Halaman

01 June 2011

Kerajaan Terengganu pantau bangunan atas bukit

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika sesi sidang media selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Iman.

Kerajaan Terengganu turut memantau bangunan yang dibina di atas bukit di negeri ini bagi memastikan ia selamat diduduki.

Menteri Besar berkata, walaupun hanya sebilangan kecil bangunan yang terdapat di negeri ini di bina di atas bukit, tetapi pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku.

“Kita di Terengganu berbeza dengan negeri lain seperti Selangor di mana banyak bangunan dibina di atas bukit, tetapi pemantauan tetap dilakukan,” katanya kepada sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan tanah tinggi sebagai kawasan pembinaan memerlukan kos yang tinggi dan disebabkan masalah itu tidak banyak kawasan bukit terlibat dengan pembinaan kediaman atau bangunan-bangunan lain.

“Kita tidak ada banyak masalah pembinaan di kawasan tanah tinggi,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) lebih pro-aktif dalam usaha menangkap harimau yang dikatakan mengganas di kawasan Jambu Bongkok, Marang.

Beliau mahu haiwan liar tersebut ditangkap segera bagi mengelakkan ternakan penduduk tempatan menjadi mangsa dan menghilangkan ketakutan orang ramai di kawasan tersebut.



Isu pemilikan tanah haram selesai akhir tahun

Oleh: Kamarudin Mat Akib


“Kita harap orang ramai, terutama penjawat awam tidak terlibat dengan kegiatan meneroka tanah kerajaan secara haram kerana ia salah di segi undang-undang.” - YAB Dato' Seri Ahmad Said.

Kerajaan negeri yakin isu pemilikan tanah haram di seluruh negeri akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata buat masa ini pihak berkenaan sedang memproses semua permohonan pemilikan tanah haram yang telah dikemukakan orang ramai yang meneroka tanah kerajaan secara tidak sah, sebelum 31 Disember 2006.

“Sebelum ini kerajaan telah memutuskan mereka yang meneroka tanah kerajaan sebelum tarikh berkenaan dibenarkan membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) hari ini.

Sehingga ini, terdapat lebih 500 permohonan bagi tujuan itu sedang dalam proses dan ia dijangka siap sebelum akhir tahun ini.



Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, pihaknya telah mengarahkan pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) supaya membuat pemantauan di seluruh negeri bagi mengelakkan kejadian meneroka tanah kerajaan secara haram.

“Kita harap orang ramai, terutama penjawat awam tidak terlibat dengan kegiatan meneroka tanah kerajaan secara haram kerana ia salah di segi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, bagi penjawat awam mereka boleh mengemukakan permohonan sama ada untuk memilik tanah lot rumah atau pertanian jika mereka telah berkhidmat melebihi lima tahun.



MB selar sikap pegawai, kakitangan kerajaan sengaja tangguh kes

Oleh: Aida Abd Rahman


Perkhidmatan kakitangan kerajaan di bahagian kaunter juga perlu cemerlang dan mengamalkan budaya perkhidmatan awam yang sebenar kerana mereka melambangkan imej kerajaan dan pentadbiran negeri. - YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengelar sikap segelintir pegawai dan kakitangan di jabatan kerajaan yang sengaja menangguhkan sesuatu urusan serta kes yang melibatkan pelanggan sehingga memakan masa 20 tahun sebelum ia dapat diselesaikan.

Beliau merujuk kepada pengalaman ketika menjawat jawatan exco (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sebelum ini, terdapat beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu yang gagal mengeluarkan laporan audit akibat kes yang tertangguh terlalu lama.

Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Kuala Terengganu tidak dapat menyelesaikan masalah pengeluaran audit berikutan tindakan sepatutnya tidak diambil oleh pegawai yang berkhidmat ketika itu.

“Ada kes pegawai serah kepada kerani kewangan dan supaya mengambil tindakan terhadap minit yang dibuat. Bagaimanapun kerani kewangan beranggapan kes sudah lama dan mengabaikannya sahaja menyebabkan kes itu terus berpanjangan tanpa penyelesaian,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan Menteri Besar dengan semua pegawai dan kakitangan agensi kerajaan Daerah Marang, di Dewan Balai Polis Daerah Marang, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad dan yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Haji A Rahman Che Ali dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Abdul Rahman Bakar.
Menteri Besar berkata, akibat masalah itu, satu mesyuarat khas dibentuk dengan memanggil pihak audit bagi berbincang secara terperinci dan menyelesaikan kes yang tertangguh sekian lama itu.

Malah, di PBT Marang juga wujud masalah apabila perkhidmatan membersih kawasan tidak diselenggara dengan betul mengakibatkan kerajaan negeri terpaksa memberhentikan beberapa pegawai yang didapati tidak melaksanakan tugas dengan betul sebagaimana yang dikehendaki.

Selain itu, katanya, perkhidmatan kakitangan kerajaan di bahagian kaunter juga perlu cemerlang dan mengamalkan budaya perkhidmatan awam yang sebenar kerana mereka melambangkan imej kerajaan dan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, jika ada kes pelanggan yang datang dari jauh, kadangkala terpaksa menaiki bas dua kali sebelum tiba di agensi kerajaan bagi menyelesaikan urusan mereka, tidak wajar sekiranya pegawai dan kakitangan awam di bahagian kaunter tidak melayani mereka dengan sewajarnya walaupun ketika itu operasi pejabat hampir tamat.

“Ada pula kerani yang tidak menyiapkan menaip sekeping surat dan meninggalkan pada mesin taip untuk menyambungnya keesokan hari kerana waktu pejabat sudah berakhir serta sanggup beratur di depan lif untuk segera pulang.

“Kita hanya mengira masa kita, tetapi masa sebenar untuk berkhidmat tidak diambil kira. Sebaik sahaja sampai di pejabat, lepas `punch card’ keluar minum, pukul 10 keluar minum, pukul 3 petang keluar minum, tengahari hantar dan ambil anak bersekolah. Berapa jam masa yang diambil untuk menjalankan tugas. Apabila kerja banyak membebel dan tidak mengambil kira masa bekerja yang dihabiskan untuk tujuan lain,” katanya lagi.




Kerajaan sentiasa pantau jalan rosak

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa memantau kerja-kerja pembaikan jalan-jalan utama secara rutin iaitu bagi memastikan kelancaran pengguna jalan raya menuju destinasi masing-masing.



Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, kerja-kerja rutin berkenaan termasuklah penampalan pothole, pemotongan rumput, mencuci longkang dan perabot jalan.

“Peningkatan isipadu trafik yang terdiri daripada pelbagai kenderaan terutama muatan berat seperti lori yang kini semakin bertamba telah memberi kesan buruk keadaan permukaan jalan,” katanya.

Katanya, pihak jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sentiasa berusaha bagi mengatasi kerosakan jalan raya utama yang berlaku di daerah Hulu Terengganu membabitkan peruntukan RM25.4 juta.

“Setakat ini sejumlah RM1.1 juta telah diluluskan bagi tujuan penyelengaraan jalan, jambatan, saliran dan cerun di daerah itu,” katanya.

Katanya,antara jalan yang dikenal pasti termasuklah Sungai Temala/Ajil/ Landas, Gaung/Ajil dan Gaung/Teris serta jalan utama ke pekan Kuala Berang.

Sehubungan itu langkah-langkah juga diambil bagi mengatasi masalah limpahan air sungai dan jalan raya dinaiki air bila berlaku hujan lebat.

“Antaranya ialah menaikkan aras jalan sedia ada, menyelenggara sungai sekitar Kuala Berang, membesarkan longkang dan laluan air serta menaik taraf dan meningkatkan sistem perparitan,” katanya.

“Kita juga bercadang menyusun semula kampung-kampung yang sering menghadapi masalah banjir di Kampung Bukit Tadok, Pengkalan Ajal dan Kampung Gunung untuk mengelak perkara berkenaan berlarutan,” katanya.




Kempen Zakat dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali


Program itu nyata mendapat sambutan menggalakkan apabila masing-masing menyatakan minat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah dan syarat pembayaran zakat.

Pendekatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam ) Terengganu mengadakan Kempen Zakat di beberapa lokasi tumpuan di setiap daerah nyata memberi manfaat berguna kepada masyarakat dan peniaga.

Penolong Kanan Setiausaha (Teknologi Maklumat) Maidam Encik Nordin Alias, berkata Maidam sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan terutama berkaitan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya kewajipan membayar zakat.

Katanya, buat permulaan, pihaknya mendekati orang ramai dan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut sebelum diterusnya program sama di lokasi lain mengikut jadual.

“Program itu nyata mendapat sambutan menggalakkan apabila masing-masing menyatakan minat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah dan syarat pembayaran zakat.

“Berdasarkan pertemuan secara berdepan, rata-rata peniaga kecil di pasar tani itu kurang mengetahui bahawa mereka juga perlu membayar zakat berdasarkan sumber pendapatan yang diperoleh,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, hari ini (1 Jun).

Seramai lima atau enam kakitangan ditugaskan bagi tujuan itu dengan membuka gerai pameran dan mengedar risalah kewajipan zakat.



CRK dapat sambutan menggalakkan

Oleh: Suriati Ali



Juara pertandingan Encik Ramong Ding dari Sarawak berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 selepas berjaya menaikkan ikan rohu seberat 3.07 kilogram (kg).

Kolam Pancing Textra (KPT) menganjurkan pertandingan memancing Cabaran Raja Kolam (CRK) di Kolam Pancing Bukit Payong, Kuala Terengganu, baru-baru ini, bagi memenuhi kelapangan cuti sekolah.

Hampir 500 peserta menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM10,000.

Juara pertandingan Encik Ramong Ding dari Sarawak berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 selepas berjaya menaikkan ikan rohu seberat 3.07 kilogram (kg).

Manakala tempat kedua, Mohd Anaki dari Kuala Berang memperoleh RM1,000
dan ketiga pula dimenangi Muhamad bin Musa dengan hadiah RM500.

Pengurus KPT, Muhammad Rumzi Abdullah, berkata pertandingan yang diadakan secara berperingkat-peringkat itu bukan sahaja mendapat sambutan pemancing tempatan malah mereka yang tinggal di luar Terengganu termasuk Sarawak..

“Pihak kami akan melepaskan pelbagai jenis ikan seperti baung, patin dan pacu dengan anggaran berat 500 kilogram (kg) hingga 1,000 kg sehari sebelum CRK dimulakan.

“Rata-rata peserta yang menyahut cabaran ini menyatakan puas hati dan seronok menyertainya kerana kebanyakan mereka memperoleh ikan walaupun tidak memenangi sebarang hadiah atau cabutan bertuah,” katanya kepada pemberita Teganukita hari ini (1 Jun).

Penganjur menjanjikan hadiah lebih lumayan untuk CRK seterusnya yang dijangka akan diadakan pertengahan bulan ini.




JPNT digesa agresif tangani salah laku pelajar

Oleh : Aida Abd Rahman


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan

Polis menggesa Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) mengambil tindakan yang lebih agresif bagi mengatasi kejadian salah laku seperti membuli dan memukul sesama rakan terus berlaku di kawasan sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, polis merekodkan sebanyak 10 kes jenayah salah laku melibatkan pelajar.

"Walaupun tidak banyak kes ini dilaporkan namun pihak polis tetap memandang serius masalah ini dan berharap pihak JPNT dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita sentiasa memantau perkara ini melalui pegawai perhubungan sekolah selain mengadakan program-program seperti Kelab Pencegahan Jenayah dan pasukan Kadet Polis bagi menggelakkan berlakunya kejadian jenayah melibatkan pelajar," katanya, semalam.

Sebelum ini, katanya pelbagai kaedah dan pendekatan telah diambil termasuk mengenakan hukuman terhadap pelajar yang melakukan kesalahan itu, namun ia masih gagal untuk menangani masalah tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa melakukan pengawasan yang lebih ketat terhadap anak-anak mereka selain memberi penekanan dalam pendidikan agama.

Mengulas kejadian pukul yang melibat seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal Rabu lepas sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan, Manoharan berkata polis masih menunggu laporan perubatan dan prestasi daripada pihak sekolah sebelum merujuk kes itu kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

31 May 2011

BOTR 2011 buru Arapaima di Tasik Kenyir

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri menawarkan nilai hadiah sekali ganda iaitu RM20,000 kepada pemancing yang berjaya membawa naik spesies Arapaima Gigas dalam pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR 2011) di Tasik Kenyir selama tiga hari bermula 24 Jun depan.

Spesies ini (Arapaima Gigas) menjadi tarikan utama pada acara berkenaan di samping sembilan ikan lain yang ditetapkan pihak kerajaan negeri selaku penganjur iaitu sebarau, siakap, kelah, kaloi, temoleh, baung, toman, belida dan patin.

Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat khas bersama Pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan bersama Unit Joran Berita Harian yang diadakan di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Encik Rosli Zakaria dan Pengurus Projek Khas Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Encik Mohd Mizal Hasbullah.

Pada acara sama tahun lalu hadiah yang ditawarkan adalah RM10,000, namun 200 pemancing yang mengambil bahagian gagal menemui spesies yang menghuni dasar Tasik Kenyir itu.

BOTR 2011 tahun ini diadakan lebih besar dengan penyertaan 800 orang yang menaiki 200 kenderaan 4X4 dan berlepas dari tiga penjuru iaitu Sri Pentas di Damansara, Lenggong di Perak dan Kemaman, Terengganu.

Acara tahunan ini dijangka menarik kaki pancing dari seluruh negara menggunakan bot pancing yang diangkut sendiri menggunakan kenderaan 4X4 serta kenderaan biasa yang membawa bot serta bergerak secara konvoi dari tiga lokasi pelepasan.

Selain memancing, turut diadakan acara sampingan lain termasuk sukan air dan demonstrasi perlumbaan bot F1 yang diketuai seorang bekas pelumba wanita F1 dunia, Kay Marshall.

Hadiah keseluruhan pertandingan tahun ini berjumlah RM107,000. Orang ramai yang berminat dipelawa menyertai pertandingan serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti motosikal, barangan elektrik dan banyak lagi yang disediakan pihak penganjur.





Karnival pendidikan terima 70 ribu pengunjung

Oleh: Esah Abdullah

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kedai Buku Melayu Terengganu (Perkeb), Encik Mohd Zulkifli Abdul Wahid menarik nafas lega apabila berjaya mencapai jualan kasar berjumlah RM500,000 dalam Karnival Pendidikan Terengganu yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Katanya, karnival yang berlangsung lima hari berakhir semalam itu telah menerima pengunjung hampir 70,000 orang yang telah melebihi sasaran awal.

Pada pemerhatian beliau karnival seperti ini amat digemari ‘ulat buku’ untuk mendapatkan bahan bacaan yang baru berada dipasaran.

“Tahun ini pihaknya hanya menyediakan 60 gerai pameran dan jualan buku berbanding tahun lepas melebih 100 buah dan mendapat pulangan jualan kasar lebih RM1 juta,” katanya.

Katanya, disamping pelajar karnival ini turut dikunjungi orang ramai terdiri dari pekerja dan juga suri rumah yang memilih pelbagai tajuk buku dan novel keluaran terkini.

“Setiap pengunjung yang datang pasti membawa pulang paling kurang sebuah buku dan apa yang membanggakan saya, mereka merupakan pembaca tegar yang mengikuti perkembangan semasa,” katanya.

Katanya, ada juga yang sanggup berbelanja besar hingga mencecah ribuan ringgit semata-mata memenuhi cita rasa diri dan keluarga dengan membeli beberapa tajuk buku digemari.

Karnival berkenaan adalah anjuran bersama Pejabat Pelajaran Terengganu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pelajaran dan Perkeb yang diadakan bersempena Sambutan Hari Guru ke-40 tahun ini.




MB lulus peruntukan RM3 juta untuk prasarana Marang

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Harun Hassan dan Amirullah Othman



Dalam siri lawatan ke daerah Marang hari ini, YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said turut melawat Pasar Pekan Wakaf Tapai.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi membiayai pelbagai projek menaiktaraf kemudahan jalan raya dan sistem perparitan di seluruh daerah Marang, tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata daripada jumlah tersebut masing-masing RM200,000 akan diagihkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat dan Bukit Payong.


Menteri Besar ketika turun padang meninjau prasarana sambil kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi membiayai pelbagai projek di daerah Marang.

“Sebelum ini sewaktu saya mengadakan lawatan di daerah Kuala Terengganu, kita sudah meluluskan peruntukan RM500,000 setiap satu bagi DUN Bukit Payong dan Alor Limbat kerana sebahagian daripada kawasan dua DUN berkenaan termasuk dalam daerah Kuala Terengganu.

“Bagi lawatan saya ke daerah Marang kali ini, kita beri peruntukan tambahan RM200,000 setiap satu bagi DUN Bukit Payong dan Alor Limbat untuk projek pembesaran jalan dan membina longkang di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas lawatan bagi meninjau masalah jalan dan parit bagi daerah Marang.



Sebelum ini Menteri Besar telah melawat enam daerah seluruh negeri bagi meninjau sendiri masalah jalan dan parit, terutama yang menyebabkan banjir bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.

Menteri Besar berkata, bagi lawatan terakhir di daerah Marang peruntukan RM1.5 juta diluluskan bagi DUN Rhu Rendang di mana sebanyak RM1 juta akan digunakan bagi meluruskan jalan Alur Tuman, di Pulau Kerengga yang merupakan selekoh maut.



“Manakala bagi DUN Pengkalan Berangan kita akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1,050,000 bagi tujuan yang sama,” ujarnya.

Beliau berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan segera agar masalah yang dihadapi rakyat di kawasan berkenaan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.