Halaman

18 March 2011

TFM Perkenal DJ Kampus

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah.

Radio Malaysia Terengganu FM (Tfm) mengambil inisiatif mengadakan program khas untuk pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi menarik golongan ini mendengar info melalui Tfm.

Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, konsep program adalah hiburan bermaklumat yang bersiaran secara langsung dengan pengisian 70 peratus hiburan dan 30 peratus berupa maklumat terkini.

Katanya, Tfm juga akan mewujudkan kelab pendengar dikalangan penuntut IPTS/IPTA supaya mereka dapat bertukar pandangan dan lebih bersikap proaktif serta berani melontarkan pandangan positif sebagai pelapis masa depan negara.

“Mereka diberi peluang mengendalikan Tfm melalui rancangan DJ Kampus yang akan bersiaran setiap Khamis (malam) selama sejam empat puluh minit yang membawa info aktiviti kampus, pendapat siswa, karya dan permintaan lagu,” katanya.

Melaluinya juga, akan diselit isu-siu semasa terutama perkembangan semasa yang berlaku di kampus serta bahan-bahan yang boleh mendekatkan masyarakat dengan institusi berkaitan.

Selain itu kata Dr. Nawiyah, meraka yang terpilih mengendalikan siaran akan diberi pendedahan mengenai penyelidikan bahan, penyediaan dan penulisan skrip serta latihan amali di studio melalui kursus serta perbengkelan.

“Rancangan berkonsepkan hiburan santai ini dilihat mampu mendekati golongan muda dengan pendekatan yang bijak dan kreatif,” katanya.



Pelajar IMTIAZ bakal jadi golongan ulul-Albab

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Haji Muhammad Ramli menyampaikan sijil kepada peserta Khatam al-Quran Program Tadarus al-Quran Sempena Cuti Sekolah yang diadakan di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri yakin pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ bakal menjadi generasi ulul-Albab berdasarkan kecemerlangan mereka di bidang hafazan dan akademik.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh, berkata sejak kebelakangan ini pencapaian sesetengah pelajar IMTIAZ amat luar biasa di mana ada antara mereka sudah mampu menghafaz al-Quran setelah dua tahun belajar di situ.

“Bayangkan betapa hebatnya mereka kerana kerajaan negeri meletakkan sasaran agar mereka mampu menghafaz al-Quran selepas tiga tahun belajar di IMTIAZ iaitu menghafaz 10 juzuk setahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penutup Tadarus al-Quran Sempena Musim Cuti Sekolah di Masjid Kristal petang semalam.



Beliau berkata, tahun lalu lima pelajar IMTIAZ sudah mampu menghafaz 30 juzuk sewaktu berada di tingkatan lima manakala tahun ini sudah ada seorang pelajar mampu berbuat demikian.

“Kita jangkakan lebih ramai pelajar tingkatan dua boleh menghafaz 30 juzuk al-Quran menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pelajar yang mampu menghafaz al-Quran lebih awal daripada matlamat yang ditetapkan itu turut melakarkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang diadakan di sekolah.



“Manakala dalam peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula mereka mencatat keputusan 9 A. Boleh dikatakan hamper separuh daripada pelajar IMTIAZ mendapat keputusan sama ada 9 A atau 8 A dalam peperiksaan PMR baru-baru ini,” ujarnya.

Haji Muhammad Ramli berkata, pelajar berkenaan diharapkan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan mereka menjadi menjawat pelbagai jawatan profesional dan mampu menghafaz al-Quran.



Program tadarus al-Quran terbuka di Masjid Kristal

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Program tadarus al-Quran sempena musim cuti sekolah yang diadakan di Masjid Kristal akan diadakan secara terbuka berkonsepkan program realiti televisyen, bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat menyertai program tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh, berkata langkah ini perlu bagi memastikan lebih ramai rakyat Terengganu menyertai program itu bagi menarik minat mereka membaca kitab suci berkenaan.

“Di Terengganu terdapat ramai orang yang mampu membaca al-Quran dengan baik dan sesetengahnya pula merupakan hafiz dan hafizah. Oleh itu, program tadarus ini merupakan medan terbaik bagi mereka untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai dan menarik minat golongan lain mendekati al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dan Khatam al-Quran Program Tadarus al-Quran Sempena Cuti Sekolah yang diadakan di Masjid Kristal, petang semalam.

Program tersebut dianjurkan Radio Malaysia Terengganu (Tfm) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Yayasan Terengganu dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management.

Seramai 30 pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ seluruh Terengganu menyertai program tersebut yang diadakan selama lima hari mulai 13 Mac lalu.

YB Haji Muhammad Ramli berkata, beliau yakin program tadarus yang bakal diadakan seperti konsep Imam Muda akan menarik lebih banyak penyertaan dan ini boleh membantu mengimarahkan lagi Masjid Kristal.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkenaan, terutamanya Tfm bagi merealisasikan cadangan tersebut,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya, Tfm yang menjayakan program tersebut dan berharap lebih banyak program yang bertujuan meningkatkan syiar Islam dijalankan pada masa depan.



PPDNKK didik pengguna

Oleh: Suriati Ali


PPDNKK Terengganu sentiasa menyalurkan maklumat kepada masyarakat terutama berkaitan hak sebagai pengguna. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Pengguna di Terengganu disarankan supaya membuat aduan terus ke kuanter Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (PPDNKK) sekiranya berasa tertipu dengan barangan yang dibeli.

Timbalan Pengarah PPDNKK Terengganu, Ab Ghani Harun berkata, pihaknya sentiasa menyalurkan maklumat kepada masyarakat terutama berkaitan hak sebagai pengguna.

“PPDNKK mengambil tindakan positif dalam menyalurkan maklumat kepenggunaan melalui pelbagai program yang diadakan melibatkan kerjasama agensi berkaitan dan pengusaha pasar raya di negeri ini.

“Pihak kami memberi pendedahan kepada pengguna berhubung barangan yang dikawal kerajaan agar mereka tidak keliru apabila berlakunya kenaikan harga barangan, malah kita juga berjaya menubuhkan 135 Kelab Pengguna Sekolah,” katanya.

Katanya, di Institut Pengajian Tinggi (IPT) pula kita sudah mencapai 70 peratus penyertaan dan kita sentiasa memberi sokongan terhadap kempen yang dijayakan pihak pasar raya sebagaimana dilakukan di Mydin Mall seperti kempen `Teliti Baru Beli’.

“PPDNKK berusaha menyalurkan setiap maklumat berhubung hak kepenggunaan kepada masyarakat di setiap kawasan melalui risalah, menganjurkan pelbagai program dan kempen,” katanya.



17 March 2011

Pelajar Terengganu hadir ceramah Dr M di Russia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


BUDI..."komuniti yang berikan kita peluang untuk belajar, kita patut balas balik budi komuniti"

Pelajar Terengganu yang sedang menuntut di Russia, turut menghadiri ceramah mengenai Wawasan 2020 yang disampaikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, pada 12 Mac lalu.

Kira-kira 300 pelajar Malaysia mendengar ceramah itu yang turut dihadiri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta delegasi yang mengiringi Dr Mahathir ke Moscow atas jemputan Presiden Dmitri Medvedev dan Perdana Menteri Vladimir Putin dari 9 Mac hingga 12 Mac.

Sepanjang berada di Russia, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Perdana Menteri Russia dan turut disertai Presiden Republik Tatarstan, Mr. Rustam Minnikhanov dan turut mengadakan syarahan di Moscow State University of International Relations (MGIMO) yang bertajuk "Street Demonstrations and Protests-Tools for Regime Changes".

Bagi perjumpaan dengan pelajar Malaysia itu, KUMOSC menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas bagi memudahkan para pelajar tiba ke Kedutaan Malaysia dan juga untuk melancarkan lagi perjalanan program pada hari tersebut.

Perkhidmatan pengangkutan bas diadakan di lima lokaliti iaitu Spartiv, Kahov, Pushkin untuk M1, M2 dan MAI. Ini adalah hasil kesepakatan KUMOSC dan Kedutaan Malaysia untuk memberikan perkhidmatan tersebut.


KENANGAN...antara pelajar yang hadir dan bergambar bersama tokoh negara.

Pada akhir ceramahnya, Dr Mahathir sempat menyampaikan amanat beliau bagi pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara agar balik ke Malaysia setelah menamatkan pembelajaran dan berbakti kepada masyarakat kerana tanpa masyarakat siapalah kita.



Setiu wujud Lembah Nanas

Oleh: Esah Abdullah

Daerah Setiu akan menjadi Lembah Nanas bagi negeri ini apabila seluas 178 hektar di beberapa kawasan sudah dipenuhi dengan tanaman berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Ashaari Idris berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memantau perkembangan tanaman berkenaan agar dapat dikembangkan secara meluas.

Katanya, tanaman ini telah dilaksanakan dalam beberapa peringkat dan projek perintis seluas 75 hektar di Pancur Bederu sudah mengeluarkan hasil sejak tahun lalu.

“Penanaman peringkat kedua (2010) pula membabitkan kawasan seluas 63 hektar di Bukit Kecil, Langkap yang diusahakan 63 orang penduduk golongan miskin,” katanya.

Haji Ashaari berkata, pengeluaran hasil tanaman berkenaan begitu menggalakkan dan peserta mampu memperolehi pendapatan yang lumayan jika mereka memberi tumpuan serius terhadap tanaman berkenaan.

Selain Bukit Kecil katanya, seluas 44.1 hektar kawasan baru sudah dikenal pasti di Kampung Banggol dan Tasik Berombak yang sesuai dengan tanaman nanas dan berharap ia dapat dilaksanakan tahun ini.

“Kerajaan sentiasa menghulur bantuan kepada peserta projek dan berharap mereka tidak sia-siakan sumbangan kerajaan dengan menjadikan bidang pertanian satu perniaga yang boleh memberi keuntungan,” katanya.




UMT wujud program baru

Oleh: Esah Abdullah

Usaha Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan program pengajian dalam bidang Forensik Sains mendapat komen positif daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, usaha UMT itu sangat relevan dan ada kaitan dengan aspek penyiasatan sekali gus mampu meningkatkan keupayaan PDRM dalam penyiasatan.

“Dalam kemajuan teknologi hari ini, keupayaan sains penting membantu penyiasatan polis untuk mendapat fakta sebenar yang perlu disokong dengan keupayaan saintifik,” katanya di majlis makan malam UMT di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Katanya, PDRM sudah ada pengajian Forensik Sains dan mempunyai pakar dalam bidang berkenaan tetapi bidang ini masih mempunyai ruang untuk berkembang.

Tan Sri Ismail juga melahirkanrasa yakin dengan keupayaan tenaga pengajar yang ada di UMT dan amat sesuai untuk disebarkan kepada pihak polis.




RM3.8 juta lancarkan penerbangan haji 2010-2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.8 juta kepada Lembaga Tabung Haji bagi memastikan kelancaran operasi penerbangan haji secara terus menerusi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu sepanjang 2010 dan 2011.

Perbelanjaan besar itu bagi memastikan segala urusan penerbangan lancar sebagaimana kejayaan pengurusan penerbangan ke tanah suci yang mula dikendalikan sejak 2008 itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata LTSM kini dikenali sebagai hab penerbangan terus ke Jeddah bagi mengerjakan ibadat haji serta umrah.
Malah, penerbangan umrah yang pertama dari LTSM yang dijangka diadakan secara berkala, tiga kali setahun akan dilancarkan bermula pada 18 Mac ini.

“Kerajaan negeri melihat langkah ini sebagai platform permulaan untuk agensi pengendali umrah menjadikan LTSM sebagai pintu gerbang atau hab bagi penduduk Pantai Timur, termasuk Kelantan dan Pahang bagi mengerjakan ibadat haji mahupun umrah,” katanya.

Pada masa yang sama, kerajaan juga merancang untuk menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa negara yang sudah dikenalpasti seperi Indo China, Thailand dan Bandung, Indonesia. Usaha itu kini masih dalam peringkat perbincangan dengan syarikat penerbangan terlibat.

Penerbangan pertama umrah Jumaat ini melibatkan kumpulan penerima Anugerah Umrah yang terpilih selepas terlibat dengan operasi Haji musim lepas yang bermula pada 16 Oktober dan berakhir dengan penerbangan balik 17 Disember lalu.

Peluang menunaikan umrah itu juga dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dengan kapasiti muatan 450 tempat duduk disediakan bagi satu penerbangan.

Program itu antara sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Sementara itu, pada musim haji yang lalu, sebanyak tujuh penerbangan dari LTSM membawa 2,387 jemaah haji yang terdiri daripada 1,545 jemaah i Terengganu selain Kelantan (647), Pahang (109) dan 86 jemaah dari lain-lain negeri .


Litar khas untuk `mat rempit’ dibangunkan tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tetap akan meneruskan perancangan mewujudkan litar lumba di lokasi khas yang sesuai pada tahun ini bagi menangani masalah kegiatan lumba haram di kalangan `mat rempit’ yang masih berlaku di beberapa `jalan panas' di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat berkata kerajaan peka dengan masalah yang melanda golongan belia negeri ini yang seperti tidak berkesudahan dan akan memastikan perancangan mewujudkan litar sebagai tempat belia terbabit melepaskan kemahuan mereka berlumba akan menjadi kenyataan.
Katanya, usaha mewujudkan litar itu juga bertepatan dengan hasrat mencungkil bakat baru dalam sukan permotoran dan membentuk mereka menjadi pelumba profesional yang mampu menaikkan nama negeri dan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya melihat apabila kumpulan remaja ini berhimpun di jalan raya, sebahagian kecil sahaja atau tidak lebih 10 peratus daripada mereka yang merempit dan menunjukkan aksi, sementara yang sebahagian besar lagi hanyalah sekadar menjadi `penonton setia’.

“Mereka ini sebenarnya `bersosial sambil bermotosikal’ terutama pada hujung minggu akibat tiada aktiviti yang mahu dilakukan,” katanya yang sudah mempunyai perancangan kawasan itu.

YB Rozi berkata, kebanyakan remaja berkenaan bukanlah dari latar kehidupan yang tidak baik, malah mereka berpakaian kemas dan elok belaka tetapi mereka emilih untuk memenuhi masa mereka dengan perkara yang sia-sia dan boleh menyusahkan orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan negeri tetap memandang serius masalah itu dan merancang pelbagai alternatif untuk mengalih tumpuan mereka daripada terus melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

Antara usaha yang dijalankan adalah mengadakan pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan seperti `Terengganu City Night Game’ di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu yang menarik penyertaan lebih 5,000 remaja pada setiap kali penganjuran sebulan sekali itu dilaksanakan.

“Kita juga mewujudkan satu gelanggang futsal di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk kemudahan remaja bersukan. Malah, Kerajaan Pusat juga menyediakan kemudahan itu di setiap Parlimen bagi tujuan yang sama,” katanya.



Jawatan dalam parti bukan tiket jadi calon

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, menasihatkan semua wakil rakyat dan kepimpinan Umno bahagian yang tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang, supaya terus bekerja untuk parti keramat itu, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, sebagai pekerja parti, mereka perlu mendahulukan maruah dan kepentingan parti melebihi daripada maruah peribadi masing-masing bagi menterjemahkan seruan transformasi politik Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Pada masa yang sama, Ketua Umno bahagian Besut itu turut mengingatkan semua pemimpin Umno negeri ini bahawa jawatan mereka dalam parti bukan tiket untuk laluan sebagai calon, sebaliknya jika tidak terpilih, mereka perlu bekerja bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih pucuk Presiden parti.

Ingatan ini sepatutnya disematkan di fikiran setiap pemimpin Umno sama ada di peringkat bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda mahu pun Puteri. Kita tidak mahu sejarah pahit berulang disebabkan kealpaan pemimpin berebut untuk menjadi calon.

Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi pastinya kita mahu parti Umno yang menunjangi BN terus menerajui pemerintahan negeri ini.

Dalam hal ini sikap “Biar putih tulang, jangan putih mata” tidak sepatutnya ada pada diri pemimpin Umno di semua peringkat.

Jika sikap ini dibiarkan tertanam dalam diri, tidak mustahil parti dan BN akan berputih mata selepas Pilihan Raya Umum ke-13, nanti.

Oleh itu, pesanan Dato’ Seri Idris seperti dalam laporan akhbar Berita Harian hari ini, tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu menjadi pegangan setiap pemimpin Umno.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam ucapan beliau di majlis-majlis yang diadakan di seluruh negeri juga tidak jemu-jemu memberi pesanan yang sama, “Adat orang berkampung, kampung dipertahankan. Adat orang bernegeri, negeri akan dipertahankan,”.

Rakyat Terengganu sudah merasai pelbagai kepayahan sewaktu berada di bawah pemerintahan Pas, sebelum ini.

Justeru itu, pemimpin Umno perlu menunjukkan pengorbanan mereka agar mereka sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang bermaruah dan berprinsip.

Pemimpin Umno tidak perlu menjadi ‘duri dalam daging’ kerana jika negeri ini terlepas ke tangan pembangkang, sudah pasti mereka akan dikutuk oleh rakyat jelata.