Halaman

20 May 2014

Gajah liar Hulu Setiu akan di hantar ke KEV.- Mohd Jidin.

Tertarik...beberapa pelajar Uniten tertarik mendengar cerita asal usul nama Kampung Mangkok oleh Mohd Jidin.
Oleh: Aminudin Ismail.

KERAJAAN negeri akan mengalihkan seekor gajah liar yang berjaya ditangkap Perhilitan di dalam sebuah hutan berhampiran Kampung Che Long, Hulu Setiu, kelmarin ke Kenyir Elephant Village (KEV) dalam masa beberapa hari lagi.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee, berkata gajah itu ditangkap anggota Perhilitan dengan bantuan beberapa orang kampung kira-kira jam tiga petang kelmarin.

"Kita akan membawa gajah itu ke KEV dan kosnya sekitar RM50,000 seekor, kelmarin kita dah dapat seekor, kita tak boleh tangkap yang lain kerana ia sudah berpecah kepada tiga kumpulan, satu kumpulan itu dalam lima dan enam ekor," kata Mohd Jidin selepas Majlis Perasmian Penutup Program Keluarga Angkat pelajar Uniten,Pahang di Kampung Mangkok, Setiu, hari ini.

Katanya, gajah-gajah itulah yang banyak merosakkan tanaman terutamanya anak getah dan kelapa sawit penduduk kampung dan jika kesemua gajah-gajah yang sekitar 15 ekor itu dapat ditangkap ia dapat menyelesaikan masalah kerugian yang dialami pekebun di kawasan itu.

Sementara itu, Mohd Jidin yang juga Adun Permaisuri itu berterima kasih kepada sekumpulan pelajar Uniten yang bekesudian mengadakan aktiviti kemasyaratan di Kampung Mangkok yang sememangnya unit dan mempunyai banyak nilai budayanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

 

Dedikasikan juara Sukma kepada bekas MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan Terengganu merampas kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 nanti akan menjadi hadiah terbaik dan paling bermakna kepada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata semua atlet perlu membuktikan kemampuan untuk merampas semula kejuaraan Sukma yang pernah dirangkul sebanyak empat kali sejak 2008 sebelum kecundang di tangan Selangor tahun lalu untuk muncul naib juara.

“Saya berharap semua atlet dan Kontinjen Terengganu mampu membuktikan penguasaan kita pada temasya Sukma nanti dan kejayaan kita mengulangi kejuaraan dan muncul johan keseluruhan pada kali ini akan menjadi hadiah terbaik kepada mantan Menteri Besar , Dato’ Sri Haji Ahmad Said.

“Ini sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada beliau yang menyediakan pelbagai insentif serta kemudahan kepada atlet selama ini. Malah, legasi kelangsungan sukan ini akan kita teruskan,” katanya katanya di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong dan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin. Ahmad Razif berkata, sebagaimana umum sedar, projek penyediaan inisiatif dan kemudahan Sukma yang memberi kesan kepad a kejayaan bidang itu sebelum ini, adalah idea dan ilham oleh bekas Menteri Besar berkenaan.

“Kita melihat Dato’ Seri Ahmad bersungguh-sungguh berkait dengan bidang sukan, pelajaran, pembangunan, pelancongan dan sebagainya, jadi tiada sebab untuk saya tidak meluluskan apa yang telah dilaksanakan oleh beliau.

“Maka sekarang ini , yang saya sebut awal-awal dahulu, bahawa apa sahaja yang memberi satu impak besar kepada negeri, memberi kebaikan untuk rakyat jadi perkara ini kita akan teruskan, insha-Allah,” katanya. 

Pada kali ini, Terengganu mensasarkan 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa menerusi 307 acara atau 79.43 peratus daripada keseluruhan penawaran acara serta pingat yang membabitkan 392 atlet negeri sepanjang temasya pada 24 Mei hingga 4 Jun ini.

 Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka (47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa. Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa).

Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur, tahun lalu.

Ahmad Razif kekal jalankan portfolio MB, Exco terdahulu

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman kekal menjalankan tugas dari portfolio Menteri Besar terdahulu dan memangku tugas exco yang disandangnya sebelum ini.

Portfolio Menteri Besar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Alam Sekitar. Manakala tugas exco terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air yang disandang beliau sebelum dilantik sebagai Menteri Besar sejak 14 Mei lalu.

“Sekarang ini saya memangku dahulu tugas pengerusi jawatankuasa (exco) bawah menteri besar yang ada dan ditambah lagi exco yang saya pegang sebelum ini, jadi saya pangku kedua-duanyalah. Sementara sebelum kita putuskan apakah keputusan yang terbaik,” katanya di sidang media sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong dan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri. Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin.

Ketika ditanya kemungkinan ada perubahan dan pertambahan exco baharu kerajaan negeri, Ahmad Razif menegaskan semua exco sedia ada akan bergerak seperti biasa dan kekal dengan jawatan masing-masing. 

“Exco yang satu lagi (Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air) belum kita putuskan dan itu bergantung kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia, Tuanku (Sultan Mizan Zainal Abidin),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif juga akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Umno untuk melantik sesiapa sahaja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu selepas ini.

Katanya, sebagai ahli parti Umno, beliau yakin dengan kebijaksanaan Presiden parti, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak untuk menentukan pengerusi badan itu di peringkat negeri.

“Kita sebagai ahli parti yang setia, kita tiada masalah dan memulangkan keputusan itu secara bijaksana yang akan diputuskan oleh presiden parti dan saya tidak ada masalah dan kita seperti yang disebut tadi bukan ketua yang menjadi perkara mustahak bagi kita, yang lebih mustahak adalah bersama.

 “Tiada masalah, andai kata melatik sesiapa sahaja menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, hatta YB Rozi sendiri pun, maka kita akan bekerja bersama. Jadi ini kita perlukan perpaduan dalam saat-saat yang sebegini. Lebih-lebih lagi Terengganu sekarang ini sebagaimana kita sedia maklum dalam keadaan 17-15 dan komitmen saya kepada YAB Presiden adalah memastikan Pilihan Raya Umum Ke-14 ini akan lebih baik daripada yang sebelum ini,” katanya

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa calon yang sesuai mengisi jawatan itu, adalah Menteri Besar bagi negeri berkenaan supaya pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah kolum di akhbar tempatan semalam yang menyebut, Ahmad Shabery menjadi calon sesuai mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, yang kosong ekoran peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said minggu lepas.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.


Insentif atlet naik lagi

Oleh: Aida Abd Rahman


Durian runtuh bakal menanti atlet Terengganu selepas kerajaan negeri bersetuju menambah insentif kemenangan kepada setiap pemenang pingat emas dan perak di Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 bermula 24 Mei ini.

Setiap pingat emas akan memperolehi RM6,000 dan perak RM5,000, masing-masing bertambah RM1,000 berbanding imbuhan yang disediakan kepada pemenang pada tahun sebelumnya. Sementara setiap pingat gangsa kekal RM2,000 seorang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kenaikan insentif kemenangan itu sebagai menyuntik semangat atlet supaya mencapai sasaran Kontinjen Terengganu memperolehi 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa.

"Dengan persediaan yang begitu rapi kita berkeyakinan penuh pada tahun ini dengan penuh semangat sebagaimana disebut oleh YB Exco (Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat) sebentar tadi, insha-Allah kemenangan akan tercapai,” katanya di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.



Dato' Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri tetap komited dan tiada halangan untuk meneruskan legasi kelangsungan sukan di Terengganu berikutan bidang itu berada di landasan yang betul serta memberi impak yang besar kepada pembangunan negeri sejak dulu lagi.

“Kita amat serius untuk merampas kejuaraan kerana kita sudah membuktikannya sebanyak empat kali dan kebetulan tahun lalu, di tempat kedua, tiada sebab untuk kita tidak mengulangi sejarah kemenangan yang lalu.

“Kerajaan negeri menambah insentif itu pada asasnya tumpuan kita bukan kepada insentif, tetapi sebagai sokongan dan dorongan kerana kita melihat negeri lain juga mencontohi kita dan menyediakan insentif yang luar biasa juga. Jadi hari ini kita tidak mahu ketinggalan kerana kita yakin dan percaya pasukan kita ada harapan yang tinggi untuk mencapai kejuaraan tahun ini untuk kali kelima,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersedia memberi komitmen dan menambah insentif kemenangan untuk setiap pingat emas dan perak, manakala mengekalkan nilai insentif pingat gangsa (RM2,000) serta kemenangan segera kepada pemenang emas (RM300), perak (RM200) dan gangsa (RM100).

Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka ( 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa. Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa).

Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) untuk merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur, tahun lalu.







Puteri UMNO Besut kembali ke sekolah.

RAIKAN BERSAMA..Jawatankuasa PIBG dan Puteri UMNO Bahagian Besut bersama guru-guru Sekolah Kebangsaan Pelagat, Jertih, Besut bergambar kenangan ketika meraikan Sambutan Hari Guru peringkat sekolah itu, kelmarin.

Pelbagai acara diadakan sempena sambutan hari guru itu, antaranya ialah persembahan nasyid, boria, dikir barat, sketsa dan gimik 'back to school' diadakan yang membabitkan PIBG dan Puteri UMNO itu.

Bergambar sebelum menikmati kek.
Menurut Pengerusi PIBG sekolah itu, Adnan Husin, tujuan diadakan program itu ialah untuk mengenang dan menghargai jasa guru SK Pelagat yang banyak berjasa kepada penduduk kawasan itu pendidikan anak-anak mereka sehingga ramai yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada setiap tahun. 

Pada program itu juga sebuah kek besar turut disumbangkan kepada guru-guru sekolah terbabit oleh PIBG dan Puteri UMNO itu. Turut diadakan ialah acara sukaneka yang membabitkan guru, PIBG dan Puteri UMNO.- Aminudin Ismail.

 

19 May 2014

Usah lihat kebelakang, bantu MB bangunkan Terengganu - Muhyiddin


Timbalan Perdana Menteri  YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin UMNO Terengganu akan kembali lebih kukuh.

  Beliau mengharapkan agar semua kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, (BN) Terengganu tidak lagi melihat kebelakang dan meneruskan usaha memimpin serta membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat.

"Kita harap juga pimpinan politik yang tidak menjadi wakil rakyat bersama seperti ketua-ketua bahagian, pemimpin wanita pemuda dan rakyat saya fikir agak merasa lega, maka itu kita harus menumpukan kepada terus masa depan Terengganu dan bagaimana Menteri Besar baru boleh mengambil alih dengan keadaan yang agak licin,"katanya.



MENTERI BESAR HADIR JAMUAN SAMBUTAN HARI GURU SMIF




Majlis Jamuan sempena sambutan Hari Guru, Sek Men Ibrahim Fikri telah dihadiri oleh Menteri Besar, Dato’ Hj Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri To' Puan Halina Zakaria petang semalam, di Seberang Takir.

Guru-guru dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) yang telah meraikan Menteri Besar Terengganu yang kebetulan adalah merupakan Pengerusi PIBG sekolah berkenaan dan bekas pelajar sekolah berkenaan.
Kegembiraan amat terserlah kepada insan-insan yang mengenali secara dekat YAB Menteri Besar Terengganu ini.

Dato’ Hj Ahmad Razif dalam ucapannya melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah memberi kerjasama kepada beliau selama ini, khususnya dalam mencemerlangkan bidang pendidikan. 


Sekitar Program UCB di Hatiku.

KENANGAN…pegawai dan staf Kolej Universiti Bestari (UCB) bergambar kenangan selepas menjalani Program UCB Di Hatiku yang diadakan di kolej universiti itu, semalam.

Program yang bertujuan untuk menyuntik semangat bekerja di kalangan peserta dan mewujudkan semangat kecintaan kepada UCB itu dirasmikan oleh Pengerusi Ekskutif UCB, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor.

Antara aktiviti yang diadakan.
Antara aktiviti yang diadakan ialah mendengar ucaptama dari Pengerusi Ekskutif UCB, Solat berjemaah, Mesra kumpulan (ice-breaking), Bina Kumpulan, permainan membentuk minda dan penyampaian hadiah.

Tengku Mahmud berkata, beliau mahu seluruh warga UCB terus bekerja lebih gigih supaya kolej universiti itu akan menjadi sebuah pusat pengajian tinggi yang berjaya di negara ini dan hasrat untuk menjadi sebuah universiti penuh akan tercapai dalam masa beberapa tahun lagi.- Aminudin Ismail.


Tekun melakukan aktiviti minda.

Naib Cancelor UCB sampaikan hadiah.


   

18 May 2014

28 sekolah Dun Langkap terima kek Dato' Sabri.

Potong...majlis penerimaan kek di SMK Pelong.
Oleh: Aminudin Ismail.

BAGI menghargai jasa dan meraikan guru bersempena Sambutan Hari Guru 2014, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato'Sabri Mohd Nor melalui Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (AMPT) mengagihkan sebiji kek kepada setiap buah sekolah di kawasan itu, hari ini.

Bermula jam 8 pagi beberapa petugas AMPT bergerak kepada empat kumpulan untuk mengagihkan kek itu di 28 buah sekolah di DUN Langkap.

Semua guru mengucapkan terima kasih kepada Dato' Sabri kerana turut bersama meraikan hari guru melalui sumbangan kek itu dan menganggap sumbangan itu amat bermakna kerana Adun Langkap itu sememangnya menghargai jasa guru dan begitu mengambil berat tentang pendidikan di kawasanya.

Sementara itu, Dato' Sabri mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di Dun Langkap dan beliau mahu guru-guru terus memberi perkhidmatan terbaik supaya lebih ramai yang akan mencapai keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan dan sekaligus menaikan nama Langkap dalam bidang pendidikan di negeri ini.

 

PERMASALAHAN RAKYAT DIKENALPASTI DAN DICARI KAEDAH PENYELESAIANNYA- KATA DATO' HJ AHMAD RAZIF



Menteri Besar Terengganu, Dato’ Hj Ahmad Razif Abdul Rahman menyatakan pendekatan awalnya ialah mengenalpasti permasalahan rakyat dari pelbagai sudut untuk dianalisa, dikaji dan dicari kaedah terbaik penyelesaiannya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Malam Media, anjuran bersama Kelab Wartawan Terengganu  (KAWAT) dan juga Unit Komunikasi Negeri Terengganu di sebuah hotel di Kuala Terengganu malam tadi.

Katanya, melalui  penyenaraian tentang masalah itu, analisa akan dibuat untuk mencari cara dan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah rakyat yang menjadi keutamaan pendekatan pembangunan negeri.