Shamsuddin...sasar golongan muda. |
SERAMAI 10 petani muda di negeri bakal menjadi usahawan tani apabila kerajaan memperuntukan pinjaman RM100 ribu melalui Agro Bank dan Tekun untuk mereka memperbesarkan projek tani masing-masing melalui program Agropreneur Muda.
Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri, Shamsuddin Mat Rani berkata, bagaimanapun peserta terbabit perlu menjalani kursus atau latihan terlebih dahulu untuk mempastikan mereka layak dan mampu memperolehi kejayaan dalam bidang tani yang diceburi itu.
"Buat masa ini, pihak kami memilih 10 petani muda yang berpotensi untuk menyertai projek itu, antaranya adalah terdiri daripada penternak ayam, lembu, penanaman sayur dan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian seperti pengeluaran makanan.
"Penglibatan mereka dalam sektor pertanian jika kena cara mampu memperolehi pendapatan yang lumayan serta mampu menampung keperluan makanan negara yang kini masih bergantung kepada negara asing," katanya.
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, LPP juga menyasarkan untuk melahirkan 1,000 petani muda menerusi program Agro-Kotani menjelang akhir tahun ini.
"Program yang dimulakan sejak tahun lepas itu kini mempunyai 560 petani muda yang berdaftar dengan LPP," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan LPP Kawasan Setiu, di Bandar Permaisuri, semalam.
Katanya, bagi menarik golongan muda menyertai program berkenaan, kerajaan telah menyediakan insentif sebanyak RM10,000 kepada mereka yang baru menceburi bidang pertanian.
Shamsuddin berkata, sebanyak RM7,000 diberi dalam bentuk pinjaman manakala RM3,000 diberi dalam bentuk geran.
"Harapan saya kepada golongan muda ini supaya mereka mengambil peluang ini dengan kemudahan yang disediakan kerajaan. Ianya diharap akan mengubah persepsi bahawa pertanian untuk golongan miskin ini sudah tidak betul.
"Jadi kita mengharapkan golongan muda ini cuba menunjukan bukti bahawa bidang pertanian ini boleh dijadikan satu bidang kerjaya yang lumayan," katanya.