Halaman

07 September 2013

PMINT bangun projek RM80 juta

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membangunkan lima projek perumahan dan lima projek perkedaian membabitkan peruntukan RM80 juta di lokasi terpilih di negeri ini.

 Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda berkata, projek perumahan yang akan dibangunkan ialah di Kampung Tebing Tembah, Paka di Dungun melibatkan 56 unit rumah berkembar yang kini sedang ditender.

 "Manakala projek perumahan di Kampung Fikri, Jabor (Kemaman) melibatkan 20 unit rumah berkembar dan 36 unit rumah teres dua tingkat, Kampung Cabang Kertih pula sembilan unit rumah berkembar dua tingkat.

"Projek perumahan di Kampung Balai Besar (Dungun) dan Bukit Kuang (Besut) melibatkan peruntukan RM13 juta," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

 Katanya bagi projek perkedaian, PMINT akan membinanya di Pak Sabah (Dungun), Permint Perdana di Kampung Batin Seberang Takir (Kuala Terengganu), Bukit Keluang (Besut), pusat pameran di Jalan Kemajuan dan di pekan Kuala Berang (Hulu Terengganu).

 "Setelah semua urusan selesai, 10 projek ini dijangka dapat dimulakan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan," katanya.

 

350 pelajar pecah rekod di Program Kenali Setiu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Empat pelajar sedang tekun mewarna kolaj.

SETIU: SERAMAI 24 pelajar program Sukarelawan Remaja ASEAN dari sepuluh buah negara Asia Tenggara menyertai program "Kenali Setiu-Mari Berbudaya Setiu" yang diadakan di Penarik Inn, Kampung Penarik, di sini, semalam.

Program yang bertujuan untuk mempertengahkan budaya dan warisan Setiu itu turut disertai seramai 150 pelajar Sekolah Menengah dan 160 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT)termasuklah dari IPT Awam iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengurus Program, Nor Adlin Mohd Said, berkata pelbagai acara diatur sempena program itu antaranya ialah permainan tradisional antaranya ialah Bowling Kelapa, Tarik Upih, Kukur Nyior dan anyam ketupat manakala pertunjukan pula ialah permainan gasing, ayam serama dan wau bulan.

"Selain itu, satu acara yang mendapat pengiktirafan "Malaysia Book Of Record" ialah mencipta Rekod Kolaj Terbesar bertema Setiu "Wetland" turut diadakan di mana hampir 350 pelajar terlibat mewarna dan menyusun kolaj batik dan ianya dilancarkan oleh Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Muhammad", katanya.

Abdul Rahmad meletakan kolaj pertama simbolik pelancaran program.
Nor Adlin berkata, program anjuran "Hijau Event Management" itu juga bertujuan mempromosikan daerah Setiu dan Negeri Terengganu kepada dunia kerana daerah Setiu mempunyai pelbagai budaya yang menarik dan mempunyai potensi tinggi dalam eko-pelancongan di Asia.

"Saya mengharapkan ia dapat memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan eko-pelancongan itu secara mapan di Setiu. Ini akan memberi manfaat juga kepada penduduk setempat bagi jangkamasa panjang disamping dapat meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.


Zulkifli minta UMNO Setiu terus bersatu

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Zulkifli  berucap  ketika merasmikan mesyuarat UMNO Buluh Hilir, semalam.

SETIAP ahli UMNO di saran bersatu untuk memastikan parti tetap utuh bagi menjamin kejayaan berterusan Barisan Nasional untuk terus mentadbir daerah Setiu dan negeri Terengganu, kata Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifli Jusoh ketika merasmikan Mesyuarat Agong UMNO Cawangan Buluh Hilir, di Permaisuri, Setiu, semalam. 

Zulkifli berkata, jika sebelum ini ada berlaku perpecahan di kalangan ahli, bermula dari sekarang, beliau meminta semua ahli jangan berpecah belah kerana ia boleh merosakan UMNO dan boleh menghalang pembangunan dan kemajuan daerah Setiu.

“Kita betul-betul lah pilih kita jangan bergaduh antara kita, sebab rugi kalau kita macam taksub kepada seseorang pemimpin, bila pemimpin lain dipilih, kita akan rasa lain.

"Sebab kita kena ingat bahawa pemimpin datang dan pergi, yang kita hendak teruskan ialah UMNO.
Pemimpin ada hari ini, besok mungkin orang lain. Tapi perjuangan adalah kepada UMNO itu sendiri, Melayu apa yang kuat kalau kita sendiri yang berpecah.

"Antara kita hendaklah bersatu kerana bersatu itu teguh dan bercerai kita akan roboh, Jadi tidak perlu kita bergaduh.” katanya.

Dalam pada itu dalam ucapanya itu juga, Zulkifli akan berusaha membina lebih banyak rumah untuk penduduk daerah Setiu terutama belia yang tidak mempunyai rumah sendiri apabila menemui tanah yang sesuai untuk membina kawasan perumahan.

“Bila ada tanah saya akan usahakan mencari tanah di Setiu, kita akan pastikan tanah ini dibina dengan perumahan. Kita akan syor kepada pihak bertanggungjawab untuk membina rumah-rumah kepada mereka yang memerlukan, Insya Allah,” katanya.

Antara ahli UMNO yang hadir mesyuarat.
Sementara itu beberapa muka baru dilantik memegang beberapa jawatan dalam mesyuarat itu, antara ialah ialah jawatan Ketua Pemuda yang dahulunya disandang oleh Ismadi Ibrahim yang sudahpun melebihi had umur bertanding kini bertukar kepada Zulkifli Mohd manakala jawatan ketua Putri pula di pegang oleh Siti Sarah Abdul Rahim.

Jawatan Ketua Wanita menampilkan bekas Naib Ketua Wanita iaitu, Mariani Ibrahim manakala jawatan Ketua Cawangan UMNO Buluh Hilir masih disandang oleh Wan Sulaiman Wan Ahmad.


06 September 2013

ATM dan PDRM bersama jayakan majlis hari raya

Oleh; Esah Abdullah 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraia Malaysia (PDRM) buat julung kalinya bergabung tenaga menjayakan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Kebangsaan 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak esok (Sabtu).

Bersempena dengan majlis berkenaan, satu sidang media akan diadakan oleh Panglima Markas 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Ketua Polis Terengganu DCP Dato’ Haji Jamshah Mustafa di kawasan ruang legar stadium pada jam 1 petang.

Majlis yang bermula jam 12 tengahari hingga 4 petang itu akan menyediakan pelbagai menu untuk para tetamu di samping persembahan brass band dan pameran oleh ATM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan majlis.

Hala tuju pembangunan berpaksikan kepentingan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ kini dipraktikkan untuk penggal kedua pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebagai pihak yang bertindak sebagai `front liner’ bagi pihak kerajaan, pegawai dan kakitangan kerajaan menyahut pendekatan itu sebagai satu gagasan yang perlu dilaksanakan demi memuaskan hati rakyat sebagai `pelanggan utama’.

Menyedari hakikat itu, Penolong Kanan Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Cik Nur Kamilah Hamzah, berkata setiap perancangan dan hala tuju kerajaan negeri jelas berpaksikan kepada kepentingan dan manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Sebagai badan penggerak, kita akan berusaha mencapai dan mematuhi setiap perancangan yang sudah digariskan pihak kerajaan bagi memastikan matlamat ketua kerajaan dan pegawai atasan mampu kita laksanakan sebaik mungkin.

 “Setiap projek sama ada kecil dan besar yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak kerajaan semuanya adalah berfokuskan kepada rakyat,” katanya.

 Penolong Setiausaha Kerajaan (pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani pula berpendapat setiap projek yang dibangunkan kerajaan secara berterusan merupakan kesinambungan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan dan manfaat kepada rakyat.

“Bagi memastikan usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tercapai, kami sebagai agen pelaksana mengambil tanggungjawab memikul amanah itu dan berusaha melakukannya dengan lancar dan cekap.

 “Pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ amat tepat memandangkan kerajaan sentiasa mendahului rakyat dalam sebarang program, projek pembangunan dan juga pelbagai insentif disediakan sejak dulu lagi,” katanya.


TTI perkenal persembahan cahaya

Oleh: Suriati Ali 

Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu akan memperkenalkan persembahan berbentuk cahaya dan bunyi, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke taman itu.

 Pengurus Besar, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Dato’ Osman Muda, berkata persembahan itu dijangka bermula Januari depan, sekali gus membolehkan Taman Monumen TTI dibuka kepada pengunjung pada waktu malam.

 "Persembahan itu mempunyai komponen-komponen seperti hologram, video mapping, laser, 'sky tracker' dan juga air pancut," katanya.

Beliau berkata kerja pemasangan kelengkapan bagi persembahan itu sedang berjalan dan dijangka siap Disember ini.

 Sementara itu Dato’ Osman berkata TTI menerima 643,000 pengunjung, sepanjang tahun lalu.

 "Kita mensasarkan akan menerima lebih 800,000 pengunjung apabila siapnya persembahan baru ini.

 "Sejak dibuka pada tahun 2008 hingga sekarang, TTI menerima kedatangan lebih 4.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya

 

Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Setiu mencuit hati

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Telatah kanak-kanak bermain bolajaring mencuit hati penonton.

MAJLIS Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Setiu yang diadakan di Stadium Mini, Sungai Tarom, Setiu, semalam gamat dengan telatah kanak-kanak tadika bertanding dalam beberapa acara antaranya ialah Futsal dan Bolajaring.

Walaupun usia kanak-kanak itu dibawah enam tahun tetapi kelincahan mereka bertanding dalam beberapa acara mencuit hati penonton malah ada yang menunjukan bakat mereka bermain dengan baik.

Majlis yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan turut dihadiri oleh Pegawai Kemas Daerah Setiu Mohd Madrisham Mokhtar.

Iskandar sedang mendukong seorang kanak-kanak yang menang hadiah.
.
Setiausaha majlis, Cik Wan Shamsiah Wan Ismail, berkata antara tujuan hari potensi itu ialah untuk menggalakan perkembangan sosial, Emosi, Fizikal, Intelek dan Rohani kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan.

Selain itu, katanya, tujuan juga ialah untuk mengembangkan kemahiran asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul sebagai persediaan ke alam persekolahan dan membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik.

Dalam pertandingan yang diadakan itu, johan bagi acara silat, futsal dan gerakrama ialah Kemas Dun Langkap, johan acara selingan ialah Dun Jabi, galah panjang juga Dun Jabi manakala bolajaring wanita dimenangi Dun Permaisuri,”.


KRT Pak Kancil juara

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Empat ahli KRT bergambar kenangan di sebuah gerai.
RUMAH Terbuka Aidilfitri Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dewan Undangan Negeri (Dun) Langkap dan Permaisuri meriah apabila setiap gerai yang menyertainya bertanding untuk kategori gerai berhias di mana gerai yang mengambil bahagian menampilkan pelbagai cara hiasan dan masakan supaya mereka mendapat tempat.

Bagaimanapun daripada kira-kira 10 gerai bertanding hanya tiga gerai sahaja yang memikat hati juri di mana ianya dimenangi gerai KRT Pak Kancil tempat pertama, kedua KRT Guntung manakala tempat ketiga ialah KRT Bukit Kecil.

Suasana sambutan Rumah Terbuka KRT Langkap/Permaisuri.
Jurucakap penganjur, Arahma Deraman, berkata, hadiah-hadiah pemenang di sampaikan kepada pemenang oleh Pegarah KRT negeri ialah Burhanuddin Daud menakala pemenang menerima hadiah hamper dan cenderamata.

“Pertandingan kali ini agak sengit kerana masing-masing menampilkan kelainan dalam resipi dan hiasan malah ada yang berbelanja agak banyak untuk memenangi pertandingan itu. Selain itu pertandingan karaoke turut diadakan.

“Acara pertandingan hiasan gerai dan karaoke ini menjadi acara tahunan. Selain menjamu selera para jemputan ahli-ahli KRT juga dapat berhibur dan ini mengeratkan hubungan antara mereka,” katanya. 

Sementara itu, kira-kira 500 tetamu yang kebanyakanya ahli KRT dari Dun Langkap dan Permaisuri hadir memeriahkan sambutan selain tetamu jemputan.


05 September 2013

Golongan imam perlu manfaat jalur lebar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyarankan supaya golongan imam memanfaatkan kemudahan jalur lebar yang disediakan kerajaan bagi mengakses lebih banyak maklumat berkaitan agama untuk disampaikan kepada jemaah masing-masing.

Timbalannya, Datuk Jailani Johari berkata , kerajaan sudah menyediakan pelbagai program termasuk Kampung Tanpa Wayar yang membolehkan rakyat mengakses internet dengan mudah secara percuma.

"Saya menggalakkan golongan imam dan bilal gunakanlah kemudahan yang disediakan di sekitar kawasan masing-masing untuk memperkasakan ilmu dengan cara berkongsi pengetahuan dengan ahli agama bukan saja dalam negara malah luar negeri untuk memperkasakan ilmu masing-masing.

 "Dunia tanpa sempadan hari ini membolehkan kita meningkatkan ilmu agama bukan saja dengan pembacaan tetapi melalui perkongsian dan pertukaran maklumat daripada internet juga,"katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Jati Diri Imam dan Bilal di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Seramai 200 peserta menghadiri kursus separuh hari itu bertujuan memperkasakan ilmu agama di kalangan imam dan bilal yang menjadi pemimpin masjid serta masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Datuk Jailani berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan penyebaran ajaran Syiah melalui laman sosial atau laman sesawang di negara ini.
"Kementerian hanya akan membuat pemantaun terhadap sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti agama atau masyarakat jika terdapat permohonan daripada mana-mana pihak seperti permohonan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini berhubung kes menghina agama Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.

"Dalam hal ajaran Syiah ini JAKIM lebih pakar dan kita bersedia membantu jika terdapat permohonan daripada pihak mereka,” katanya.


Sedia 20 lori kompaktor bernilai RM3 juta tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menambah 20 unit lori kompaktor pengangkut sampah dalam usaha meningkatkan kebersihan dan keindahan persekitaran khususnya kawasan tumpuan ramai di seluruh Terengganu, pada tahun depan.

Peruntukan keseluruhan bagi menyediakan setiap lori berharga RM295,000 itu melibatkan hampir RM3 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya berhasrat untuk memastikan negeri ini mempunyai lori kompaktor pengangkut sampah yang mencukupi dan tidak menimbulkan masalah kelambatan sehingga menjejaskan keselesaan orang ramai.

“Kita perlu menambah lori baru pada tahun depan kerana masalah lori rosak dan sudah uzur. Jadi tahun depan kita akan tambah 20 unit lagi untuk dibekalkan kepada semua PBT, dengan harapan mampu melakukan kerja pembersihan dengan lancar,” katanya.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, setiap daerah mempunyai kawasan pelupusan sampah masing-masing, bagaimanapun PBT masih berdepan dengan cara pelupusan sampah yang tidak sempurna.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan setiap PBT mempunyai kawasan pelupusan sampah yang sempurna dan memenuhi piawaian,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya membantu PBT dalam aspek menjaga kebersihatan persekitaran berikutan kerajaan menyediakan kos sehingga RM60 juta setahun bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan termasuk memungut sampah, mencuci jalan dan membersih longkang di seluruh daerah.

Katanya, ada segelintir penduduk dengan sewenang-wenang membuang sisa bahan binaan rumah masing-masing di kawasan lapang termasuk tanah kerajaan, sedangkan mereka perlu membuangnya di kawasan pelupusan sampah yang disediakan PBT berhampiran tempat tinggal mereka.

“Ini satu lagi sikap yang tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat di negeri ini yang harus diubah bagi memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan seluruh Terengganu bersih dan indah tercapai,” katanya.