parlimen Hulu Terengganu akan ditandingi oleh seorang muka baru, Jailani Johari.

Bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pula, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Haji Zuber Embong, dipilih sebagai calon manakala Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Dato’ Wan Salleh bertanding kerusi DUN Ladang.

Kerusi DUN Wakaf Mempelam akan ditandingi oleh Wan Mahyuddin Wan Ngah, Batu Buruk (Dato’ Che Mat Jusoh) dan Bandar (Dato’ Toh Chin Yaw). Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dan Dato’ Abdul Rahin Mohd Said masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus dan DUN Teluk Pasu.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Haji Muhammad Ramli Nuh masing-masing akan mempertahankan kerusi DUN Seberang Takir dan Tepoh.

Ketua Umno Bahagian Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee pula bertukar dari Parlimen Setiu ke DUN Parmaisuri manakala calon bagi Parlimen Setiu, seorang hakim, Che Mohd Zulkifli Jusoh.

Tiga muka baru dicalonkan untuk bertanding bagi kerusi DUN Langkap (Sabri Mohd Noor), Jabi (Mohd Iskandar Jaafar) dan Batu Rakit (Bazlan Ab Rahman).

Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Haji Rosli Mat Hassan akan bertanding kerusi Parlimen Dungun sementara Matulidi Jusoh bertukar dari Parlimen ke DUN Paka.

Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib akan mempertahankan kerusi DUN Paka manakala dua muka baru dicalonkan untuk bertanding di DUN Sura (Zakariah Ali) dan DUN Bukit Besi (Rosli Daud).

Manifesto BN Terengganu realistik dan terbaik

Oleh: Suriati Ali 

Pergerakan Puteri Umno Terengganu menyifatkan aku janji atau Manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang diumumkan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said malam tadi, bersifat realistik dan terbaik untuk semua lapisan masyarakat.

Kandungan manifesto yang menggabungkan tiga elemen penting berteraskan pendidikan, kebajikan dan sukan pasti menjanjikan satu perubahan besar dan mengubah landskap Terengganu yang sudah sedia maju dan membangun.


 Ketuanya, Puan Nordiana Shafei, berkata manifesto tambahan itu menjadi pelengkap kepada Manifesto BN Pusat yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, baru-baru ini.

“Apa pun, sama ada Manifesto BN Pusat atau Manifesto Tambahan BN Terengganu, kedua-duanya dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan BN Pusat dan negeri. Ia bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

“Saya harap manisfesto ini dapat diterima rakyat dengan sebaiknya kerana berdasarkan kandungan yang dinyatakan itu meliputi semua aspek, termasuk sukan, pembangunan belia, perumahan, pembangunan ekonomi, usahawan dan pendidikan,” katanya.

 Beliau berkata, rakyat seharusnya mengambil peluang memilih parti yang terbaik serta boleh membentuk negeri yang lebih maju dan berdaya saing menerusi manifesto yang dibentangkan itu.

 “Pada masa sama, rakyat sewajarnya membandingkan antara manifesto BN dan pembangkang, bagi menilai mana lebih baik untuk masa depan mereka.

 “Janganlah mereka terutama pengundi muda terpengaruh dengan janji-janji palsu pembangkang kerana berdasarkan pemerhatian sebelum ini, tiada satu pun manifesto pembangkang itu mampu ditunaikan untuk kebaikan rakyat. “Tidak seperti Kerajaan BN, apa yang dijanjikan pasti akan dilaksanakan.

 Oleh itu, sebagai rakyat yang sayangkan Terengganu dan mahukan pembangunan yang berterusan, sewajarnya kita terus memberi mandat kepada BN.

 

Manifesto BN beri manfaat untuk semua lapisan

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) Terengganu membentang aku janji atau manifesto yang mantap, menyeluruh dan memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat sekaligus menjanjikan kesejahteraan di bawah barisan kepimpinan yang berjiwa rakyat.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, rakyat perlu memberi sokongan penuh kepada BN bagi merealisasikan apa yang tercatat dalam aku janji yang terbukti mementingkan kesejahteraan dan peningkatan pembangunan dalam semua bidang.

Katanya, 18 aku janji tambahan merupakan ikrar BN untuk memakmurkan rakyat dan akan ditunaikan apabila mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

 “Usaha kerajaan menjadikan negeri ini sebagai hub urusan Haji dan Umrah bagi Pantai Timur merupakan perkara baru yang tidak terdapat di negeri lain dalam negara ini dan ia begitu membanggakan seluruh rakyat,” katanya kepada Teganukita ketika di temui di majlis Aku Janji Tambahan BN Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man malam tadi.

“Saya percaya masyarakat bijak menilai yang mana intan dan yang mana kaca serta memberi sokongan terhadap usaha murni kerajaan memberi peluang kepada rakyat untuk mengambil penerbangan terus ke Jedah bagi menunaikan haji atau umrah,” katanya yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Selain itu, langkah kerajaan menjadikan Tasik Kenyir sebagai hub eko-pelancongan serta kawasan bebas cukai menjelang 2014 dijangka mendapat tumpuan pelancong luar negara dan rakyat tempatan untuk berbelanja secara berhemah.

“Saya harap rakyat di negeri ini memberi sokongan penuh kepada BN untuk membuktikan aku janji yang dibuat dan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat pendidikan dan pembangunan yang dirancang,” katanya.